Tuesday, November 30, 2010

Orang Kunak Perlu Siapkan Diri Raih Keuntungan Industri Pelancongan

Perjuangan untuk membangun Daerah Kunak sebagai kawasan tarikan pelancong harus diteruskan tanpa rasa putus asa. Ini adalah kerana industri pelancongan terbukti boleh menyumbang kepada peluang pekerjaan, perniagaan dan seterusnya meningkatkan pendapatan kepada penduduk dan negeri, manakala daerah ini memang amat kaya dengan potensi produk pelancongan. Di peringkat nasional sektor pelancongan telah menjana pendapatan sebanyak RM53 billion manakala Negeri Sabah mensasarkan pendapatan RM5.28 billion bagi tahun 2011.




Walau bagaimanapun, konsep pembangunan pelancongan itu haruslah dirancang dengan teliti agar penduduk setempat memperoleh manfaat optima dari usaha tersebut. Adalah mendukacitakan jika industri itu berkembang maju sedangkan anak-anak tempatan terus semata-mata menjadi penonton. Dengan yang demikian perancangan pembangunan industri pelancongan di Daerah Kunak hendaklah mengutamakan penglibatan penduduk Kunak secara keseluruhan. Ini bermaksud, setiap ketua isirumah hendaklah dipelawa, dibimbing dan yang kurang kemampuan diberi bantuan sewajarnya agar berpeluang mengambil bahagian dalam industri tersebut.

Kita amat berterimakasih kepada ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang yang tanpa jemu memohon kepada pihak kerajaan Negeri Sabah agar membangun daerah ini sebagai kawasan pelancongan berdasarkan potensi-potensi produk pelancongan yang ada. Perkara ini mula disentuh di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada April 2009. Ia terus disuarakan di persidangan-persidangan berikutnya, termasuk yang berlangsung pada November baru-baru ini, dimana Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KPKAL) Sabah akhirnya memberi respon seperti( yang dipetik dari akhbar Daily Express) berikut:


"Merujuk kepada soalan-soalan dari ADUN Kunak Datuk Nilwan Kabang, beliau (Menteri KPKAL, Datuk Masidi Manjun) menasihatkan wakil rakyat berkenaan (Datuk Nilwan) agar menggesa pihak berkuasa tempatan Kunak mempertimbangkan Rancangan Konsep Pembangunan Pelancongan untuk Lahad Datu, Kunak dan Teluk darvel yang telah siap pada tahun 2003.

Beliau menyarankan agar wakil rakyat bertanyakan perkara tersebut kepada pihak berkusa tempatan mengenai plan berkenaan, yang menyentuh tentang kawasan-kawasan berpotensi untuk pelancongan dan panduan memohon peruntukan untuk menaiktaraf infrastruktur asas, atau boleh juga meyakinkan pihak swasta untuk melabur dalam industri pelancongan di daerah itu".

Sesuatu yang saya kurang faham dalam jawapan tersebut ialah: Kenapa pula diserahkan kepada ADUN Kunak untuk meyakinkan pihak swasta buat pelaburan dalam industri pelancongan di Kunak? Bukankah itu peranan yang sepatutnya dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar? Tidakkah kementerian berkenaan mempunyai pegawai dan kakitangan yang lebih arif dalam bidang tersebut?


Lagi mengenai kawasan-kawasan potensi pelancongan Daerah Kunak di sini:
1. Kolam Air Masin di Puncak Bukit
2. Bukit Baturong Bhg1 & Bukit Baturong Bhg 2
3. Sphinx Bukit Baturong
4. http://semuakunak.blogspot.com/
5. http://kunakpress.blogspot.com/
6. http://kunakklasik.blogspot.com/

Monday, November 29, 2010

Tukar Kawasan Tanah Kerajaan Dengan BAL Plantations Perlu Siasatan

Ketika membahaskan Bajet Negeri Sabah 2011 di Persidangan DUN Sabah pada 19 hingga 25 November, ADUN Kunak Datuk Nilwan Kabang telah meminta pihak Kerajaan Negeri Sabah menyelidik maklumat mengenai terdapatnya perjanjian pertukaran tanah (land swap) antara pihak BAL Plantations dengan pihak kerajaan. 

Menurut Datuk Nilwan maklumat tersebut diperoleh oleh seorang mantan pegawai eksekutif BAL Plantations yang menyaksikan sendiri perjanjian tersebut. Di dalam perjanjian itu seluas seluas 5,000 ekar kawasan tanah kerajaan di Tingkayu diberikan kepada BAL Plantations sebagai tukar ganti bagi 500 ekar kawasan tanaman kelapa sawit yang terletak di kedua belah jalan dari Simpang Empat hingga ke Pekan Kunak.

"Saya dengan ini mencadangkan agar perkara ini diberi perhatian serius dan diselidik oleh pihak kerajaan, khususnya Jabatan Tanah dan Ukur. Itu adalah hak rakyat yang kita semua telah diamanahkan untuk mempertahankannya", jelas Datuk Nilwan.

Respon yang diperoleh melalui ucapan penggulungan perbahasan pada 25 November, oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Musa Haji Aman sebagaimana yang dilaporkan oleh Daily Express adalah seperti berikut:



"Merujuk kepada soalan oleh ADUN Kunak mengenai pertukaran tanah antara Kerajaan Negeri dengan BAL Estate yang melibatkan 5,000 ekar tanah kerajaan ditukar ganti dengan 500 ekar kawasan tanah BAL Estate dari Simpang 4 ke Pekan Kunak, beliau (Ketua Menteri) berkata bahawa Jabatan Tanah dan ukur akan cuba menyiasat perjanjian pertukaran tanah tersebut.

