Monday, March 29, 2010

NUR INSANI JUARA NASYID TRADISI 1431H/2010M PERINGKAT DAERAH KUNAK

Karnival Kesenian Islam peringkat Daerah Kunak bagi tahun 1431H/2010M yang berlangsung pada malam 26 Mac 2010 merekodkan peningkatan penyertaan dalam semua kategori berbanding tahun-tahun sebelumnya. 
Demikian menurut pengerusi jawatankuasa pelaksananya, Encik Hussin Hj Ibrahim.
Namun begitu, kehadiran penonton berkurangan jika dibandingkan tahun sebelumnya.
Dalam ucapan peresmiannya ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang berkata, "Meskipun bilangan penonton pada malam ini nampaknya lebih kecil berbanding tahun lepas, kita patut bersyukur kerana kalau kita teliti dengan betul, sebilangan besar penonton pada ketika ini adalah terdiri daripada golongan remaja dan belia.
"Tren ini menunjukkan bahawa golongan muda sudah lebih mendekatkan diri kepada aktiviti-aktiviti sosial yang sihat".
Dengan berseloroh Datuk Nilwan menyambung, "Apakah sebaliknya pula yang berlaku kepada golongan lebih tua? Apakah mereka pula yang lebih tertarik kepada hiburan-hiburan pop?"


Keputusan penuh bagi acara-acara yang dipertandingkan adalah seperti berikut:

  • Festival Kompang
  1. Al-Farouk (SMU Kunak)
  2. Al Jannah (SMK Kunak Jaya)
  3. Al Rizal (SMK Kunak Jaya)
  4. Kumpulan dari SMK Kunak
  5. Al Kahfi (SMK Kunak Jaya)
  6. Putera Kasula (Kg Sg Langgas)
  7. Unit Belia (Kg Getah)
  • Festival Marhaban/Berzanji
  1. Nur Ikhwani (Kg Lormalong)
  2. UBM (P) (Kg Getah)
  3. Al Ammar (Kg Sg Langgas)
  4. UBM (L) (Kg Getah)
  5. As Saifullah (SMK Kunak)
  • Festival Nasyid Kategori Moden
  1. Nur Islam (Kg Sg Atas)
  2. Kumpulan Nasyid SMK Kunak
  3. Nur Al Zahra (Kg Lormalong)
  • Festival Nasyid Kategori Tradisi
  1. Nur Insani (Kg Kabog)
  2. As Syifa (Hospital Daerah Kunak)
  3. Suara Dakwah (Kg Sg Langgas)



Wednesday, March 24, 2010

Pembangunan Projek Pengeringan Terbantu Suria Untuk Hasil Tuaian Laut

Kunak 24 Mac 2010 - Sebuah nukleus pengeringan ikan bilis dan lain-lain hasil tuaian laut akan dibina di Daerah Kunak tidak lama lagi.
Taklimat mengenainya telah disampaikan oleh Encik Hamdan Mokhtar dari SIRIM dalam satu perjumpaan bersama kakitangan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan DUN N51 Kunak pagi tadi. Dua orang pegawai SIRIM turut bersama beliau iaitu Cik Mimi Mastura Ahmad (Shah Alam) dan Puan Rommella Osmand (Kota Kinabalu).
Menurut Encik Mokhtar projek itu telah dipohon oleh ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang dengan peruntukan dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bernilai RM 100,000.


"Proses pengeringan adalah proses yang penting untuk undustri hasil", kata Encik Hamdan.
"Cara biasa atau tradisional dilakukan secara terbuka dan mengambil masa yang lama iaitu antara 5 hingga 7 hari bergantung kepada keadaan cuaca. Pelaksanaan projek ini mampu menghasilkan produk yang lebih bersih (hygienic) dan berkualiti".
Antara objektif projek ialah:

  • Membangun sistem pengering terbantu suria (SPTS) bagi meningkatkan hasil tuaian laut oleh nelayan.
  • Menyediakan kemudahan sistem pengeringan oleh JKKK secara berterusan, 24 jam sehari.
  • Memperkembang sistem tersebut kepada nelayan setempat di Daerah Kunak.
  • Menurangkan masa pengeringan sebanyak 50%.
  • Meningkatkan kualiti produk - bersih, hygienic dan kering sekata.
  • Menambah pendapatan nelayan dengan peningkatan kualiti, produktiviti dan harga produk.
Selepas taklimat itu, lawatan ke kampung-kampung yang berminat untuk menempatkan projek berkenaan iaitu, Kg Pangi, Kg Buang Sayang dan Kg Pengkalan untuk meninjau kesesuaian lokasi.




