Friday, October 30, 2009

HALATUJU NEGARA vs KEHENDAK RAKYAT - BHG 2

Kemenangan Barack Obama dari Parti Demokrat ke atas John McCain mewakili Parti Republikan, dalam pilihanraya presiden Amerika Syarikat pada 4 November 2008 adalah contoh nyata dimana rakyat menukar kepimpinan negara berikutan kepimpinan sediada dilihat sebagai membawa negara kearah yang tidak seiring dengan aspirasi mereka.

George W Bush calon Parti Republikan, memenagi pilihanraya presiden Amerika Syarikat tahun 2000 ke atas Al Gore calon Parti Demokrat, kerana kempennya yang banyak memberi tumpuan terhadap isu-isu dalam negara seperti cadangan bajet lebihan, reformasi keselamatan social dan kesihatan serta plan pengurangan cukai yang agak kompetetif.

Dalam isu dasar luar, Bush meraih sokongan dengan mengkritik polisi pentadbiran Clinton di Somalia dimana 19 orang rakyat Amerika terbunuh ketika cuba mengamankan dua kumpulan yang bermusuhan, dan di Balkans dimana tentera pasukan pengaman dari AS menjalankan pelbagai tugas.

“Tentera kita tidak sepatutnya dijadikan alat untuk apa yang diistilahkan sebagai membina negara”, kata Bush dengan sinis dalam suatu acara debatnya dengan Gore.

Bush yang memenangi 271 kawasan berbanding 266 yang dimenangi Gore dinobatkan sebagi Presiden Amerika Syarikat ke 43 pada 20 Januari 2001. Dengan kemenangan tipis itu, Bush berusaha keras untuk memenangi hati pengundi.

Dalam lapan bulan pertama selepas menjadi presiden, pentadbiran Bush kebanyakannya memberi tumpuan kepada perkara-perkara berkaitan ekonomi, hubungan dengan Korea Utara dan program nuklearnya, serta usaha menyatupadukana rakyat yang masih marah dengan kontroversi yang menyelubungi pilihanrya presiden tahun 2000. Berikutan peningkatan ketegangan konflik Israel dengan Palestin serta kegagalan pentadbiran Clinton untuk membawa kedua pihak ke meja rundingan, Bush lebih memberi pendekatan “tidak campurtangan”.

Rakyat Amerika mula tenang, dan sedikit demi sedikit populariti Bush makin meningkat.

Selasa, 11 September 2001 merupakan hari yang mencorakkan pentadbiran Bush berikutnya. Pada hari tersebut sekumpulan pengganas telah merampas empat buah pesawat penumpang , dua daripadanya merempuh dan memusnahkan menara berkembar Pusat Dagangan Dunia di Bandaraya New York. Pada malam itu juga, Presiden Bush mengumumkan perang terhadap keganasan. Kejadian itu segera melonjakkan kadar sokongan (approval rating) Bush kepada 90 peratus, yang tertinggi pernah direkodkan oleh Pertubuhan Gallup.

Teruja dengan sokongan yang memberangsangkan itu, Bush membuktikan komitmennya untuk memerangi keganasan dengan menghantar 11,000 tentera ke Afghanistan pada Oktober 2001. Harapan rakyat Amerika ialah wira-wira mereka iatu akan menangkap Osama Bin Laden dan memusnahkan al-Qaeda yang dipimpinnya, iaitu pertubuhan yang didakwa bertanggungjawab ke atas serangan 11 September. Namun itu bukan agenda sebenar Bush.

Bush telah salah tafsir akan sokongan rakyat Amerika dalam programnya untuk memerangi keganasan. Rakyat mahukan kedamaian dan jaminan keselamatan dari ancaman pengganas, Bush pula menyangka yang mereka "satu kepala" dengan dirinya yang ingin menunjukkan keunggulan ketenteraan dan menakut-nakutkan orang lain. Ternyata, Bush lebih dahsyat dalam ‘memperalat tentera’ berbanding Clinton yang dikritiknya dalam pilihanraya presiden tahun 2000.

Kerajaan Taliban di Afghanistan Berjaya digulingkan dan diganti dengan kerajaan pilihan Amerika Syarikat, namun majoriti anggota Al-Qaeda, termasuk Osama gagal diberkas. Pentadbiran Bush mula mendapat kritikan atas kegagalan itu.

Untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu kegagalan menangkap Osama, walau telah melibatkan korban jiwa yang besar serta serangan tentera ke atas sebuah negara lain, Bush mula menakut-nakutkan rakyat Amerika. Konon rakyat Amerika kini berhadapan dengan ancaman pengganas secara besar-besaran yang diatur oleh pertubuhan-pertubuhan pengganas di serata dunia, dan dengan itu, AS tidak lagi boleh menganggap bahawa dunia ini terdiri dari negara-negara yang berdaulat. Atas sebab itu, pentadbiran Bush melaksanakan dasar penggunaan "serangan menghalang" (preemptive strike) terhadap mana-mana negara yang melindungi atau memberi bantuan kepada kumpulan pengganas. Bush juga menggariskan teori tiga buah negara sebagai ancaman kepada keamanan, iaitu Iraq, Korea Utara dan Iran yang diberinya gelaran “Paksi Kejahatan”.

Kalangan rakyat Amerika yang meragui tindakan pentadbiran Bush di Afghanistan dan dasar serangan menghalang, memilih untuk berdiam diri. Mereka enggan mengambil tahu akan masa depan negara sendiri.

Bob Herbert, seorang penulis kolum di The New York Times menggambarkan keadaan rakyat Amerika itu sebagai cenderung untuk berada dalam keadaan yang amat pasif dalam mengharungi pelbagai krisis yang mencengkam negara dan menyukarkan kehidupaan jutaan manusia. Mereka seolah-olah menganggap bahawa rakyat jelata tidak boleh berbuat apa-apa dalam menangani keadaan-keadaan yang menghimpit kehidupan mereka.

