Sunday, May 30, 2010

BIAR SELAMAT DAN SELESA DALAM KEPESATAN PEMBANGUNAN

Berikut adalah ulasan saya bagi pos Suara Rakyat Kunak : Dari Dahulu Hingga Sekarang Masih Serupa, untuk dikongsi bersama pembaca budiman blog Kunakians.



Salam saudara,

Maaf, saya tidak bersetuju dengan catatan anda bahawa "kesesakan jalan di Pangkalan Kunak masih seperti dahulu juga waktu zaman British" kerana logiknya, waktu itu saya percaya terdapat tidak sampai 10 buah kereta di daerah Kunak. Macamana boleh sesak? Kesesakan jalan sekarang adalah ekoran peningkatan ekonomi negara dan penduduk Kunak jua sehingga hampir setiap keluarga di Kunak mampu memiliki kenderaan sendiri. Rancangan perluasan jalan di kawasan pengkalan memang ada sejak beberapa tahun yang lalu, namun jika dilaksanakan maka banyak rumah penduduk di Kampung Pengkalan terpaksa dirobohkan. Kemana mereka hendak pergi membawa keluarga mereka? Jika pihak kerajaan tidak mengamnbilkira perkara itu lalu melakukan kerja pengluasan jalan tanpa menyediakan tapak alternatif kepada penduduk, bukankah itu namanya kerajaan yang tidak berhati perut? Kerajaan begitukah yg sdr SRK cadang menggantikan BN? Rakyat Kunak pasti tidak setuju.
Bangunan-bangunan yang tersergam megah di kebanyakan bandar di dunia ini adalah milik swasta, orang perseorangan dan syarikat-syarikat. Penduduk tempatan yang mampu, bolehlah membeli lot-lot dari pemaju. Oleh itu, jika kita inginkan bangunan-bangunan sedemikian dinikmati dan dimiliki oleh penduduk Kunak, kita harus terlebih dahulu membangun ekonomi rakyat Kunak. Apa gunanya daerah kita ini memiliki gedung-gedung mewah jika kita hanya menjadi penonton dan orang dari luar yang mengaut keuntungan darinya.
Kita patut mencadang pembinaan sesuatu bangunan kepada kerajaan jika ada keperluan. Jika kita meminta dibina sesebuah bangunan semata-mata kerana kita lihat bangunan sedemikian terdapat di daerah berhampiran maka akan terdapat lebih banyak bangunan seperti Pejabat Kastam yg sdr sebutkan. Cukuplah.
Usaha memajukan industri pelancongan di Daerah Kunak memang ada. Saya sudah mendengar beberapa kali ADUN Kunak menyuarakan perkara ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri. Beliau bahkan telah melawat sendiri ke beberapa lokasi di daerah ini yang berpotensi dijadikan produk pelancongan.
Pemimpin daerah ini tentu amat gembira jika sdr dapat mengemukakan bukti kukuh mengenai dakwaan sdr bahawa tanah Golden Hope yang kini dimiliki oleh Sime Darby, dari Kunak ke Simpang 4, telah dikembalikan kepada MDK. Jika benar, bolehlah kita cadangkan dibina perumahan yang mampu dimiliki oleh penduduk Pengkalan, agar mereka boleh berpindah dengan selamat. Barulah jalan Pengkalan boleh diperbesarkan. Soal pembinaan Universiti belakang kira. Buat apa universiti besar-besar, jika pelajar-pelajar kita dan ibubapa mereka terpaksa tidur di kaki lima?
Kita memang mahukan kemajuan pesat, tetapi biarlah kita selamat dan selesa dalam kepesatan itu. Kita memang mahukan pembangunan, tetapi biarlah pembangunan itu sesuai dengan keperluan penduduk tempatan tanpa memudharatkan mana-mana pihak.
Jika Kunak menjadi bandar, biarlah ia sebuah bandar yang tenteram dan makmur. Jika gedung-gedung membeli belah hendak tumbuh bagai cendawan, biarlah kita mampu membeli-belah di gedung-gedung itu.
Daripada Kunak menjadi bandar yg dipenuhi pusat-pusat maksiat, yg kelak menggadai maruah dan kehormatan anak-anak kita, biarlah ia tetap sebagai pekan yang sederhana.

