Saturday, February 26, 2011

Menghadapi Krisis Pergolakan Timur Tengah: Kerajaan Malaysia Sedia Tambah Sabsidi Petrol

Pergolakan di Timur Tengah, yang kini sedang meruncing di Libya mengancam kestabilan harga bahan petroleum dunia. Di kebanyakan negara maju kesan kenaikan harga bahan itu telahpun mula dirasai. Di Amerika Syarikat, harga petrol telah meningkat kepada $3.29 bagi setiap gelen, iaitu kenaikan sebanyak $0.60 sejak akhir tahun lepas. Kenaikan paling tinggi ialah di California dimana harga bagi satu gelen petrol ialah $4.59.

Kita sebagai rakyat Malaysia wajar bersyukur kerana setakat ini, tiada kenaikan harga bahan tersebut atas faktor alasan krisis di Timur Tengah itu. Di Daerah Kunak, harga RON95 kekal pada RM1.90 sejak bermulanya krisis itu di Tunisia bulan lalu.

Sejurus selepas mempengurusikan mesyuarat majlis tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn pada Jumaat 25 Februari, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa buat masa ini kerajaan tiada perancangan untuk menaikkan harga petrol dan akan menyemak semula subsidi petrol jika perlu. Sejumlah RM 10.3billion telah diperuntukkan dalam bajet 2011 untuk subsidi petrol. Jika krisis di Timur Tengah berlarutan, kerajaan akan menyemak semula subsidi itu, dan mungkin akan meningkat.

Perdana Menteri memberitahu bahawa kerajaan akan memantau dengan lebih dekat perkembangan di Timur Tengah, namun buat masa kini tiada cadangan untuk menaikkan harga RON95, manakala harga RON97 berlegar mengikut pasaran dunia. Harga RON95 dikawal oleh kerajaan berdasarkan peruntukan subsidi.


Menurut Perdana Menteri lagi, apapun keputusan yang dibuat, ia akan mengambil kira bebanan yang ditanggung oleh rakyat sebagai keutamaan, walaupun terpaksa memperuntukkan amaun sabsidi yang besar.

Sebagai rakyat Malaysia, kita patut menghargai keprihatinan kerajaan dengan memainkan peranan sewajarnya. Dalam hal ini, hendaknya kita memberikan kerjasama dalam mebenteras penyeludupan keluar petrol bersabsidi, atau apa-apa jua barangan yang diberikan sabsidi oleh kerajaan untuk rakyat dan penduduk negara bertuah ini.

Friday, February 25, 2011

Kacang Telur

Kacang telur merupakan makanan ringan yang biasa dihidangkan pada musim perayaan dan juga majlis-majlis tertentu. Di Daerah Kunak, kacang telur boleh didapati dari peniaga kecil di gerai-gerai seperti Gerai Simpang Empat dan Gerai Stesen Bas Kunak. Walaupun demikian, beberapa orang pelanggan individu dan juga peruncit telah meminta pengusaha "Produk Desa" untuk makanan ringan tersebut. 



Apabila diberitahu bahawa produk berkenaan yang dihasilkan oleh beberapa pengusaha lain sudah banyak di pasaran, mereka memberitahu bahawa permintaan khusus untuk keluaran Produk Desa adalah atas dua faktor utama, iaitu kualiti dan kemudahan (terutama bagi peruncit) untuk mendapatkan pelbagai jenis makanan ringan (dari satu tempat) untuk diniagakan.

Untuk tidak menghampakan permintaan pelanggan, maka pengusaha Produk Desa, Puan Satriani Mohd Ali, bersetuju untuk menambah kacang telur ke rangkaian produk makanan ringan mereka. Oleh kerana belum ada pengalaman membuat makanan ringan tersebut, maka beliau terpaksa mencari beberapa orang "guru masakan" yang lebih berpengalaman dalam bidang tersebut, dari kalangan pelbagai etnik yang terdapat di Daerah Kunak.

Beberapa resepi diperolehi dari beberapa "makcik-makcik" dan "babu-babu" yang murah hati berkongsi pengalaman. Walaupun pada asasnya, bahan utama yang digunakan adalah serupa, namun terdapat perbezaan dari segi cara pemprosesan, misalnya cara adunan tepung dengan telur, besar api yang digunakan untuk menggoreng, dan sebagainya.