Kebanyakan rakyat Amerika menonton berita sama seperti menonton siaran perlawanan sukan atau cerita bersiri di kaca televisyen. Mereka percaya yang mereka tiada daya kawalan ke atas peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian sama seperti mereka tiada kawalan ke atas strategi jurulatih pasukan kegemaran mereka atau skrip siri tv “Law & Order”.

Just Fancy replacing the "s" in Osama with "b"!

Thursday, October 29, 2009

HALATUJU NEGARA vs KEHENDAK RAKYAT – BHG 1

Pada dasarnya, halatuju sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat adalah ditentukan oleh rakyatnya sendiri, lainlah ceritanya jika negara itu dikuasai oleh pemerintah diktator kuku besi.

Namun begitu, sering berlaku dimana dasar negara tidak menggambarkan hasrat dan kehendak majoriti rakyatnya, hatta di negara-negara pengamal demokrasi. Apabila perkara sedemikian berlaku rakyat mula menuding jari kepada pemimpin dan pemerintahannya, diikuti dengan sesuatu bentuk bantahan. Ada kalanya bantahan itu secara aman dan tidak jarang pula yang menimbulkan huru-hara.

Para pemimpin negara pengamal demokrasi pada amnya berusaha memenuhi hasrat majoriti rakyatnya, demi memastikan rakyat akan memilih mereka atau parti mereka semula dalam pilihanraya berikutnya. Jelasnya, perubahan kepimpinan sesebuah negara pengamal demokrasi dari sesuatu kumpulan atau parti kepada kumpulan atau parti lain, adalah jelmaan keadaan dimana halatuju kepimpinan tidak sehaluan dengan aspirasi dan kehendak rakyatnya.

Persoalannya ialah, kenapakah banyak terjadi halatuju kepimpinan tidak sehaluan dengan kehendak rakyat sehingga menyebabkan berlakunya pertukaran kepimpinan, demonstrasi, revolusi, bahkan sehingga rampasan kuasa?

Ada dua kemungkinan. Pertama, rakyat enggan mengambil tahu akan masa depan negara sendiri. Kedua, kerajaan kurang peka kepada kehendak rakyat.

Monday, October 26, 2009

JANGAN SEKADAR MENJADI PENONTON

Kg Kunak Tiga, 25 Oktober 2009. Penduduk Kunak digesa untuk lebih pro-aktif dalam menyambut dan menyertai program-program yang dianjurkan oleh kerajaan samada secara terus oleh agensi-agensi kerajaan, mahupun melalui persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO). Gesaan itu dibuat oleh ADUN Kunak, Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang dalam ucapannya ketika merasmikan penutupan Program Pembangunan Minda Insan (PPMI) di hadapan kira-kira 700 orang hadirin di Mini Dewan Kampung Kunak Tiga.

“Saya difahamkan bahawa antara matlamat PPMI ini ialah untuk meningkatkan motivasi dan kesedaran kepada penduduk kampong, khasnya di Daerah Kunak ini, untuk menjadi insan yang cemerlang. Selain daripada itu, untuk membina keyakinan diri agar berkemampuan untuk berdikari dalam mengharungi cabaran masa kini”, kata Datuk Nilwan kepada para hadirin.

Menurut Datuk Nilwan, pembangunan minda yang sedemikian adalah amat penting untuk membolehkan masyarakat mengambil bahagian dalam program pembangunan dan seterusnya turut menikmati peningkatan taraf hidup.

“Samada kita suka atau tidak, Kunak akan terus membangun!” kata Datuk Nilwan yang kemudian diam sejenak.

Beliau memandang ke segenap hadirin yang kebanyakan turut senyap. Sebahagiannya kelihatan terpinga-pinga, seakan cuba menafsir lebih mendalam kata-kata pemimpin mereka itu.

“Insya Allah, Kunak akan terus membangun sama seperti daerah-daerah lain di Malaysia, namun, pembangunan di Daerah Kunak ini tidak ada ertinya jika penduduk Kunak hanya sekadar menjadi penonton”, sambung Datuk Nilwan dengan nada yang kian meninggi.

“Apalah ertinya bangunan-bangunan besar dan indah serta rangkaian infrastruktur canggih dibina di Kunak, jika masyarakat Kunak tidak mampu memiliki bangunan-bangunan itu dan gagal memanfaatkan infrastruktur yang disediakan?

“Namun itulah yang bakal terjadi jika kita malas untuk mengambil bahagian dalam program-program seperti ini.

“Oleh itu, sekali lagi saya menyeru kepada saudara-saudari penduduk Kunak sekalian, berikan sokongan dan sertailah program-program seperti ini”, seru Datuk Nilwan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Hafizan Kamarulzaman selaku pegawai yang mewakili Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), serta Dr Hj Azizan Ahmad selaku ketua rombongan relawan dari Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) yang terdiri dari Dr Rofiah Ali, Dr Asmarawati Mohd Yatim, Dr Wan Muhaizan Wan Mustafa, Dr Nor Azian Hasnan, Dr Wan Zalila Izuddin, Dr Zamrin Diman, Dr Basir Tawil, Dr Hamimah Saad, Tuan Hj Ibrahim Abd Rahman, Encik Fadzil Husin dan Encik Kadir Mahmood.

Program dua hari itu telah berlangsung di Kampung Pangi pada 24 Oktober dan Kampung Kunak Tiga pada 25 Oktober. Ia dianjurkan oleh KKLW dan dilaksanakan oleh HALUAN.

