Sunday, October 3, 2010

Mohon Restu Ilmu daripada Guru Sebelum Menduduki Peperiksaan

Jasa guru tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Guru yang benar-benar dedikasi dan bertanggungjawab akan sentiasa berusaha memperturunkan ilmu kepada murid-muridnya tanpa kenal erti penat lelah dan tidak begitu menghiraukan apakah gaji dan elaun yang diterima setimpal dengan pengorbanan mereka.

Sebagai seorang yang pernah bergelar 'cikgu', ganjaran paling berharga yang saya alami ialah melihat anak didik mencapai kejayaan dalam hidup. Begitu pula, perasaan hampa dan kecewa menyelubungi jiwa apabila melihat ada di antara bekas murid kita yang terlibat dalam perkara-perkara yang tidak disenangi masyarakat.
Justeru ketika anak kami, seorang pelajar Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu (SMSLD), menelefon saya beberapa hari yg lepas memaklumkan bahawa suatu majlis Mohon Restu akan diadakan di sekolah berkenaan, sayapun serta merta menjawab yang saya, ibunya dan juga adik-adiknya akan hadir di majlis berkenaan.
Dua hari sebelum bertolak saya membuat kerja-kerja memastikan van saya berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk digunakan. Maklum van itupun sudah berusia, seperti juga pemiliknya.  Perjalanan dari Kunak ke Lahad Datu pula melalui beberapa laluan cerun dengan selekoh tajam dan panjang. Sebab itulah saya jarang memandu kenderaan ke Lahad Datu. Kalau ada hal hendak diusai di bandar itupun, saya lebih suka menggunakan pengangkutan awam. Saya sedari bahawa laluan tersebut telah banyak memakan korban jalanraya.
Majlis berkenaan berlangsung pada Sabtu, 2 Oktober 2010. 
Check lists: Tayar, brek, lampu, enjin, radiator, steering, windscreen, wiper, hon, bateri...semua dalam keadaan memuaskan, barulah kami bertolak. 
Di laluan mendaki menghampiri simpang ke Lembah Danum, sebuah motokar memintas. Saya terpaksa memperlahankan kenderaan kerana sebuah lori sedang laju menuruni bukit, dari arah bertentangan.  Pemandu lori membunyikan hon memanjang. Mujur, motokar 'berhias' tersebut sempat mengelak dengan mengambil jalan kiri benar-benar di hadapan van kami. Walau dalam keadaan mendaki, saya terpaksa menekan brek kecemasan. Kalau tidak, "tercium" pula buntut motokar itu.
Sesampai di puncak bukit, tidak jauh dari simpang ke Lembah Danum, kelihatan asap putih keluar dari celah-celah bonet motokar tadi dan pemandunya terpaksa berhenti.
"Itulah contoh pemanduan tidak berhemah, dan itulah akibatnya", jelasku kepada anak-anak yang ikut bersama.
Kami tiba di bulatan Taman Sri Perdana pada pukul 10:14 pagi, satu jam empatbelas minit selepas bertolak dari rumah.
"Pekena roti canai dulu, ayah", pinta anak lelakiku, pelajar Tkt 2.
Majlis di SMSLD akan bermula sebaik masuk waktu Zohor. Masih banyak ruang masa lagi, jadi sayapun menunaikan permintaan sang remaja. Kami singgah di sebuah restoran bernama "RS". Okeylah, cuma servisnya tidak berlandaskan "first-come-first-serve". Kami terpaksa mengingatkan pelayan beberapa kali sebelum menu yang kami pesan dihidangkan, lebihkurang 50 minit selepas kami membuat pesanan. Saya tak akan membawa keluarga saya ke restoran itu lagi.
Kami tiba di SMSLD pada pukul 11:35 pagi dan disambut ramah oleh AJK Majlis dari kalangan pelajar. Tidak lama kemudian, anak kami yang belajar di sekolah itu tiba dan membawa kami ke surau sekolah. Sudah ramai ibubapa yang hadir.
Waktu solat zohor tiba pada pukul 11:59 dan kami menunaikan solat berjemaah bersama para pelajar dan guru-guru, diimamkan oleh seorang ustadz dari sekolah tersebut. Selesai solat zohor kami teruskan pula dengan solat sunat hajat, memohon kepada Yang Maha Esa menerangi hati kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan serta mengurniakan mereka kejayaan dunia dan akhirat.
Selepas solat sunat hajat, kami beramai-ramai mebaca, jantung al-Qur'an, surah Yasin.

Majlis diteruskan di Dewan SMSLD dengan ucapan oleh wakil pelajar, pengerusi PIBG SMSLD, Encik Abd Rauf  selaku wakil ibubapa dan Pengetua SMSLD, Encik Eko Sukohidayat selaku wakil guru. Majlis diteruskan pula dengan penyampaian pensil dan pemadam kepada wakil pelajar sebagai simbol restu para guru kepada pelajar-pelajar mereka.



Sebelum jamuan makan tengahari, para pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM dengan ditemani oleh ibubapa masing-masing menermui guru mereka memohon restu diikhlaskan dan dihalalkan segala ilmu yang telah mereka perturunkan kepada pelajar-pelajar berkenaan.

No comments: