Monday, March 28, 2011

80 Unit Rumah PPRT (PBR) Bukan 40 Unit

Bilangan rumah di bawah skim Projek Bantuan Rumah (PBR) atau dahulunya dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi tahun 2010, untuk kawasan DUN Kunak yang disampaikan oleh ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang pada 26 Mac 2011 sebenarnya berjumlah 80 unit dan bukannya 40 unit. 

Datuk Nilwan menyampaikan replika kunci rumah PBR
kepada ketua isirumah penerima
Angka 40 yang dilaporkan oleh BERNAMA dan telah dipetik oleh beberapa media cetak, elektronik dan media alternatif, termasuk Berita Harian Online, sebenarnya adalah bilangan rumah PBR yang akan dibina di Daerah Kunak pada tahun 2011. Selain daripada pembinaan 40 unit rumah PBR baru bagi tahun ini, peruntukan untuk pembaikan 40 unit rumah golongan paling memerlukan juga telah disediakan dengan peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Replika kunci rumah untuk 80 unit rumah PBR yang dibina dalam tahun 2010 disampaikan oleh Datuk Nilwan kepada para ketua isirumah penerima di Dewan Masyarakat Kunak dalam satu majlis yang digabungkan bersama beberapa acara lain, termasuk Majlis Doa Kesyukuran. Turut disampaikan ialah bantuan keperluan rumahtangga kepada 81 penerima dan peralatan sekolah kepada 17 penerima, melalui peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"Backdrop" hiasan pentas dalam majlis doa kesyukuran
dan penyampaian beberapa kategori bantuan di Dewan Masyarakat Kunak
pada Sabtu 26 Mac 2011

Kemalangan Jalanraya Berhampiran Simpang Kampong Lormalong

Kami dalam perjalanan pulang selepas menghadiri upacara perasmian penutupan Kem Padu Anak Malaysia anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Tawau di kawasan Hutan Simpan Madai berhampiran Air Terjun Madai, yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang, ADUN N51 Kunak.

Saya dan tiga rakan lain menumpang kereta "R" (lihat ilustrasi di bawah) yang dipandu Encik Halid, Pemimpin Kemajuan Rakyat Kunak. Dihadapan kami ialah kereta (Q) yang dinaiki oleh Datuk Nilwan yang mengekori sebuah trak (P). Ketika menghampiri Simpang Kampung Dasar Lama, berlaku satu kemalangan di hadapan mata.

Sebuah kereta Avanza (A) berwarna putih dengan 6 orang penumpang termasuk pemandu, telah terbabas ketika cuba mengelak sebuah kereta Kancil (K) yang keluar dari simpang Kg Lormalong. Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3:50 petang, Ahad 27 Mac 2011. 

Untuk mengelak kereta yang keluar dari Simpang Kg Lormalong itu, pemandu Avanza mengambil jalan ke sebelah kanannya. Namun, dari arah bertentangan terdapat beberapa kenderaan yang didahului oleh sebuah trak ringan. Pemandu Avanza mengelak pula dari pertembungan dengan trak tersebut tetapi kereta itu terbabas dan naik ke tebing yang agak tinggi. Ia terus meluncur sejauh kira-kira sejauh 20 meter sebelum berpusing dan terbalik ke sisi.


Kamipun berhenti untuk memberikan bantuan. Hati terasa lega apabila kami melihat penumpang-penumpang  keluar satu-persatu dari kereta malang itu. Dari luaran, tidak ada penumpang yang cedera parah, tetapi tiga orang daripadanya kelihatan lemah. Datuk Nilwan menawarkan bantuan untuk membawa mereka ke Hospital Kunak. Tawaran itu diterima dan ketiga-tiga mereka di bawa ke hospital menggunakan kereta Encik Halid.

Ilustrasi menunjukkan bagaimana kemalangan pada petang 27 Mac 2011
berhampiran Simpang Kg Lormalong berlaku

Datuk Nilwan (memakai topi) menawarkan bantuan membawa mangsa (baju hitam)
ke hospital.
Bumper hadapan terpisah dan tertinggal jauh sebelum kereta itu terbalik
Lokasi kejadian

Friday, March 25, 2011

Benarkah Pemberontakan Libya Dapat Dukungan Majoriti Rakyat?

Seminggu sudah berlalu sejak campurtangan "tentera gabungan" di Libya bermula pada Sabtu 19 Mac, namun tidak ada perkara positif yang diperoleh rakyat Libya, sebaliknya hanya kemusnahan aset negara mereka. Tidak cukup dengan kemusnahan yang telah dilakukan, kekuatan serangan dirancang untuk dipertingkatkan pula dengan penglibatan NATO. Pertahanan Gadhafi telahpun lumpuh, apa perlunya NATO yang melibatkan kuasa ketenteraan 28 buah negara campurtangan lagi?

Pertahanan Gadhafi sudah lumpuh tetapi tidak ada kemajuan yang dicapai oleh pihak pemberontak, sedangkan sebelum adanya campurtangan dalam pergolakan itu kekuatan kedua belah pihak agak seimbang. Kadangkala pemberontak mara ke kawasan Gadhafi dan pada masa yang lain pasukan Gadhafi berjaya menawan kawasan yang dikuasai pemberontak.

Pemberontak Libya: Benarkah mereka mendapat sokongan majoriti
rakyat Libya atau benarkah dakwaan Gadhafi bahawa pemberontakan
itu didalangi pihak luar?
Di peringkat awal pergolakan media melaporkan bahawa kebanyakan pasukan Gadhafi adalah terdiri dari tentera upahan kerana majoriti rakyat Libya termasuk dari kalangan tentera telah berpaling tadah dan menyertai pemberontakan. Jika itu kebenarannya, maka dalam keadaan pertahanan Gadhafi yang sudah lumpuh, tentunya pihak pemberontak dapat mara untuk menawan Tripoli, namun itu tidak berlaku.

Apa sebenarnya yang telah terjadi? Mungkinkah AS, UK dan Perancis, selaku pasukan terkuat dalam gabungan itu sengaja merancang keadaan di Libya sehingga pemberontak tidak dapat terus mara dan mengakhiri "perang saudara" itu dengan lebih cepat? Harus diingat bahawa minyak mentah yang terdapat di Libya adalah yang paling baik untuk kegunaan bahanapi untuk pesawat jet, dan ketiga-tiga negara tersebut pula adalah peneraju industri enjin jet. 

Dengan berpanjangannya pergolakan di Libya, peluang ketiga-tiga negara tersebut lebih cerah untuk memperkuat pengaruh, strategi dan kepentingan di negara itu selepas tamatnya pemberontakan. Cadangan untuk NATO mengambilalih teraju campurtangan adalah kerana ketiga-tiga negara itu merupakan anggota utama dalam kesatuan ketenteraan tersebut. Dalam masa yang sama, pengambilalihan oleh NATO bermakna pengunduran Qatar dan UAE dari memainkan peranan.

