Friday, October 29, 2010

Batu Sapi: Pengusaha Hotel Ambil Kesempatan

Oleh kerana hujan lebat sepanjang jalan perjalanan kami dari Kunak ke Sandakan mengambil masa yang lebih lama dari biasa. Kami bertolak dari Kunak pukul 11:30 pagi dan sampai di Sandakan pukul 5:30 petang. Tentulah, kami singgah makan di Lahad Datu dan juga minum kopi di Kinabatangan.
Setiba di Sandakan kami dapati semua hotel yang biasa kami menginap telahpun penuh. Selepas lebihkurang 3 jam pusing-pusing mencari, akhirnya kami dapat satu bilik di sebuah hotel bertaraf "rumah tumpangan" di kawasan Bandar Sri Indah. Harga sewa untuk satu malam yang dikenakan amat tidak berpatutan - RM 198/=!!!
Apa pilihan yang kami ada? Tidur di kereta atau di surau.
Kami terpaksa akur dengan perasaan yang berat dan menyedari bahawa kesempatan telah diambil ke atas kami.
ilustrasi sebagai hiasan sahaja

Saya percaya, kadar tersebut bukan merupakan kadar yang biasa. Ini tentu kadar yang dinaikkan sewenang-wenang. Pihak hotel berkenaan mengambil kesempatan atas situasi kempen pilihanraya kecil (PRK) Batu Sapi yang sedang rancak berjalan. 
Berbagai pihak tentunya datang ke Sandakan untuk PRK tersebut termasuk penyokong parti-parti yang bertanding, pemberita, pemerhati dan juga pelancong yang ingin mengambil kesempatan melihat bagaimana pilihanraya dijalankan di negeri ini. 
Tindakan menaikkan kadar sewa hotel sewenang-wenangnya adalah suatu sikap yang tidak beretika dan menjejaskan nama baik pengusaha yang berkecimpung dalam industri tersebut.

Ininilah kualiti resit yang diberikan kepada kami bagi
 bayaran "deposit"RM200 turut menggambarkan kualiti bilik


Wednesday, October 27, 2010

Bencana Berkembar di Indonesia

Sejurus selepas tsunami berlaku di Mentawai
Gunung Merapi di Jawa Tengah pula menjulang debu panas

Indonesia sekali lagi dihimpit bencana alam, kali ini, dua berlaku selang beberapa jam.
Pada Isnin 25 Oktober 2010, pukul 9:42 malam waktu setempat, Perangkaan Geologi Amerika Syarikat (USGS) bagi Program Bencana Gempabumi mengesan gegaran dengan magnitud 7.7 pada kedudukan latitud -3.484, longitud 100.114 yang berlaku pada kedalaman 20.6 km. Lokasi tersebut ialah di perairan Sumatera Barat beberapa km ke tenggara Pulau Mentawai.


Lebihkurang 10 minit kemudian, tsunami setinggi 3 meter melanda Pulau Mentawai. Sekurang-kurangnya 282 orang dilaporkan terbunuh manakala 400 lagi masih hilang. Sementara itu, cerita-cerita ngeri mengenai kejadian itu terus muncul bersama mereka yang terselamat dari segenap pelusuk desa berhampiran.
"Mereka telah kehilangan rumah dan kini memerlukan bantuan dan pertolongan. Kemah-kemah telahpun sampai tetapi tidak mencukupi dan kita perlu lebih banyak lagi," kata Harmensyah, ketua penyelaras bantuan bencana wilayah Sumatera Barat.
"Kita perlu segera mencari mereka yang hilang. Mungkin ada yang telah lari mencari perlindungan di bukit-bukit dan mungkin juga ramai yang telah dihanyutkan ombak," tambah Harmensyah.
Mereka yang terselamat menggambarkan kejadian itu sebagai gulungan ombak besar yang tiba-tiba merempuh mereka. Kepulauan Mentawai adalah destinasi popular di kalangan peminat-peminat luncur ombak.

Oot. 27: Aerial photo shows a village flattened by a tsunami on Pagai island, West Sumatra, Indonesia.


Atas: Pandangan dari udara sebuah perkampungan di Pualu Pagai selepas
dilanda tsunami Isnin lepas
Bawah: Puing Kediaman di Mentawai

Borinte, 32, seorang petani dari Detumonga, sebuah desa di pantai Pulau Pagai menyelamatkan diri dengan berpaut kepada sebatang kayu. Isteri dan tiga orang anaknya telah terkorban.
"Kira-kira 10 minit selepas gempa, kami terdengar suara gemuruh yang amat kuat. Kami meluru keluar dari rumah dan saat itu kelihatan gulungan ombak besar menghala ke arah kami. Dengan sepantas mungkin kami cuba berlari ke kawasan lebih tinggi, namun ombak itu lebih pantas dari kami," kata Borinte kepada wartawan.
Beberapa ratus kilometer dari Mentawai, iaitu di Jawa Tengah, seramai 29 orang turut terbunuh apabila Gunung Merapi meletup menghumban gas, debu panas dan lahar ke ruang udara sehingga ketinggian 1.5 km. Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6:00 petang pada Selasa 26 Oktober 2010.
Terdahulu USGS telah mengesan gegaran di Pulau Jawa dengan magnitud 4.5.
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa di kedua-dua bencana tersebut.


Pada awalnya, gas panas keluar dengan banyak dari
puncak Gunung Merapi
Letupan-letupan berikutnya menjulang
debu panas dan lahar ke udara sehingga ketinggian 1.5 km


Kenderaan dan kediaman musnah ditimbus debu panas Gunung Merapi

Buka Jalur Evakuasi
Petugas dari pasukan Tentera Nasional Indonesia
mencantas pokok bagi membuka laluan untuk mencari
mangsa tertimbus debu Gunung Merapi

Tuesday, October 26, 2010

Hanya 1/5 Saat Untuk Jatuh Cinta

Berikut ini bukan rekaan tetapi merupakan hasil kajian saintifik. 

