Saturday, March 17, 2012

Sri Syazwani Johan Nasyid Program Silaturrahim AIM Blok Kunak Jaya

Kg Jaya Baru Kunak, 17 Mac 2012 - Kumpulan Nasyid yang mewakili Pusat AIM Sri Syazwani Kunak telah menyandang gelaran "johan" acara pertandingan nasyid pada Program Silaturrahim Sahabat AIM Blok Kunak. Naib johan disandang oleh Pusat AIM Sri Sayang manakala tempat ke-3 jatuh kepada Pusat AIM Sri Kenangan.
Kumpulan Nasyid Sri Syazwani, johan pertandingan nasyid
 menerima hadiah yang disampaikan oleh Datuk Nilwan (ADUN Kunak)

Kumpulan Nur Iman

Naib Johan : Kumpulan Sri Sayang
Tempat Ke-3: Kumpulan Sri Kenangan

Barisan Pengadil Pertandingan Nasyid
Program dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan N51 Kunak, YBDatuk Nilwan Bin Kabang. Dalam ucapan perasmiannya Datuk Nilwan mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pengusaha yang telah berjaya membantu meningkatkan ekonomi keluarga melalui program usahawan bersama Amanah Ikhtiat Maysia (AIM) cawangan Kunak. 

Kebanyakan usahawan tersebut adalah dari kalangan wanita. Menurut Datuk Nilwan, menggunakan masa yang terluang untuk membantu suami meningkatkan ekonomi, selepas menyelesaikan urusan seharian rumahtangga adalah suatu amalan yang sangat mulia.

"Di samping membantu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup melalui perniagaan yang diceburi, dengan adanya bimbingan dan nasihat tentang pengurusan kewangan yang mapan dari AIM, para suri rumahtangga, yang biasanya juga merupakan "bendahari" rumahtangga akan dapat mentadbir kewangan keluarga dengan lebih teratur," kata Datuk Nilwan. 

Beliau seterusnya menyeru para suri rumahtangga yang mendapati mempunyai kelapangan masa agar mengisi masa tersebut dan mengambil peluang serta kemudahan yang ada dengan menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan bersama rakan-rakan mereka di AIM.

Selain daripada pertandingan nasyid, pertandingan gubahan bunga telur juga turut diadakan dimana johan disandang oleh Pusat AIM Nur Iman, naib johan oleh Pusat AIM Sri Kenangan dan ke-3 oleh Pusat AIM Sri Sayang.

Dalam majlis tersebut juga enam Pusat AIM yang terdapat di Blok AIM Kunak Jaya menyampaikan cenderakengangan kepada mantan Pengurus AIM Cawangan Kunak, Encik Khairul Anwar Halim yang telah berpindah ke AIM Cawangan Tawau setelah berkhidmat selama lebihkurang satu tahun di AIM Cawangan Kunak. Tempat Encik Khairul diganti oleh Cik Norastani Mahmod.

Thursday, March 15, 2012

BEKALAN AIR DI KUNAK - YANG MEMERLUKAN DAN YANG MEMBAZIR

Banyak kawasan penempatan ataupun perumahan, baik di dalam mahupun di luar negara yang mengalami masalah ketidakcukupan bekalan air paip, termasuklah Daerah Kunak. Walau bagaimanapun Kerajaan Malaysia sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan rakyat di semua kawasan.
Hari ini, bekalan air ke kawasan Kampung Simpang Empat Kunak terputus lagi berikutan kerosakan pam yang membekalkan air dari loji di Sungai Kalumpang ke kawasan tersebut. Pihak Jabatan Air terpaksa menyewa lori tambahan, selain daripada lori tangki Majlis Daerah Kunak, untuk mengangkut air kepada penduduk yang terlibat.

Lori yang disewa oleh Jabatan Air Kunak
mengambil air dari pili bomba di Kg Cenderawasih
untuk diagih-agihkan kepada penduduk Kg Simpang Empat

Sementara penduduk Kg Simpang Empat mengeluh ketiadaan bekalan air, segelintir penduduk di dua buah kampung lain yang sempat kami lawat bersama Yang Berhormat Datuk Nilwan (ADUN N51 Kunak), membazirkan kemudahan asas tersebut dengan tidak mengendahkan keadaan paip bekalan air mereka yang bocor. 
Sebagai contoh, seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah, paip bekalan pecah kerana sikap 'tidak apa' pemilik yang membiarkan paip terdedah di atas jalan. Akibatnya ia pecah setelah kenderaan melalui jalan tersebut. Pada pandangan saya tidaklah terlalu sukar untuk menimbus paip tersebut.