Wednesday, March 10, 2010

ISYARAT JALURLEBAR DARI LAMPU MEJA ANDA


Pada masa hadapan, kita mungkin boleh mendapatkan penyambungan isyarat jalurlebar sebaik sahaja kita menghidupkan suis lampu di rumah. Menurut sekumpulan penyelidik di Jerman, cahaya lampu yang ada di rumah-rumah kediaman pada masa kini, suatu hari mampu menyediakan isyarat jalurlebar tanpawayar.
 "Kebaikannya ialah kita akan menggunakan cahaya yang sama untuk menerangi bilik," kata Jelena Vučić dari Fraunhofer Institute for Telecommunications, Heinrich-Hertz-Institut di Jerman.
Vučić dan rakan-rakannya telah menemui cara untuk mendapatkan sinergi pencahayaan dan maklumat sedemikian. Penemuan ini akan mereka bentangkan pada Pameran dan Persidangan Komunikasi Serat Optik / Persidangan Jurutera Serat Optik Kebangsaan (OFC/NFOC) di San Diego pada 21 hingga 25 Mac ini.
Pada masa kini kebanyakan sambungan tanpawayar di kediaman dan premis-premis perniagaan menggunakan sambungan WiFi. Malangnya jalur gelombang WiFi amat terbatas dan sukar untuk mendapatkan lebih banyak ruang dalam keadaan spektrum radio yang sekarang ini sememangnya sudah agak sesak. Sebaliknya, sambungan isyarat tanpawayar menggunakan cahaya tampak, memberikan ruang frekuensi yang lebih meluas. 
Isyarat dihasilkan dengan mengerlap-ngerdipkan semua lampu secara bersama. Kerdipan itu tidak akan mengganggu pencahayaan kerana kadar modulasinya adalah jutaan kali lebih cepat daripada yang boleh dikesan oleh mata manusia. 
Oleh kerana cahaya-tampak tidak dapat menembusi dinding maka gangguan isyarat tidak akan berlaku sebagaimana yang dialami apabila menggunakan gelombang radio. Seterusnya, gangguan penggodampun akan berkurangan.
Lampu pijar dan lampu neon tidak mampu mencapai frekuensi pengerdipan yang cukup tinggi bagi menghasilkan isyarat tanpawayar yang diperlukan. Oleh yang demikian, maka lampu yang digunakan adalah dari jenis LED (light emitting diode). Meskipun julat gelombang LED yang biasa digunakan pada masa kini terbatas kepada beberapa MHz sahaja, Vučić dan rakan-rakannya telah berjaya menigkatkan julatnya hingga sepuluh kali ganda dengan menapis semua spektrum LED kecuali biru.
Dengan sistem tanpawayar menggunakan cahaya-tampak yang dibina dan diuji dalam makmal, Vučić dan rakan-rakannya telah berjaya memuatturun data pada kelajuan 100 Mbit/s (berbanding kelajuan jalurlebar yang saya sedang gunakan ini pada kelajuan kurang 1 Mbit/s). 
Setakat ini, mereka telah menaiktaraf alat penerima sistem itu dan berjaya mendapatkan kelajuan 230 Mbit/s. Ia merupakan ciptaan rekod bagi isyarat tanpawayar menggunakan LED komersil. Meskipun teknologi terkini menggunakan isyarat radio mampu mencapai kelajuan yang setanding, Vučić mengatakan bahawa mereka akan dapat menggandakan kadar data mereka dengan menggunakan modulasi isyarat yang lebih canggih.