Beberapa percubaan dilakukan untuk mengenalpasti resepi dan cara pemprosesan yang terbaik. Tiga ciri utama kacang telur yang dikehendaki ialah:
  1. Adunan tepung, telur, gula dan bahan-bahan yang menjadi "kulit" hendaklah garing, tidak meresap minyak dan tidak hangus.
  2. Kacang tanah sebagai "isi" hendaklah cukup masak dan juga garing.
  3. Produk tidak meninggalkan kesan loya atau lekit pada tekak pengguna.
Percubaan pertama, kulit nya cukup garing, tidak meresap minyak dan tidak hangus, namun kacang di dalamnya tak cukup garing. Langsung tidak menyelerakan.

Percubaan kedua, api diperlahankan. Hasilnya, okeylah. Kulit dan isi cukup masak seimbang, namun ciri ketiga yang disebutkan di atas tidak tercapai. Empat lagi percubaan dilakukan dengan cara mengubah nisbah bahan yang digunakan. Percubaan yang ke-6 dikira memuaskan. Namun begitu, saya yang telah menjadi "mangsa" sebagai "tukang try" belum berpuas hati dan mencadangkan agar satu daripada bahan dari resepi asal dikeluarkan. Cadangan itu dipersetujui dan percubaan ke-7 dilaksanakan yang kemudian digunapakai untuk seterusnya.

Bahan-bahan dalam resepi asal ialah 500g kacang tanah, 2 biji telur saiz 'A', 450g tepung gandum, 200g gula, 1 sudu teh garam, setengah sudu teh esen vanilla, dan minyak masak secukupnya untuk menggoreng. Pembaca tentu boleh mengagak bahan mana yang telah dikeluarkan.


Thursday, February 24, 2011

Pengaruh Telefon Sellular Keatas Aktiviti Otak

Mungkinkah aruhan elektromagnet telefon bimbit boleh
menyebabkan barah otak?
Telefon mudah-alih, mula diperkenalkan di Malaysia dalam tahun 1985 apabila Telekom Malaysia memperkenalkan pekhidmatan ATUR (Automatic Telephone Using Radio), 450 pada bulan Mei tahun tersebut. Alat yang digunakan bersaiz cukup besar, sebesar dua blok batu-bata. Begitu juga dengan beratnya, seberat dua blok batu-bata itu. Oleh kerana itu untuk membawanya ke sana ke mari, ia terpaksa dibimbit , tak ubah seperti sebuah beg bimbit. Dengan itu, julukan nama 'telefon bimbit' digunakan untuk alat tersebut. Perkhidmatannya pula hanyalah setakat komunikasi menggunakan suara, SMS pun belum ada.


Generasi kedua (2G) mula diperkenalkan di Finland dalam tahun 1991dan memperkenalkan perkhidmatan tambahan iaitu komunikasi penghantaran data, bermula dengan SMS. Setelah 2G dilancarkan, telefon mudah alih yang lebih awal diistilahkan sebagai "generasi pertama" atau singkatnya "1G". Rangkaian 1G menggunakan isyarat analog manakala rangkaian 2G menggunakan isyarat digital. Saya tak berapa pasti, bila agaknya ia menembusi pasaran di Malaysia. Saya memperoleh set pertama saya dalam tahun 1994, yang kelihatan seperti sebuah batu asa (batu gosok). Ketika itu, harganyapun boleh tahan!

Kemajuan teknologi telefon sellular begitu pantas sehingga pada tahun 2001, generasi ketiga (3G) mula dipasarkan secara komersil. Kelebihan 3G berbanding 2G ialah dari segi kelajuan penghantaran data, iaitu iaitu sekurang-kurangnya 200 kbits/saat pada keadaan isyarat penuh. Generasi seterusnya ialah 4G (generasi keempat) yang dijangka akan meluas penggunaannya dalam tahun 2011 ini, mampu memuat turun data pada kelajuan 100 Mbits/saat apabila berada di atas kenderaan yang bergerak laju, misalnya keretapi atau dalam kereta. Dalam keadaan statik atau bergerak perlahan, 4G mampu memindahkan data pada kelajuan 1Gbits/saat.

Kini, penggunaan telefon sellular semakin meluas. Di Malaysia, amat jarang didapati sesebuah keluarga yang tidak memiliki kemudahan tersebut. Malah bagi seseorang warga Kunak, kenalannya yang tidak memiliki kemudahan tersebut boleh ia hitung dengan jarinya.