Masa yang diambil untuk seseorang jatuh cinta Cuma lebihkurang 1/5 (satu perlima) saat.
Berapa lama 1/5 saat itu?
Katalah orang yang jatuh cinta itu melihat kekasihnya atau calon kekasihnya lalu terliurlah dia. Agak-agaklah 1/5 saat itu seperti masa jatuhnya air liur dari sudut bibir pencinta tadi ke hujung ibujari kakinya.

Jatuh cinta bukan sahaja menimbulkan perasaan estasi seperti pada penggunaan kokain (amaran: penyalahgunaan dadah amat bahaya untuk kesihatan fisikal dan juga mental), tetapi juga mempengaruhi kawasan-kawasan otak yang mengawal daya intelek.
Apabila seseorang jatuh cinta, 12 bahagian dalam otaknya akan bekerja bersama merembeskan bahan-bahan kimia seperti dopamine, oxytocin dan vasopressin. Perasaan itu juga mempengaruhi fungsi-fungsi kognitif seperti daya imaginasi, metafor dan penampilan.
Jadi, adakah perasaan cinta itu timbulnya dari hati (jantung) atau otak?
Kajian itu menunjukkan ia timbul dari otak, namun ada juga kaitannya dengan jantung.
Bukankah jantung berdegup bila jatuh cinta? Degupan itu sebenarnya hasil rangsangan dari otak.
Kajian lain menunjukkan terdapatnya peningkatan darah pada faktor pertumbuhan deria, NGF, orang yang jatuh cinta, lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru sahaja jatuh cinta.
Kajian ini bukanlah untuk main-main atau suka-suka tetapi ia mempunyai implikasi terhadap sains deria dan kesihatan mental sebab kegagalan cinta boleh menyebabkan tekanan emosi dan kesugulan yang agak berat.
Dengan memahami sebab-sebab seseorang itu jatuh cinta dan mengapa pula dia begitu kecewa (heartbroken, frust-menungging), perunding boleh menggunakan terapi yang sesuai.
Dengan mengenalpasti bahagian-bahagian otak yang terangsang oleh cinta, doctor dan ahli terapi akan lebih memahami derita yang dialami oleh para pesakit-cinta a.k.a. sakit angau.

Lain jenis cinta lain pula bahagian otak yang memain peranan.
Kasih ibubapa kepada anaknya merupakan ‘cinta tak bersyarat’ tercetus dari bahagian sejagat otak dan lain-lain bahagian, termasuk bahagian tengah.
Cinta berahi tercetus dari bahagian otak yang mengawal aspek ‘pulangan’ atau keuntungan dan juga bahagian kognitif hubungan.
Sumber: 
Kajian oleh Professor Stephanie Ortigue, Syracuse University yang diterbitkan dalam Journal of Sexual Medicine

Sunday, October 24, 2010

Kunak Yang Harmoni Bhg 2: Delegasi Laksamana Cheng Ho

Masyarakat Idahan
Buat masa ini, barangkali tempat yang paling terkenal di Daerah Kunak ialah Gua Madai dan sarang burung walitnya. Namun begitu, dalam banyak artikel, Gua Madai lebih kerap dikaitkan dengan Lahad Datu berbanding Kunak walaupun ia terletak di Daerah Kunak.





Ahli Parlimen Silam bergambar bersama beberapa orang remaja Idahan
(Gambar dari: 1Silam.blogspot)
Sebutan Gua Madai dan sarang burung walitnya tidak akan lengkap tanpa menceritakan serba-sedikit tentang etnik Bumiputera Idahan. Ini adalah kerana merekalah yang dipercayai telah meneroka khazanah sarang burung di gua tersebut sejak kurun ke-15 lagi.
Orang Idahan ialah kumpulan Bumiputera yang secara menyeluruh mengaku sebagai keturunan dari lagenda moyang mereka bernama, Besai yang berasal dari Sungai Kinabatangan.
Walaupun bilangan orang Idahan di Kunak tidaklah begitu banyak namun perbincangan mengenai masyarakat ini adalah wajar diberi ruang yang luas, bukan sahaja kerana mereka merupakan peneroka dan pewaris sarang burung di Gua Madai tetapi juga dikaitkan dengan kpenyebaran agama Islam ke Negeri Sabah khususnya, di pantai timur sekitar tahun 1408.
Menurut cerita turun-temurun orang Idahan, moyang mereka telah berurusniaga dengan sekumpulan pedagang China yang berpengaruh yang datang ke Pantai Timur Sabah. Dipercayai kumpulan tersebut adalah delegasi rombongan Laksamana Cheng Ho, seorang laksamana dari negeri Cina beragama Islam dan sangat berpengaruh. Menurut sejarah, pelayaran sulung Cheng Ho ke kawasan Sulu ialah dalam tahun 1405.
SCN C201
Laksaman Cheng Ho dan Pasukan Bahteranya
(Gambar dari:
 Cheng Ho)
Sarang burung pada ketika itu tidaklah begitu berharga sehingga moyang orang Idahan menunjukkannya kepada pedagang-pedagang Cina. Sebelumnya, orang-orang Cina memang telah tahu mengenai produk tersebut yang mereka temui di tempat lain. Mereka bertanya kepada orang-orang Idahan samada barangan tersebut boleh didapati lebih banyak lagi dan berjanji akan selalu datang menukar barangan tersebut dengan barangan dari Negeri Cina.
Menyedari betapa berminatnya pedagang-pedagang Cina terhadap sarang burung, moyang orang Idahan mengambil keputusan untuk berhati-hati jangan sampai lokasi sarang burung diketahui oleh pedagang-pedagang Cina itu.
Suasana komuniti di perkampungan Madai tahun 1960
(Lanjut: semuakunak.blogspot) 
Persetujuanpun dicapai antara kedua pihak. Orang Idahan berjanji akan terus membekalkan sarang burung kepada pedagang-pedagang Cina itu dengan syarat mereka hanya boleh menunggu barangan tersebut di pantai.
Bagi saya secara individu, kesahihan cerita tentang hubungan dagang dengan pedagang-pedagang Cina itu cukup kukuh. Saya pernah melihat dengan mata kepala sendiri serpihan-serpihan tembikar Cina yang  sepintas lalu mempunyai ciri-ciri tembikar Dinasti Ming bertaburan begitu banyak di kawasan Ladang Sebrang, di Silabukan. Lokasi kawasan itu tidak jauh dari pantai.
Ketika itu saya bekerja sebagai penolong pengurus di ladang tersebut. Ada pekerja yang memberitahu bahawa lembing dan meriam selain dari berbagai relik lain juga telah ditemui di kawasan tersebut dan telah diambil oleh pihak muzium Negeri Sabah. Ada juga dari kalangan pekerja itu yang mendakwa, bahawa kadangkala sewaktu air surut jauh, kelihatan tidak jauh dari tepi pantai struktur kayu yang seakan-akan tiang layar kapal.