Kuasa-kuasa Barat itu yang kini sangat ghairah untuk memusnahkan Gadhafi perlu membuktikan bahawa tindakan mereka seterusnya adalah benar-benar atas sebab kemanusiaan dan bukannya sebagai "fixed deposit" dan "bayaran pendahuluan" untuk campurtangan dalam jangkamasa yang lebih panjang di Libya dan rantau Timur Tengah.

Rakyat Libya Perlu Memainkan Peranan Lebih Besar
Dengan adanya perlindungan yang disediakan oleh komuniti antarabangsa yang merangkumi ketenteraan dan bantuan kemanusiaan, maka rakyta Libya, khususnya para pemimpin revolusi hendaklah segera menggembeling kekuatan untuk tindakan besar-besaran di setiap bandaraya dan pekan, baik di barat mahupun di timur negara itu, untuk membuat perhitungan dengan pasukan Gadhafi.

Pihak pemberontak tidak sepatutnya menyerahkan terlalu banyak peranan kepada campurtangan luar bagi menjayakan revolusi mereka. Malah jika pemimpin revolusi Libya bertindak lebih pro-aktif dan tidak bergantung kepada negara luar, mereke boleh memanfaatkan "pengiktirafan" dan sokongan antarabangsa atas perjuangan mereka, untuk bekerjasama lebih erat dengan negara-negara jiran, membuktikan kekuatan politik dan sokongan rakyat, mereka boleh meruntuhkan rejim Gadhafi dari dalam.

Oleh kerana Bangsa-Bangsa bersatu sudah memberi mandat bagi penggunaan kuasa tentera keatas Libya, maka seboleh-bolehnya penggunaannya adalah seminima dan sejitu mungkin. Serangan hendaklah benar-benar selektif, iaitu hanya pada sasaran yang benar-benar perlu dan tidak menyebabkan korban di kalangan orang awam.

Pemerintahan rejim yang kini sudah amat lemah boleh ditamatkan oleh rakyat Libya sendiri dengan penggembelingan bersepadu kekuatan mereka tanpa perlu lebih banyak kemusnahan akibat campurtangan kuasa luar. Peperangan yang berpanjangan mungkin menguntungkan pihak tertentu tetapi bagi rakyat Libya, hanya kemusnahan dan kerugian semata-mata.

Wednesday, March 23, 2011

Keputusan SPM Terbaik Dalam 4 Tahun, UPSR dan PMR Wajar Diteruskan

Dengan jumlah 9,239 mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diduduki, keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bagi tahun 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh 4 tahun terakhir ini.

Cukup menarik apabila pencapaian pelajar luarbandar dalam matapelajaran sains lebih baik berbanding dengan pencapaian pelajar dari bandar.


Sudah pasti pelajar yang mendapat keputusan cemerlang akan merasa gembira dengan pencapaian tetapi yang lebih gembira ialah ibubapa mereka. Saya yakin dengan kenyataan ini, kerana saya pernah melaluinya sebagai pelajar dan kini mengalaminya sebagai bapa. Sebesar mana debar pelajar menanti pengumuman keputusan peperiksaan, besar lagi degupan jantung ibubapa.

Meskipun kerajaan menyediakan sekolah tanpa kutipan yuran, namun bagi kebanyakan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, pembelajaran anak-anak tetap merupakan bahagian perbelanjaan isirumah paling besar, sekaligus pelaburan paling besar.

Pada hakikatnya, kebanyakan ibubapa tidak menunggu apa-apa balasan material daripada anak-anak yang berjaya dalam pelajaran seterusnya dalam kehidupan. Sebaliknya, melihat anak-anak berjaya dalam hidup sudah cukup sebagai balasan atas segala pengorbanan yang dicurahkan. Justeru, keputusan peperiksaan anak-anak menjadi sebahagian daripada ganjaran kepada penat lelah dan pelaburan itu, tidak kiralah apa jua hasil keputusan peperiksaan itu.

Ibubapa yang pada umumnya mengambil berat akan perkembangan anak-anak memang tahu serba sedikit sejauhmana kebolehan akademik setiap seorang daripada anak-anak mereka. Maka tidak timbullah soal kekecewaan apabila anak-anak tidak mencapai keputusan yang cemerlang. Namun apabila seorang anak itu memperoleh sesuatu keputusan lebih baik daripada yang dijangkakan, maka ia menjadi suatu hadiah yang amat istimewa bagi ibubapa. Sebaliknya, jika keputusan itu tidak sebaik yang diharapkan, maka ibubapa akan menilai semula dimana kekurangan diri dalam membantu anak-anak.

Justeru itu, "peperiksaan besar" adalah amat bermakna bagi ibubapa, tidak kiralah samada ia UPSR, PMR, SPM, STPM atau peperiksaan akhir semester di pusat pengajian tinggi. Oleh yang demikian ura-ura untuk menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR, seperti yang pernah disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 18 Jun 2010, hendaklah jangan diteruskan buat masa ini.

Antara faktor yang menyebabkan timbulnya cadangan untuk memansuhkan UPSR dan PMR ialah kerana ia dikatakan menyebabkan sistem pendidikan negara terlalu berorientasikan peperiksaan (exam-oriented). Ia dikatakan memberi tekanan kepada pelajar sehingga mereka belajar dengan "membabi buta" semata-mata untuk lulus peperiksaan, tanpa memahami kaitan matapelajaran itu dengan kegunaannya di masa akan datang.

Cadangan untuk memansuhkan UPSR dan PMR juga atas alasan peperiksaan itu menyebabkan kurangnya masa bagi pelajar dan perhatian bagi guru untuk bidang kokurikulum dan sukan.

Kita harus sedar bahawa setiap pelajar mempunyai kelebihan serta kekurangan dalam bidang tertentu. Tidak semua pelajar mampu cemerlang dalam bidang akademik, pun tidak juga semua boleh menjadi atlit yang ternama, tidak pula semua mempunyai bakat tersohor dalam aktiviti organisasi.

Jika UPSR dan PMR dimansuhkan, maka pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik terpaksa menunggu 11 tahun untuk memberikan "hadiah" kepada ibubapa mereka. Jarang didapati pelajar yang cemerlang dalam akademik cemerlang pula dalam sukan. Malah, kebanyakan daripada mereka adalah dalam golongan "kaki bangku", maka tanpa UPSR dan PMR pelajar itu berada dalam keadaan "terpinggir", tidak popular di kalangan rakan sebaya dan tidak pula dipandang serius oleh masyarakat. Keadaan itu dikhuatiri akan menimbulkan kesan psikologi yang negatif kepada pelajar-pelajar sedemikian.

