Usul Belanjawan Negeri Sabah bagi tahun 2011 telah dibentangkan oleh Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman di Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Jumaat, 19 November 2010. Sejumlah RM3.069 billion wang negeri disediakan bagi Perbelanjaan Perbekalan untuk tahun 2011 menyaksikan pengurangan sebanyak 7.13 peratus berbanding RM3.304 billion tahun sebelumnya.
Sehubungan dengan itu, Ketua Menteri menyeru kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan supaya terus memberikan tumpuan dan perhatian dalam usaha menguruskan perbelanjaan dengan berhemat.
Dalam ucapan pembentangan bajet itu Ketua Menteri berkata, "Sumber kewangan perlu diuruskan dengan lebih cekap dengan memastikan perbelanjaan awam menepati konsep "value for money" agar ianya dapat terus mendokong dan mencapai objektif organisasi secara keseluruhannya dengan mengutamakan peningkatan produktiviti serta inovasi."
Beliau seterusnya mengingatkan agar perbelanjaan mengurus dikawal di tahap yang mapan dan dibuat mengikut keperluan sebenar tanpa pembaziran.
"Semua aktiviti yang telah diluluskan hendaklah dilaksanakan dengan cekap, berkesan dan mengikut jadual yang telah ditetapkan agar ianya dapat memberikan manfaat sebenar kepada golongan sasar", tegas Datuk Seri Panglima Musa.
No comments:
Post a Comment