Majoriti orang Idahan kini menetap di Daerah Lahad Datu. Walau bagaimanapun masih terdapat beberapa keluarga yang menetap di Daerah Kunak terutama di kampung-kampung berhampiran Gua Madai. Ada juga di antara mereka yang membina rumah berhampiran gua sebagai tempat tinggal sementara semasa musim mengutip sarang burung.
Kebanyakan penduduk Kunak dari etnik Idahan telahpun berkampung bersama masyarakat lain dan sukar dibezakan dari Bumiputera lain, apatah lagi telah berlaku banyak perkahwinan campuran. 

Saturday, October 23, 2010

Kunak Yang Harmoni Bhg 1: Pengenalan


Masih terlalu kurang yang mengetahui tentang pekan kecil ini yang terletak tepat di muara Teluk Lahad Datu (dahulu Teluk Darvel) di Sabah. Malah kemunculan namanya di kebanyakan peta Negeri Sabah masih jarang dipaparkan. Itulah pekan Kunak, pusat pentadbiran Daerah Kunak, sebuah daerah yang kaya dengan pelbagai khazanah alam semulajadi.

Daerah ini telah didiami oleh umat manusia sejak puluhan ribu tahun dahulu dan telah menjadi pusat penyebaran bumiputera ke penjuru segenap daratan Borneo, malah kemungkinan besar ke lain-lain bahagian di Nusantara.
Penghijrahan itu berlaku berperingkat-peringkat dalam tempoh yang amat panjang dan hanya sedikit yang yang terus menetap dalam kelompok-kelompok kecil. Yang berhijrah dan keturunan mereka kemudiannya berulang-alik ke daerah ini untuk mengutip sumber alam semulajadi serta serba-sedikit perdagangan dengan mereka yang terus menetap.



Ketibaan orang-orang Eropah yang bermula dengan Portugis di Melaka pada tahun 1511 tidak menghalang perdagangan bebas antara penduduk di kepulauan Nusantara dari terus berlangsung. Dengan termetrainya Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 Nusantara telah terbahagi kepada tiga – Jajahan British (kini meliputi kawasan Malaysia dan Singapura), Jajahan Belanda (kini meliputi kawasan Indonesia) dan Jajahan Sepanyol yang kemudian di jual kepada Amerika (kini meliputi kawasan Filipina).
Indonesia mengisytihar kemerdekaan dari Belanda pada 17 Ogos 1945 manakala Filipina memperoleh kemerdekaan dari Amerika pada 4 Julai 1946. Pada waktu itu, negeri ini masih dibawah pemerintahan British, namun di Daerah Kunak ramai warga kedua-dua negara tersebut yang berada di negeri ini bekerja sebagai nelayan, pedagang dan  juga sebagai pekerja kepada syarikat-syarikat perladangan dan pembalakan milik orang-orang British. Bahkan majoriti penduduk daerah ini waktu itu adalah warga kedua-dua negara jiran tersebut.

Penduduk Majoriti
Ketika Sabah mencapai kemerdekaan dengan penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, sebahagian daripada warga Filipina dan Indonesia itu mengambil keputusan untuk menggabungkan diri sebagai rakyat Malaysia, memanfaatkan Artikel 26 Perjanjian Malaysia 1963.  Oleh sebab itulah sehingga sekarang kebanyakan penduduk Kunak terdiri daripada keturunan etnik suku kaum  dari Filipina dan Indonesia, terutama Bajau, Suluk dan Bugis.
Sebahagian lagi enggan berbuat demikian kerana bimbang dengan berbuat demikian, mereka kelak akan dihalang oleh kerajaan Filipina dan Indonesia untuk bertemu sanak-saudara mereka yang masih tinggal di kedua-dua negara tersebut. Suatu kebimbangan yang ternyata tidak berasas. 


Wednesday, October 20, 2010

PRK Ke-13 P.185 Batu Sapi - PBS vs PKR

Pilihanraya Kecil (PRK) P.185 Batu Sapi pada 4 November ini merupakan medan pelbagai ujian dua pihak - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).