Namun, tidak terdapat data yang boleh menyokong dan membuktikan pertukaran tanah berkenaan, dan dengan yang demikian pihak Jabatan (Tanah & Ukur) bersedia memberikan kerjasama dalam penyiasatan jika ADUN Kunak mempunyai maklumat terperinci mengenainya".

Datuk Nilwan mengemukakan perkara ini di persidangan tersebut memandangkan keadaan Pekan Kunak yang terhimpit dari segi kawasan dan tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk pembinaan infrastruktur asas, perumahan, premis perniagaan, bangunan pentadbiran dan sebagainya.

"Demikian terhimpitnya Pekan Kunak, iaitu pusat pentadbiran daerah ini, sehingga ladang kelapa sawit milik syarikat perladangan besar benar-benar berada di hadapan Pejabat Daerah Kunak itu sendiri", tegas Datuk Nilwan.

Persoalannya ialah: 

1. Benarkah telah berlaku perjanjian tukar tanah sedemikian? Jika benar, adakah perjanjian dibuat secara lisan atau secara bertulis?

2. Jika perjanjian dilakukan secara bertulis, di manakah letaknya dokumen-dokumen berkenaan? Biasanya dalam sesuatu perjanjian bertulis, tiga pihak akan mempunyai salinan dokumen berkenaan, iaitu dua pihak yang membuat perjanjian dan pihak ketiga ialah saksi.

3. Jika perjanjian dilakukan secara lisan, bolehkah kenyataan pihak-pihak yang terlibat digunapakai? Jika boleh, siapa dan di manakah antara pihak-pihak tersebut?

4. Jika tidak ada perjanjian sedemikian, kenapa mantan pegawai BAL berkenaan menyebut mengenainya? Jika diteliti, mantan pegawai berkenaan tidak mendapat apa-apa manfaat peribadi dalam soal ini.

5. Jika tidak ada perjanjian sedemikian, atas dasar apakah kawasan tanah seluas 5000 ekar di Tingkayu itu diluluskan kepada syarikat tersebut, sebuah syarikat milik warga asing? Kawasan 5000 ekar itu sudahpun berpuluh tahun mengeluarkan hasil buah kelapa sawit, malah ada yang sudah ditanam semula.

Nampaknya perkara ini perlu disiasat oleh individu atau organisasi profesional dalam bidang seumpama ini dan kos upahnya tentu cukup besar, sesuai dengan nilai perkara yang disiasat. Siapa pula yang bertanggungjawab menanggung kos tersebut? 

Memetik ucapan ADUN Kunak, "Ini adalah hak rakyat yang kita  semua (wakil rakyat dan kerajaan) telah diamanahkan untuk mempertahankannya".

Wednesday, November 24, 2010

ADUN Kunak Minta Gerai Simpang Empat Diganti R & R

Hari ini, Rabu 24 November 2010 ialah hari ketiga perbahasan oleh wakil-wakil rakyat Sabah ke atas Bajet Negeri Sabah 2011 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri YAB, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman. ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang yang turut membahas telah mengemukakan beberapa cadangan pembangunan. Satu daripadanya ialah permohonan untuk membina sebuah kawasan Rehat dan Rawat (R & R) bagi menggantikan gerai Simpang Empat di Kunak. Berikut adalah petikan ucapan bahas oleh Datuk Nilwan ketika menghuraikan peranan dan kepentingan Gerai Simpang Empat Kunak dalam membantu meningkatkan ekonomi rakyat setempat:

Tuan Speaker,
22.         Saya amat berbesar hati dan berterimakasih kepada kerajaan negeri dan persekutuan atas pembangunan infrastuktur dan kemudahan asas di Daerah Kunak. Sesungguhnya, daerah ini telah mengalami perubahan fisikal yang amat ketara dalam tempoh Rancangan Malaysia ke9.
23.         Jelmaan rasa kesyukuran dan penghargaan oleh penduduk Kunak terhadap pembangunan ini dapat dilihat melalui cara mereka mengolah pembangunan infrastruktur itu sehingga mewujudkan ruang untuk peningkatan pendapatan serta peluang-peluang perniagaan.
Gerai Simpang Empat Kunak menjadi tumpuan pemandu untuk
berhenti rehat seketika dan membeli makanan dan minuman ringan

Pelancong dari luar negara antara pengunjung Gerai Simpang Empat

Pusat Rehat dan Rawat (R & R)