BUKIT BATURONG - KHAZANAH NEGERI YANG DILUPAKAN BHG 2

Kami meneruskan perjalan menyusur tepi kaki Bukit Baturong. Pada suatu peringkat, kaki bukit sangat berhampiran dengan sebatang sungai yang memberikan kami cuma dua pilihan iaitu samada meredah air sungai itu atau meniti titian batu kapur. Rombongan memilih untuk meniti titian sepanjang lebihkurang 14 kaki itu sambil memaut pada batu-batan di sekeliling. Sementara itu kami terus memerhati ke sekeliling mencari patung sphinx.


Beberapa tompokan najis gajah, Elephas maximus, turut ditemui menunjukkan bahawa spesis haiwan yang diancam kepupusan itu masih aktif di kawasan ini. Selama mana keadaan itu boleh bertahan adalah bergantung kepada usaha-usaha pihak berkuasa untuk melindunginya.
Keadaan flora juga amat mengagumkan. Terdapat sebatang pohon sebesar batang kelapa yang terletak di atas satu blok batu besar. Sekali pandang, seakan-akan batu itulah merupakan akar pohon tersebut. Sebenarnya, akarnya menjalar jauh ke samping untuk mencapai tanah lembut bagi mendapatkan nutrien. 



Tidak berapa lama kemudian, hujanpun turun. Kami meneruskan juga perjalanan kerana tidak ada tempat untuk berteduh. Jam di telefon bimbit menunjukkan pukul 2:24 petang - sudah hampir tiga jam kami meninggalkan kenderaan di tepi jalan. Hujan semakin lebat, pacat semakin bermaharajalela, rombongan semakin lelah. Aku dan beberapa rakan yang berada di hadapan cuba mempercepat langkah untuk segera mencari tempat berlindung. 
"Konvoi Dua ke Konvoi Satu, sila perlahankan langkah, over", bunyi radio di saku beg galasku. Suara itu datang dari Andi, yang ditugaskan untuk berada di belakang kolum rombongan bagi memastikan tidak ada ahli rombongan yang tercicir.
"Konvoi Satu ke Konvoi Dua, kita harus mencari kawasan untuk berlindung dari hujan, harap dapat bergerak lebih pantas, over", jawabku menggunakan radio amatur itu buat pertama kalinya.
"Konvoi Dua ke Konvoi Satu, peserta di kolum belakang kebanyakan dari kaum Hawa dan tidak mampu bergerak pantas, harap perlahankan langkah, over", pinta Andi.
"Konvoi Dua ke Konvoi Satu, berita faham, roger and out" jawabku, kemudian meminta rakan-rakan bersamaku untuk memperlahankan langkah. 
Pukul 3:05 petang kami tiba di bahagian timur selatan Bukit Baturong. Andi tiba bersma rombongan 15 minit kemudian.



"Di kawasan inilah dikatakan patung ada ditemui", kata Encik Lauseng.
Aku melihat ke sekeliling, tiada tanda-tanda patung tersebut. Namun aku tertarik dengan keadaan kaki bukit yang terbentuk megah seperti bumbung sebuah stadium.
"Bagus juuugak ada macam bumbung untuk berteduh", kata Haji Mokmin dengan logat Cocosnya. Dia tetap tersenyum walau letih dan dalam keadaan basah kuyup.





