Wednesday, October 6, 2010

Memahami Perasaan Kanak-Kanak Melalui Lukisan

Peringkat perkembangan kognitif menurut Piaget, pada usia antara 7 hingga 12 tahun, kanak-kanak dikatakan berada pada Tahap Operasi Konkrit (OK). Pada tahap tersebut kanak-kanak sudah mula menunjukkan cara pemikiran yang logik dan tersusun manakala cara pemikiran transduktif (1) dan egosentrik (2) mula berkurangan berkurangan.
Pada tahap OK ini juga kanak-kanak sudah boleh mengkelaskan dan membezakan antara objek berlainan secara logik, misalnya membezakan antara haiwan dengan tumbuhan, kenderaan dengan pakaian, dan sebagainya. Pada tahap sebelumnya, iaitu tahap Pra-Operasi (PO) kanak-kanak umumnya hanya dapat mengkelaskan objek  berdasarkan ciri-ciri luaran, misalnya warna.
Entri ini tidaklah bermaksud untuk mengemukakan kupasan penuh mengenai mesej yang mungkin ingin disampaikan oleh kanak-kanak melalui lukisan. Tujuannya adalah sekadar bersama menyedari bahawa ada kalanya kanak-kanak ingin berkomunikasi dengan kita tentang sesuatu perkara, namun tidak dapat menzahirkannya melalui kata-kata. Kita harus menyedari bahawa pada tahap OK perbendaharaan kata kanak-kanak agak terhad. Justeru bila ada peluang, mereka akan meluahkan perasaan dan pandangan mereka melalui lukisan.
Contoh-contoh lukisan dalam entri ini adalah dari anak perempuan saya yang berusia 8 tahun. Acapkali dia minta kertas A4 untuk melukis. Apabila lukisan itu siap, dia akan memberikan kepada saya.


Contoh Lukisan 1

Lukisan #1 di atas menunjukkan suatu keadaan rumah dengan persekitaran yang ceria. Keadaan rumah kami memang lebihkurang dengan yang digambarkan pada lukisan tersebut - saiz kecil, terdapat kolam ikan dan di belakang rumah memang terdapat bukit.
Kereta dengan asap keluar dari ekzoz mungkin gambaran kedudukan rumah kami yang terletak berhampiran jalanraya. Namun, ia juga mungkin memberi mesej yang kanak-kanak itu hendak dibawa bersiar-siar atau dia merasa terlalu terkongkong. Gambaran rumah menyokong andaian bahawa dia merasa terkongkong dan belon dengan wajah ceria memberikan gambaran yang dia rindukan keadaan lepas-bebas atau inginkan permainan sedemikian.
Simanja berkenaan memberikan lukisan itu pada hari Sabtu. Keesokan harinya ialah hari Ahad, hari Pasar Tamu atau Pasar Minggu di pekan. Pagi-pagi lagi saya membangunkan Simanja dan mengajaknya ke pasar bersama ibunya sekali untuk membeli barangan keperluan dapur. Pada kebiasaannya, kanak-kanak itu agak liat untuk bangun pagi, tetapi pada hari itu dia segera bangkit menuju ke bilik mandi dan bersiap untuk mengikuti kami ke pasar.
Kebetulan, di pasar tersebut terdapat sebuah gerai berhampiran sebuah bengkel kereta, yang menjual belon berisi gas ringan (mungkin argon).
"Sayang nak belon tu kah?", tanyaku kepada anak saya.
Dengan pantas dan tersenyum lebar dia menjawab, "Nak!".


Contoh Lukisan 2

Lukisan #2 saya terima sekembali dari mesjid menunaikan solat sunat Aidilfitri. Setelah melihat lukisan itu sayapun tersenyum lebar.
"Yang pakai songkok tu, siapa?", tanyaku.
"Ayahlah", jawab si anak tersipu-sipu.
"Perempuan cantik di sebelah ayah?", tanyaku lagi walau sudah menduga jawapannya.
"Yang tu, Umi!" jawab si anak lagi.
Saya mengucapkan terimakasih dan memberi pujian kepada anak itu dan juga kepadaNya kemudian merangkulnya erat sambil berdoa di dalam hati semoga dia sentiasa diberkati Allah dengan ketaqwaan dan kemurnian jiwa patriotisma.
Saya pernah membaca artikel mengenai lukisan wajah manusia oleh kanak-kanak yang harus diberi perhatian jika terdapat ciri-ciri tertentu yang berulangkali pada lukisan wajah oleh kanak-kanak tersebut:
  • Telinga yang terlalu besar dan tidak terdapat sebarang perhiasan pada telinga tersebut. Gambaran itu mungkin menunjukkan yang kanak-kanak tersebut sering terdedah kepada kata-kata kesat. Kadangkala kanak-kanak itu melakar garisan-garisan menghala ke telinga tersebut.
  • Mulut digambarkan sebagai suatu garisan memanjang mungkin menunjukkan keadaan kanak-kanak yang cemas.
  • Tidak terdapat mulut pada lukisan mungkin menunjukkan yang kanak-kanak itu tidak dapat berkomunikasi secara lisan.
  • Mata di lukis sebagai bulatan kosong atau berbentuk biji kosong boleh memberi isyarat kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan yang sukar untuk memahami keadaan sebenar di sekelilingnya.
  • Gigi tajam bergergaji mungkin suatu isyarat akan kecenderungan terhadap tingkahlaku yang agressif terutama bila ia disertai grafik-grafik meruncing, misalnya telinga runcing, kaki runcing, rambut tegak lurus dan jejari atau kuku tajam.
Contoh Lukisan 3