Sunday, October 25, 2009

MINTA DINAIKKAN CUKAI

Rakyat Malaysia pada amnya tentu merasa gembira ketika Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan melalui Ucapan Bajet 2010 Jumaat lepas, cadangan mengurangkan cukai pendapatan individu maksimum dari 27 peratus kepada 26 peratus. Tambahan daripada itu, pelepasan diri pembayar cukai dinaikkan pula daripada RM 8,000 kepada RM 9,000. Langkah ini, pastinya merupakan salah satu penyebab penurunan anggaran kutipan hasil Kerajaan Persekutuan sebanyak 8.4 peratus kepada RM 148.4bn bagi tahun 2010, berbanding RM 162.1bn pada tahun 2009.

Berlainan pula ceritanya di Jerman apabila sekumpulan dari kalangan rakyat Jerman yang kaya melancarkan petisyen meminta kerajaan mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas mereka. Kumpulan itu mendakwa mereka memiliki wang melebihi keperluan, dan kutipan hasil tambahan itu boleh digunakan untuk membiayai program ekonomi dan sosial bagi membantu memulihkan ekonomi Jerman.

Menurut kumpulan itu, Jerman mampu mengutip tambahan 100bn euro (RM 508bn) jika orang-orang paling kaya di negara itu membayar cukai harta sebanyak 5 peratus selama dua tahun.

Setakat ini petisyen tersebut telahpun mendapat 44 tandatangan, dan akan dikemukakan kepada Canselor Jerman yang baru dipilih, Angela Merkel.

Kumpulan itu berkata krisis kewangan masa kini sedang mengakibatkan peningkatan pengangguran, kemiskinan serta kepincangan sosial.

Sumbangan kewangan semata-mata tidak mencukupi untuk menangani masalah tersebut, mereka mahukan suatu perubahan dalam keseluruhan pendekatan itu.

“Jalan keluar dari krisi ini mestilah dirintis dengan pelaburan yang besar dalam bidang ekologi, pelajaran dan keadilan sosial,” tegas mereka dalam petisyen tersebut.

Mereka yang telah “mendapat kekayaan melalui warisan, kerja keras, kerajinan, keusahawanan, atau pelaburan” hendaklah menyumbang lebih banyak untuk meringankan beban akibat krisis ekonomi yang sedang dihadapi.

Apa agaknya, pendapat para Hartawan Malaysia?

Saturday, October 24, 2009

KHIDMAT DOKTOR PAKAR DI KAMPUNG PANGI KUNAK

Kunak, 24 Oktober 2009. Penduduk dari Kampung Pangi Kunak dan 5 buah kampung yang berhampiran hari ini beramai-ramai menuju ke Sekolah Kebangsaan Pangi. Kali ini mereka datang ke sekolah bukan untuk mesyuaBoldrat PIBG tetapi untuk mendapatkan perkhidmatan dari beberapa orang doktor pakar.

Seramai 8 orang doktor pakar itu, diketuai oleh Dr Wan Muhaizan datang bersama rombongan seramai 30 orang ahli akademik dan profesional dalam pelbagai bidang yang diketuai oleh Dr Hj Azizan Ahmad, Naib Presiden 3 Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).

Antara aktiviti yang dijalankan di SK Pangi itu ialah pemeriksaan kesihatan keluarga dan kanak-kanak. Kajiselidik juga diadakan untuk mendapatkan maklumat berkenaan hubungkait antara penyakit tertentu dan cara pemakanan serta sosioekonomi masyarakat setempat.

Menurut Dr Wan Muhaizan, rawatan percuma serta ubat-ubatan diberikan kepada penduduk yang mengalami masalah keseihatan yang tidak serius, manakala bagi kes-kes yang lebih berat akan dirujuk ke pihak Hospital untuk tindakan lanjut.

Perkhidmatan tersebut adalah sebahagian daripada aturcara Program Pembangunan Minda Rakyat anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kerjasama HALUAN Malaysia.

Terdahulu, Dr Wan Azizan dan beberapa ahli profesional dalam bidang binaan telah meninjau kawasan cadangan tapak perkampungan baru di Kampung Kunak Tiga.

Mewakili YB Encik Nilwan Kabang (ADUN Kunak) untuk mengiringi rombongan ialah Pegawai Kemajuan Masyarakat, Puan Hjh Maimunah Datuk Zainal dan Pembantu Pembangunan Masyarakat, Encik La Runa dari Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Kawasan N51 Kunak.

Thursday, October 22, 2009

BALADA DAN TRAGEDI

Berita Kepada Kawan. Begitulah tajuk sebuah lagu balada puitis yang sering menjadi siulan semua peringkat umur suatu ketika dahulu. Lagu nyanyian Ebiet G Ade itu menggambarkan kepiluan yang dialami ketika melihat penderitaan serta kegelapan masa depan yang dialami oleh mangsa bencana alam. Balada itu terus membawa kita mencari pengertian dan muhasabah diri.

Kengerian bencana Tsunami Disember 2004 yang melanda Banda Acheh masih segar dalam ingatan dan masih memilukan hati bila teringat akan peristiwa itu. Tidak sampai 5 tahun kemudian, Sumatera sekali lagi ditimpa malapetaka dengan gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter yang meranapkan kota Padang.

Sedikit cuma yang mampu kita hulurkan untuk membantu meringankan beban saudara-saudara kita di sana. Yang selebihnya, kita hanya dapat berdoa untuk mereka meski hati sarat dengan kepiluan dan rasa ketiadaan upaya (Laa hawla wa laa quwwata illaa bil-Lah) seperti yang digambarkan oleh Ebiet.

Saksikan detik-detik memilukan itu dan hayati lirik "Berita Kepada Kawan":

Tuesday, October 20, 2009

DEMOKRASI PERINGKAT AKAR UMBI

Pemilihan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di tiga buah kampong di kawasan DUN N51 Kunak berjalan lancar hari ini dalam suasana ceria dan harmoni. Pada sebelah pagi, pemilihan diadakan untuk Kampung Pangi dan Kampung Selamat manakala pada sebelah petang di Kampung Lormalong pula.