24.         Deretan 40 unit gerai yang dibina sendiri oleh penduduk berhampiran bulatan utama Kunak yang menghubungkan Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Pekan Kunak semakin hari semakin menjadi tumpuan ramai. Ia telah mencetuskan suatu tindakbalas rantaian (chain reaction) yang membantu meningkatkan pendapatan rakyat berbagai lapisan. Ia sekaligus menyokong matlamat utama dan tema Bajet Nasional 2011 iaitu, Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi.
25.         Impak gerai berhampiran bulatan utama daerah Kunak itu sebagai pencetus tindakbalas rantaian ke atas kemakmuran ekonomi rakyat adalah menyeluruh dan seperti berikut:
Pertama dan jelas, ia secara langsung membantu meningkatkan pendapatan keluarga pengusaha gerai.
Kedua, gerai tersebut telah membuka ruang pemasaran untuk produk-produk tempatan, seterusnya merangsang kreativiti dan inovasi untuk penghasilan produk-produk baru serta nilai tambah kepada produk sedia ada. Dua usahawan dari daerah Kunak, hasil dari tindakbalas rantaian ini telah terpilih mewakili Jabatan Pertanian Negeri Sabah dalam Pameran sempena Sambutan Hari Peladang, Nelayan dan Penternak peringkat Negeri Sabah baru-baru ini.
Ketiga, penghasilan produk baru seterusnya mewujudkan permintaan tinggi terhadap bahan mentah keluaran tempatan. Ini membolehkan petani, nelayan dan penternak mendapatkan pasaran hasil dengan harga lebih berpatutan. Pasaran yang baik itu seterusnya memberikan motivasi kepada mereka untuk terus berusaha meningkatkan produktiviti serta menambah kepelbagaian hasil bahan mentah.
26.         Memandangkan kepada sumbangan besar deretan gerai berkenaan kepada pembangunan ekonomi maka tidak wajarlah ia terus dibiarkan dalam keadaan daif seperti sekarang ini sebagai gerai gubuk. Justeru, Pendekatan Baru untuk RMK10 yang memberikan tumpuan khas kepada 2 tahun pertama amat dialu-alukan dimana penyediaan awal serta persiapan yang menyeluruh untuk projek-projek baru dilakukan pada tahun pertama iaitu tahun 2011 manakala pelaksanaan program secara fizikal pada tahun berikutnya.
27.         Selaras dengan pendekatan ini maka saya memohon agar penyediaan serta persiapan menyeluruh dilakukan dalam tahun 2011, untuk mentransformasi gerai gubuk berhampiran bulatan utama daerah Kunak kepada suatu Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) merangkumi premis perniagaan, surau, kawasan riadah, tandas, tempat letak kereta dan sebagainya.


Datuk Nilwan juga memberitahu bahawa R & R yang dicadangkan itu akan turut membantu mengurangkan insiden kemalangan yang kerap berlaku di sepanjang jalan raya yang menghubungkan Kunak dengan Lahad Datu. Beliau menegaskan perkara tersebut ketika membahas perihal kepentingan laluan tersebut yang dijangka mendadak meningkat mulai tahun hadapan. Datuk Nilwan melanjutkan perbahasan seperti berikut:

"Tuan Speaker,
 28.         Kenyataan YAB Ketua Menteri dalam pembentangan Bajet 2011 bahawa kerajaan hari ini telah melakukan yang terbaik dalam sejarah pembangunan infrastruktur di negeri Sabah termasuk peningkatan liputan dan penyenggaraan rangkaian jalanraya, adalah hakikat yang harus diterima.  Buktinya dapat dilihat dengan semakin meningkatnya bilangan kenderaan di jalan raya. Hakikat harus juga diterima bahawa peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya itu turut menyumbang kepada peningkatan kes-kes kemalangan jalan raya.

29.         Satu daripada laluan dimana paling banyak dilaporkan berlaku kemalangan maut akhir-akhir ini ialah jalan raya yang menghubungkan Kunak dengan Lahad Datu. Saya mencadangkan agar laluan ini diberi perhatian khusus kerana bilangan pengguna laluan tersebut dijangka mendadak meningkat dengan kemasukan 15,000 pelajar tempatan dan antarabangsa, yang akan menuntut di Sandakan Education Hub bermula tahun hadapan. Pastinya laluan ini akan menjadi laluan utama pelajar-pelajar tempatan dari Kunak, Tawau dan Semporna juga pelajar-pelajar antarabangsa dari negara jiran Indonesia, khususnya Kalimantan.
 30.         Faktor-faktor khusus bagi laluan tersebut yang mungkin menyebabkan kemalangan jalanraya kerap berlaku hendaklah dikaji dengan teliti dan terperinci diikuti dengan langkah-langkah bagi mengatasinya.
31.         Di dewan yang mulia ini, sukacita saya ingin berkongsi pandangan secara kasar beberapa faktor yang secara holistik mungkin telah menyebabkan kemalangan kerap berlaku di laluan berkenaan berbanding jalan raya lain di negeri ini:
Pertama: Pada jalan raya Kunak-Lahad Datu terdapat banyak kawasan di mana selekoh tajam berada pada bahagian cerun. Saya cadangkan dimana mungkin, agar di kawasan-kawasan sedemikian ketajaman selekoh dikurangkan atau jalan dilebarkan.
Kedua: Jalan raya Kunak-Lahad Datu banyak dilalui oleh lori-lori tangki yang membawa minyak sawit mentah (CPO) dan juga lori-lori yang membawa buah sawit. Ketirisan CPO yang sedikit mungkin tidak disedari tetapi lama kelamaan ia semakin bertambah dan terkumpul menyebabkan permukaan jalan menjadi licin. Demikian juga halnya dengan buah sawit lerai yang jatuh sebiji dari sebuah lori dilihat sebagai tidak menimbulkan sebarang kesan. Namun, dalam jangkamasa sebulan cukup banyak buah sawit lerai yang jatuh ke atas jalan raya dan minyak yang keluar dari buah lerai itu cukup untuk menjadikan permukaan jalan menjadi licin sehingga menyebabkan kenderaan mudah terbabas. Saya cadangkan agar suatu kaedah dicari untuk kerja-kerja berjadual bagi “meneutralisasikan” minyak tersebut disamping langkah-langkah bagi mencegah tumpahan minyak ke atas jalan raya.
Ketiga: Tidak terdapat kawasan R & R bagi para pemandu dari Tawau dan Semporna yang menuju ke Lahad Datu untuk berhenti rehat dan serba sedikit memeriksa keadaan kenderaan. Kita semua tahu melalui iklan-iklan kempen keselamatan jalan raya bahawa pemandu yang letih dan tidak sempat berehat seketika amat cenderung untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya.  
Oleh yang demikian maka amat wajarlah kawasan R & R yang cukup selesa disediakan di Daerah Kunak, yang terletak benar-benar di pertengahan antara Tawau dan Lahad Datu, juga antara Semporna dan Lahad datu. Nyatalah, disamping menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi seperti yang telah saya sebutkan lebih awal tadi, kawasan R & R di Kunak juga amat diperlukan untuk mengurangkan kes-kes kemalangan jalan raya."