Lukisan #3 dilukis ketika TV banyak menyiarkan insiden "Ganyang Malaysia".

Contoh Lukisan 4

Lukisan #4 sewaktu kucing kami sakit.


(1) Pemikiran transduktif menggunakan cara berfikir berikut: "Jika hari ini A menyebabkan B, maka A akan sentiasa menyebabkan B".
(2) Orang yang berfikiran egosentrik menilai setiap sesuatu berasaskan keadaan dirinya sendiri dan umumnya mementingkan diri sendiri.


Entri berkaitan pendidikan kanak-kanak dalam blog ini:

2 comments:

kasda said...

Saya sangat suka membaca "memahami perasaan kanak2 melalui lukisan" ini. Terima kasih di atas pengetahuan yg dikongsi bersama. Saya ingin tahu pula tentang pemasalahan kanak2 yg sering menulis huruf secara terbalik. Kenapa ia berlaku pada setengah kanak2 dan bagaimana mengatasi masalah kanak2 tersebut?

Pak Runa said...

@kasda: Terimakasih atas komen sdr. Pertama sekali saya ingin memohon maaf dan menjelaskan bahawa saya bukanlah pakar dalam bidang ini. Apa yg saya telah tulis, juga jawapan yang saya akan berikan kepada soalan sdr adalah berdasarkan serba sedikit kpd pengalaman dan pembacaan.

Tidak perlu risau jika kanak2 yang berusia dalam lingkungan enam tahun ke bawah menulis huruf secara terbalik, misalnya 'b' menjadi 'd'atau P. Bahkan ada kalanya mereka menulis ejaan nama sendiri secara terbalik, misalnya, AZIZAH menjadi HAZIZA.
Dalam perkembangan 'kesedaran' kanak2, mereka mula2 belajar mengenali "konsep sisi" iaitu 'kiri' dan 'kanan' atau sekurang2nya menyedari bahawa tubuh mereka mempunyai dua sisi. Kesedaran itu kemudiannya berkembang lebih lanjut untuk mereka mengenali "konsep arah" iaitu mengetahui dan mengerti apa itu sebenarnya 'kiri dan kanan', 'atas dan bawah', 'maju dan mundur', dsb.
Tahap kesedaran kanak-kanak berusia dibawah 6 tahun tentang "konsep arah", belum berkembang sepenuhnya. Oleh itu, bagi mereka 'b','d'dan 'P' adalah sama sahaja, yang penting 'ia' terdiri daripada 'satu garis lurus dan satu benda separa-bulat'. Kedudukan 'benda separa-bulat' itu tidak ada makna bagi mereka. Fungsi otak mereka belum lagi menyedari bagaimana bentuk huruf itu yang sepatutnya.
Demikian juga, bagi AZIZAH yang menulis namanya sebagai HAZIZA. Bagi Azizah ia sama sahaja, yang penting ialah kedudukan huruf-huruf itu antara satu sama lain, samada di sebelah kiri atau kanan...itu tidak penting baginya. Tatkala Azizah semakin membesar dan berpeluang melihat namanya ditulis dalam susunan sebenarnya, maka dia akan mula berfikir, "Eh! Macam ada yang tak kena dengan yang aku tulis". Seterusnya, Azizah akan menyedari, "Wah! yang aku tulis ni, sebenarnya terbalik!" Insya Allah.

Saya tidak tahu, berapa umur kanak2 yg kasda maksudkan. Namun walau apapun lingkungan usianya, saya andaikan tidak semua huruf ditulisnya secara terbalik. Maka untuk memperbetulkan tulisan kanak2 itu, satu daripada cara yang mungkin boleh membantu ialah dengan menuliskan contoh huruf yang betul dan minta kanak2 itu menyalinnya 10 atau 20 kali. Jika tidak berhasil, cuba dapatkan di kedai-kedai buku atau kedai alatulis, 'pembaris' yang 'ditebuk' dengan huruf-huruf dan minta kanak2 tersebut 'trace' huruf2 berkenaan beberapa kali menggunakan pensil.
Semoga dapat membantu.