Ruang bagi pelajar yang berbakat dalam bidang sukan dan kokurikulum buat masa ini, jika tidak pun berlebihan, sekurang-kurangnya sudah mencukupi. Mereka dapat menonjolkan diri dan kebolehan beberapa kali dalam setahun, iaitu sukan tahunan sekolah, sukan peringkat daerah, peringkat zon, peringkat bahagian, peringkat negeri, peringkat kebangsaan, seterusnya ke peringkat antarabangsa. Begitu pula yang punya bakat dalam bidang kokurikulum, setiap tahun ada hari kokurikulum sekolah, perhimpunan peringkat daerah, zon, bahagian, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Oleh itu, ibubapa kepada pelajar-pelajar yang berbakat dalam sukan dan kokurikulum dapat berbangga beberapa kali dalam setahun dengan pencapaian anak-anak mereka.

Ruang harus pula diberikan secukupnya kepada pelajar-pelajar yang kurang berbakat dalam bidang sukan dan kurikulum untuk menonjolkan diri dalam bidang yang lebih sesuai dengan kebolehan mereka, iaitu akademik, agar ibubapa mereka berpeluang pula merasa berbangga akan anak-anak mereka. Oleh itu, wajarlah UPSR dan PMR sikekalkan dalam sistem pendidikan negara kita.

Monday, March 21, 2011

Apa Motif Sebenar Serangan Tentera Gabungan Keatas Libya?

Pemberontakan di Libya sudah masuk ke minggu keempat. Semangat kental dan ketabahan rakyat Libya yang berjuang untuk menggulingkan Gadhafi terus berhadapan dengan pelbagai kekejaman rejim dari polisi "tembak sampai mati" hingga kepada penggunaan senjata berat ke atas orang awam yang tidak bersenjata.

Hari ini sudah masuk hari ketiga campurtangan oleh Pasukan Gabungan yang dianggotai  9 buah negara iaitu, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Kanada, Itali, Sepanyol, Belgium, Belanda dan Qatar. Bermula dengan pelancaran Tomahawk dari Laut Mediterranean pada Sabtu diikuti serangan menggunakan pesawat udara dan pengguguran bom menggunakan pesawat B2. 

Bangunan di laman kemah Ghadafi musnah terkena bedilan.
Benarkah tiada kemalangan jiwa di kalangan orang awam?

Serangan tiga hari yang diberi nama Operation Odyssey Dawn (OOD) itu dilaporkan telah berjaya melumpuhkan sistem pertahanan udara Libya, malah telah memusnahkan bangunan di laman kemah Gadhafi, iaitu sebuah bangunan tiga tingkat yang menjadi simbol pertahanan pemimpin Libya itu.


Alasan utama Pasukan Gabungan untuk campurtangan dalam pergolakan itu ialah "untuk melindungi orang awam" daripada serangan oleh pasukan yang setia kepada Gadhafi.

Media barat sememangnya melaporkan bahawa dalam serangan tiga hari itu tiada kemalangan jiwa dari kalangan orang awam berlaku. Benarkah?

Sedangkan peluru dari senjata dalam tangan manusia (senapang, pistol dan sebagainya) adalah "tidak bermata" dan boleh tersasar kepada orang awam, apatah lagi roket yang dilancarkan dari kawasan ratusan kilometer jauhnya dan bom yang digugurkan dari ribuan kaki di angkasa. Dengan yang demikian alasan dan matlamat untuk melindungi orang awam menjadi sebaliknya, iaitu mencederakan dan melindungi orang awam.

Jika benar, matlamat utama Pasukan Gabungan adalah untuk melindungi orang awam di Libya, maka tindakan membuat serangan pantas dan besar-besaran seperti yang berlaku dalam tempoh tiga hari lepas adalah gopoh. Ruang masa yang diberikan kepada orang awam untuk mengungsi jauh daripada kawasan-kawasan yang menjadi sasaran serangan tidak mencukupi.

Kenyataan dapat kita lihat bahawa negara-negara yang terlibat dalam OOD telahpun memastikan rakyat mereka yang berada di Libya, ketika tercetusnya pergolakan pada 17 Mac 2011, telahpun dibawa keluar dari negara itu dan berada dalam keadaan selamat. Namun, tawaran evakuasi yang serupa tidak diberikan kepada orang awam dari kalangan rakyat Libya atau pekerja dari kalangan rakyat negara-negara Afrika. 

Kenyataan bahawa  kuasa-kuasa luar enggan melakukan tindakan tegas selagi masih ada rakyat mereka di bumi Libya menunjukkan bahawa mereka memang sedia maklum bahawa dengan mengambil tindakan tegas ke atas rejim akan mengakibatkan korban dari kalangan orang awam, samada akibat langsung daripada serangan yang dilakukan ataupun secara tidak langsung melalui tindakan balas dari pihak rejim ke atas orang awam yang dianggap ada kaitan dengan pihak yang campurtangan.

Andai keikhlasan ada dalam mencanang bahawa keutamaan adalah untuk melindungi orang awam dari kalangan rakyat Libya, tentunya mereka telah ditawarkan jalan keluar dari negara itu. Sebaliknya, apabila kesemua warganegara dari negara-negara Barat sudah berada jauh dari kawasan bahaya, tindakan kekerasan segera diambil tanpa didahului dengan sebarang usaha untuk melindungi atau mengeluarkan orang awam yang masih tertinggal di Tripoli dan sekitarnya.

Sejarah jelas membuktikan bahawa campurtangan pihak luar dalam penggulingan dan penukaran sesuatu rejim adalah berdasarkan pelbagai motif, meskipun alasan yang dikemukakan adalah atas dasar kemanusiaan. Selalunya campurtangan sedemikian memberi keuntungan kepada pihak-pihak yang mengambil bahagian dalam campurtangan itu, samada keuntungan dalam bentuk kepentingan strategik mahupun kepentingan ekonomi, dan sebaliknya, mengakibatkan porak peranda kepada penduduk tempatan.

Sesuatu yang menjadi tandatanya ialah perbezaan pendekatan yang diambil oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan pihak Barat bagi pergolakan di Libya berbanding pergolakan di Tunisia dan Mesir. 

Resolusi 1970 yang diluluskan UNSC pada 26 Februari 2011, yang antara lain akan membawa rejim Gadhafi ke muka pengadilan di Mahkamah Jenayah Antrabangsa (ICC), menambah buruk keadaan. Tindakan itu membuat Gadhafi berfikir bahawa diri dan keluarganya sudah tidak ada jalan selamat untuk keluar dari pergolakan itu, lalu nekad untuk berjuang dengan apa jua cara untuk mempertahankan diri dan keluarganya. 

Sepatutnya keutamaan diberikan untuk perundingan strategi bagi memberi laluan yang selamat untuk pengunduran Gadhafi dan keluarganya, sebagaimana laluan telah diberikan kepada Ben Ali dan Hosni Mubarak. Kaedah ini terbukti berjaya menamatkan pergolakan di Tunisia dan Mesir dengan lebih cepat dan mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah. 