Program pemilihan Pengerusi JKKK dianjurkan oleh Ketua Kampung dan masyarakat kampung masing-masing dan dikendalikan oleh Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR).

Pemilihan Pengerusi JKKK secara undi bertulis dijalankan di kampung-kampung yang salahsatu daripada keadaan-keadaan berikut berlaku di kampong berkenaan:

  • Kekosongan jawatan Pengerusi JKKK atas apa jua sebab, misalnya perletakan jawatan (seperti yang berlaku di Kampung Lormalong), perlantikan Pengerusi sedia ada ke jawatan lain (seperti yang berlaku di Kg Selamat) dan sebagainya.
  • Terdapat usul daripada penduduk kampung untuk melantik Pengerusi JKKK yang baru setelah tamat tempoh perkhidmatan pengerusi yang sedia ada.

Saturday, October 17, 2009

DASAR JAMINAN MAKANAN PERLU DITERUSKAN DALAM BAJET 2010

Asas keperluan untuk meneruskan hidup yang aktif ialah bekalan makanan yang mencukupi. Masyarakat yang kelaparan atau kekurangan gizi (undernourished) tidak akan dapat membangun negaranya kearah kemakmuran.

Krisis ekonomi sedunia yang menyusuli krisis kenaikan harga barangan makanan yang tercetus pada tahun lepas telah melemparkan seramai 105 juta orang lagi ke dalam kemelut kelaparan. Angka it terus melonjakkan statistik angka kelaparan sedunia melepasi paras 1 bilion.

Pertubuhan Makanan Sedunia (FAO) menganggarkan sejumlah 1.08 bilion penduduk dunia sedang begelut dengan masalah kelaparan. Sehubungan dengan itu, Ketua Pengarah FAO Jacques Diof menyeru para pemimpun dunia agar mencapai suatu “konsensus yang luas bagi penghapusan masalah kelaparan secara menyeluruh dan pantas” dalam Persidangan Sedunia untuk Jaminan Makanan (WSFS) yang akan dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan di Rom pada 16 hingga 18 November 2009.

Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara dan Asia Selatan yang kurang dari 5 % daripada penduduknya mencatatkan gejala kekurangan gizi, iaitu setaraf dengan negara-negara maju.

Sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya bersyukur ke hadhrat Yang Maha Pemurah yang telah melimpahkan bahan makanan yang mencukupi untuk kita semua di negara ini. Dia jualah Yang Maha Pemberi Petunjuk yang telah memberikan ilham kepada pemimpin dan pentadbir negara untuk terus memastikan bahan makanan dalam negara terus mencukupi untuk semua.

Hal ini telah diterjemahkan dalam bentuk perancangan dan usaha bersungguh-sungguh untuk memantapkan sektor pertanian dan pengeluaran bahan makanan. Contoh yang amat jelas ialah Dasar Jaminan Makanan yang diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri (ketika itu) Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi dalam Ucapan Bajet Tahun 2009 pada 29 Ogos 2008.

DASAR JAMINAN MAKANAN
TUAN YANG DI-PERTUA,

45. KERAJAAN SEDANG MELAKSANAKAN PELBAGAI PROGRAM PERTANIAN BAGI MENJAMIN BEKALAN MAKANAN YANG MENCUKUPI* SEBANYAK 5.6 BILION RINGGIT DISEDIAKAN DI BAWAH DASAR JAMINAN MAKANAN NEGARA BAGI TEMPOH 2008 HINGGA 2010* PERUNTUKAN INI ANTARA LAIN ADALAH UNTUK PEMBAYARAN INSENTIF KEPADA PENGUSAHA PERTANIAN BERTUJUAN MERINGANKAN BEBAN KENAIKAN KOS PENGELUARAN DAN BAGI MENGGALAKKAN PENINGKATAN PENGELUARAN HASIL TANI* SERAMAI 350 RIBU PETANI YANG MENGUSAHAKAN SAYUR-SAYURAN, BUAH-BUAHAN, AKUAKULTUR DAN TERNAKAN AKAN MENDAPAT FAEDAH DARIPADA INSENTIF INI*

46. DALAM USAHA MENINGKATKAN HASIL TANGKAPAN IKAN, PERUNTUKAN TIGA RATUS JUTA RINGGIT TELAH DISEDIAKAN* DARIPADA JUMLAH INI, 180 JUTA RINGGIT UNTUK MENAMPUNG SARA HIDUP NELAYAN DAN PEMILIK BOT PERIKANAN SERTA 120 JUTA RINGGIT SEBAGAI INSENTIF TANGKAPAN IKAN* SERAMAI SERATUS RIBU NELAYAN TERMASUK PEMILIK BOT AKAN MENDAPAT MANFAAT*


47. DI SAMPING ITU, UNTUK MENGGALAKKAN PENGELUARAN AYAM DAN ITIK, KERAJAAN MENCADANGKAN PENTERNAK AYAM DAN ITIK DIBERI ELAUN PELABURAN SEMULA SEBANYAK 60 PERATUS BAGI TEMPOH 15 TAHUN BAGI PELABURAN TAMBAHAN*

48. KERAJAAN AKAN MENYEDIAKAN INSENTIF PENINGKATAN PENGELUARAN HASIL PADI DENGAN PERUNTUKAN SATU BILION RINGGIT YANG AKAN MEMBERI MANFAAT KEPADA 220 RIBU PESAWAH DI SELURUH NEGARA* LEBIH 1,300 HEKTAR TANAH TERBIAR TELAH DIKENAL PASTI BAGI PENGELUARAN PADI DAN MAKANAN LAIN, SEPERTI BUAH-BUAHAN, SAYUR-SAYURAN DAN TERNAKAN*


49. SELAIN ITU, PERUNTUKAN 475 JUTA RINGGIT DISEDIAKAN BAGI BANTUAN INPUT PERTANIAN, BAJA DAN RACUN PEROSAK BAGI MEMBANTU GOLONGAN PESAWAH* UNTUK MERINGANKAN BEBAN PETANI, KERAJAAN MENCADANG MEMANSUHKAN DUTI IMPORT KE ATAS BAJA DAN RACUN PEROSAK*

Dasar Jaminan Makanan ini diharap dapat diteruskan dan dimantapkan lagi dengan pengubahsuaian yang sewajarnya dalam Pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober ini.