Saturday, November 20, 2010

Bajet Negeri Sabah 2011: Perbelanjaan Berhemat

Usul Belanjawan Negeri Sabah bagi tahun 2011 telah dibentangkan oleh Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman di Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Jumaat, 19 November 2010. Sejumlah RM3.069 billion wang negeri disediakan bagi Perbelanjaan Perbekalan untuk tahun 2011 menyaksikan pengurangan sebanyak 7.13 peratus berbanding RM3.304 billion tahun sebelumnya.

Sehubungan dengan itu, Ketua Menteri menyeru kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan supaya terus memberikan tumpuan dan perhatian dalam usaha menguruskan perbelanjaan dengan berhemat.

Dalam ucapan pembentangan bajet itu Ketua Menteri berkata, "Sumber kewangan perlu diuruskan dengan lebih cekap dengan memastikan perbelanjaan awam menepati konsep "value for money" agar ianya dapat terus mendokong dan mencapai objektif organisasi secara keseluruhannya dengan mengutamakan peningkatan produktiviti serta inovasi."

Beliau seterusnya mengingatkan agar perbelanjaan mengurus dikawal di tahap yang mapan dan dibuat mengikut keperluan sebenar tanpa pembaziran.

"Semua aktiviti yang telah diluluskan hendaklah dilaksanakan dengan cekap, berkesan dan mengikut jadual yang telah ditetapkan agar ianya dapat memberikan manfaat sebenar kepada golongan sasar", tegas Datuk Seri Panglima Musa.

Wednesday, November 17, 2010

Penyempurnaan Ibadah Korban Peringkat DUN Kunak

Sepuluh ekor lembu diagih-agihkan kepada penduduk sepuluh buah kampung/kawasan di Daerah Kunak untuk ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha tahun ini. 

Bagi tahun ini kampung/kawasan yang mendapat sumbangan itu adalah Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak, Hospital Daerah Kunak, Kampung Selamat, Kampung Simpang Empat, Kampung Asli Baru, Kampung Ladang Bugis, Kampung Cenderawasih, Kampung Buang Sayang, Kampung Pangi Hujung dan Kampung Hampilan. Lembu-lembu berkenaan disumbangkan oleh ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang.

Penyempurnaan ibadah korban dilaksanakan bermula pukul 9:00 pagi di IPD Kunak kemudian ke kawasan/kampung lain mengikut urutan seperti di atas sehingga selesai pada pukul 2:00 petang yang berakhir di Kampung Hampilan.

Di IPD Kunak

Di kawasan Hospital Daerah Kunak
Di Kampung Selamat
Di Kampung Cenderawasih

Monday, November 15, 2010

Kunak Yang Harmoni Bhg 6: Kawasan Kegiatan Awal 1960an

 Dua lokasi utama yang menjadi kawasan kediaman dan kegiatan masyarakat Kunak di awal tahun 1960an ialah Mostyn dan Pengkalan. Mostyn sebagai pusat utama penghasilan produk untuk ekspot manakala Pengkalan berperanan sebagai "point of entry". Pengangkutan melalui laut adalah satu-satunya sistem pengangkutan yang menghubungkan daerah ini dengan dunia luar.

Pengkalan pada masa itu hanya terdiri daripada deretan rumah kongsi untuk pekerja dan setor bagi menyimpan produk untuk ekspot, yang dibina oleh syarikat-syarikat kayu balak dan perladangan. Lihat semuakunak.blogspot untuk cerita lanjut mengenai kawasan ini.

Di Mostyn telah wujud sebuah kawasan kompleks kegiatan masyarakat yang cukup lengkap untuk memenuhi keperluan corak kehidupan masyarakt masa itu. Kompleks itu atau "komplak", mengikut istilah yang biasa digunakan oleh penduduk setempat dan sezaman, lengkap dengan kawasan perumahan, surau, kedai runcit, panggung wayang, panggung dendang, sekolah, dua deret gerai warung, padang bolasepak, lapangan badminton, lapangan bola keranjang, klinik dan wad, serta tidak ketinggalan - kelab tombola. 

Pada awalnya kesemua kawasan yang meliputi rangkaian kemudahan itu semata-mata dikenali sebagai Mostyn, tanpa istilah kampung, ladang dan sebagainya. Setelah bilangan pekerja di Mostyn meningkat maka rumah-rumah baru dibina di lokasi lain tidak jauh dari kompleks. Maka timbullah istilah 'Komplak Lama' yang merujuk kepada kompleks awal dan 'Komplak Baru' yang merujuk kepada kawasan perumahan baru itu.