Kenapa laluan selamat diberikan kepada Ben Ali dan Mubarak tetapi tidak kepada Muammar Gadhafi? Apa motif sebenar serangan "tentera gabungan" ke atas Libya?

Resolusi 1973 yang diluluskan UNSC pada 17 Mac 2011 menuntut agar gencatan senjata segera diwujudkan di Libya dan mengentikan serangan ke atas orang awam, namun resolusi itu tidak menegaskan yang kedua belah pihak mesti mematuhi gencatan senjata itu. Pihak pemberontak terus melakukan serangan dan pasukan yang setia kepada Gadhafi membalas serangan. Gadhafi dipersalahkan, tetapi pemberontak tidak.

Kenapa bila pemberontak bersenjata bergerak ke barat Libya untuk menawan Tripoli tidak didakwa melanggar penguatkuasaan gencatan senjata? Kenapa bila pasukan yang setia kepada Gadhafi bertindak menghalang kemaraan pemberontak itu dipersalahkan sebagai melanggar gencatan senjata? 

Adakah Resolusi 1973 memang sengaja dibuat untuk mewujudkan alasan agar kuasa asing campurtangan di bumi Libya?

Apa motif sebenar serangan "tentera gabungan" ke atas 
Libya?

Dalam video berikut Michel Chossudovsky, pengarah Pusat Penyelidikan Globalisasi (CRG), memberitahu bahawa negara-negara Barat sebenarnya hanya memikirkan tentang minyak dan lain-lain sumber yang terdapat di Libya, bukan untuk melindungi rakyat negara itu. Oleh sebab itulah, mereka lebih beria-ia untuk campurtangan di Libya berbanding di negara-negara Arab bergolak yang lain.


Sunday, March 20, 2011

Pesawat B2 Mengebom Libya

Pesawat perang AS dan British melakukan serangan ke atas sasaran-sasaran tertentu di Libya, sebagai susulan kepada 112 roket Tomahawk yang dilepaskan dari beberapa buah kapal di Laut Mediterranean, melumpuhkan pertahanan udara wilayah barat Libya.

Empat buah pesawat pengebom B2, masing-masing telah menggugurkan 16 butir bom ke atas beberapa pengkalan udara dan pesawat terbang Libya, unit-unit pertahanan udara bergerak dan pasukan darat yang setia kepada Muammar Gadhafi.


Serangan itu adalah awal daripada operasi "Operation Odyssey Dawn" yang menurut Pentagon bertujuan untuk menghalang Gadhafi dari terus melakukan serangan ketenteraan ke atas rakyanya sendiri, dan juga mewujudkan zon larangan terbang sebagaimana yang dikehendaki oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Stesen televisyen Libya melaporkan bahawa 48 orang telah terkorban dan lebih 150 lagi cedera dalam serangan roket pada Sabtu 19 Mac itu. 

Gadhafi bagaimanapun enggan mengalah dan berikrar akan meneruskan serangan ke atas bandar Benghazi yang dikuasai pemberontak dan berjanji akan menangkis serangan pasukan antarabangsa yang didakwanya sebagai "pencerobohan tentera-salib kolonial".

Rampasan Kuasa
Gadhafi mula memerintah Libya sejak 42 tahun lalu selepas mengetuai kudeta (rampasan kuasa) ke atas Raja Libya, Sayyid Muhammad Idris Bin Muhammad al-Mahdi al-Senussi pada 1 September 1969. Waktu itu Raja Idris sedang berada di Turki untuk rawatan perubatan. Raja Idris meninggalkan Turki dengan menaiki kapal ke Greece, dan seterusnya hidup dalam buangan di Mesir. Beliau meninggal di Kaherah pada tahun 1983 dalam usia 94 tahun dan jenazahnya dikebumikan di tanah perkburan yang amat masyhur iaitu Jannat al-Baqi di Medina.

Meskipun Raja Idris meninggal dunia ketika dalam buangan dan kebanyakan rakyat Libya dilahirkan selepas pemerintahan beliau, ramai penunjuk perasaan menentang Gadhafi dalam pergolaskan yang berlaku ketika ini telah menggunakan bendera tiga warna yang dipakai ketika pemerintahan Raja Idris serta membawa potret raja tersebut.

Pemberontakan 2011
Penentangan terhadap pemerintahan Gadhafi bermula secara terbuka pada 17 Februari 2011. Perjuangan pemberontak cepat mendapat sokongan ramai dari kalangan rakyat Libya dan mereka mula menguasai bahagian timur negara itu, termasuk Benghazi, bandaraya kedua terbesar di Libya.

Gadhafi bertahan di Tripoli dan pemberontak yang terus melebarkan penguasaan mula bergerak menuju Tripoli untuk memaksa Gadhafi melepaskan kekuasaan ke atas Libya. Enggan berundur, Gadhafi mengarahkan pasukan yang setia kepadanya untuk melakukan serangan ketenteraan ke atas pemberontak termasuk penggunaan pesawat perang. Tindakan Gadhafi itu menyebabkan ramai pegawai tinggi kerajaan dan diplomat Libya letak jawatan dan menyertai pemberontakan.

Oleh kerana juruterbang dari kalangan rakyat Libya, enggan untuk melakukan serangan ke atas sesama rakyat Libya, maka Gadhafi dikatakan telah menggunakan khidmat juruterbang upahan berbangsa Serb. Tentera upahan dari Ghana turut digunakan.

Berikutan serangan udara oleh pesawat perang Libya ke atas rakyatnya sendiri maka pada pada Khamis lepas, 17 Mac 2011, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu mengisytiharkan zon larangan terbang di ruang udara Libya sebagai sebahagian daripada siri langkah-langkah untuk melindungi orang awam di Libya.

Pengisytiharan itu tidak diindahkan oleh Gadhafi. Pada hari berikutnya, 18 Mac 2011, presiden AS, Barack Obama memberi amaran kepada Gadhafi untuk menghentikan keganasan ke atas rakyatnya sendiri atau akan menghadapi serangan ketenteraan dari komuniti antarabangsa. 

Keengganan Gadhafi untuk menghentikan serangan menyebabkan serangan roket Tomahawk dilancarkan pada 19 Mac 2011 diikuti pengeboman oleh pesawat B2 hari ini.


Kesan Radiasi Malapetaka Nuklear Jepun Telah Sampai Ke California, AS

Radiasi yang berpunca dari malapetaka nuklear Jepun telah dikesan di California, Amerika Syarikat, pada pagi 19 Mac 2011. Demikian menurut laporan dalam "Good Morning America" yang disiarkan oleh ABC News.