Telah diketahui komponen mana yang telah diberi mandat mewakili keduanya - Parti Bersatu Sabah (PBS) di pihak BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di pihak PR.
PBS diasaskan di peringkat negeri pada tahun 1985 dan sehingga kegiatan politiknya hanya tertumpu di Negeri Sabah. PKR pula diasaskan pada tahun 1999, beribupejabat di Petaling Jaya dan telah mengembangkan sayap ke seluruh negara.
PBS adalah parti pelbagai kaum yang diterajui oleh Bumiputera Sabah. PKR juga membuka keahlian kepada semua kaum tetapi majlis pimpinan pusatnya dikuasai oleh Melayu. 
Dalam PRU ke-12 PBS memenangi 3 kerusi parlimen berbanding 25 yang dimenangi PKR. PBS kehilangan 1 kerusi iaitu P185 Batu Sapi berikutan kematian penyandangnya Datuk Ir.Chong Ket Wah pada 9 Oktober. Kerusi parlimen PKR juga berkurangan kepada 24 setelah parti itu gagal mempertahankan kerusi P94 Hulu Selangor dalam pilihanraya kecil (PRK) pada 25 April 2010.
PRK Batu Sapi bakal menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009, digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama dan suku tahun kedua 2010 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober 2010 yang bakal menyaksikan 25,582 pengundi berdaftar layak mengundi di PRK Batu Sapi itu pada 4 November akan datang. Dari jumlah pengundi tersebut, 15,099 (59.02%) adalah Bumiputera Islam, 689 (2.69%) Bumiputera Bukan-Islam, 9737 (38.06%) Cina dan 57 (0.22%) lain-lain kaum. Jika disimpulkan Bumiputera terdiri dari 15,788 (61.72%) dan Bukan-Bumiputera terdiri dari 9,794 (38.28%).
Melihat kepada statistik pengundi tersebut secara sepintas lalu, wajarlah bagi BN meletakkan calon dari kalangan Bumiputera Islam, khususnya dari UMNO. Ternyata bukan UMNO yang diberi mandat mewakili BN tetapi PBS. Pun begitu, melalui PBS BN masih boleh meletakkan calon Bumiputera Islam kerana PBS mempunyai ahli majlis tertinggi dari kalangan Bumiputera Islam. Jika itu tidak berlaku bermakna BN tidak akan mengguna isu agama untuk meraih undi.
BN-PBS boleh juga meletakkan calon dari kalangan Bumiputera Bukan-Islam berdasarkan nisbah pengundi Bumiputera yang hampir dua kali ganda berbanding pengundi Bukan-Bumiputera. Jika itu tidak berlaku bermakna BN tidak akan mengguna isu kaum untuk memperoleh kemenangan mudah. Akan terjawab kelak bila calon BN diumumkan di Sandakan Ahad ini.
Dengan meletakkan calon Bukan-Bumiputera, BN bakal mempertaruhkan pencapaian dasar-dasar pentadbirannya khususnya gagasan 1Malaysia.
Bagaimana pula dengan PR? 
Adakah PKR diberi laluan untuk mewakilinya dengan harapan parti itu akan meletakkan calon dari kalangan Bumiputera? 
Bolehkah PKR mengharapkan perpecahan undi Bumiputera di Batu Sapi sebagaimana pecahnya undi Melayu di Selangor? 
Bolehkah PR mengharapkan palingtadah penyokong PBS dari kalangan pengundi Bukan-Bumiputera di Batu Sapi sebagaimana berpalingtadahnya pengundi BN dari kalangan Bukan-Melayu di Perak?
Mungkinkah Parti Maju Sabah (SAPP) menarik hasrat untuk bertanding bagi membolehkan PR meraih sebanyak mungkin undi Bukan-Bumiputera?
Kita nantikan jawapannya pada penamaan calon 26 haribulan ini.




Sunday, October 17, 2010

Dengan Adanya Bayang PRU

Perlembagaan Malaysia memperuntukkan pilihanraya umum (PRU) diadakan bagi setiap lima tahun. Namun demikian Perdana Meneteri boleh meminta Yang Di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen pada bila-bila masa sebelum tempoh lima tahun itu berakhir. Pilihanraya umum hendaklah diadakan dalam tempoh tiga bulan selepas pembubaran itu.
Pada masa-masa yang lepas, Parlimen dibubarkan sebelum tamat tempoh 5 tahun itu diikuti dengan PRU. Oleh sebab itulah, walaupun PRU 12 belum sampai 3 tahun berlalu, sudah ramai membuat andaian yang Parlimen akan dibubarkan dalam tempoh terdekat, terutama di kalangan pelobi-pelobi yang ingin menjadi calon.
Ada beberapa tanda menunjukkan wujudnya spekulasi tentang dekatnya masa PRU seterusnya. Antaranya:
1. Dua-tiga bulan yang lalu anda bukan siapa-siapa, namun sejak kebalakangan ini semacam ramai pula yang mengenali anda. Malah 'kenalan' baru itu nampak macam tokoh belaka.

2. Anda duduk di kedai kopi minum secawan-dua bersama teman. Di sudut lain kedai kopi itu, sekumpulan 10 atau 20 orang juga sedang minum-minum. Apabila anda panggil pelayan untuk membayar harga minuman anda, pelayan itu menunjuk kepada seorang daripada kumpulan tadi sambil berkata, "Bos itu kata, nanti dia bayar".



3. Semakin banyak kelemahan wakil rakyat anda diwar-warkan di pelabagai jenis media - suratkhabar, internet, warung, bahkan hingga ke pasar-pasar.



4. Pembangunan atau kebaikan hasil perjuangan wakil rakyat dinafikan atau diperlekehkan.
5. Muncul ramai 'wira-wira' baru mendakwa memperjuangkan hak dan kesamarataan untuk semua lapisan masyarakat.
6. Kalau beberapa bulan dahulu anda mengadu tentang masalah yang anda hadapi, semua bersikap "adaku kesah?", tapi kini tanpa mengadupun ramai yang bertanya, "Itu okeykah, ini oraitkah" lepas tu adalah janji-janji tertentu.


Entri berkaitan:
Professor Serbatau

Friday, October 15, 2010

Bajet 2011: Apa Ada Untuk Daerah Ini?