Sunday, March 7, 2010

KEGELAPAN MENDORONG KETIDAKJUJURAN

Kegelapan boleh menggalakkan ketidakjujuran kerana keadaan itu merangsang perasaan kekebalan terhadap hukuman atau tindakan keadilan. Demikian, penemuan hasil satu kajian.
Ahli-ahli psikologi telah meletakkan para sekarelawan ke dalam bilik berasingan. Sekumpulan diletakkan dalam bilik terang benderang manakala satu kumpulan lagi diletakkan dalam bilik dengan cahaya malap. Mereka masing-masing diberi soalan-soalan untuk diselesaikan, kemudian memberikan markah kepada diri sendiri, seterusnya menghadiahkan wang kepada diri sendiri berasaskan penyelesaian dan markah yang mereka telah perolehi – semuanya berasaskan kepada sistem kejujuran.
Para pengkaji itu mendapati bahawa dalam keadaan gelap lebih banyak ketidakjujuran berlaku. Pemakaian cermin mata gelap juga memberi kesan yang serupa. Laporan mengenainya diterbitkan dalam Psychological Science.
Ahli-ahli psikolologi di University of Toronto dan University of North Carolina di Chapel Hill menjalankan tiga ujikaji. Dalam ujikaji pertama, sebahagian peserta diletakkan dalam bilik terang dan sebahagian lagi dalam bilik dengan cahaya malap. Mereka masing-masing diberikan  sekeping sampul surat berwarna cokelat yang berisi $10 dan juga sekeping sampul surat kosong berwarna putih. Mereka kemudian diarah melengkapkan suatu kertaskerja dengan 20 grid nombor, setiap satu terdiri dari 12 nombor tiga-digit.
Para peserta diberi masa 5 minit untuk menentukan dua nombor dalam setiap grid yang bila ditambah satu sama lain akan mendapat jawapan 10. Bagi setiap pasangan nombor  dikenalpasti, peserta akan menghadiahkan 50 sen kepada diri sendiri. Para penyelidik menyerahkan sepenuhnya kepada peserta untuk memberi markah kepada hasil kerja masing-masing. Selepas berakhirnya masa yang ditetapkan, peserta dikehendaki meninggalkan baki wang yang mereka tidak menangi dalam sampulsurat.
Para penyelidik mendapati bahawa tiada perbezaan dalam pencapaian keputusan, tetapi peserta dari bilik dengan cahaya malap mendapat lebih habuan.
Dalam ujikaji kedua, beberapa peserta memakai cermin mata gelap dan yang lain memakai cermin mata jernih. Mereka kemudian masing-masing diarah berinteraksi dengan seseorang yang tidak dikenali. Pada hakikatnya, "seseorang" itu adalah dari kalangan penyelidik. Setiap peserta diberikan $6 untuk dikongsi dengan orang yang tidak dikenali itu. Didapati, peserta yang memakai cermin mata gelap menjadi lebih kedekut.
Ujikaji ketiga agak serupa dengan ujikaji kedua, cuma kali ini tahap perasaan ‘tak dikenali’ peserta, ketika ujikaji berjalan, dinilai. Sekali lagi didapati peserta dengan cermin mata gelap, memberikan wang yang kurang dan lebih merasakan bahawa diri mereka itu tidak dikenali (anonymous).
Dalam kesemua ujikaji itu, kegelapan sebenarnya tidak memberi kesan keatas tahap pengenalan peserta. Ahli-ahli psikologi yang menjalankan ujikaji itu berpendapat bahawa kegelapan telah merangsang perasaan ‘tak dikenali’.
Bayangkan seseorang dalam sebuah bilik tertutup. Dia sedang mempertimbangkan samada akan berbohong atau berterus-terang dalam emailnya kepada seseorang yang tidak dikenalinya. Kita tahu, tidak kira samada bilik itu terang atau gelap, tahap pengenalan sipengirim email itu sama sahaja bagi sipenerima. Namun, dalam keadaan gelap, seseorang mungkin teruja untuk tingkahlaku tidak beretika.


Friday, March 5, 2010

KAWASAN PERUMAHAN BARU UNTUK 92 KELUARGA

Kampung Sri Bahagia Kunak, 03 Mac 2009 – Bilangan rumah di Kg Sri Bahagia Kunak akan meningkat dari 41 buah yang ada sekarang kepada 133 tidak lama lagi. Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusi JKKKnya, Encik Ariffin Samad, dalam taklimat yang disampaikannya sempena lawatan ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang, ke kawasan tersebut pada Rabu, 03 Mac.
Menurut Encik Ariffin, kawasan seluas 10 ekar itu telah dibeli dari pemilik berdaftar menggunakan wang yang dikumpul dari individu-individu yang berminat untuk mendapatkan tapak untuk membina rumah.
“Kebanyakan daripada individu-individu tersebut adalah dari kalangan mereka yang sedang bekerja di syarikat-syarikat perladangan dan belum mempunyai rumah,” jelas Encik Ariffin.