"Stop frame" dari rekaman rancacangan "Good Morning America" terbitan ABC News
melaporkan pengesanan radiasi di pantai barat Amerika Syarikat
Meskipun amaun radiasi yang sampai ke pantai barat AS itu amat kecil, ia memberi petunjuk bahawa kesan radiasi itu boleh merebak jauh dari tempat kejadian malapetaka nuklear. Jarak antara Sendai, Jepun (tempat kejadian) dengan pantai California ialah lebihkurang 8600 kilometer. Bagaimana pula dengan kita di Malaysia yang berada lebih dekat? Jarak antara Sendai dengan Kota Kinabalu cuma lebihkurang 4400 kilometer.

Jika kesan radiasi dari Sendai boleh sampai ke Los Angeles bagaimana pula
keadaan di Sabah yang berada lebih dekat dari tempat kejadian?
Menurut laporan BERNAMA yang dipetik oleh Berita Halian Online berhubung dengan perkara ini, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang mengenai pencemaran radiaktif di negara ini berikutan letupan loji tenaga nuklear di Fukushima itu kerana kerajaan melakukan pemantauan dengan ketat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili berkata pemantauan itu dilakukan membabitkan alam sekitar, kemasukan pelancong dari luar negara dan kemasukan barang makanan dari luar negara dan kemasukan barangan makanan dari lapangan terbang dan pelabuhan terutama dari Jepun.

"Tiada keraguan perlu ditimbulkan kerana tiada sebarang pencemaran radioaktif dikesan di negara kita sehingga hari ini dan jangan percaya kepada khabar-khabar angin yang tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penanaman Tukun Tiruan Mesra Alam di sini (Sandakan) hari ini (20 Mac 2011).

Beliau berkata Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di enam lokasi seluruh negara masih menunjukkan paras normal dan saringan yang dilakukan di pelabuhan membabitkan makanan dan kontena belum ada pencemaran bahan radioaktif dikesan. 

Katanya sejak tiga hari lalu Kementerian Kesihatan sudah mengambil sampel-sampel makanan yang diimport dan keputusan sampel itu semuanya negatif. 

"Rakyat diminta merujuk dan mengambil perhatian mengenai perkembangan pencemaran radioaktif di negara ini oleh kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan saya adalah jurucakap mereka," katanya.

Menurutnya Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Kementerian Kesihatan akan memantau secara aktif keadaan insiden nuklear di Jepun dan impaknya di negara ini.

Saturday, March 19, 2011

ADUN Kunak Beri Keutamaan Kepada Keselesaan Perumahan dan Peningkatan Ekonomi Rakyat

"Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa" - begitulah peribahasa Melayu yang menuntut generasinya agar tahu mengenang budi dan menghargai jasa orang yang telah berbuat kebaikan. Mungkin itu masih menjadi pegangan ramai penduduk Kunak, sehingga apabila mendapat khabar yang Datuk Nilwan akan kembali ke Kunak pada 15 Mac 2011, mereka berpakat mengadakan sambutan ketibaan beliau yang di luar dugaan.

Datuk Nilwan telah tidak menginjakkan kaki ke Daerah Kunak sejak awal Januari tahun ini kerana menjalani pembedahan dan rawatan susulan di IJN Kuala Lumpur.

Mengikut jadual penerbangan, Datuk Nilwan dijangka tiba di Lapangan Terbang Tawau (LTT) pada pukul 2:00 petang, maka seawal pukul 1:00 petang, puluhan orang Kunak sudah di LTT. Sementara itu, ratusan penduduk pula menunggu di kawasan berhampiran Bulatan Simpang Empat Kunak (BS4).

Hujan mulai turun, dan di LTT, kami diberitahu bahawa penerbangan yang kami tunggu telah ditunda ke pukul 3:00 petang dan dijangka tiba pada pukul 4:00 petang. Kami menelefon seorang daripada Pengerusi JKKK yang berada di BS4 agar menuju ke Mesjid Daerah Kunak dan menunggu di sana.

"Tidak apa, biarlah hujan biarlah lambat, tapi kami akan tetap menunggu di sini sampai Datuk tiba", jawab PJKK itu. 

Seperti yang kami telah diberitahu, Datuk Nilwan tiba di LTT sekitar pukul 4:00 petang dan amat terharu dengan kehadiran orang Kunak yang begitu ramai. Sejurus kemudian beberapa orang wartawan telah menemuramah beliau, bertanyakan tentang perancangan beliau seterusnya untuk Daerah Kunak.

Rupa-rupanya, dalam keadaan baru pulih dari pembedahan, Datuk Nilwan tetap memikirkan akan kesejahteraan rakyat yang diwakilinya.

"Kita beri keutamaan untuk mereka (penduduk di Daerah Kunak) memperoleh kediaman yang selesa. Apabila mereka sudah ada tempat yang selesa, maka kita akan mencari kaedah bagaimana membantu mereka meningkatkan pendapatan", jelas Datuk Nilwan.

Sememangnya, sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat, Datuk Nilwan tahu dan telah melihat sendiri bahawa masih ramai penduduk Kunak yang keadaan rumah mereka sangat daif. Masih banyak dengan bumbung bocor, masih banyak dengan dinding rabak dan masih banyak dengan lantai reput.
Dia tahu dan telah melihat malah mengalami keadaan mereka
Tentang majlis doa kesyukuran yang diadakan, tidak perlulah diceritakan dengan panjang lebar. Memadai dikatakan bahawa semenjak ketibaan Datuk Nilwan ke Kunak, setiap hari ada sahaja komuniti yang mengadakan majlis seumpama itu.

Untuk masa di antara menghadiri majlis-majlis doa kesyukuran itu, Datuk Nilwan menerima kunjungan penduduk di rumahnya, mendengar permasaalahan dan mengarahkan pegawai-pegawai yang berkenaan untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang diadukan.

Sementara itu, kakitangan Pejabat Perhubungan ADUN dan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Kunak pula diarahkan membuat perancangan menaiktaraf kehidupan penduduk Kunak. Antara yang diberi keutamaan ialah, kebajikan penduduk miskin, bantuan kecemasan, bantuan modal kepada pengusaha kecil dan yang baru mahu memulakan usaha kecil-kecilan, pembaikan rumah, pembaikan jalan kampung, jembatan, perparitan, bekalan air, letrik, pembaikan mesjid dan surau serta rumah-rumah ibadah yang lain, peralatan pembelajaran, peralatan kesihatan dan sebagainya. 

Dalam tempoh tiga hari selepas ketibaan Datuk Nilwan di Kunak, perancangan itu telah diatur dan telah dikemukakan kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah untuk mendapatkan dana, dan seterusnya pelaksanaan program.

Penduduk Kunak bolehlah menghubungi pengerusi JKKK di kampung masing-masing untuk mengemukakan permohonan-permohonan keperluan bagi membaiki rumah dan kemudahan asas. Namun begitu, kita hendaklah bertindak atau membuat permohonan yang sewajarnya. Sebagai contoh, janganlah hendaknya, yang mampu membaiki rumah sendiripun mahu juga memohon bantuan membaiki rumah. 