Thursday, October 15, 2009

ISRAEL RANCANG SERANG IRAN

Menurut satu laporan sebuah majalah di Perancis, Le Canard Enchainé, Israel sedang membuat persiapan untuk menyerang Iran selepas Disember tahun ini. Laporan yang dipetik radio Israel itu mendakwa bahawa pihak Israel telahpun membuat tempahan resyen (bekalan makanan) tempur berkualiti tinggi dari sebuah pekilang makanan di Perancis untuk kegunaan anggota tentera unit elit. Anggota simpanan unit berkenaan yang berada di luar negeri juga telh dipanggil pulang untuk persiapan.

Laporan itu juga menyebut Ketua Pegawai Am Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Lt.-Gen Gabi Ashkenazi memberitahu rakan sejawatannya di Perancis, Jean-Louis Georgelin, Israel tidak bercadang untuk membom Iran tetapi akan menghantar beberapa pasukan elitnya untuk melakukan kegiatan tertentu di bumi Iran.

Menurut laporan majalah itu lagi, kemungkinan besar “kegiatan” tersebut melibatkan kerja-kerja sabotaj ke atas fasiliti nuklear Iran serta pembunuhan terancang terhadap saintis-saintis nuklear terkemuka republik itu.

Mungkinkah kenyataan Ashkenazi itu merupakan satu lagi provokasi untuk meniup kemarahan pihak Iran menjelang rundingan degan G5+1 (AS, Britain, Rusia, Perancis dan Cina, campur Jerman) dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengenai program nuklear Iran pada 19 Oktober di Vienna?

Israel dan AS selama ini memang tidak pernah menolak kemungkinan untuk menggunakan ketenteraan untuk memaksa Iran menghentikan program nuklearnya yang kedua-dua negara tersebut dakwa sebagai melibatkan pembuatan senjata nuklear.

Nampaknya mereka masih cuba menggunakan taktik kotor dan perangkap yang sama seperti yang mereka gunakan untuk mendapat alasan menjajah Iraq.

Wednesday, October 14, 2009

PINDAAN PERLEMBAGAAN – TAMPARAN BAGI PENGAMAL POLITIK WANG

Usul pindaan Perlembagaan Umno yang akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Khas Umno Khamis ini akan memberi suatu tamparan hebat kepada para pengamal politik wang baik sipemancing undi mahupun ikan-ikan keke’ dan ikan-ikan gelama yang kelaparan umpan ringgit.

Dengan lonjakan 5,000 peratus bilangan perwakilan bagi pemilihan pimpinan tertinggi dan barisan pemimpin peringkat bahagian, kaki-kaki pancing itu kenalah menyediakan umpan yang besar jika hendak meneruskan kegiatan.

Perlaksanaan pindaan perlembagaan ini tentunya akan menyebabkan peningkatan kos untuk membawa perwakilan ke Perhimpunan Agung untuk pemilihan pimpinan tertinggi dan peringkat bahagian yang juga diusulkan untuk diadakan serentak. Sudah tentu perwakilan dari Sabah akan memerlukan dana paling tinggi memandangkan kedudukannya yang jauh dari venue perhimpunan.

Dalam keadaan sedemikian, kemungkinan akan muncul pihak-pihak tertentu yang menawarkan “khidmat” menaja kos perwakilan dengan niat tertentu untuk kepentingan calon tertentu. Jika hal ini berlaku, pindaan perlembagaan yang diusulkan tidak akan membendung politik wang, hanya menukar coraknya: dari memancing ikan keke dan ikan gelama kepada menjala udang disebalik batu.

Mudah-mudahan Jawatankuasa Pemilihan yang akan ditubuhkan untuk menyelia hal-hal logistik dan kos dapat mematahkan segala percubaan sedemikian.

Sebagai tunjang parti yang mentadbir negara, impak proses transformasi Umno kearah yang lebih demokratik, telus dan inklusif akan dapat kita lihat dalam aliran Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index (CPI)) pada tahun-tahun berikutan perlaksanaan pindaan ini.

Untuk tahun 2008, Malaysia berkongsi kedudukan di tangga ke 47 (dari segi ketelusan) dengan Cape Verde, Costa Rica, Hungary dan Jordan dari senarai 180 buah negara. Kedudukan tersebut merupakan kejatuhan 4 tangga dari kedudukan ke-43 yang dikongsi bersama Korea Selatan dan Afrika Selatan pada tahun 2007.

Korea Selatan yang telah meninggalkan kita dengan memperbaiki kedudukan hingga mencapai ke tangga ke-40 pada tahun 2008, terus berusaha untuk mencapai yang lebih baik. Mampukan kita untuk mengejarnya kembali? Bersamalah kita berusaha dan berdoa.

Tuesday, October 13, 2009

SUBSIDI BERAS TIDAK SELARAS KONSEP 1 MALAYSIA

Cadangan pembahagian kupon beras berasaskan kepada pendapatan keluarga berjumlah RM1,500 sebulan di kawasan bandar dan RM1,000 sebulan di kawasan luar bandar seperti yang diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar hari ini, patut dikaji semula. Penentuan kelayakan yang disebutkan dalam laporan media hari ini tidak selaras dengan amalan konsep 1 Malaysia. Harga beras samada di bandar atau di luar bandar adalah sama sahaja. Malah kadangkala ia lebih mahal di kawasan luar bandar, terutama yang kegiatan pertaniannya bukan tanaman padi.