Pada pertengahan tahun 1960an satu lagi kawasan perumahan baru dibangunkan, menyebabkan istilah Komplak Lama dan Komplak Baru tidak lagi relevan, sebab Komplak Baru bukan lagi baru. Dari situlah bermulanya penggunaan istilah kampung di Mostyn.

Komplak Lama diberi nama Kampung Lama, Komplak Baru menjadi Kampung Juita dan kawasan perumahan ketiga dipanggil Kampung Merpati, sempena nama burung yang banyak dipelihara oleh penghuni awal perumahan tersebut.

Di bawah ini ialah dua imej, pertama imej dari Google Earth yang menunjukkan kedudukan bangunan utama di Mostyn pada awal tahun 1960an dan yang kedua imej asal, iaitu keadaan pada masa kini.

Gambar 1: Kedudukan bangunan utama di Mostyn awal tahun 1960an

Gambar 2: Imej asal dari Google Earth menunjukkan keadaan semasa
  Berikut adalah keterangan, berdasarkan memori saya (yang pada masa itu belum pun layak memasuki alam persekolahan), mengenai tempat-tempat yang ditunjukkan dalam Gambar 1, dari kiri atas:
  1. Kebun Loh Yap : Kawasan tanah yang diusahakan oleh sepasang suami-isteri dari etnik Cina. Tanaman utama ialah sayur-sayuran. (Insya Allah, cerita lanjut pada bahagian lain siri ini)
  2. Tanah Perkuburan Kristian: Masih wujud sehingga hari ini.
  3. Tanah Perkuburan Islam: Masih wujud sehingga hari ini.
  4. Bukit Batu: Dahulu cukup tinggi. Dipuncaknya terpacak sebatang kayu bilian besar dengan garispusat lebihkurang 3 kaki dan tinggi 30 kaki. Kawan-kawan sepermainan ada yang menganggap kayu bilian itu sebagai tempat Jepun menghukum gantung musuh mereka. Pada pandangan saya, ia merupakan pos pemandangan dimana petugas keselamatan samada Jepun atau British akan memanjat dan memantau keadaan sekeliling. Keadaan di Pengkalan dan sekitarnya dapat dilihat dari puncak bukit walau tanpa memanjat tiang kayu bilian itu.
  5. Kolam : Merupakan tempat bertakungnya air dari perparitan kompleks sebelum terus ke anak sungai di kakibukit Bukit Batu. Tanpa mengetahui asal-usul kolam itu, di situlah kami belajar berenang pada zaman kanak-kanak.
  6. Perumahan Pekerja: Diperbuat daripada kayu dengan bumbung kayu bilian diraut tipis. Setiap unit didiami oleh dua keluarga. Untuk setiap empat unit rumah disediakan pusat bilik air yang mempunyai beberapa tandas jenis lubang langsung, bilik mandi dan ruang membasuh pakaian.
  7. Rumah Ah Hong: Rumah yang didiami oleh keluarga Ah Hong, etnik Cina. Keluarga ini mempunyai ternakan babi dalam kandang. Hasil ternakan diekspot ke luar daerah. Bersebelahan rumah Ah Hong ialah rumah Huang Seng, seorang lelaki Cina yang kami (golongan kanak-kanak masa itu) anggap sebagai eccentric. Bersempena nama lelaki itu, kolam takungan air di belakang rumahnya kami beri nama "Sungai Huang Seng".
  8. GPS Mostyn: GPS = Government Primary School. Pada mulanya, murid-murid sekolah ini menumpang di bangunan Panggung Dendang. Dua buah bangunan berlantai konkrit kemudian didirikan dan bermulalah sejarah Sekolah Kebangsaan Mostyn.
  9. Warung: Disediakan untuk keluarga pekerja ladang menjalankan perniagaan dua kali dalam sebulan.
  10. Panggung Wayang Lama: Bangunan Pawagam Mostyn sebelum berpindah ke bangunan berhadapan GPS Mostyn.
  11. Panggung Dendang: Hiburan tari-menari diadakan di tempat ini dua kali sebulan.
  12. Surau: Disediakan untuk pekerja beragama Islam.
  13. Rumah Imam: Kediaman imam.
  14. Pokok Asam: Pokok asam yang cukup besar dan jarang tidak mempunyai buah.
  15. Gelanggang Badminton: Gelanggang terbuka untuk permainan badminton.
  16. Tombola: Tempat perjudian tombola. Pada waktu itu belum ada "ekor". Orang yang keciciran duit syiling di tempat ini tidak akan tunduk untuk mengutipnya. Jadi kepada peminat syiling antik, bolehlah cuba nasib di kawasan tersebut.
  17. Pokok Getah: Satu-satunya pokok getah di Mostyn. Biji getah menjadi alat permainan laga-biji (biji getahlah) oleh kanak-kanak.
  18. Kedai Tinggi: Masih wujud hingga ke harini.


Pengunjung Menikmati 120 Jenis Kuih Muih

Sebanyak 120 jenis kuih-muih tradisional dipamer dan dijamukan kepada para pengunjung dalam acara Pesta Kuih 1Malaysia anjuran SK Skim Kokos (SKSK) di Kunak.

Menurut ketua kampung Kampung Skim Kokos, Encik Renzie Hj Lyta, kuih-muih tersebut disediakan dan disumbang oleh ibubapa murid, guru-guuru SKSK dan penduduk Kampung Skim Kokos. Penduduk dari kampung berdekatan iaitu Kg Cenderawasih, Kg Simpanng Empat dan Kg Kunak Jaya turut menyumbang beberapa jenis kuih-muih.