Kita harus sedar bahawa dana kerajaanpun terhad juga. Apabila yang mampu mendapat bantuan kerana berjaya mengemukakan "permohonan bohong" maka tentu ada insan yang lebih memerlukan akan tercicir dari bantuan yang wajar diterimanya. Tidakkah yang demikian itu suatu penganiayaan?

Tuesday, March 15, 2011

Ada Selebriti Mempersenda Musibah Yang Menimpa Jepun

Tidak semua dalam dunia ini boleh dijadikan bahan jenaka. Namun, itu bukan merupakan pegangan Gilbert Gottfried, seorang pelakon komedi, yang telah mempersenda malapetaka yang menimpa rakyat Jepun baru-baru ini.
Laman "twitter" Gilbert Gottfried

Pelakon tersebut yang biasa kita dengar suaranya melalui karakter burung kakaktua dalam siri katun Aladdin oleh Disney, telah menulis dalam laman twitter pada Ahad 13 Mac 2011, beberapa unsur yang dianggapnya sebagai jenaka berlandaskan kejadian malang di Jepun baru-baru ini. Antaranya seperti berikut:


"Japan is really advanced. They don't go to the beach. The beach comes to them."
(Negara Jepun benar-benar maju. Orang Jepun tidak pergi ke pantai. Pantai yang datang kepada mereka.)

"I just split up with my girlfriend, but like the Japanese say, "They'll be another
one floating by any minute now."
(Saya baru sahaja berpisah dengan teman wanita saya, tapi seperti kata orang Jepun,
bila-bila masa sahaja ada lagi yang akan datang terapung.)

TMZ.com, sebuah laman web yang memuatkan berita dan gossip tentang selebriti telah membuka ruang "undi" samada 'jenaka-jenaka' oleh Gilbert itu telah membuat pembacanya ketawa atau tidak. Ketika saya memberikan undian, keputusan menunjukkan sebanyak 191,491 responden telah memberi undian dimana 73 peratus menjawab TIDAK dan 27 peratus menjawab YA.

Gottfried yang mendapat banyak kritikan atas tindakannya itu telah memadam 12 'jenaka' berkaitan tsunami di Jepun yang telah ditulisnya.

Kerana jenaka itu juga, Aflac, sebuah syarikat insuran di Amerika Syarikat telah menggugurkan dan menamatkan penggunaan suara Gottfried yang digunakan untuk karakter seekor itek dari iklan syarikat tersebut seperti dalam klip video di bawah ini.


Di negara kita, pada hari yang sama, Kumpulan Berita Harian telah memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan karikatur oleh Zoy dalam Berita Minggu, yang menggambarkan "Ultraman lari lintangpukang dikejar tsunami".

Sunday, March 13, 2011

Malapetaka Nuklear Fukushima: Bagaimana Ia Terjadi

Seorang jurucakap kerajaan Jepun hari ini, Ahad 13 Mac 2011, mengakui "kemungkinan besar" akan berlaku keleburan nuklear (nuclear meltdown) di salah satu daripada beberapa reaktor nuklear yang mengalami kerosakan ketika berlakunya gempabumi pada Jumaat lepas. Menurut Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano, beberapa langkah telah diambil hari ini untuk mencegah keleburan di unit 3 loji Fukushima Daiichi, termasuklah membebaskan udara radioaktif serta memasukkan air penyejuk ke reaktor berkenaan.

Walau bagaimanapun, Edano mengakui kemungkinan besar telah berlaku keleburan separa pada unit tersebut.

"Oleh kerana ia berlaku dalam reaktor, kami tidak dapat memeriksanya secara langsung, namun langkah-langkah ini dilakukan berdasarkan kemungkinan telah berlaku keleburan separa", jelas Edano kepada pemberita Associated Press (AP).

Sebelum ini, kerajaan Jepun menafikan sebarang kemungkinan berlakunya keleburan.

Menurut laporan AP, hari ini, Edano memberitahu bahawa buat seketika, tahap radiasi di sekitar reaktor tersebut berada pada paras melebihi yang dibolehkan, namun telahpun berkurangan.

Prinsip asas reaktor nuklear
Rajah di atas menunjukkan prinsip asas sebuah reaktor nuklear dimana tindakbalas berantai pemecahan (fission) atau pembahagian nuklear berlaku dalam keadaan terkawal. Tindakbalas itu menghasilkan tenaga nuklear . Nukleus bahan bakar yang merupakan elemen-elemen mudah pecah, misalnya uranium-235 akan dipecahkan lalu membebaskan neutron dan menghasilkan tenaga nuklear. Neutron-neutron yang dibebaskan itu akan melanggar nukleus lain untuk seterusnya membebaskan lebih banyak neutron dan tenaga. Begitulah seterusnya sehingga berlaku tindakbalas berantai yang berterusan.

Untuk mengawal tindakbalas agar tidak menjadi terlalu besar, sebahagian neutron yang dibebaskan diserap menggunakan rod kawalan yang mengandungi elemen-elemen penyerap neutron seperti perak, cadmium dan indium. Rod kawalan, rod bahan bakar dan moderator dikenali sebagai teras (core).

Tindakbalas yang berlaku turut membebaskan tenaga haba. Untuk mengelakkan reaktor daripada menjadi terlalu panas, sistem penyejuk atau pendingin (misalnya air) mengalirkan haba keluar dari reaktor. 

Gempabumi pada 11 Mac telah menyebabkan putusnya bekalan elektrik ke loji nuklear Fukushima dan merosakkan sistem janakuasa sokongan loji tersebut. Dengan itu para pengendali tidak dapat mengepam air yang mencukupi ke sistem penyejuk reaktor. Wap dan gas terkumpul padat dalam bangunan loji menyebabkan berlakunya letupan pada 12 Mac.

Dinding penebat (penghalang) radiasi pada reaktor tersebut masih lagi bertahan. Namun bahaya kemungkinan ianya berlaku belum lagi berlalu. Jika reaktor itu menjadi terlalu panas, pada tahap tertentu dinding penebat tersebut boleh lebur, teras akan bocor keluar lalu membebaskan radiasi ke udara. Hembusan angin boleh membawa partikel-partikel radiasi tersebut sehingga 50 km ke sekeliling reaktor yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan jangkapanjang.

Pihak berkuasa Jepun kini mengepam air laut ke dalam teras reaktor berkenaan untuk menyejukkannya. Menurut pakar, tindakan seperti itu tidak terdapat dalam panduan pengendalian reaktor nuklear.

Berita terbaru, sistem penyejukan di sebuah lagi reaktor juga telah gagal berfungsi manakala masalah dikesan di sebuah reaktor lain.

Berikut adalah rangkuman video dari detik-detik berlakunya gempabumi diikuti tsunami dan masalah loji nuklear.