Penentuan kelayakan penerima subsidi dalam Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (SUBUR) ini juga sebaik-baiknya berasaskan pendapatan per kapita isirumah. Kaedah ini akan memberi faedah kepada golongan rakyat yang benar-benar memerlukannya. Sebuah keluarga di luar Bandar dengan pendapatan berjumlah RM1,500 dan mempunyai 7 orang anak tentunya lebih memerlukan subsidi itu berbanding keluarga lain yang berpendapatan RM 1000 dan mempunyai seorang anak sahaja.


Sunday, October 11, 2009

KEMBALI KE PANGKUAN BARISAN NASIONAL

Kemenangan besar, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di N31 Bagan Pinang merupakan petanda yang rakyat Malaysia sudah mula kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN).

Kesan permainan kata-kata sensasi yang membelai jiwa pengundi, terutama dari kalangan pengundi muda sudah mulai reda. Imajinasi gambaran suatu pemerintahan orde-baru sudah pudar. Kemuncak kobar emosi yang dipermainkan sudah mencapai antiklimaks.

Momentum fenomena-fenomena ini amat deras menjelang pilihanraya umum Mac 2008. Daya momentum bertambah dengan sekembalinya Datuk Sri Anwar Ibrahim ke arena politik pada Ogos 2008. Ia terus mendaki ke puncak menjelang pilihanraya kecil P36 Kuala Terengganu. BN kehilangan kerusi parlimen itu kepada PAS. Ramai yang bersorak tanpa menyedari kampong sedang diheret untuk digadai.

Memang lazimnya, sesuatu yang disensasikan cepat mendapat perhatian tetapi cepat pula menjemukan. Imajinasi jika tidak segera bertukar kepada realiti akan segera sirna. Hasil permainan emosi hanya berjaya sementara orang belum menyedari bahayanya. Sesudah itu, semuanya akan kembali kepada realiti.

Mac 2009, Pertukaran pucuk pimpinan BN (dan negara) membawa banyak perubahan positif dan muhasabah diri di kalangan pemimpinnya. Pandangan dan keluhan rakyat jelata mendapat perhatian yang lebih wajar.

Mei 2009, BN memilih untuk menumpukan tenaga dan kewangan memakmurkan masyarakat daripada menyertai pilihanraya kecil N12 Penanti. Tanpa BN dalam gelanggang, majoriti undi Parti Keadalian Rakyat (PKR) meningkat namun bilangan undinya merosot. Perjalanan turun dari puncak sudah bermula.

Julai 2009, Keputusan pilihanraya kecil Manek Urai mula memanifestasikan redanya gelombang sensasi. PAS mengekalkan kerusi N41 Manek Urai dengan kemenangan tipis ke atas BN. Kemerosotan undi majority amat ketara, iaitu dari 1,352 kepada hanya 65.

Ogos 2009, Meski BN gagal merebut kerusi N11 Permatang Pasir namun majoriti undi pihak lawannya terus merosot.

Oktober 2009, Peningkatan undi majoriti BN di pilihanraya N31 Bagan Pinang dari 2333 kepada 5435 lebih daripada 100%. Ia merupakan suatu tren yang bertentangan dengan yang dialami oleh pihak lawan – Apabila BN mengekalkan kerusi, majoritinya bertambah; Apabila parti lawan mengekalkan kerusi, majoritinya menurun.

Faktor-faktor yang menyebabkan para pengundi memilih laluan kembali ke pangkuan BN hendaklah diteliti dan terus dipelihara oleh barisan pimpinan BN agar laluan itu sentiasa lancar dan terbuka luas – menuju 1 Malaysia.

Saturday, October 10, 2009

KEMATIAN SEBAHAGIAN DARI KEHIDUPAN

Seorang nenek berusia 79 tahun Susie Weadock telah didiagnosis sebagai mengalami barah bermula pada usus besarnya kemudian merebak ke hati. Beliau menolak tawaran untuk kemungkinan memperpanjang usia dengan menjalani kemoterapi dengan menegaskan yang beliau tidak mahu menjalani penghujung usianya sebagai pesakit. Sebaliknya, beliau ingin terus meneroka kehidupan ini dengan penuh keriangan dan mempelawa orang lain untuk turut serta.

Susie terus melibatkan diri dalam aksi mencabar termasuk berenang bersama jerung, berakit melalui sungai deras serta terjun bungee dari cerunan setinggi 400 kaki di Sungai Zambezi Afrika.

Dalam rancangan Early Show (CBS) yang dihoskan oleh Maggie Rodriguez, Susie memberitahu, “Rasanya saya tidak pernah takut menempuh sesuatu yang belum diketahui. Saya menganggapnya sebagai suatu cabaran.”

Dalam rancangan yang sama pada Jumaat lepas Susie berkata, “Nikmatilah kehidupan. Sungguh, nikmatilah ia. Ia suatu anugerah.”

Susie juga telah terjun luncur dari ketinggian 2,500 kaki dengan disaksikan oleh ahli-ahli keluarganya. “Hebat,” kata Susie. “Memang hebat. Sungguh damai di atas sana. Saya benar-benar merasa seperti seekor burung.”

Mutakhir, Susie telah melakukan terjun payung dari pesawat. Beliau juga merancang untuk pergi berenang bersama ikan lumba-lumba dan menunggang keldai menuruni ngarai Grand Canyon.

“Apakah nasihat puan kepada mereka yang berduka?” tanya Maggie kepada beliau.

“Lupakan. Lupakan. Saya tidak ada masa untuk yang demikian. …Saya hargai kehidupan. Sungguh, saya hargainya. Saya sangat, sangat, sangat bertuah,” jawab Susie.

Bagi Susie, kematian adalah sebahagian dari kehidupan. Kata beliau, “Kematian tidak semestinya merupakan penghujung. Boleh jadi ia suatu permulaan. … Kematian hanyalah satu lagi lembaran hidup dalam kembara yang berbeda di tempat lain.”