Pengerusi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SKSK Encik Rosli Hj Seberth memberitahu bahawa acara seperti itu julungkali diadakan di daerah ini.

Dalam ucapan alau-aluannya, Guru Besar SKSK Encik Ahmadidin Rosidin berkata bahawa pada peringkat awal perancangan program itu, ia hendak dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records, namun atas beberapa masalah teknikal ia tidak dapat dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah Kawasan N51 Kunak, Datuk Nilwan Kabang memuji kerjasama erat yang ditunjukkan oleh guru-guru, ibubapa dan penduduk kampung. Katanya, banyak perkara yang membawa kebaikan bersama boleh dicapai jika kerjasama seumpama itu berterusan dipraktikkan dan diperteguhkan.
Di meja hadapan kek cokelat dengan "chocolate bar" 1Malaysia
Berbagai jenis kuih lapis dan puding
Kuih sarang semut, kuih Sikapor dan kuih gulung
Sumbangan kuih-muih terus datang mencurah-curah
Para pengunjung menikmati kuih-muih...mmm..yummy!!

Turut hadir dalam acara tersebut ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat Kunak Encik Halid Harun, Pegawai Pelajaran Daerah Kunak Encik Zamri Pehakan dan Pengerusi Koperasi Skim Kokos Haji Hijoo Isman.


Saturday, November 13, 2010

Duit Perak Satu Ringgit Pernah Beredar di Daerah Kunak

Duit perak satu ringgit ini pernah digunakan dalam urusan jualbeli di kawasan Daerah Kunak ratusan tahun dahulu.

Saya beli ringgit dalam simpanan saya ini dari seorang lelaki warga Kunak dalam tahun 1986. Menurut beliau, dia menemui ringgit tersebut bersama dengan beberapa barangan lama yang disimpan oleh keluarganya.

Adanya ringgit tersebut dalam simpanan orang Kunak menunjukkan adanya perdagangan dengan pihak British di rantau ini pada masa tersebut.







Tahun Cetak-Relau : 1899
Denominasi : Satu Ringgit
Tanda Relau : C (Relau Calcutta)
Berat : 26.95 gm
Garispusat : 41mm
Bahan : Perak


Kepala : Britannia berdiri di pantai, memegang tombak bermata tiga di tangan kanan dan perisai British di tangan kiri, dengan latarbelakang sebuah kapal dagang yang sedang berlayar.
Tulisan: ONE DOLLAR \ 1899

Ekor: Corak ala-Arab dengan simbol budaya Cina di tengah melambangkan ketahanan, dan tulisan Cina serta Jawi untuk denominasi.

Dengan meningkatnya kepentingan dagang British di rantau timur, terutama selepas menduduki Singapura pada tahun 1819 dan Hong Kong pada tahun 1842, maka perlulah matawang khusus disediakan supaya jajahan British tidak lagi bergantung kepada matawang-matawang asing yang sedang beredar pada masa itu.

Ringgit dagangan British ini mula dicetak-relau dalam tahun 1895 untuk kegunaan Hongkong dan Kawasan Selat. Namun selepas matawang Selat diperkenalkan pada tahun 1903, ringgit ini cuma digunakan di Hong Kong sahaja, dan yang terakhir dikeluarkan ialah pada tahun 1935. 

Ringgit seperti ini dikeluarkan di dua relau, iaitu di Bombay dan Calcutta. Tanda relau terdapat pada mata tombak yang tengah, 'B' untuk Bombay dan 'C' untuk Calcutta.
Ringgit serupa ada ditawarkan untuk jualan dengan harga katalog RM150.00.



Kunak Yang Harmoni Bhg 5: Panggung Wayang Mostyn

Di awal tahun 1960an nama Daerah Kunak belum lagi wujud. Yang ada ialah Mostyn dan Pengkalan.

Ketika itu, kepentingan Mostyn telahpun diiktiraf di Parlimen United Kingdom. Dalam persidangan Parlimen UK pada 6 November 1961, ahli parlimen Plymouth Devonport, Joan Vickers membahas bahawa Perbadanan Pembangunan Kolonial (CDC) telah melaksanakan kerja-kerja yang amat terpuji di kedua-dua jajahan (Sarawak dan Borneo Utara), Borneo Abaca Limited (BAL).,dan Mostyn Estates (Koko), Perbadanan Pembangunan Borneo (BDC), serta sebuah skim pembangunan perumahan.

Selaras dengan itu, Mostyn telah menjadi pusat kegiatan sosial dan hiburan masyarakat setempat.

Satu daripada hiburan utama pada waktu itu ialah menonton filem atau lebih dikenali masa itu sebagai 'wayang'. Panggung wayang (pawagam) yang pertama di daerah ini terletak di Mostyn berhampiran kawasan perumahan ladang itu yang pertama. Ia kemudain dipindahkan ke sebuah bangunan berhadapan dengan kedudukan Sekolah Kebangsaan Mostyn sekarang ini.

Dikatakan pada asalnya bangunan tersebut adalah bangsal tentera Jepun. Ketika peperangan memuncak ia diubahsuai menjadi hospital untuk merawat mangsa-mangsa yang cedera akibat peperangan itu. Selepas Jepun menyerah kalah, ia diambil alih oleh British dan diubahsuai pula menjadi panggung wayang.

Sebahagian daripada bangunan itu terdiri daripada konkrit dan sebahagian lagi dari kayu. Bumbung bangunan diperbuat daripada kepingan-kepingan kayu bilian yang diraut tipis lalu disusun rapi sebagai bumbung.

