Barisan Nasional (BN) akan terus kukuh sebagai parti pemerintah jika seruan pengerusinya untuk mengikis empat sikap negatif benar-benar digunapakai oleh pemimpin dan anggotanya. Ketika menyampaikan ucaptama dalam pembukaan Konvensyen Barisan Nasional pada 5 Disember, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan empat sikap negatif tersebut iaitu khayal (delusion), lupa diri (amnesia), jumud (inertia) dan angkuh (arrogance) sebagai "penyakit".
Pada pandangan saya keempat-empat penyakit tersebut mula menular dengan meluas di kalangan pemimpin dan "orang-orang kanan" BN selepas pilihanraya umum ke-11 (PRU11) pada 21 Mac 2004. Dalam PRU tersebut BN sebagai penyandang parti pemerintah telah dipilih semula dengan majoriti yang terbesar sejak tahun 1978. Lebih dari itu, Terengganu berjaya dijinakkan untuk kembali ke pangkuan BN dan ramai kalangan pemimpin BN "khayal" bahawa mereka "lebih baik dan lebih berpengaruh" berbanding barisan pemimpin sebelumnya. Seperti kata Datuk Seri Najib mereka "khayal dan terawang-awang bahawa sokongan diterima daripada rakyat akan berterusan".
Dengan khayalan itu mereka menjadi "lupa diri". Perjuangan asal untuk memakmurkan negara melalui kemakmuran rakyat seluruhnya telah diketepikan. Perlumbaan untuk memakmurkan diri dan kroni menjadi-jadi.
Nikmat yang dikecapi kerana kejayaan memakmurkan diri dan kroni masing-masing menjadikan mereka "jumud" dan enggan membuat pembaharuan dan perubahan. Seperti kata bekas pemimpin kanan UMNO, yang disebutkan dalam blog Che Det:
"Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.
Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.
Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.
Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.
Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar."
Gabungan dua daripada sikap itu sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu angkuh, tiga membuatkannya "super angkuh". Keangkuhan menyebabkannya enggan menerima pandangan dan cadangan orang ramai. Super-keangkuhan pula menyebabkan seseorang itu membuta tuli dan tidak mengendahkan teguran dan nasihat orang yang lebih berpengalaman darinya. Malah apabila seseorang yang pernah disanjung dan dianggap sebagai wira menegur dan menasihati, wira itu dilabel sebagai "penyibuk".
Para pemimpin BN yang merasa masih memiliki dan merasa sukar untuk mengikis mana-mana sikap negatif tersebut eloklah berundur diri dalam keadaan masih dihormati. Andai terus bertahan, rakyat akan mengikis pemimpin sedemikian dan akhirnya terpaksa jua berundur...dalam keadaan tanpa penghormatan, dan BN akan turut terhakis.
Jika BN benar-benar dapat mengikis empat penyakit itu, atau mengikis pemimpin-pemimpinnya yang masih "berpenyakit", insya Allah rakyat akan terus memberikan mandat kepada BN untuk terus mentadbir negara.
No comments:
Post a Comment