Saturday, March 12, 2011

Gempabumi Jepun: Letupan Berlaku di Loji Nuklear

Satu letupan berlaku pada pukul 3:30 petang, waktu setempat, hari ini (Sabtu 12 Mac 2011) di loji nuklear Fukushima Daiichi, 200 km ke timur-laut Tokyo. Berikutan letupan yang mencederakan empat orang pekerja dan memusnahkan dinding loji itu, kawasan itu kini berhadapan dengan ancaman malapetaka kebocoran nuklear.



Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri Jepun memberitahu media bahawa loji tersebut sedang mengeluarkan "wap nuklear", manakala tekanan dalam reaktor nuklearnya kini dua kali ganda lebih tinggi daripada biasa.

Loji Fukushima Daiichi itu merupakan satu daripada dua loji yang dikendalikan oleh Tokyo Electric Power Co. Sistem pendinginan loji berkenaan telah rosak berikutan kejadian gempabumi 8.9M dan tsunami pada Jumaat, 11 Mac 2011.

Sekurang-kurangnya dua reaktor pada loji Daiichi dan tiga reaktor di loji Fukushima Daini, yang terletak 16km antara satu sama lain, telah mengalami kerosakan sistem pendinginan. Keadaan darurat telah diisytiharkan bagi kelima-lima reaktor tersebut.

Arahan untuk mengosongkan kawasan sekitar loji telah ditingkatkan dari radius 10km ke 20km. 

Insiden ini berlaku berikutan kejatuhan paras air untuk mendinginkan reaktor ke tahap yang membimbangkan, sekaligus menimbulkan keresahan akan berlakunya malapetaka nuklear.

Sekitar pukul 11:20 pagi waktu setempat, sebahagian daripada rangkaian batang-batang bahan bakar nuklear pada reaktor no.1 loji Fukushima Daichi telah terdedah di atas permukaan air. Batang bahan bakar nuklear yang terus terdedah akan mengalami kerosakan, seterusnya mengeluarkan radioaktif.


Ilustrasi Gempabumi dan Tsunami Honshu 11-03-11

Sehingga entri ini di poskan pada pukul 1:30 petang, angka kematian akibat gempabumi dan tsunami Honshu dilaporkan sudah melebihi 1300 jiwa.

Sementara itu, kerajaan Jepun sedang berusaha memindahkan puluhan ribu penduduk dari kawasan berhampiran dua pusat loji nuklear. Amaran telah dikeluarkan akan kemungkinan berlakunya kebocoran nuklear sementara pihak berkuasa bertungkus lumus dalam usaha membendung tekanan yang semakin meningkat di kedua-dua loji tersebut yang terletak 240 km ke utara Tokyo.

Gempabumi berukuran 8.9M pada hari Jumaat itu berlaku berikutan pertembungan plat tektonik dasar laut antara Plat Pasifik dan Plat Asia. Pertembungan itu menyebabkan Plat Pasifik tergelincir ke bawah dan air laut di atasnya turut tergelincir. Dalam masa yang sama, Plat Asia tertolak ke atas bersama air laut di atasnya, menyebabkan keadaan air lautan di kawasan berlakunya pertembungan itu bergelora. 



Tsunami tercetus apabila kekuatan pertembungan cukup kuat dan luas permukaan pertembungan cukup besar. Siri ombak-ombak kecil bergerak pantas ke semua arah dari pusat berlakunya gegaran, pada kelajuan menghampiri 1000km sejam, sama seperti kelajuan sebuah pesawat terbang jet.

Ombak-ombak tsunami yang mula terbentuk hanyalah kecil dan pada mata kasar ia tidak berbeza dengan ombak-ombak lautan yang biasa. Namun apabila tiba ke kawasan cetek atau pantai, ia berubah menjadi ombak raksaksa. Ombak tsunami yang memasuki kawasan teluk menjadi lebih besar kerana ombak-ombak kecil itu terkumpul lalu melonjak naik dari dasar laut.

Klip video berikut menunjukkan bagaimana dua plat tektonik bertembung lalu mencetuskan tsunami.


Klip video ini dari NOAA Centre for Tsunami Research pula menunjukkan bagaimanana ombak tsunami bergerak dari pusat gegaran di timur Honshu ke seluruh lembangan Pasifik.

Friday, March 11, 2011

Video Gempabumi di Jepun dan Amaran Tsunami Kawasan Pasifik

Pusat Amaran Tsunami Pasifik Amerika Syarikat telah mengeluarkan amaran kemungkinan tsunami melanda seluruh kawasan lembangan Pasifik melainkan AS dan Kanada berikutan gempabumi berukuran 8.9M yang berlaku di bahagian timur Honshu, Jepun, pada 0546 GMT hari ini, Jumaat 11 Mac 2011.


Tsunami sedang menghanyutkan rumah dan bangunan di Sendai
bahagian timur Jepun. Foto oleh AP
Amaran itu turut merangkumi Hawaii dan kawasan sepanjang pantai Pasifik dari Mexico hingga ke negara-negara Amerika Selatan.

Antara negara yang menghadapi risiko tsunami tersebut ialah Russia, Taiwan, Filipina, Indonesia, Papua New Guinea, Mexico, Guatemala, El Salvador, Costa Rica, Panama, Honduras, Chile, Ecuador, Colombia dan Peru.


Peta berikut menunjukkan "model ramalan tsunami" oleh Pusat Amaran Tsunami Pasifik menunjukkan ketinggian ombak dan jangkamasa ia melanda selepas berlakunya gempabumi pada 0546 GMT.


Estimated arrival times and amplitude of tsunami waves

Rangkaian berita "Russia Today" memuatnaik video di bawah ini ke YouTube yang dikatakan sebagai rekaman CCTV kejadian tsunami yang melanda sebuah lapangan terbang.


"Associated Press" (AP) memuatnaik beberpa klip video yang dipetik dari badan penyiaran Jepun, NHK, menunjukkan tsunami menghanyutkan bangunan  ketika melanda sebuah kawasan pertanian.


Klip ini pula menunjukkan bot dan kenderaan dihanyutkan ke bawah jembatan ketika gelombang air deras meredah masuk ke daratan.


"Al Jazeera" pula memuatnaik klip video berikut termasuk rekaman dari bilik berita sebuah agensi penyiar di Jepun, ketika gempabumi tersebut melanda.

Monday, March 7, 2011

Melegakan Sakit Kepala


Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa semua orang dewasa pernah mengalami sakit kepala. Sembilan puluh peratus sakit kepala yang dialami ialah kerana tekanan. Kesakitan terasa pada keseluruhan bahagian kepala, tetapi tidaklah begitu menyiksakan. Namun begitu, ramai juga yang cukup menderita kerana serangan sakit kepala yang berulang dari semasa ke semasa.