Saiz lantai bangunan lebihkurang 60 kaki panjang dan 30 kaki lebar. Bahagian kedua-dua hujung bangunan menggunakan tiang setinggi kira-kira 3 kaki, manakala bahagian tengah tidak mempunyai tiang.

Pintu utama terletak di bahagian hujung sebelah kiri (selatan) bangunan. Di situ terdapat tangga konkrit menghala ke platfom. Di sebelah kiri sebelum sampai ke pintu ialah but tiket. Di hadapan tangga terpacak dua batang kayu bilian bulat sebesar pokok kelapa, tiap satu dengan ketinggian lebihkurang 10 kaki. Satu lagi pintu masuk ialah di bahagian hujung sebelah kanan (utara) bangunan.


Lakaran Memori Panggung Wayang Mostyn (Klik gambar untuk lebih jelas)
Di belakang panggung wayang terdapat bangunan kecil tidak berdinding, kelihatan seperti kuil Shinto Jepun. Terdapat bukaan pada lantai bangunan itu dengan anak tangga menuju ke terowong bawah tanah.

Satu daripada kayu bilian bulat di hadapan Pawagam Mostyn
Kayu ini masih wujud sehingga ke hari ini

Harga tiket untuk menonton wayang ialah 40 sen untuk kelas pertama dan 20 sen untuk kelas dua. Pada tahun 1970an harga tiket telah naik masing-masing kepada satu ringgit untuk kelas pertama dan 50 sen untuk kelas dua. Untuk kanak-kanak, masuk adalah percuma.
Syiling 10-sen tahun 1961dengan imej Queen Elizabeth II
Dua keping sudah cukup untuk tiket ke Pawagam Mostyn
Perbezaan antara kelas pertama dan kelas dua ialah dari segi tempat duduk dan kedudukan  dalam pawagam. Kelas pertama terletak di bahagian belakang dan menggunakan kerusi berasingan yang diperbuat daripada kayu dengan sedikit kusyen di bahagian tengah kerusi. Kelas dua terletak di bahagian hadapan menggunakan kerusi panjang tanpa sebarang kusyen. 
Masih sah digunakan beli tiket kelas pertama di awal tahun 1970an
Skrin terletak di hujung kanan bangunan di atas pentas. Penonton di kelas dua terpaksa mendongak ketika menonton dan menghadapi risiko sakit tengkuk. Sebab itulah harga tiketpun lebih murah. Di kiri dan kanan skrin disediakan tempat duduk untuk kanak-kanak.

Tayangan filem di Pawagam Mostyn dua kali setiap bulan iaitu pada pertengahan bulan dan selepas hari pekerja ladang menerima gaji. Pembayaran gaji kepada pekerja biasanya dilakukan pada hari Sabtu pertama bulan berikutnya. Yang demikian membolehkan pekerja berhibur dan menonton filem pada waktu malam, kemudian cuti rehat hari Ahad keesokan harinya.
Clint Eastwood dalam filem The Good The Bad and The Ugly
Kebanyakan filem yang ditayangkan di Pawagam Mostyn adalah filem dalam Bahasa Inggeris. Antara yang menjadi kenangan saya ialah "The Good, The Bad and The Ugly" lakonan Clint Eastwood, "The Ten Commandments" (Charlton Heston) serta beberapa siri filem James Bond lakunan Sean Connery. 


Sekali-sekala filem Melayu ada juga ditayangkan. Pada waktu itulah ramai masyarakat Kunak, selain yang bekerja di Ladang Mostyn, mengunjungi Pawagam Mostyn. Perkenalan dan interaksi antara penduduk dan keturunan etnikpun terjalin.

Ketika munculnya siaran televisyen ke daerah ini dalam tahun 1972, pihak pengurusan Ladang Mostyn telah membeli sebuah peti TV yang besar (mungkin 40 inci) untuk tontonan orang ramai. Peti TV itu diletak di bangunan Dewan Ladang Mostyn. Sejak itu, populariti Pawagam Mostyn telah terjejas. 

Bangunan itu kemudian digunakan sebagai tempat penjagaan kanak-kanak bagi surirumah yang bekerja di Ladang Mostyn. Pusat penjagaan kanak-kanak itu kemudian dipindahkan ke bangunan lain dan Pawagam Mostynpun dirobohkan. Di tempatnya telah ditanam dengan pokok kayu jati. Yang tinggal hingga ke hari ini ialah dua tiang kayu bilian bulat serta puing-puing konkrit di sekitar kawasan asalnya.

Joki (jockey) filem terakhir Pawagam Mostyn ialah Haji Mokmin Barry, yang pada masa kini adalah ketua kampung bagi Kampung Cenderawasih, Kunak. Sebelum beliau ialah Encik Lambasing dan Encik Maksom.

Thursday, November 11, 2010

Video Derita Mangsa Bergelut Maut Debu Panas Gunung Berapi

Rekaman video mangsa yang sedang begelut dengan debu panas Gunung Merapi tidak akan dapat dilakukan kerana kamera dan jurukamera akan turut luluh bersama dan jika jurukamera itu selamat, bakal mangsapun akan diselamatkan.
Mangsa Debu Panas Gunung Merapi Jawa Tengah
Pakaian luluh dan kulit melecur sepnuhnya lalu berganti dengan selimut debu.