Bajet 2011 berjumlah RM212 bilion 2.8 peratus lebih tinggi berbanding Bajet 2010. Jumlah itu walau bagaimanapun masih lebih rendah berbanding Bajet 2009 berjumlah RM215.7 bilion.
Lazimnya pada pembentangan bajet tahunan negara, ramai yang akan tertanya-tanya bagaimana bajet itu akan memberi impak kepada pembangunan di kampung atau kawasan masing-masing. Antara persoalan yang mungkin timbul di kalangan penduduk Daerah Kunak ialah:
  1. Dalam konteks mempergiatkan lagi inisiatif Projek Perkongsian Awam-Swasta atau PPP di bawah Strategi Mendaya Kembali Pelaburan Swasta, adakah pembinaan Loji Janakuasa Litar Padu Gas 300 megawatt di Kimanis dapat mengatasi masalah gangguan bekalan tenaga yang masih kerap berlaku di daerah ini?
  2. Apakah Skim Hartanah Bumiputera? Bagaimanakah bumiputera daerah ini boleh memainkan peranan?
  3. Dengan tunjang ekonomi berlandaskan pertanian pengumuman peruntukan RM3.8 bilion ke sektor berkenaan memberikan harapan tinggi kepada penduduk Kunak. Harapan itu ditambah lagi dengan adanya galakan khusus dalam bentuk peruntukan bernilai RM135 juta untuk penyediaan prasarana asas bagi beberapa perusahaan yang sememangnya sudah bertapak di daerah ini seperti industri sarang burung walit, akuakultur, herba dan rumpailaut. Apakah bentuk prasarana asas itu dan bagaimanakah pengusaha di daerah ini boleh mendapatkannya?
  4. Bukti-bukti tentang kewujudan kawasan berpotensi untuk tarikan pelancongan di daerah ini cukup banyak. Dalam pembentangan Bajet 2011 PM ada menyebut: "Usaha akan dipergiatkan lagi untuk menarik lebih ramai pelancong dengan menyediakan pakej dan produk pelancongan yang inovatif". Adakah usaha itu melibatkan kawasan-kawasan potensi pelancongan daerah ini?
  5. Dalam pembentangan Bajet ada disebutkan juga bahawa pada masa kini hasil ekspot minyak sawit mentah berjumlah RM37 bilion, suatu nilai yang cukup besar. Sebahagian besar kawasan pertanian Daerah Kunak merupakan kawasan tanaman kelapa sawit. Pengangkutan hasil komoditi tersebut banyak menyumbang kepada kerosakan jalan. Tidakkah wajar daerah ini mendapat dana tambahan untuk meningkatkan kualiti dan keadaan keselamatan jalan?
  6. Di manakah "Program Latihan 1Malaysia" untuk daerah ini?
  7. Langkah penetapan gaji minimum amat dialu-alukan. Begitu juga dengan fleksibiliti dan tambahan tempoh cuti bersalin dengan gaji penuh.
  8. Di manakah agaknya Perumahan Kos Rendah akan dibina untuk golongan pekerja estet?
  9. Harap-harap "Program membanteras pecah rumah, kecurian motosikal, kereta dan sebagainya" turut diberikan dana dan diaktifkan di daerah ini. Seminggu yang lalu, Gerai Simpang Empat telah dipecah masuk oleh pencuri dan 3 hari lepas kereta ketua kampung Kg Cenderawasih telah diceroboh. 
  10. Adakah "Teluk Darvel" akan turut menerima dana dari RM1.9 bilion untuk projek pemuliharaan?
  11. Mudah-mudahan kenyataan PM, "...fungsi kerajaan adalah pemudah cara bukan penghadang. Berurusan dengan mana-mana agensi kerajaan seharusnya bersifat menyenangkan bukan menyusahkan" akan menjadi realiti SEPENUHNYA, bukan sahaja untuk sektor swasta malah untuk seluruh rakyat jelata.
Berapa besarpun nilai bajet negara, faktor utama dalam menentukan kesejahteraan diri, keluarga, bangsa dan negara adalah sikap kita sendiri. Elakkan sikap ....


Thursday, October 14, 2010

Indomie Berbahaya?

Taiwan menarik balik penjualan mi segera jenama Indomie di negara tersebut. Pihak berkuasa Taiwan  mengumumkan perkara itu pada Jumaat, 8 Oktober 2010, kerana mi berkenaan mengandungi bahan pengawet methyl p-hydroxybenzoate dan asid benzoik. Bahan pengawet berkenaan hanya dibenarkan penggunaannya untuk produk kosmetik.
Indomie adalah produk PT Indofood CBP Sukses Makmur yang beribupejabat di Jakarta, Indonesia. 

Bahan pengawet tersebut tidak dibenarkan untuk penggunaan dalam produk makanan di Taiwan, Canada dan Eropah kerana boleh menyebabkan muntah-muntah. Selain daripada itu, jika diambil berterusan dalam jangkamasa panjang, ia boleh menyebabkan metabolic acidosis - keadaan dimana perut mengandungi terlalu banyak asid.
Pusat membelibelah Park'n'Shop dan Wellcome di Taiwan telahpun menurunkan produk Indomie dari rak pameran.
Walau bagaimanapun, sumber pengimpot Indomie, Fok Hing (HK) Trading memberitahu bahawa mi segera tersebut memenuhi kriteria piawaian keselamatan makanan Hong Kong dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Mi segera Indomie adalah selamat untuk dimakan dan ia memasuki pasaran Hongkong melalui saluran-saluran mengimpot yang sah", kata sumber itu.
"Indomie yang bermasalah di Taiwan dikhuatiri telah dibawa masuk secara haram (penyeludupan)".
Di Malaysia, 30 daripada 77 sampel yang dikumpul dari pasaran setempat telah dianalisa dan didapati TIDAK mengandung kedua-dua bahan pengawet tersebut.
Menteri Kesihatan Malaysia DS Liow Tiong Lai memberitahu, "Pihak kementerian (Kesihatan) ingin memaklumkan bahawa memakan Indomie tidak mendatangkan risiko kesihatan kepada pengguna".




Tuesday, October 12, 2010

21 Ekor Jin Ditangkap! (Jangan baca kalau lemah semangat!!!)

Gadis berusia 22 tahun itu sudah berkali-kali "diculik" dan disembunyikan di tempat-tempat yang aneh seperti dalam mesin pembancuh simen, di kuburan, atas pokok, dalam gua dan sebagainya.
Gadis itu bernama Siti Balqis Mohd Nor dari Jertih, Terengganu. Penculiknya? Dua puluh satu (21) ekor jin!! Mungkin lebih.