Aku mengumpul daun-daun dan ranting kering yang terdapat di bawah bumbung semulajadi itu, mencapai pemetik api dari beg galas lalu menyalakan api untuk memanaskan badan.
"Kemungkinan besar, ini terbentuk akibat hakisan air sewaktu kawasan di kaki bukit ini ditenggelami oleh limpahan air Sungai Tingkayu dan membentuk tasik", jelasku kepada Haji Mokmin. 
Aku tidak tahu apa respon Haji Mokmin terhadap penjelasan itu. Aku sedar yang beliau sedang berkata sesuatu dengan panjang lebar, namun aku tidak memahaminya - fikiranku jauh melayang kembali ke zaman silam, zaman ketika Tasik Tingkayu mula kering dan mendedahkan kawasan ini kepada sekumpulan pemburu zaman batu. Terbayang keadaan mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke kawasan ini lalu mendapatinya sesuai dijadikan tempat berlindung. Inilah 'rumah' mereka untuk beberapa ribu tahun lamanya.
"Dimana agaknya patung sphinx?", tanya seorang ahli rombongan menghentikan lamunanku.
"Entahlah!"
Pada dinding lekuk kaki bukit sudah terdapat banyak tulisan-tulisan grafitti. Ternyata kawasan ini sudah dicemari oleh kegiatan vandalisma. Kehampaan mula menyelubungi perasaan. Mungkinkah sphinx telah menjadi mangsa vandalisma? Sejauh mana lagi tapak pra-sejarah ini akan menjadi mangsa mereka? Khazanah ini seakan telah dilupakan.


Dalam keadaan hampa itu kami meneruskan perjalanan mencari jalan pulang.
"Hello! Hello! ada dengarkah?", bunyi radio di beg galasku.
"Roger, dari Konvoi Satu", jawabku. "Siapa disana? over".
"Dahlan di sini", jawab Dahlan yang menggunakan radio di base camp. "Saya dan 9 orang sudah sampai di jalan tepi sempadan hutan dengan ladang kelapa sawit, over".
"Konvoi Satu ke base camp, jejak kamu tidak dapat di kesan, over".
"Base camp ke Konvoi Satu, menghala arah utara untuk sampai ke sempadan hutan dengan ladang sawit, over".
"Berita faham, over and out".
"Otto, tolong ambil kompas di saku beg galas di belakangku", pintaku pada jurugambar professional yang bersamaku.
"Konvoi Dua ke Konvoi Satu, sila buat tanda untuk kami menjejaki, over", suara Andi di radio.
"Roger, ikuti kesan cantasan pada ranting, over".
"Berita faham, over and out".
Kami tiba di sempadan hutan dengan ladang kelapa sawit milik Sime Darby Plantation pada pukul 4:30 petang. Selepas berehat buat seketika kami bertolak pula ke lokasi kolam air masin







Saturday, May 29, 2010

PAYA AIR MASIN DI PUNCAK BUKIT MUNGKIN GEYSER?

Air atau cecair pada kebiasaannya mengalir dari kedudukan paras tinggi ke paras rendah. Berlainan pula halnya dengan air yang mengisi dua buah kolam di puncak bukit di kawasan Tingkayu, kira-kira 35 kilometer ke barat-laut Pekan Kunak.

Pada ketinggian lebihkurang 650 kaki dari paras laut, air dari dasar kolam membuih keluar ke kolam-kolam tersebut. Airnya suam-suam panas dan terasa masin. Bau seperti keadaan paya di tepi laut dapat dihidu oleh pengunjung, manakala tumbuh-tumbuhan di sekeliling mempunyai dedaun yang tebal belaka seperti keadaan dedaun bakau.

 

Antara persoalan-persoalan mengenai kolam ini ialah:
  • Bagaimanakah air menjadi masin dalam kolam yang begitu jauh dari laut dan berada di puncak bukit? Mungkinkah tanah bukit itu mengandungi banyak mineral garam natrium?
  • Apakah yang menolak air dari dasar kolam yang berada benar-benar di puncak bukit pada kedudukan yang begitu tinggi? Mungkinkah air itu hasil daripada wap di dasar bumi lalu mengalami kondensasi ketika menghampiri permukaan?