Sesuatu iktibar mungkin boleh diambil dari perjalanan hidup Susie.

Beliau kini dalam facebook dengan menggunakan nama The Weadock Bucket List.

Friday, October 9, 2009

DUNIA HADAPI SATU LAGI KRISIS BESAR - OBAMA TERIMA HADIAH NOBEL

Jawatankuasa Nobel di Norway hari ini mengisytiharkan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan bagi tahun 2009. Pengistiharan tersebut telah mengejutkan berbagai pihak dengan alasan pencapaian Obama dalam usaha keamanan dunia belum lagi menonjol.

Pengumuman itu dibuat ketika Obama sedang menghadapi berbagai cabaran di negaranya sendiri. Di peringkat dalaman, beliau masih dalam usaha mendesak Kongres untuk meluluskan rang undang-undang bagi merombak sistem penjagaan kesihatan negara. Di peringkat dasar hubungan luar pula beliau sedang bergelut dengan sokongan yang merundum dari partinya (Democrat) sendiri berhubung peperangan di Afghanistan. White house sedang hangat dengan perdebatan samada menghantar lebih ramai tentera kenegara itu seperti yang diminta oleh pegawai pemerintah tentera Amerika di Afghanistan.

Bagi Abu Zuhri dari Hamas, adalah terlalu awal bagi Obama (yang baru 9 bulan menduduki kerusi presiden negara paling berkuasa di dunia itu) untuk menerima Hadiah Nobel tersebut. Selama ini memang telah banyak perancangan dan janji yang dibuat olehnya dalam usaha mencapai keamanan namun belum ada perancangan yang telah dilaksanan dan janji belum dikota. Begitu pula, dia belum lagi berbuat sesuatu yang ketara untuk memastikan keadilan terhadap masyarakat Islam – masyarakat yang menyambut kemenangannya dalam pertandingan merebut kerusi presiden Amerika Syarikat dengan gembira dan penuh harapan.

Menepis kritikan yang mendakwa Obama belum lagi membuktikan diri layak menerima hadiah itu, Pengerusi Nobel, Thorbjorn Jagland menjawab, “Persoalannya ialah siapakah pada tahun ini yang paling banyak melakukan perkara untuk keamaanan? Dan siapa dalam hal ini yang telah melakukan lebih daripada Barack Obama?”

Meneliti jawapan Jagland itu, jelaslah bahawa dunia sedang menghadapi satu lagi krisis yang amat besar -->Dunia sedang kekurangan tokoh keamanan! Tidak hairanlah jika di sana-sini berlaku pergolakan.

FENOMENA TAHUN 2012

Sebuah lagi filem dari pengarah Roland Emmerich (yang juga pengarah bagi dua buah filem terdahulu tentang kemusnahan sejagat, Independence Day dan The Day After Tomorrow) dijangka mula ditayangkan pada November tahun ini. Filem bertajuk “2012” itu menggambarkan senario hari kiamat yang dikatakan akan berlaku pada 21 Disember 2012.

Fenomena 2012 merupakan suatu tanggapan akan berlakunya peristiwa dahsyat pada tahun 2012. Ramalan itu pada asasnya berdasarkan kepada kalendar Tamaddun Maya yang berakhir pada 21 Disember 2012. Banyak spekulasi yang dikaitkan pada tarikh tersebut termasuklah interpretasi beberapa lagenda, tulisan kuno, perkiraan dan takwil, serta tidak ketinggalan dakwaan adanya campurtangan makhluk asing.

Pandangan tentang berlakunya kiamat pada tahun 2012 mula disebarkan oleh History Channel pada tahun 2006 menerusi dokumentari bertajuk “Decoding the Past: Mayan Doomsday Prophecy”. Ia mengambil ilham dari teori-teori yang pernah dikemukakan oleh John Major Jenkins, namun beliau sendiri menganggap bahawa dokumentari tersebut sebagai suatu “keghairahan hari kiamat yang melampau dan merupakan sensasionalisma kebudak-budakan yang terok”. Salah seorang daripada penulis skripnya merupakan penulis fiksyen sains. Oleh kerana rancangan tersebut mendapat sambutan yang hangat beberapa siri lain menggunakan tema yang serupa segera menyusul antaranya, 2012, End of Days (2006), The Last Days on Earth (2008), Seven Signs of the Apocalypse (2008) dan Nostradamus 2012 (2008).

Komuniti saintifik menolak idea tentang berlakunya peristiwa globalpada tahun 2012 yang berlandaskan interpretasi kalendar Tamadun Maya itu sebagai suatu sains palsu dan penyalahhtafsiran ke atas sejarah Tamadun Maya.

Saya pernah membaca sebuah teks Khutbah Jumaat dari buku “Penuntun Khutbah Komplit” susunan Mohd Abdai Rathomy, terbitan Ahmad Nabhan Surabaya dimana disebutkan bahawa hari kiamat akan berlaku pada hari Jumaat. Apabila saya memeriksa tarikh 21 Disember 2012 (menggunakan Excel), ternyata tarikh itu jatuh pada hari Jumaat! Kebetulan agaknya kerana biasa juga saya dengar dari sesi ceramah dan kuliah subuh yang hari kiamat hanya berlaku selepas munculnya Al-Masih.

WALLAHU ALAM.

Thursday, October 8, 2009

OBJEK BERAPI JATUH KE TELUK BONE, INDONESIA

“Bola api” yang jatuh ke Teluk Bone, Sulawesi SelataN, Indonesia pada pukul 11.23 pagi tadi waktu tempatan masih menjadi misteri. Menurut seorang saksi yang melihat kejadian itu, benda itu berbentuk memanjang dan menyala. Ia jatuh ke perairan Teluk Bone dan disusuli dengan 5 atau 6 letupan.

Sehingga ke saat penulisan pos ini, misteri objek tersebut belum terungkai.