Siti Balqis dikatakan telah diculik beberapa kali sejak dua bulan lalu. Beratus bomoh yang cuba merawat tetapi gagal.
Pada Jumaat, 9 Oktober 2010, dua orang orang bomoh telah datang membantu. Sekitar pukul 7:30 malam mereka mula menjalankan tugas. Seorang di dalam rumah membaca jampi dan seorang lagi berjaga di luar sambil membaca mantera.

 One of the bomoh
treating Siti Balqis Mohd
Nor in her house as her
mother looks on.
Seorang daripada dua bomoh sedang merawat Siti Balqis diperhatikan oleh ibunya

Lebihkurang 15 minit kemudian bomoh yang di luar ternampak sosok bayang meluru keluar. Sang bomoh mengejar dan berjaya menangkap lembaga itu dan mengurungnya dalam bekas bertutup. Selepas itu 8 ekor lagi ditangkap ketika cuba menyerbu keluar dari rumah gadis itu.

Onlookers taking pictures
of the containers where
the nine djinns are
believed to have been
trapped.
"Nampak tak jin dalam balang gula-gula ni? Sapa tak nampak dia anak ...."

Selepas peristiwa itu maka legalah perasaan ibubapa Siti Balqis. Pada sangkaan mereka masaalah kehilangan gadis itu sudah dapat di atasi.
Dua hari kemudian, Siti Balqis hilang lagi. Nasib baik kumpulan jin yang menculik gadis itu membawa bersama telefon bimbitnya sekali. Agaknya, kumpulan jin tersebut tidak faham apa benda segiempat tu.
Pada pukul 11:30 Siti Balqis pun menghantar SMS kepada ibunya memberitahu yang dia telah dibawa lari ke sebuah gua di Bukit Keluang, kira-kira 15 km dari kampungnya di Kampong Gong Nangka.
Pasukan mencari yang diketuai oleh ADUN kawasan sendiri segera dikerah. Di gua itu mereka tidak menemui Siti Balqis, sebaliknya di sana terdapat 7 orang lelaki dan 2 wanita yang sedang bertapa.
Dua jam kemudian, satu lagi SMS diterima dari Siti Balqis memberitahu yang dia telah dihumban pulang dan tersangkut atas sepohon pokok rambutan.

State Religious and Information Committee chairman Khazan Che Mat (fourth from left) with Jabi assemblyman Ramlan Ali (third from left) at Siti Balqis Mohd Nor’s house last night — NST picture by Muhammad Ishak
Orang ramai di kediaman keluarga Siti Balqis

Muka gadis itu pucat lesu ketika ditemui dibawa turun dari pokok rambutan oleh pasukan penyelamatnya.
Tiga orang bomoh memberitahu bahawa 12 ekor jin lagi telah ditangkap dalam proses merawat gadis itu. 
Siti Balqis hanya sedarkan diri kira-kira pada pukul 5 pagi.


Wednesday, October 6, 2010

Memahami Perasaan Kanak-Kanak Melalui Lukisan

Peringkat perkembangan kognitif menurut Piaget, pada usia antara 7 hingga 12 tahun, kanak-kanak dikatakan berada pada Tahap Operasi Konkrit (OK). Pada tahap tersebut kanak-kanak sudah mula menunjukkan cara pemikiran yang logik dan tersusun manakala cara pemikiran transduktif (1) dan egosentrik (2) mula berkurangan berkurangan.
Pada tahap OK ini juga kanak-kanak sudah boleh mengkelaskan dan membezakan antara objek berlainan secara logik, misalnya membezakan antara haiwan dengan tumbuhan, kenderaan dengan pakaian, dan sebagainya. Pada tahap sebelumnya, iaitu tahap Pra-Operasi (PO) kanak-kanak umumnya hanya dapat mengkelaskan objek  berdasarkan ciri-ciri luaran, misalnya warna.
Entri ini tidaklah bermaksud untuk mengemukakan kupasan penuh mengenai mesej yang mungkin ingin disampaikan oleh kanak-kanak melalui lukisan. Tujuannya adalah sekadar bersama menyedari bahawa ada kalanya kanak-kanak ingin berkomunikasi dengan kita tentang sesuatu perkara, namun tidak dapat menzahirkannya melalui kata-kata. Kita harus menyedari bahawa pada tahap OK perbendaharaan kata kanak-kanak agak terhad. Justeru bila ada peluang, mereka akan meluahkan perasaan dan pandangan mereka melalui lukisan.
Contoh-contoh lukisan dalam entri ini adalah dari anak perempuan saya yang berusia 8 tahun. Acapkali dia minta kertas A4 untuk melukis. Apabila lukisan itu siap, dia akan memberikan kepada saya.


Contoh Lukisan 1

Lukisan #1 di atas menunjukkan suatu keadaan rumah dengan persekitaran yang ceria. Keadaan rumah kami memang lebihkurang dengan yang digambarkan pada lukisan tersebut - saiz kecil, terdapat kolam ikan dan di belakang rumah memang terdapat bukit.
Kereta dengan asap keluar dari ekzoz mungkin gambaran kedudukan rumah kami yang terletak berhampiran jalanraya. Namun, ia juga mungkin memberi mesej yang kanak-kanak itu hendak dibawa bersiar-siar atau dia merasa terlalu terkongkong. Gambaran rumah menyokong andaian bahawa dia merasa terkongkong dan belon dengan wajah ceria memberikan gambaran yang dia rindukan keadaan lepas-bebas atau inginkan permainan sedemikian.
Simanja berkenaan memberikan lukisan itu pada hari Sabtu. Keesokan harinya ialah hari Ahad, hari Pasar Tamu atau Pasar Minggu di pekan. Pagi-pagi lagi saya membangunkan Simanja dan mengajaknya ke pasar bersama ibunya sekali untuk membeli barangan keperluan dapur. Pada kebiasaannya, kanak-kanak itu agak liat untuk bangun pagi, tetapi pada hari itu dia segera bangkit menuju ke bilik mandi dan bersiap untuk mengikuti kami ke pasar.
Kebetulan, di pasar tersebut terdapat sebuah gerai berhampiran sebuah bengkel kereta, yang menjual belon berisi gas ringan (mungkin argon).
"Sayang nak belon tu kah?", tanyaku kepada anak saya.
Dengan pantas dan tersenyum lebar dia menjawab, "Nak!".


