Tuesday, November 30, 2010

Orang Kunak Perlu Siapkan Diri Raih Keuntungan Industri Pelancongan

Perjuangan untuk membangun Daerah Kunak sebagai kawasan tarikan pelancong harus diteruskan tanpa rasa putus asa. Ini adalah kerana industri pelancongan terbukti boleh menyumbang kepada peluang pekerjaan, perniagaan dan seterusnya meningkatkan pendapatan kepada penduduk dan negeri, manakala daerah ini memang amat kaya dengan potensi produk pelancongan. Di peringkat nasional sektor pelancongan telah menjana pendapatan sebanyak RM53 billion manakala Negeri Sabah mensasarkan pendapatan RM5.28 billion bagi tahun 2011.




Walau bagaimanapun, konsep pembangunan pelancongan itu haruslah dirancang dengan teliti agar penduduk setempat memperoleh manfaat optima dari usaha tersebut. Adalah mendukacitakan jika industri itu berkembang maju sedangkan anak-anak tempatan terus semata-mata menjadi penonton. Dengan yang demikian perancangan pembangunan industri pelancongan di Daerah Kunak hendaklah mengutamakan penglibatan penduduk Kunak secara keseluruhan. Ini bermaksud, setiap ketua isirumah hendaklah dipelawa, dibimbing dan yang kurang kemampuan diberi bantuan sewajarnya agar berpeluang mengambil bahagian dalam industri tersebut.

Kita amat berterimakasih kepada ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang yang tanpa jemu memohon kepada pihak kerajaan Negeri Sabah agar membangun daerah ini sebagai kawasan pelancongan berdasarkan potensi-potensi produk pelancongan yang ada. Perkara ini mula disentuh di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada April 2009. Ia terus disuarakan di persidangan-persidangan berikutnya, termasuk yang berlangsung pada November baru-baru ini, dimana Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KPKAL) Sabah akhirnya memberi respon seperti( yang dipetik dari akhbar Daily Express) berikut:


"Merujuk kepada soalan-soalan dari ADUN Kunak Datuk Nilwan Kabang, beliau (Menteri KPKAL, Datuk Masidi Manjun) menasihatkan wakil rakyat berkenaan (Datuk Nilwan) agar menggesa pihak berkuasa tempatan Kunak mempertimbangkan Rancangan Konsep Pembangunan Pelancongan untuk Lahad Datu, Kunak dan Teluk darvel yang telah siap pada tahun 2003.

Beliau menyarankan agar wakil rakyat bertanyakan perkara tersebut kepada pihak berkusa tempatan mengenai plan berkenaan, yang menyentuh tentang kawasan-kawasan berpotensi untuk pelancongan dan panduan memohon peruntukan untuk menaiktaraf infrastruktur asas, atau boleh juga meyakinkan pihak swasta untuk melabur dalam industri pelancongan di daerah itu".

Sesuatu yang saya kurang faham dalam jawapan tersebut ialah: Kenapa pula diserahkan kepada ADUN Kunak untuk meyakinkan pihak swasta buat pelaburan dalam industri pelancongan di Kunak? Bukankah itu peranan yang sepatutnya dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar? Tidakkah kementerian berkenaan mempunyai pegawai dan kakitangan yang lebih arif dalam bidang tersebut?


Lagi mengenai kawasan-kawasan potensi pelancongan Daerah Kunak di sini:
1. Kolam Air Masin di Puncak Bukit
2. Bukit Baturong Bhg1 & Bukit Baturong Bhg 2
3. Sphinx Bukit Baturong
4. http://semuakunak.blogspot.com/
5. http://kunakpress.blogspot.com/
6. http://kunakklasik.blogspot.com/

4 comments:

kunakpress.blogspot said...

selain daripada kementerian yang berkenaan untuk membangunkan industri pelancongan daerah, pihak swasta atau badan-badan korporat juga perlu berganding sama dalam perkara ini terutama dlm menterjemah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka kerana kebanyakan produk potensi pelancongan daerah di Kunak terdapat di kawasan milikan syarikat swasta/konglomerat.

Untuk menterjemah hasrat itu, perbincangan dan kerjasama padu haruslah dijalin antara pihak-pihak terlibat, bukan sekadar menerusi perbincangan mesyuarat di peringkat tempatan tetapi lebih dari itu ia wajar diserasikan dengan tindakan diperingkat atasan dan seterusnya, barulah apa yg dihasratkan mampu direalisasi dan diperoleh.

kunakpress.blogspot said...

salam Kunakians,
saya merujuk semula artikel saudara berkaitan post ini.
Difahamkan, pihak Adun perlu mengemukakan laporan berhubung potensi produk pelancongan di daerah Kunak mengikut mekanisme atau kaedah berperingkat sebelum diajukan terus kepada kementerian berkenaan.

Oleh demikian, adalah wajar supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dipelawa bersama untuk menjalankan kajian lanjut terhadap potensi produk pelancongan yg ada di daerah itu meskipun kawasan atau lokasi produk berkenaan terletak dlm lingkungan milikan swasta. Disinilah suatu 'KERTAS KERJA' perlu dibuka diperingkat awal bagi PBT, pemimpin tempatan (pihak Adun)
dan syarikat swasta tertentu melalui perbincangan bersemuka untuk ke arah itu.

Tentunya Garis Panduan dan tatacara tertentu digunapakai di peringkat Daerah dan diusulkan kepada Kementerian berkenaan seterusnya untuk pertimbangan yg perlu sama ada ia berkaitan kos peruntukan bagi pembangunan produk pelancongan itu.

saya yakin dan percaya Sektor swasta juga akan berminat untuk melabur dalam industri pelancongan daerah andainya semua pihak dilibatkan dalam perbincangan ini.

Konsep perkongsian kerjasama antara Kerajaan dan Sektor Swasta adalah penting demi kemajuan ekonomi sesuatu daerah itu.

Sebab itulah, saya tertanya pada diri sendiri ketika bersama Rombongan Adun Kunak meninjau lokasi produk pelancongan di daerah itu beberapa bulan lalu yang mana, tidak kelihatan wakil atau pegawai tertentu sama ada di pihak PBT Majlis Daerah, Pejabat Daerah atau Jabatan Penerangan yg mana agensi ini juga mempunyai peranan besar dalam perkara ini.

Pak Runa said...

Terimakasih KP atas komen dan pandangan yang amat berguna. Pada masa yang sesuai, saya harap sdr boleh bantu saya menerangkan perkara ini kpd YB ADUN.

JanyAly said...

Penulisan yang menarik... tapi adalah lebih baik jika paparan klip video tu ditulis dalam bahasa melayu. Penggunaan bahasa inggeris dalam paparan video tersebut agak jelas kesilapan tatabahasanya...[komen ini sekadar untuk penambahbaikan atas usaha saudara yang luar biasa hebat, tahniah =)]