AKSI BENDERA TIDAK MENGGAMBARKAN SIKAP MASYARAKAT INDONESIA

Ketika kita tengah sibuk mengumpul dana untuk membantu mangsa gempa bumi di Padang, segelintir rakan senegara mereka yang menamakan kumpulan mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) sedang mengumpul tenaga untuk menyerang Malaysia. Rancangan kumpulan itu untuk menghantar seramai 1500 orang ahlinya menyusup melalui Borneo dengan bambu runcing memang sukar untuk mencapai kejayaan namun kemungkinan kumpulan itu mengambil tindakan yang tidak rasional terhadap rakyat Malaysia yang berada di Indonesia tidak harus dipandang sepi.

Kumpulan haram (tidak berdaftar) ini pernah cuba untuk melakukan ‘sweeping’, iaitu mencari rakyat Malaysia di sekitar Jakarta, untuk dihantar pulang. Apa yang membimbangkan ialah jika ‘sweeping’ itu bertukar menjadi ‘bleeding’ sehingga memudharatkan rakyat negara ini yang berada di Indonesia. Kita mengharapkan kebenaran kenyataan jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasha yang menegaskan bahawa “aksi-aksi yang kumpulan itu lakukan sama sekali tidak menggambarkan sikap masyarakat Indonesia”.

Akhir-akhir ini terjadi beberapa insiden yang sedikit sebanyak telah mengeruhkan suasana dan menyinggung perasaan kalangan rakyat negara jiran itu. Antara yang mendapat liputan terbesar media tempatan ialah isu ‘tarian pendet’ dan beberapa kesenian tradisi yang lain. Namun, maklumat dari rakan-rakan ‘chat’ di negara itu menunjukkan bahawa isu itu merupakan perkara ‘remeh’ bagi mereka. Yang banyak menyinggung perasaan mereka ialah beberapa kes layanan buruk terhadap tenaga kerja dari negara itu (TKI). Rimbun (rakan ‘chat’) memberikan satu contoh yang mendakwa bahawa pihak berkuasa Malaysia telah melaksanakan undang-undang secara robotik ketika menghantar seorang ibu warga Indonesia yang baru dua hari lepas melahirkan ke pusat penampungan pendatang tanpa izin (PTI) hanya kerana permit kerja wanita itu sudah tamat.

Apapun adanya, kekeruhan antara rakyat dua negara berjiran dan serumpun ini hendaklah jangan terus diprovokasikan kerana konflik akan hanya merugikan kedua belah pihak. Demi kemanusiaan kita sokong kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri yang “Bantuan Kemanusiaan ke Padang tetap Diteruskan”.

Tuesday, October 6, 2009

BUMI BERGEGAR SETIAP 30 MINIT - DAH SEMAKIN HAMPIR?

"Kiamat tidak akan berlaku kecuali apabila ilmu telah diangkat, banyaknya berlaku gempa bumi, timbulnya huru-hara dan banyak pergaduhan iaitu pembunuhan"
- Sahih Bukhari.

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Gempa bumi berskala 7.7 Richter di selatan Sumatera, Indonesia pada pukul 6.16 petang tadi turut dirasai gegarannya di Semenanjung Malaysia sehinggakan ramai yang bergegas keluar dari bangunan, terutama bangunan tinggi.

- BERNAMA 30 September 2009.


Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) mencatat, jumlah korban yang meninggal dunia akibat gempa di Sumatra Barat pada Rabu petang hingga pukul 22.00 WIB sebanyak 75 orang.

"Itu data sementara karena pasti jumlahnya masih berkembang. Rinciannya juga belum ada, karena komunikasi masih terhambat," kata Sekretaris Utama BNPB Purnomo Sidik ketika dihubungi dari Jakarta, Rabu (30/9) malam.

Kerusakan bangunan dan infrastruktur, kata dia, juga dilaporkan di beberapa daerah, namun belum terinventarisir. Pemerintah, katanya, pada Kamis (1/10) akan memobilisasi bantuan untuk korban bencana.

- KOMPAS, JAKARTA: 30 September 2009

US Geological Survey pula mengesan sejumlah 336 gegaran di seluruh dunia pada 7 hari terakhir ini (29 September - 05 Oktober 2009) iaitu purata 48 gegaran sehari termasuk yang berlaku di Sumatera Selatan. Ini bermakna bumi bergegar setiap 30 minit.

Adaka peristiwa seperti dalam klip video ini akan berlaku tidak lama lagi?

Thursday, October 1, 2009

PROJEK PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN EKONOMI RAKYAT (PROPER)

Kunak 01 Oktober 2009. Pelancaran Projek Pembangunan Ekonomi Rakyat (PROPER) bagi kawasan pantai timur Sabah telah berlangsung pagi tadi di Dewan Sri Kunak, Kunak. Projek ini merupakan kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Parlimen Silam dan DUN Kunak.

Antara cadangan aktiviti PROPER ialah:

  1. Menerbitkan buku Glimpses of Silam (Silam Sepintas Lalu)
  2. Mengkaji sejarah dan pelancongan di kawasan Silam
  3. Menjalankan kajian dengan sekolah-sekolah terpilih di kawasan Silam
  4. Menjalankan kajian sosioekonomi di kawasan Silam, terutama Segama
  5. Mengadakan kempen alam sekitar bersama masyarakat Silam
  6. Membantu memperkaya maklumat dan mempromosi Hutan Simpan Madai
  7. Menggerakkan kajian pertanian dan perternakan, terutama di kawasan Kampong Cocos
  8. Menjalankan penyelidikan marin dan geologi di pulau sekitar Teluk Darvel
  9. Mengkaji potensi produk makanan sumber laut dan lain-lain sumber tempatan terutama di Daerah Kunak.
Ikuti sidang media yang berlangsung di akhir majlis pelancaran : klik disini