Contoh Lukisan 2

Lukisan #2 saya terima sekembali dari mesjid menunaikan solat sunat Aidilfitri. Setelah melihat lukisan itu sayapun tersenyum lebar.
"Yang pakai songkok tu, siapa?", tanyaku.
"Ayahlah", jawab si anak tersipu-sipu.
"Perempuan cantik di sebelah ayah?", tanyaku lagi walau sudah menduga jawapannya.
"Yang tu, Umi!" jawab si anak lagi.
Saya mengucapkan terimakasih dan memberi pujian kepada anak itu dan juga kepadaNya kemudian merangkulnya erat sambil berdoa di dalam hati semoga dia sentiasa diberkati Allah dengan ketaqwaan dan kemurnian jiwa patriotisma.
Saya pernah membaca artikel mengenai lukisan wajah manusia oleh kanak-kanak yang harus diberi perhatian jika terdapat ciri-ciri tertentu yang berulangkali pada lukisan wajah oleh kanak-kanak tersebut:
  • Telinga yang terlalu besar dan tidak terdapat sebarang perhiasan pada telinga tersebut. Gambaran itu mungkin menunjukkan yang kanak-kanak tersebut sering terdedah kepada kata-kata kesat. Kadangkala kanak-kanak itu melakar garisan-garisan menghala ke telinga tersebut.
  • Mulut digambarkan sebagai suatu garisan memanjang mungkin menunjukkan keadaan kanak-kanak yang cemas.
  • Tidak terdapat mulut pada lukisan mungkin menunjukkan yang kanak-kanak itu tidak dapat berkomunikasi secara lisan.
  • Mata di lukis sebagai bulatan kosong atau berbentuk biji kosong boleh memberi isyarat kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan yang sukar untuk memahami keadaan sebenar di sekelilingnya.
  • Gigi tajam bergergaji mungkin suatu isyarat akan kecenderungan terhadap tingkahlaku yang agressif terutama bila ia disertai grafik-grafik meruncing, misalnya telinga runcing, kaki runcing, rambut tegak lurus dan jejari atau kuku tajam.
Contoh Lukisan 3

Lukisan #3 dilukis ketika TV banyak menyiarkan insiden "Ganyang Malaysia".

Contoh Lukisan 4

Lukisan #4 sewaktu kucing kami sakit.


(1) Pemikiran transduktif menggunakan cara berfikir berikut: "Jika hari ini A menyebabkan B, maka A akan sentiasa menyebabkan B".
(2) Orang yang berfikiran egosentrik menilai setiap sesuatu berasaskan keadaan dirinya sendiri dan umumnya mementingkan diri sendiri.


Entri berkaitan pendidikan kanak-kanak dalam blog ini:

Monday, October 4, 2010

Bersediakah Kita Untuk 1Malaysia: Masihkah Isu Kaum Memainkan Peranan?"

Mantan perdana menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan memberi respon baik terhadap rawatan yang beliau terima di Epworth Hospital, Melbourne, setelah dimasukkan ke hospital itu pada pagi Sabtu, 02 Oktober 2010.

Dr Mahathir tiba di Melbourne pada Khamis atas jemputan untuk berucap di seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di University of Melbourne pada Sabtu.
Beliau dijadual berkongsi pandangan dan pendapat mengenai topik "Are We Ready for 1Malaysia: Does Race Still Play A Part?" (Bersediakah kita untuk 1Malaysia: Masihkah Isu Kaum Memainkan Peranan?"
Tentunya pandangan dan pendapat pemimpin unggul itu amat menarik dan akan menjadi topik perbincangan yang hangat seantero dunia selama beberapa hari atau bulan.
Sayang, beliau tidak dapat menyampaikan ucapan tersebut.
Dr Mahathir meminta Menteri Perdangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk berucap bagi pihak beliau di seminar tersebut. Datuk Seri Mustapa singgah di Melbourne selepas menghadiri Persidangan Forbes Global CEO di Sydney.
Sebagai orang Islam, kita percaya bahawa setiap ketentuan Ilahi ada hikmahnya. Mungkin topik itu belum tiba masa untuk dibincangkan pada masa kini, dalam keadaan perpaduan Bangsa yang agak lemah. Allah jua yang Maha Tahu.
Yang mendukacitakan ialah kenyataan sebilangan kecil rakyat negara ini yang menggelar dirinya sebagai "harapan baru" untuk memimpin rakyat, yang menyifatkan Tun Dr Mahathir sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur di Australia".
Bagi rakyat Malaysia, yang tahu mengenang budi dan serba sedikit mengenali perjuangan Tun Dr Mahathir di saat-saat negara menghadapi kegentingan, berdoa agar beliau segera sembuh setiap kali mendengar berita beliau dimasukkan ke hospital.
Apakah nilai moral seseorang yang menghina orang lain yang sedang sakit?
Berapa peratuskah ciri-ciri kemanusiaan yang ada padanya sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata sinis terhadap seseorang yang telah mempertahankan maruah bangsanya sendiri, di saat orang itu sedang terlantar?
Menurut Datuk Seri Mustapa, beliau berucap selama 30 minit dan menjawab 20 soalan daripada hadirin di seminar tersebut.
Terkini: Dr M dijangka keluar dari Epworth Hospital beberapa Hari Lagi.

Pengesanan Awal Barah Payudara Guna MRI Khas

MRI atau kepanjangannya, Magnetic Resonance Image, ialah suatu kaedah pemgimejan yang digunakan dalam bidang perubatan untuk melihat keadaan struktur dalaman sesuatu organ dalam tubuh badan.
MRI juga telah digunakan untuk pengesanan awal barah payudara (BPD). Berbeza dengan teknik mammografi yang biasa digunakan, kaedah MRI tidak melibatkan penggunaan radiasi (misalnya X-ray) dan ia memberikan kontras antara tisu-tisu lembut yang berlainan dengan lebih jelas.