Jelas, hampir setiap rakyat Malaysia mempunyai dan tahu menggunakan kemudahan telefon sellular tetapi masih terlalu sedikit yang tahu tentang kesan penggunaan kemudahan tersebut kepada aktiviti otak.

Dalam satu kajian peringkat awal, penyelidik mendapati bahawa penggunaan telefon sellular selama 50 minit menyebabkan peningkatan metabolisma glukos (petunjuk aktiviti otak) pada bahagian otak yang berhampiran dengan antena telefon yang digunakan. Bagaimanpun, kajian tersebut yang dimuatkan dalam Journal of the American Medical Association (JAMA) keluaran 23 Februari 2011, belum mengenalpasti kesan aktiviti tersebut dari segi kesihatan.

Menurut artikel tersebut, peningkatan dramatik penggunaan telefon sellular di seluruh dunia telah menimbulkan kebimbangan akan bahaya yang dihadapi akibat keterdedahan kepada aruhan elektromagnetik termodulasi frekuensi radio (RF-EMF). Kebimbangan utama ialah kemungkinan RF-EMF yang terhasil dari telefon sellular akan menyebabkan barah. Walau bagaimanapun, hasil beberapa kajian tentang hubungkait antara penggunaan telefon sellular dengan kejadian barah otak tidak begitu konsisten. Ada kajian menunjukkan terdapatnya pertalian, ada pula yang langsung tidak menunjukkan sebarang kaitan. Sehingga kini, tandatanya tentang isu tersebut belum lagi terjawab dengan pasti.

Tuesday, February 22, 2011

Gempabumi Christchurch: 65 Disahkan Terkorban, Ratusan Terperangkap Di Bawah Runtuhan

Gempabumi berukuran 6.3 magnitud yang melanda bandaraya Christchurch pada Selasa 22 Februari 2011, pukul 12:51 petang waktu New Zealand (7:51 pagi waktu Malaysia) disahkan telah menyebabkan korban seramai 65 orang manakala sekurang-kurangnya 100 orang dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.


Gegaran yang berpusat di Lyttelton pada kedalaman 5km itu diikuti pula oleh beberapa gegaran susulan (aftershock) bermula pada pukul 1:04 petang pada kedalaman 6km yang berlaku 10km di selatan Christchurch. Sehingga tengah malam waktu setempat, sebanyak 6 gegaran susulan direkodkan, yang terakhir berukuran 5.5 berlaku pada kedalaman 5km sejauh 5km dari pusat gegaran pertama di Lyttelton.

Selepas tengah malam sehingga setakat entri ini diposkan, enam lagi gegaran di sekitar bandaraya itu dilaporkan seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah ini.



Monday, February 21, 2011

Canggih :Memandu Kereta Guna Daya Fikiran

Ahli-ahli sains di Freie Universität Berlin, Jerman berjaya mencipta alat yang boleh menghubungkan daya fikiran manusia dengan kenderaan sehingga kenderaan itu boleh dikawal hanya dengan menggunakan daya fikiran. Dengan menggunakan alat pengesan atau sensor, bagi merekod elektroensefalogram (EEG), ahli-ahli sains tersebut telah dapat mengenalpasti pola gelombang bioelektrik untuk arahan kawalan utama pemanduan kereta, iaitu "belok ke kiri", "belok ke kanan", "pecut" dan "guna brek".


Para saintis berkenaan kemudian mencipta alat penghubung (interface) yang menghubungkan sensor tersebut kepada komputer yang disambung pula dengan alat kawalan utama kenderaan, iaitu steering, kawalan bahanapi (petrol, diesel, dsb) serta brek.

Cara Penggunaannya
Sensor EEG diletakkan di kepala pemandu. Untuk "belok ke kiri", pemandu hanya perlu berfikir yang ia mahukan kenderaan yang dipandunya itu "membelok ke kiri". Begitu juga untuk belok ke kanan, menambah kelajuan, mengurangkan kelajuan dan berhenti, pemandu hanya perlu memberi arahan secara mental.

Kalau difikir sepintas lalu, kaedah memandu ini amat bahaya dan hanya boleh digunakan oleh mereka yang benar-benar dapat mengawal fikiran sendiri. Bagi saya, tingkahlaku, perbuatan dan malah emosi, boleh dikawal, walau hanya sehingga tahap tertentu. Namun, untuk mengawal fikiran memerlukan kehebatan dan kekuatan insani yang amat tinggi.