   


Mungkin yang berikut merupakan penjelasan yang agak logik:

  1. Sejarah dan bukti keadaan batuan menunjukkan yang suatu ketika dahulu (30,000 SM) sebuah gunung merapi telah meletup di Daerah Kunak, iaitu Gunung Mostyn. Jadi, nyatalah bahawa kawasan ini merupakan kawasan gunung merapi.
  2. Air dari permukaan meresap ke bawah tanah, pada masa yang sama melarutkan garam dan membawa garam bersamanya. Air dan larutan garam bersentuhan dengan batuan panas atau lahar bawah tanah, menjadi panas lalu membentuk wap. Tekanan air yang panas dan wap menyebabkan air ditolak keluar melalui liang-liang tanah hingga ke permukaan.



Friday, May 28, 2010

BUKIT BATURONG - KHAZANAH NEGERI YANG DILUPAKAN

Lebihkurang 30 ribu tahun dahulu, lahar dari letupan Gunung Mostyn telah membentuk tembok pada Sungai Tingkayu. Akibatnya, tasik seluas 100 km persegi telah terbentuk di kawasan Lembah Tingkayu-Baturong. Bukit batukapur Baturong yang terletak pada koordinat U 04 41.479, T 118 01.021 menjadi sebuah pulau batukapur di tengah-tengah tasik itu.


Sekumpulan manusia telah datang, menetap dan hidup makmur di tebing Tasik Tingkayu itu.
Dua belas ribu tahun kemudian, tembok lahar itu telah pecah. Tasik menjadi kering dan penduduk di sekitar tasik kehilangan punca tangkapan ikan air tawar.
Seperti biasa apabila 'keadaan ekonomi' merundum, manusia akan bertebaran mencari punca rezeki yang lebih baik. Penduduk di tebing tasik telah berpecah ke segenap arah. Akhirnya, sekumpulan dari mereka sampai ke Bukit Baturong.
Lapan belas ribu tahun kemudian, pada 27 Mei 2010, satu rombongan seramai 60 orang diketuai oleh Datuk Nilwan Kabang, ADUN Kunak, telah meredah hutan ke Bukit Baturong. Turut serta dalam rombongan ialah Ketua Polis Daerah dan beberapa orang anggotanya, wartawan dari Daily Express, BERNAMA dan RTM.


Dengan menggunakan 11 buah kenderaan pacuan 4 roda, kami bertolak dari pekarangan rumah Datuk Nilwan pada pukul 8:40 pagi dan tiba di suatu lokasi dalam kawasan Sime Darby Plantation (lihat peta di atas) pada pukul 9:30 pagi. Dari sana kami berjalan kaki ke selatan meredah hutan. Setengah jam kemudian, kamipun tiba di pintu Gua Baturong.



Di hadapan pintu gua kedengaran suara-suara dari ahli rombongan mengucapkan takbir, memuji kebesaran Ilahi. Terbayang di benak keadaan manusia zaman dahulu kala yang pernah melalui daerah ini dengan tubuh berbalut kulit haiwan, bersenjatakan lembing mata batu, membawa pulang haiwan buruan bagi mengisi perut anak-isteri yang kelaparan. Aku menurunkan beg galas dari bahu, mengeluarkan lampu suluh dan kamera video lalu melangkah masuk ke dalam gua. Beberapa meter ke dalam gua, aku menoleh ke belakang dan merekam pergerakan rakan-rakan yang turut masuk ke dalam gua. Tidak semua membawa lampu suluh.