Jika kebocoran ini berlaku selepas melalui meter bekalan air pengguna berkenaan tentunya dia sendiri yang akan menanggung kerugian, kemudian akan menjadikannya isu bahawa pihak Jabatan Air Kunak mengenakan bil yang tidak berpatutan. Pemeriksaan kami mendapati meter air di kampung tersebut terletak berkumpul di satu kawasan penyambungan 'T' seperti dalam gambar di bawah. Bermakna kebocoran yang disebutkan di atas adalah selepas melalui meter bekalan melainkan jika penymabungan dilakukan di tempat lain yang tersembunyi.


Di kampung yang satu lagu kami dapati penyambungan bekalan air dilakukan menggunakan hos biasa (lihat gambar di bawah). Kebocoran yang deras menyebabkan jalan kampung yang berhampiran digenangi air.


Saturday, March 10, 2012

SMK Kunak 100% Lulus STPM 2011

  • Semua pelajar SMK Kunak yang menduduki peperiksaan STPM pada tahun 2011 telah lulus.
  • SMK Kunak adalah antara 3 buah sekolah di Negeri Sabah yang mencapai keputusan peperiksaan STPM terbaik bagi tahun 2011.

10 pelajar terbaik STPM 2011
SMK Kunak bersama 2 orang guru


  • Pelajar terbaik STPM 2011 sekolah ini ialah Cik Asnita Rahman yang memperoleh keputusan 4A. 
Anak seorang peniaga yang berasal dari Kg Simpang 4 Kunak, Asnita merupakan anak sulung dari 4 orang adik beradik. Faktor kejayaan utama Asnita ialah menyegerakan kerja-kerja sekolah dan menghormati ibubapa serta guru.
Walaupun sibuk dengan pembelajaran Asnita sebagai anak sulung tidak mengabaikan tanggungjawab membantu ibubapa di rumah.


Saturday, January 7, 2012

NOTA KEJUTAN


Suatu hari di pagi yang tak seberapa cerah sepasang suami isteri telah bertengakar soal perkara yang remeh. Akibatnya mereka tidak bertegur sapa sehinggalah malam tiba.

Si isteri merasa kesal dengan pertengkaran itu dan mendambakan perdamaian secepat mungkin, namun dia enggan memulakan untuk menegur suaminya. Baginya, dalam keadaan sedemikian, adalah menjadi tanggungjawab suami untuk memujuk isteri. Pada malam itu awal-awal lagi dia masuk ke kamar dengan harapan suaminya akan segera menyusul untuk memujuknya.

Ternyata, sang suami tidak segera menyusul. Dia terlalu ego untuk menghampiri isterinya. Baginya, dalam keadaan sedemikian, seorang isteri sepatutnya datang kepada suaminya, cukup dengan senyuman atau belaian. Tak perlu kata apa-apa, niscaya dia akan terus merangkul isterinya itu dan memohon maaf jika perlu.

"Lagi elok kalau dia datang membawa secawan kopi untukku," angan si suami sambil tersenyum.

Sang suami terus menanti secawan kopi yang tak kunjung datang, manakala si isteri di atas katil terus menunggu pujukan suaminya yg tak kunjung tiba. Nothing happens!!!

Malam semakin larut, akhirnya sang suami mendapat buah fikiran.

"Dengan cara ini, isteri saya akan memulai untuk menegur," fikir sang suami.

Dia segera mencapai marker pen dan sekeping kertas lalu menulis:

"SAYANG, TOLONG KEJUTKAN ABANG SOLAT SUBUH YA?"

Perlahan-lahan dia masuk ke kamar tidur lalu meletakkan nota itu di atas meja kecil berhampiran katil di sebelah isterinya yg sedang berpura-pura tidur. Selepas itu diapun baring di sebelah isterinya tanpa menyentuhnya.

Ketika azan subuh berkumandang dari surau berhampiran kedua-dua suami isteri itupun terjaga. Sang suami sengaja tidak bangkit kerana mengharapkan isterinya mengejutkannya. Dia membuka matanya sedikit memerhatikan isterinya yg bangun mengambil nota itu dan membacanya seketika. Si isteri kemudian menarik laci meja kecil itu, mengambil pen lalu menulis pula di bawah nota yg telah ditulis oleh suaminya. Nota itu kemudian diletakkannya di atas dada suaminya yg baring terlentang berpura-pura belum sedar dari tidur.

Sementara sang isteri bergegas ke bilik air untuk berwudhu dan bersiap untuk menunaikan kewajipan solat subuh, si suami mengambil nota itu. Dilihatnya di bawah tulisannya terdapat tulisan isterinya:

"ABANG, DAH MASUK WAKTU, BANGUNLAH SOLAT SUBUH!"