Ketika ditanya oleh Datuk Nilwan bagaimana dia boleh mengetahui terdapatnya kawasan tersebut untuk dijual Encik Ariffin memberitahu, “Beberapa bulan dahulu Datuk sendiri telah menyeru pemimpin-pemimpin masyarakat setempat agar berusaha membantu mengatasi masalah kekurangan kawasan perumahan di daerah ini.
“Berikutan dengan itu, saya, ketua kampung dan pemaju mukim bertanyakan pemilik-pemilik kawasan di kampung ini jika ada yang berminat untuk menjual kawasan mereka untuk tujuan perkampungan. Kami berjaya mendapatkan kawasan seluas 10 ekar ini dari dua pemilik berasingan,” kata Encik Ariffin.
Semasa lawatan tersebut, lima buah rumah baru sedang dalam pembinaan.
Beberapa perkara melibatkan kemudahan asas yang diperlukan penduduk telah dibincang dan dikenalpasti untuk disalurkan atau dinaiktaraf seperti berikut:
  • Bekalan air bersih – Pada ketika ini paip air disambung dari kawasan Kg Kadazan. Oleh kerana kedudukan topografi Kg Sri Bahagia lebih tinggi dari Kg Kadazan maka tidak ada air yang sampai ke Kg Sri Bahagia. Penduduk terpaksa mengambil air dari anak sungai, yang pada hakikatnya merupakan air buangan dari kawasan perumahan Ladang Mostyn.
  • Tiang lampu – Dianggarkan lima batang tiang lampu diperlukan untuk menyalurkan bekalan tenaga elektrik ke fasa pertama kawasan perumahan baru itu.
  • Menaik taraf surau – Surau yang ada pada ketika ini tidak lagi dapat menampung bilangan jemaah apabila kawasan perumahan baru itu dihuni sepenuhnya. Ia perlu dibesarkan dan dinaiktaraf sebagai mesjid.
  • Membina Mini Dewan – Balairaya di Kg Sri Bahagia telah didirikan oleh syarikat koperatif ketika penubuhannya dan telahpun usang. Ia perlu diganti dengan sebuah mini dewan bagi menampung aktiviti masyarakat setempat.

Terdahulu, Datuk Nilwan telah menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan JKKK & JKDB Kawasan N51 Kunak dan Penyampaian Projek bekalan ADUN Khas/PPNS di Dewan Masyarakat Kunak (laporan lanjut) dan melawat Kg Pangi.

Monday, March 1, 2010

CHILE -- PADAH MEMANDANG REMEH KEMUNGKINAN TSUNAMI

Menteri pertahanan Chile mengakui bahawa angkatan laut negara itu telah membuat kesilapan besar kerana tidak segera mengeluarkan amaran tsunami selepas negara itu dilanda gempabumi Sabtu (27 Februari) lepas.
Setakat hari ini (Isnin, 01 Mac), bilangan korban bencana itu telah melebihi 700 berikutan tibanya laporan mengenai pekan-pekan pesisiran musnah akibat gegaran dan tsunami .
Francisco Vidal mengakui bahawa amaran kecemasan awal mungkin membolehkan penduduk kampung di pesisiran pantai bersegera mencari perlindungan ke kawasan tanah tinggi.
 "Pihak tentera laut melakukan kesilapan tidak segera memberi amaran kemungkinan berlakunya tsunami," kata menteri pertahanan itu.

Beliau menambah, amaran kemudian dikeluarkan oleh penguasa-penguasa pelabuhan.
Sejurus selepas berlakunya gempabumi 8.8-magnitud itu Sabtu lepas, Presiden Michelle Bachelet telah menidakkan ancaman tsunami, dimana beliau telah berkata bahawa ombak besar dijangka berlaku tetapi bukan tsunami.
Malangnya, lebihkurang 30 minit selepas berlakunya gegaran, beberapa kawasan penempatan di tepi pantai telah dipukul gelombang, yang kemudian dikenalpasti oleh pihak berkuasa sebagai tsunami.
Angka kematian telah melebihi 700 jiwa dan Presiden Bachelet memberi amaran yang angka itu akan meningkat.
Kebanyakan korban adalah dari kawasan pantai perkampungan San Juan Bautista di Pulau Robinson Crusoe, pelabuhan Talcahuano dan Vichato di BioBio.