Malapetaka yang menimpa penduduk Jawa Tengah itu seakan-akan kejadian Gunung Vesuvius di Itali pada tahun 79 Masehi. Debu panasnya telah melenyapkan kota purba Pompeii dan Herculaneum

BBC telah menerbitkan siri dokumentari mengenai malapetaka tersebut seperti di bawah ini. Barangkali ia boleh kita jadikan sebagai perbandingan untuk lebih memahami derita yang dialami mangsa yang sedang bergelut dengan maut berikutan lecur dan kesesakan nafas akibat debu panas. Mungkin ia juga boleh menyedarkan semua pihak betapa perlunya penduduk di sekitar gunung berapi segera dipindahkan apabila terdapat tanda-tanda yang gunung itu akan meletup dalam waktu terdekat.





Kunak Yang Harmoni Bhg 4: Asal Usul Nama Pengkalan, Mostyn dan Kunak

Sehingga tahun 1980an, jarang ditemui nama Kunak pada peta negeri Sabah. Sebaliknya, terpapar nama Mostyn pada lokasi Daerah Kunak pada peta.
Peta Awal North Borneo dilukis oleh W.M. Crocker
dan diajukan kepada Royal Geographical Society di London pada tahun 1881
Kawasan Teluk Lahad Datu (Darvel Bay) termasuk Daerah Kunak ditinjau untuk pemetaan oleh Arthur Mostyn Field (1855-1950) pada tahun 1891. Beliau adalah komander kapal HMS Egeria yang ditugaskan untuk melakukan pemetaan bagi British North Borneo antara tahun 1890 hingga 1894. Oleh kerana pada masa itu, kawasan Daerah Kunak belum lagi mempunyai nama, maka ia diberi nama sempena nama komander kapal tersebut.

Melihat kepada nama penuh komander HMS Egeria itu, didapati Mostyn adalah nama tengah atau nama keluarga dari sebelah ibu. Timbul tandatanya, kenapa kawasan tidak diberi nama Field, sempena nama keluarga sebelah bapa seperti lazimnya yang digunakan oleh orang-orang British?
H.M.S. Egeria

Pada pendapat saya, ini adalah disebabkan 'field' mempunyai banyak pengertian. Ia boleh bermaksud kebun, padang, bidang, dan sebagainya. Jadi, agak janggal bagi orang British pada masa itu bila hendak menyebut kawasan itu menggunakan nama 'Field'.

Bayangkan jika kawasan itu diberi nama Field dan orang British hendak memberitahu mengenai sumber hutan yang banyak di kawasan berkenaan, "Di Field terdapat banyak pokok kayu balak yang bermutu tinggi" mereka akan berkata, "There are many valuable timbers in Field". Yang mendengar akan bertanya, "Which field? (Kebun yang mana?)".

Maka yang demikian, Field membuat keputusan untuk menamakan kawasan di daerah ini sempena nama keluarga dari sebelah ibunya, iaitu Mostyn.


Aktiviti pembalakan di kawasan Mostyn telahpun rancak pada tahun 1950an. Kayu balak di hantar ke dermaga di Teluk Darvel seterusnya dipunggah oleh kapal besar untuk ekspot ke serata dunia. Masyarakat setempat menamakan tempat kapal menyandar sebagai pengkalan. Berikutan dengan istilah itu yang digunakan dalam komunikasi seharian yang merujuk kepada sebuah tempat di tepi pantai di daerah ini, maka terpatrilah nama Pengkalan untuk kawasan tersebut. 

Perkhidmatan perkapalan di daerah ini disediakan oleh Straits Steamship Company (SSC), sebuah syarikat perkapalan yang didaftarkan di Singapura pada 20 Januari 1890.


Poster


Sebelum Perang Dunia Kedua kapal-kapal milik SSC kecil sahaja iaitu pada berat sekitar 2,000 tan. Pada tahun 1960, SSC telah membeli dua buah kapal dengan berat sekitar 5,000 tan. Satu daripada kapal tersebut ialah Baud 3, yang dibeli dari syarikat perkapalan milik Belanda, Koninklijke Paketvaart Maatschappij (KPM). Kapal tersebut dibina oleh Wilton Fijenoord pada tahun 1949 dan setelah membelinya, SSC menukar nama kapal itu kepada Kunak.


Kapal Kunak
Kewujudan sebuah lagi pengkalan, iaitu di kawasan pesisir pantai Mukim Madai memerlukan istilah khusus bagi membezakan dua pengkalan tersebut. Kehadiran Kapal Kunak yang begitu besar di perairan daerah ini untuk mengangkut pelabagi hasil, terutama kayu balak, telah menjadi buah mulut penduduk setempat. Maka dalam perbualan seharian, untuk membezakan dua pengkalan yang terdapat di daerah ini, kawasan tempat Kapal Kunak berlabuh disebut Pengkalan Kunak dan yang satu lagi sebagai Pengkalan Madai.

Apabila kemerdekaan dicapai pada 16 September 1963, Pengkalan Kunak diletakkan di bawah urustadbir Daerah Lahad Datu. 

Pada Januari 1965 sebuah pejabat daerah kecil diwujudkan dan diberi nama Pejabat Daerah Kecil Kunak sempena nama Pengkalan Kunak. Penolong Pegawai Daerah yang pertama bertugas di Pejabat Daerah Kecil Kunak ialah Encik Thomas Koroh.

Pada 1 Julai 1981 Daerah Kecil Kunak dinaiktaraf menjadi sebuah daerah penuh dengan nama Daerah Kunak. Pegawai Daerah Kunak yang pertama ialah Encik Salleh Bin Ajak.