Tuesday, December 13, 2011

Jangan Perlekeh Orang Berpakaian Selekeh

Palang pintu jalan masuk ke ladang itu terbuka luas.Oleh yang demikian penunggang motorsikal itu terus sahaja masuk. Tiba-tiba dia terdengar suara orang berteriak,
"Hoiiiii!!! Tunggu!!! Mahu ke mana kamu?"

Lelaki yang menunggang motorsikal tua itupun berhenti. Ternyata teriakan itu datang dari dalam pondok pengawal pintu jalan masuk.

"Mari sini", kata pengawal itu dengan nada yang kasar. "Kenapa terus sahaja masuk?"
"Maaf Encik, palang pintu terbuka, jadi saya terus sahaja masuk", jawab penunggang motosikal itu. "Saya tidak perasan ada pengawal pintu dalam pondok ni".

"Kamu butakah!!!?", tengking pengawal itu. "Mahu ke mana?"

"Saya mahu ke pejabat ladang, Encik. Ada urusan sedikit".

"Urusan dengan siapa?"

"Dengan Penolong Pengurus ladang, Encik".

"Ha ha ha ! Siapa kamu, dengan pakaian selekeh macam ni mahu jumpa tuan?", kata pengawal itu mengejek. Ditelitinya pakaian lelaki penunggang motosikal itu yang berseluar jean lusuh, berbaju kemeja T, kasut kain ala Bruce Lee dengan helmet yang sudah pudar warnanya.

"Bukan siapa-siapa, Encik. Tapi, saya ada temujanji dengan Penolong Pengurus dan dia sedang menunggu saya", jawab lelaki itu.

"Cakap besar! Pergilah! Balik nanti, lapor diri sini!"

"Baiklah Encik".

Lelaki itupun meneruskan perjalanannya. Sang pengawal bersiul-siul gembira kerana telah mengenakan lelaki itu.

Lebihkurang setengah jam kemudian sebuah kenderaan pacuan-4-roda berhenti di depan pondok pengawal itu. Sang pengawal bergegas keluar menghampiri kenderaan itu, berdiri tegak lalu memberikan tabik hormat dengan lagak seperti seorang pegawai tentera. Dari kenderaan itu turunlah penolong pengurus ladang, kemudian diikuti oleh lelaki berpakain selekeh tadi.

"Tuan, ini Manjan Penolong Ketua Pengawal Keselamatan kita", kata Penolong Pengurus ladang kepada lelaki berpakaian selekeh itu.

"Apa khabar, Manjan?", sapa lelaki berpakain selekeh itu.

Manjan termangu tidak dapat berkata apa-apa. Dia bingung bercampur heran kenapa Penolong Pengurus memanggil lelaki berpakaian selekeh itu sebagai tuan.

"Kenapa kamu ni, Jan?" tanya Penolong Pengurus. "Inilah Pengurus Besar kita yang baru. Beliau tanya khabar tu".

"Beb...beb...baik tuan", jawab Manjan akhirnya dengan suara tergagap-gagap.

"Agaknya Manjan kurang sihat ni", kata lelaki berpakaian selekeh itu yang ternyata Pengurus Besar yang baru ditugaskan ke ladang itu.

"Mari kita teruskan melihat keadaan ladang pula", kata Pengurus Besar kepada Penolong Pengurus.

"Baik Tuan", jawab Penolong Pengurus sambil membuka pintu kenderaan untuk lelaki berpakaian selekeh itu kemudian dia naik ke bahagian pemandu dan menghidupkan enjin kenderaan.

Manjan masih lagi berdiri tegak dengan tabik hormatnya.

"Jan", kata lelaki berpakaian selekeh itu dengan senyum kepada Manjan. "Tutup palang pintu masuk tu supaya orang tidak terus masuk tanpa melapor diri kepada pengawal".

(Diolah dari kisah benar)

Kisah Sedih Yang Menyakitkan

Pandai sungguh penceramah itu menyampaikan kisah tentang pengorbanan seorang ibu untuk anak-anaknya. Ramai yang meneteskan airmata.

Setelah ceramah itu selesai para hadirin perlahan-lahan berdiri dan meninggalkan kerusi masing-masing. 

Aku menyusul mereka melalui celah-celah barisan susunan kerusi plastik. Sejenak langkahku terhenti melihat seorang lelaki masih duduk tertunduk di kerusinya. Dalam fikiranku barangkali dia terlelap maka akupun menghampirinya untuk mengejutkannya dari tidurnya itu. Tatkala aku berada didepannya terdengar olehku tangisannya yang terisak-isak. Agaknya tersentuh betul hatinya dengan kisah pilu dalam ceramah tadi.