Keadaan di dalam amat gelap. Cahaya lampu suluh LED yang terletak pada topi di kepalaku amat sukar menembusi kegelapan itu. Aku hanya dapat menganggarkan saiz purata gua sebagai 20 kaki lebar dengan ketinggian antara 10 hingga 15 kaki.
Pada mulanya, aku agak kehairanan melihat bentuk stalagtit dan stalagmit dalam gua itu. Hujung stalagtit dan stalagmit dalam Gua Baturong adalah tumpul, tidak meruncing seperti yang terdapat di dalam kebanyakan gua batukapur. Kemudian, aku faham. Itulah bukti yang gua ini dahulunya telah ditenggelami air ketika wujudnya Tasik Tingkayu. Air telah menghakis hujung stalagtit dan stalagmit sehingga menjadi bulat atau leper.



Kicauan burung-burung walit kedengaran seperti bunyi mesin taip usang. Tuah menyebelahiku. Pada ssuatu stalagtit, sepasang burung walit bersarang rendah, cuma lebihkurang 6 kaki dari lantai gua. Aku menghampirinya dan merekamkannya menggunakan handycam bercahayakan lampu suluh yang aku bawa.


Beberapa meter ke Selatan aku bertemu pula seekor kelelawar gua yang juga bergayut rendah.



Lebihkurang selepas 15 minit berjalan di dalam, gua bercabang dua. Kami memilih cabang sebelah kanan. Sepuluh minit kemudian, lantai gua menurun dan keadaannya amat licin. Dari kejauhan, cahaya matahari menyelinap masuk. Lantai gua kemudian cerun menaik, juga sangat licin. Akhirnya, kamipun sampai ke bahagian selatan Bukit Baturong.


"Dimana letaknya patung sphinx yang pernah ditemui oleh pencari sarang burung walit?", tanya Datuk Nilwan kepada Encik Lauseng, seorang pekerja Ladang Baturong, yang bertindak sebagai penunjuk jalan.
"Khabarnya, di hujung Bukit Besar ke sebelah timur", jawab Encik Lauseng.
"Berapa kilometer dari sini", tanya Datuk Nilwan lagi.
"Kurang pasti, tuan", kata Encik Lauseng yang belum mengetahui bahawa sedari tadi dia telah berbual dan berborak dengan Yang Berhormat. 
Itulah Datuk Nilwan, yang apabila berada dalam suatu kumpulan, sedangkan dia adalah pemimpin kumpulan itu, maka dia tidak kelihatan sebagai pemimpin mereka. Dan apabila, dia berada dalam suatu kumpulan yang tidak ada pemimpin, maka dia kelihatan sebagai pemimpin mereka. 
"Tapi, ooooh jauuuh lagi!", sambung Encik Lauseng dengan logat kampunnya.
Setelah berunding, kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan mencari patung itu.

....BERSAMBUNG dalam BUKIT BATURONG-KHAZANAH NEGERI YANG DILUPAKAN BHG 2.
INSYA ALLAH.

Update: Sambungan di sini: Bhg 2 dan Sphinx Baturong

Sunday, May 16, 2010

JELAJAH POTENSI PRODUK PELANCONGAN DAERAH KUNAK


Hujan yang turun pada pagi Sabtu, 15 Mei 2010, gagal mematahkan hasrat rombongan untuk melawat beberapa lokasi menarik dan berpotensi untuk dijadikan produk pelancongan di Daerah Kunak. Dengan menggunakan 7 buah kenderaan, rombongan yang diketuai oleh Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang (ADUN Kunak) itu bertolak dari Pekan Kunak pada pukul 8:30 pagi dalam keadaan hujan renyai-renyai.
Sepuluh minit kemudian, rombongan tiba di pintu masuk Ladang Sime Darby Mostyn. Pengawal Keselamatan menyambut ketibaan kami dengan penuh mesra. Mereka telah diberi arahan lebih awal oleh pihak pengurusan Sime Darby Plantation untuk membantu melancarkan ekspedisi rombongan.