Bagaimana jika secara tidak sedar, pemandu "dipermainkan" oleh fikirannya dan gelombang EEG itu memberi arahan, "Pecut, belok ke kanan dan rempuh sahaja gadis yang sedang berdiri di tepi kanan jalan"?

Apapun, kemungkinan para saintis dapat pula mencipta sensor yang boleh mengesan gelombang EEG dari fikiran yang tidak disedari atau separa disedari, sehingga fikiran-fikiran sedemikian boleh ditapis dan dihalang dari menembusi interface. Dengan demikian, arahan-arahan mental yang boleh membahayakan mana-mana pengguna jalanraya, akan diketepikan oleh komputer yang mengawal kenderaan.

Saturday, February 19, 2011

Produk Makanan Ringan Dari Daerah Kunak: Kerepek Ubi Bergula

Kerepek Ubi

Kerepek ubi merupakan makanan ringan tradisi suku kaum yang tergolong dalam Rumpun Melayu. Ia diperbuat daripada adunan ubi kayu yang telah diparut dengan tepung ubi atau tepung kanji. 


Penyediaan Secara Tradisi.

Secara tradisi, adunan itu kemudian dileperkan di atas daun pisang kemudian dikukus. Setelah cukup masak, ia dijemur di bawah sinar matahari. Jika cuaca cukup panas ia akan kering dalam tempoh lima jam. Kerepek yang telah kering kemudian dipotong menjadi kepingan-kepingan kecil sebelum digoreng dengan minyak masak yang cukup panas. Kepingan kerepek itu akan mengembang dan cukup rangup. Seterusnya ia ditoskan sebelum digaul dengan gula yang telah dicairkan. Setelah cukup sebati, ia diangkat dan dibiarkan sejuk sehingga gula kembali menjadi keras, kemudian dihidangkan.

Kerepek ubi yang disediakan secara tradisi agak keras kerana penyediaannya lebih tebal.

Penyediaan oleh Pengusaha di Daerah Kunak

Bahan dan cara penyediaan kerepek ubi bergula oleh pengusaha di Daerah Kunak lebihkurang sama seperti kaedah tradisi. Yang berbeza ialah;
(1) adunannya lebih tipis agar kerepek itu lebih rangup,
(2) setelah adunan dileperkan ia dipotong menggunakan acuan agar saiz kerepek lebih    sekata, dan setelah kering ia tidak lagi dipotong menjadi kepingan-kepingan lebih kecil.
(3) gula yang telah dicairkan dititiskan ke atas kepingan kerepek dan bukannya digaul seperti kaedah tradisi.

Serupa Tapi Tak Sama

Terdapat beberapa pengusaha Industri Asas Tani yang menghasilkan kerepek ubi bergula saiz besar.  Di Kunak sahaja terdapat tidak kurang dari lima pengusaha yang mengeluarkan produk sedemikian, masing-masing dengan jenama tersendiri, jadi mudah untuk pengguna mengenalpasti pilihan masing-masing.

Kerepek Ubi Bergula oleh "Produk Desa" Sila Klik untuk keterangan lanjut

Sekali pandang, kerepek ubi bergula yang dihasilkan oleh pengusaha-pengusaha di Daerah Kunak kelihatan serupa. Namun jika diteliti terdapat ciri-ciri tertentu yang membezakan antara satu sama lain, misalnya corak gula dan permukaan produk. 

Bagi yang mempunyai deria rasa yang sensitif, pasti akan dapat merasai perbezaan antara produk pengusaha yang berlainan meskipun pada asasnya bahan mentah yang digunakan adalah serupa.


Tuesday, February 15, 2011

Perhimpunan Maulidur Rasul: Penyertaan Paling Ramai dalam Sejarah Daerah Kunak

Perasaan muhibbah dan rasa persaudaraan di kalangan masyarakat Kunak semakin terserlah. Perkara ini dimanifestasikan dalam Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kunak 1432H/2011M. Perhimpunan kali ini menyaksikan penyertaan 47 kontinjen dengan peserta yang berarak mengiringi sepanduk, tidak kurang dari 2000 orang. Yang menariknya, dua orang paderi dari gereja Kristian di daerah ini turut menyertai perhimpunan dan perarakan tersebut.