Untuk ujian BPD, pasien meniarap dengan payudara dimasukkan ke dalam dua gelung yang membantu memfokus gelombang radio untuk mendapatkan imej lebih jelas. Sejenis pewarna disuntik kepada pesakit membantu mengesan sel-sel barah.
Tidak semua wanita perlu menggunakan MRI. Ia digunakan oleh mereka yang sudah pernah didiagnosis sebagai positif BPD dan inginkan panduan untuk tindakan seterusnya yang perlu diambil. Ia juga digunakan untuk wanita yang mempunyai risiko BPD tinggi serta mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit tersebut. Pemeriksaan mengambil masa 30 minit dan hasilnya boleh diperoleh 15 minit kemudian.

Bacaan lanjut:

Sunday, October 3, 2010

Mohon Restu Ilmu daripada Guru Sebelum Menduduki Peperiksaan

Jasa guru tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Guru yang benar-benar dedikasi dan bertanggungjawab akan sentiasa berusaha memperturunkan ilmu kepada murid-muridnya tanpa kenal erti penat lelah dan tidak begitu menghiraukan apakah gaji dan elaun yang diterima setimpal dengan pengorbanan mereka.

Sebagai seorang yang pernah bergelar 'cikgu', ganjaran paling berharga yang saya alami ialah melihat anak didik mencapai kejayaan dalam hidup. Begitu pula, perasaan hampa dan kecewa menyelubungi jiwa apabila melihat ada di antara bekas murid kita yang terlibat dalam perkara-perkara yang tidak disenangi masyarakat.
Justeru ketika anak kami, seorang pelajar Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu (SMSLD), menelefon saya beberapa hari yg lepas memaklumkan bahawa suatu majlis Mohon Restu akan diadakan di sekolah berkenaan, sayapun serta merta menjawab yang saya, ibunya dan juga adik-adiknya akan hadir di majlis berkenaan.
Dua hari sebelum bertolak saya membuat kerja-kerja memastikan van saya berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk digunakan. Maklum van itupun sudah berusia, seperti juga pemiliknya.  Perjalanan dari Kunak ke Lahad Datu pula melalui beberapa laluan cerun dengan selekoh tajam dan panjang. Sebab itulah saya jarang memandu kenderaan ke Lahad Datu. Kalau ada hal hendak diusai di bandar itupun, saya lebih suka menggunakan pengangkutan awam. Saya sedari bahawa laluan tersebut telah banyak memakan korban jalanraya.
Majlis berkenaan berlangsung pada Sabtu, 2 Oktober 2010. 
Check lists: Tayar, brek, lampu, enjin, radiator, steering, windscreen, wiper, hon, bateri...semua dalam keadaan memuaskan, barulah kami bertolak. 
Di laluan mendaki menghampiri simpang ke Lembah Danum, sebuah motokar memintas. Saya terpaksa memperlahankan kenderaan kerana sebuah lori sedang laju menuruni bukit, dari arah bertentangan.  Pemandu lori membunyikan hon memanjang. Mujur, motokar 'berhias' tersebut sempat mengelak dengan mengambil jalan kiri benar-benar di hadapan van kami. Walau dalam keadaan mendaki, saya terpaksa menekan brek kecemasan. Kalau tidak, "tercium" pula buntut motokar itu.
Sesampai di puncak bukit, tidak jauh dari simpang ke Lembah Danum, kelihatan asap putih keluar dari celah-celah bonet motokar tadi dan pemandunya terpaksa berhenti.
"Itulah contoh pemanduan tidak berhemah, dan itulah akibatnya", jelasku kepada anak-anak yang ikut bersama.
Kami tiba di bulatan Taman Sri Perdana pada pukul 10:14 pagi, satu jam empatbelas minit selepas bertolak dari rumah.
"Pekena roti canai dulu, ayah", pinta anak lelakiku, pelajar Tkt 2.
Majlis di SMSLD akan bermula sebaik masuk waktu Zohor. Masih banyak ruang masa lagi, jadi sayapun menunaikan permintaan sang remaja. Kami singgah di sebuah restoran bernama "RS". Okeylah, cuma servisnya tidak berlandaskan "first-come-first-serve". Kami terpaksa mengingatkan pelayan beberapa kali sebelum menu yang kami pesan dihidangkan, lebihkurang 50 minit selepas kami membuat pesanan. Saya tak akan membawa keluarga saya ke restoran itu lagi.
Kami tiba di SMSLD pada pukul 11:35 pagi dan disambut ramah oleh AJK Majlis dari kalangan pelajar. Tidak lama kemudian, anak kami yang belajar di sekolah itu tiba dan membawa kami ke surau sekolah. Sudah ramai ibubapa yang hadir.
Waktu solat zohor tiba pada pukul 11:59 dan kami menunaikan solat berjemaah bersama para pelajar dan guru-guru, diimamkan oleh seorang ustadz dari sekolah tersebut. Selesai solat zohor kami teruskan pula dengan solat sunat hajat, memohon kepada Yang Maha Esa menerangi hati kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan serta mengurniakan mereka kejayaan dunia dan akhirat.
Selepas solat sunat hajat, kami beramai-ramai mebaca, jantung al-Qur'an, surah Yasin.

Majlis diteruskan di Dewan SMSLD dengan ucapan oleh wakil pelajar, pengerusi PIBG SMSLD, Encik Abd Rauf  selaku wakil ibubapa dan Pengetua SMSLD, Encik Eko Sukohidayat selaku wakil guru. Majlis diteruskan pula dengan penyampaian pensil dan pemadam kepada wakil pelajar sebagai simbol restu para guru kepada pelajar-pelajar mereka.



Sebelum jamuan makan tengahari, para pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM dengan ditemani oleh ibubapa masing-masing menermui guru mereka memohon restu diikhlaskan dan dihalalkan segala ilmu yang telah mereka perturunkan kepada pelajar-pelajar berkenaan.