Hujan reda seketika dan kamipun mengambil kesempatan untuk bergambar di hadapan papan tanda Ladang Mostyn.
Sejurus kemudian kami bertolak ke Ladang Sime Darby Sungang untuk melawat kawasan Kolam Air Panas Sungang. Pengawal Keselamatan di pintu masuk ke Ladang Sungang menyambut ketibaan kami dan mengiring sehingga ke lokasi.





Dari lokasi Kolam Air Panas Sungang, kami berpatah balik ke Ladang Mostyn untuk melihat bangunan yang pernah diguna sebagai balai polis tentera Jepun pada masa Perang Dunia Kedua. Bangunan yang dibina pada tahun 1942 itu masih utuh seperti asal. Hanya bumbung kayu bilian yang telah ditukar dengan bumbung asbestos.
Tidak jauh dari bangunan itu terdapat pula puing-puing bangunan kuil dan markas tentera Jepun. Terdapat sebuah bukit batu ke Utara yang dikatakan sebagai tempat menjalankan hukuman gantung.

Hujan turun lagi. Kami meneruskan perjalanan ke lokasi Terowong Misteri Mostyn. Lokasi yang kami lawati bukanlah pintu terowong yang sebenar. Ia merupakan runtuhan bumbung terowong yang membawa kepada penemuan terowong tersebut pada pertengahan tahun 1980an.


Ada yang mengandaikan bahawa terowong tersebut telah dibina oleh pihak tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Dikatakan bahawa panjang terowong ialah 12 kilometer dan mempunyai 5 cabang. Spekulasi juga turut menyatakan yang terowong tersebut tembus hingga ke Kampung Simpang Empat dan pesisiran Pantai Kunak. Namun begitu, tidak terdapat dokumentasi mengenai panjang sebenar terowong dan bagaimana ia wujud.
Bagi penulis, andaian bahawa ia dibina oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua sukar diterima. Ini adalah kerana, tentera Jepun menduduki Negeri Sabah hanya dalam tempoh 4 tahun. Agak luar biasa untuk mereka mampu membina terowong selebar lebihkurang 15 kaki dengan ketinggian juga 15 kaki sepanjang 12 km seperti yang didakwa dalam tempoh tersebut. Perlu diingat bahawa jentera pengorek di Borneo pada ketika itu belum ada lagi. Mungkinkah terowong itu sebenarnya merupakan "gua bawah tanah"? Wallahu a'lam.






Dari Terowong Misteri Mostyn, kami meneruskan perjalanan ke lokasi Kolam Lumpur Binuang. Dua orang anggota Polis Bantuan Ladang Sime Darby Binuang mengiringi kami ke lokasi.



Di kawasan ini terdapat dua buah kolam lumpur dengan jarak 100 meter antara satu sama lain. Menurut cerita para pekerja ladang yang kami temui, kolam-kolam tersebut dikatakan sebagai "pasangan suami isteri". Kolam besar dan kerap dikunjungi dikatakan sebagai kolam perempuan manakala kolam yang lebih kecil dan masih terlalu sedikit yang mengetahui tentang kewujudannya dikatakan sebagai kolam lelaki.
Pekerja ladang yang berasal dari Sulawesi, Indonesia percaya bahawa kolam lumpur itu ada hubungkait dengan laut Selat Makassar. Justeru, sebelum mereka berangkat ke Sulawesi untuk bercuti, mereka akan melawat kolam lumpur tersebut dan memerhatikan keadaan gelegak atau gelembung lumpur di kolam tersebut. Jika gelegak lumpur agak besar, bermakna keadaan laut di Selat Makassar agak bergelora. Dalam keadaan sedemikian, mereka akan menangguhkan pelayaran.
Sebaliknya, jika keadaan kolam tenang, laut di Selat Makassar juga agak tenang.
Sewaktu lawatan ini, kolam aktif bergelegak.





Ada beberapa kawasan yang mungkin lebih menarik dalam perancangan untuk kami lawati. Insya Allah, di lain kesempatan...
Penat sudabah...

Lagi gambar dan laporan di Kunak Press