Sebahagian dari peserta perarakan sambutan Maulidur Rasul
Sambutan kali ini menunjukkan suatu perbezaan yang amat ketara berbanding sambutan pada tahun 2009. Pada waktu itu, hanya 8 kontinjen yang menyertai perarakan. Kebetulan pula ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang, dan pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan (Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung) baru balik dari berkursus di Pulau Silumpat pada hari sebelumnya. Suasana agak suram kerana seakan Umat Islam sendiri telah melupakan hari keputeraan Nabi S.A.W., yang merupakan pemimpin terunggul pernah memijakkan kaki di bumi Allah ini. Saya masih teringat ucapan Datuk Nilwan pada waktu itu, yang walaupun merasa agak terkilan dengan sambutan dingin itu, namun beliau masih tetap percaya dan menaruh harapan yang masyarakat Kunak, suatu hari kelak, akan berubah sikap. Ternyata kepercayaan dan harapan itu tidak sia-sia.

Seawal pukul 6:00 pagi umat Islam khasnya, dan masyarakat Kunak amnya, telahpun berbondong-bondong menghadirkan diri ke padang. Ada juga berpendapat bahawa sambutan menggalakkan itu didorong oleh keinginan masyarakat melihat wajah pemimpin mereka, yang walaupun belum sampai dua bulan mereka tidak temui, namun terasa terlalu lama. 

Datuk Nilwan sememangnya terkenal di kalangan masyarakat Kunak sebagai seorang yang tidak pernah lokek untuk meluangkan masa mendengar permasalahan dan pendapat sesiapa sahaja, bukan sahaja selaku ADUN, bahkan sikap itu memang ada padanya sebelum dicalonkan mewakili BN di N51 Kunak pada PRU12.

Masyarakat Kunak sedia maklum bahawa pemimpin kesayangan mereka itu telah menjalani pembedahan pada awal Januari tahun ini dan memerlukan masa rehat secukupnya. Namun, kain rentang promosi sambutan Maulidur Rasul 1432H mempamerkan yang beliau akan melancarkan perhimpunan tersebut. Maka beramai-ramailah mereka keluar untuk menyambut hari keputeraan Junjungan Besar S.A.W. sambil mengambil kesempatan untuk melihat kembali wajah 'wakil mereka' yang telah banyak memperjuangkan nasib dan menyuarakan isi hati mereka kepada pimpinan negeri dan negara.

Pegawai Daerah Kunak (baju hijau) mewakili ADUN Kunak,
Datuk Nilwan Kabang menyampaikan sijil penyertaan kepada ketua-ketua kontinjen
Dalam mukaddimah oleh Pegawai Daerah Kunak, Encik Susilo Sumarto, yang diamanahkan untuk membacakan teks ucapan Datuk Nilwan, beliau berkata, "Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan salam maaf dan beribu ampun dari Datk Nilwan Bin Kabang, ADUN N51 Kunak, yang sebetulnya dan sememangnya merancang mahu hadir pada hari ini.

"Untuk makluman, beliau sekarang ini memang sehat wal afiat, cuma sahaja atas nasihat (doktor), beliau diarah untuk berehat oleh pakar, maka beliau terpaksa menurut (untuk berehat). Jika tidak, beliau memang akan berada bersama kita di sini. Sememangnya beliau telah berjanji untuk hadir, dan hanya semalam saya menerima SMS daripada beliau yang meminta saya mewakili beliau."

Antara kandungan teks ucapan tersebut adalah seperti berikut:

 "Walau apapun hujjah yang diberikan, hakikat yang tidak dapat dinafikan , acara sambutan Maulidur Rasul telah berjaya menyuburkan perasaan cinta mendalam terhadap Nabi di kalangan umat Islam yang berada di Malaysia sejak dahulu lagi. Malah kecintaan itu turut dimanifestasikan dalam bentuk amalan harian hingga pembudayaan nilai-nilai Nabawi ini turut menjadi asas penting pembentukan tamaddun Melayu yang gilang gemilang suatu ketika dahulu.

"Penghayatan tuntas nilai-nilai Nabawi inilah yang berjaya membina watak-watak baru bangsa Melayu berjiwa merdeka, beramanah, berbudaya ilmu, berfikiran dinamik, berdaya saing, berperi kemanusiaan dan berdaya juang yang menghirup roh jihad hingga menjadi asas kekuatan tamaddun Islam berkurun lamanya. Semuanya mengambil pengajaran dari keperibadian dan perjuangan luhur Nabi Muhammad S.A.W.