"Sudahlah tu saudara", tegurku cuba memujuk. "Kisah tu memang menyayat hati tapi ceramahpun dah habis, mari kita pulang".

Tangisannya semakin kuat pula dan di antara rintihannya itu dia menjawab, "Aku menangis bukan sebab ceramah tu".

"Habis tu, pasal apa pula?", tanyaku.

"Pasal inilah, adoiiii!", jawabnya sambil menunjuk ke arah di bawah gulungan kain pelikat yang dipakainya.

"Hmmm...apasal? Boleh saya tengok?"

"Dah begini keadaan, tengok jaklah!!!! Adoiiiii"

Akupun tunduk untuk memeriksa apa sebenarnya yang terjadi. Maka terpandanglah aku masalah sebenar yang membuatkan dia menangis terisak-isak.

Kerusi plastik yang didudukinya itu telah retak. Dia duduk bersilang kaki dengan memakai kain pelikat tipis, maka kulit buahnya (dengan maaf) terjulur ke celah-celah retakan kerusi tersebut, lalu tersepit.

"Patutpun saudara", kataku bersimpati namun nak mampus menahan gelak. "Nanti bila aku tekan kerusi ni, kau berdiri arrr?"

"Okey, okey, kau kira ya, adedeyyy!!!"

"Okeyyyyy! Satu...dua...tigaaaaa!"

Diapun berdiri pantas, maka terlepaslah dia dari cengkaman kerusi plastik itu.

Teladan:
(1) Jangan duduk atas kerusi plastik yang telah retak.
(2) Kalau ke majlis ceramah memakai kain pelikat yang tipis, gunalah juga seluar pendek yang tebal didalamnya, khuatir terjulur...

Sunday, October 16, 2011

Kampung Sri Bahagia Kunak

Kampung Sri Bahagia Kunak dulu dikenali sebagai Kampung Ko-operatif. Nama awal tersebut kerana kampung ini diwujudkan oleh peneroka-peneroka koperasi pekebun kecil.


Aktiviti utama penduduk kampung ialah perladangan kelapa sawit. Meskipun demikian anak-anak peneroka asal telah ramai yang bekerja dengan kerajaan juga dengan syarikat-syarikat swasta. Tidak kurang pula yang telah meninggalkan kampung halaman mereka dan mengusahakan perniagaan sendiri.


Keunikan Kg Sri Bahagia ialah ia dikelilingi oleh ladang kelapa sawit milik sebuah syarikat perladangan, iaitu Ladang Mostyn. Oleh yang demikian untuk sampai ke kampung ini, pengunjung kenalah melalui pintu masuk ke ladang tersebut. 

Di kampung ini terdapat suatu kawasan yang cukup menarik, iaitu air terjun tiga tingkat. Kawasan ini sudahpun menjadi kawasan tempat berkelah dan mandi-manda penduduk kampung juga penduduk dari perumahan Ladang Mostyn.


Jarak perjalanan melalui jalan gravel dari Kg Sri Bahagia ke air terjun tersebut ialah 2 kilometer. Semasa lawatan kami petang tadi, kenderaan pacuan empat roda kami tidak dapat sampai ke lokasi. Kami terpaksa meninggalkan kenderaan tersebut di suatu kawasan dan berjalan kaki sejauh kira-kira 400 meter sebelum sampai ke lokasi.



Kolam paling bawah ini cetek dan sesuai untuk
golongan kanak-kanak
Kolam tengah - tak cukup dalam



Kolam atas. Kedalaman melebihi 6 kaki


Di kawasan itu terdapat 3 buah kolam semulajadi. Kolam paling atas adalah yang paling dalam dan boleh menenggelamkan orang dewasa. Kolam tengah sederhana dalamnya dan kolam yang paling bawah adalah yang paling cetek.



Kalau hendak berkunjung ke kawasan air terjun ini lapor diri dulu kepada Pengerusi JKKK atau mana-mana AJK JKKK Kg Sri Bahagia. Bukan apa...jangan sampai anda dicurigai sebagai pencuri buah kelapa sawit. Lagipun, takut ada apa-apa terjadi senanglah dorang bagi bantuan yang sewajarnya.

Di bawah ini ialah plan bagaimana hendak ke kampung tersebut dan juga ke kawasan air terjun yang sempat saya lakarkan. Terowong Kartz Gunung Merapi Mostynpun tidak jauh dari Kg Sri Bahagia.