Dianggarkan seramai 28juta orang menderita sakit kepala 'migraine' yang amat menyiksakan. Migraine merupakan penyakit yang agak kompleks dan menimbulkan kesakitan yang amat sangat dan melesukan. Oleh itu orang-orang yang rapat dengan pesakit, misalnya suami-isteri, anak-anak, ibubapa, adik beradik dan sebagainya perlulah memahami dan bersimpati dengan pesakit apabila serangan migraine itu sedang dialaminya. Isteri saya adalah antara yang mengalami nasib ini. Untuk memahami keadaan yang dialaminya, seterusnya, dimana yang boleh, membantu beliau melalui detik-detik menyakitkan itu, maka saya berusaha mencari maklumat mengenai gejala penyakit tersebut. Saya kongsikan hasil 'pencarian' itu dalam entri ini semoga ia dapat membantu pembaca yang mengalami, atau mempunyai orang-orang 'dekat' yang mengalami masalah migraine. 

Kesakitan akibat migraine biasanya terasa pada sebelah bahagian kepala sahaja dan selalunya disertai dengan perasaan loya. Pesakit juga amat sensitif terhadap cahaya dan kebisingan. 

Banyak perkara yang boleh menyebabkan serangan migraine termasuklah perubahan hormon dalam tubuh badan, pemakanan, jadual tidur, kekurangan air (dehidrasi), tekanan, perubahan cuaca, perubahan kedudukan ketinggian (altitud), dan sebagainya.

Ubat-ubatan yang boleh dibeli tanpa preskripsi ahli farmasi, atau singkatnya OTC (over-the-counter), mungkin boleh membantu melegakan, namun harus berhati-hati jangan sampai terlebih dos, sebab ia boleh mengakibatkan 'kesan serangan berulang', dan kesakitan yang dirasai apabila serangan itu datang lagi biasanya lebih dahsyat.

Berikut beberapa kaedah yang boleh dilakukan untuk mengelak serangan sakit kepala dan juga cara untuk melegakannya dengan cepat:

Elakkan MSG
MSG (monosodium glutamate) adalah bahan yang biasa kita gunakan untuk menambah kelazatan sesuatu makanan. Di negara kita ada beberapa jenama tertentu, namun saya tidak akan menyebut contoh-contoh jenama tersebut kerana yang demikian boleh menimbulkan kemarahan syarikat pengeluarnya. Namun begitu, senarai bahan untuk penghasilan sesuatu produk makanan biasanya tertulis pada paket atau bungkusan produk makanan berkenaan.

MSG boleh menyebabkan sakit kepala kerana ia boleh mengembangkan pembuluh darah dan merangsang saraf otak. Terdapat juga produk makanan tersedia dalam paket yang mengandungi MSG, tetapi dengan nama yang lain. Jadi jika anda ada masalah kesan sampingan dengan pengambilan MSG, bacalah label produk makanan tersebut dengan teliti, kerana istilah-istilah seperti, hydrolyzed protein, glutamate, dan caseinate adalah juga MSG.

Cokelat, tak kiralah dalam bentuk minuman atau makanan, mengandung sejenis sebatian amine, iaitu phenylethilamine, yang boleh menyebabkan pengembangan saluran darah kemudian mengecutkannya pula, lalu mengakibatkan sakit kepala. Amine yang paling memberi kesan ialah tyramine, iaitu sejenis asid amino yang biasa didapati dalam keju, pekasam ikan haring dan hati.

Sebatian nitrat yang biasa terdapat dalam makanan berupa daging yang telah diproses, misalnya 'hot-dog' dan 'salami', juga boleh menyebabkan pengembangan pembuluh darah dan merangsang sakit kepala.

Minyak Ikan
Kajian di University of Cincinnati menunjukkan bahawa pengambilan kapsul minyak ikan boleh mengurangkan kekerapan berlakunya sakit kepala dan meringankan kesakitan yang dialami. Kajian itu menambah kuat bukti kebaikan asid lemak omega-3 yang terdapat dalam ikan. Kalau tidak suka dengan kapsul minyak ikan, kesan kebaikan itu boleh juga diperoleh dengan memakan 50gram ikan berlemak setiap hari.

Rendaman Kaki Dalam Air Hangat
Sediakan air hangat dalam bekas yang cukup luas  untuk rendaman kedua belah kaki, tambahkan beberapa sudu serbuk biji sawi (mustard powder) dan rendamkan kaki pesakit dalam air hangat tersebut. Air hangat itu membantu mengagihkan semula dari kawasan ia terkumpul - kepala yang berdenyut-denyut - dan membolehkan alirannya lebih sekata dalam pembuluh darah di seluruh badan. Pada masa yang sama, minyak biji sawit akan merangsang kulit menyebabkan pesakit mengalihkan perhatian dari kesakitan di kepalanya.

Halia
Potong dengan halus sedikit halia segar dan masukkan dalam minuman kegemaran anda dan minumlah. Kalau suka, boleh juga langsung mengunyah halia tersebut. Herba ini membantu meratakan (sekata) aliran darah dalam tubuh badan dengan cara mengawal rembesan thromboxane A2

Rahang dan Gigi
Apabila kita mengalami tekanan atau cemas, tanpa disedari kita mengepal (clench) rahang atau gigi, menyebabkan otot yang menghubungkan rahang dengan bahagian tepi kepala berhampiran mata menjadi tegang lalu mencetuskan sakit kepala. Letakkan sebatang pensel atau sesuatu sepertinya, tapi jangan gigit. Cara ini membolehkan anda mengendurkan kepalan rahang.

Posisi Kepala
Elakkan daripada terlalu lama menundukkan kepala, kerana ia mengakibatkan ketegangan otot pada tengkuk dan bahagian atas belakang.

Kafein
Pengambilan kafein yang berlebihan setiap hari, misalnya tiga cawan kopi ke atas atau soda yang banyak, boleh menyebabkan atau menambah terok gejala sakit kepala. Namun begitu, menghentikan pengambilan kafein secara tiba-tiba juga menyebabkan sakit kepala. Tetapi bagi yang bukan "pengguna tetap" kafein, secawan minuman yang mengandungi kafein boleh membantu melegakan sakit kepala, melalui tindakannya menyempitkan pembuluh darah disekeliling bahagian tepi kepala berhampiran mata.

Magnesium
Unsur magnesium aktif membantu mengurangkan ketegangan dan kekejangan otot. Oleh kerana tindakan magnesium merupakan sebagai pencegah dan bukan merawat, kaedah ini lebih sesuai digunakan untuk keadaan yang boleh dijangka atau diramal, misalnya bagi wanita yang mengalami sakit kepala apabila haid, kerana dengan demikian pengambilan unsur magnesium sebagai makanan tambahan boleh dilakukan lebih awal. Bagi yang ada masalah buah pinggang perlu mendapatkan nasihat pakar sebelum mengambil magnesium sebagai makanan tambahan.