"Begitu juga kita masyarakat Islam Daerah Kunak, yang terdiri daripada berbilang kaum dan keturunan, tidak pernah ketinggalan untuk sama-sama merayakan dan memperingati Junjungan Besar Nabi kita, Muhammad S.A.W., kerana ia adalah amalan yang amat baik, kerana kita ingin mendapat keredhaan Ilahi, kerana kita amat cinta kepada Nabi Besar, kerana kita ingin menerapkan gaya dan daya hidup baginda dalam kehidupan kita seharian. Perayaan ini juga telah menjadi sebahagian daripada budaya hidup masyarakat kita yang beragama Islam.

"Justeru sambutan Maulidur Rasul masih relevan dalam budaya masyarakat kita, kerana ia mempunyai kepentingan tersendiri untuk terus disambut. 

"Sambutan Maulidur Rasul perlu diberikan makna dan peranan, agar tidak sekadar menjadi upacara tradisi yang bersifat ritual tanpa makna, atau menjadi pesta rutin tahunan yang riuh rendah tanpa arah. Sebaliknya, sambutan Maulidur Rasul seharusnya menjadi budaya baru yang disambut setiap tahun untuk memperbaharui tekad dan iktizam demi meningkatkan lagi penghayatan nilai-nilai Nabawi dalam kehidupan buat semua.

"Perayaan ini patut disambut bagi mengingatkan peri pentingnya menjaga semangat keislaman dan kecintaan kepada Nabi agar dapat terpelihara dan kukuh dalam sanubari umat Islam di bawah tekanan modernisasi dan propaganda sekularisme. Di samping itu, dalam kita ghairah merayakan perayaan seperti ini, yang penting kita harus mengambil iktibar untuk mengkaji peranan, penerapan dan penterjamahan dalam kehidupan seharian masing-masing. Bukan bermakna gaya dan hidup kita tidak baik, tetapi masih banyak peluang dan masih luas peluang untuk sama-sama kita perbaiki diri, gaya dan daya hidup, sikap, perwatakan, tingkahlaku, perpaduan dan kesepaduan, kebersamaan dan semangat muhibbah, serta saling bantu-membantu di kalangan kita semua.

"Cara dan arah untuk memperbaikinya ialah dengan mencontohi ciri-ciri keperibadian Nabi Muhammad S.A.W. sebagai "huswatun hasanah". Begitu juga gaya dan daya hidup kita seboleh-bolehnya, hendaklah mencontohi dan selaras dengan kaedah, gaya hidup dan semangat perjuangan Rasululullah dalam membentuk ummah, membangun fizikal, mental dan spiritual ummah, serta tidak ketinggalan pembangunan ekonomi ummah yang dilaksanakan secara berhemah, lemah lembut tetapi tegas dalam memathuhi setiap inci hukum syarak yang diperturunkan oleh Allah S.W.T."


Sunday, February 13, 2011

Organisasi Monyet (sambungan) - Serangan Berjadual

Bahagian: Pertama, Kedua


Monyet merupakan haiwan diurnal yang aktif pada waktu siang sahaja. Oleh itu serangan oleh monyet ke atas tanaman hanya berlaku di siang hari. Saya dapati kumpulan monyet yang menyerang sesuatu kawasan tanaman untuk tempoh tertentu, seakan mempunyai jadual. Mungkin kumpulan monyet tersebut telah "mempelajari" dan mengenalpasti pergerakan petani di kawasan berkenaan - bila masanya petani tidak berada di kawasan tanaman, maka waktu itu diambil kesempatan oleh kumpulan monyet berkenaan untuk masuk dan mencuri hasil-hasil tanaman.

Selepas serangan pertama ke atas tanaman tebu, pada 8 Februari, maka saya selalu membuat "rondaan" agar tidak berlaku lagi pencerobohan oleh kumpulan monyet tersebut. Memang benar, tiada serangan lagi sehinggalah pada 11 Februari. Lebihkurang pukul 11:30 pagi, ketika saya meninggalkan kawasan tanaman untuk ke mesjid bagi menunaikan solat Jumaat. 

Sekitar pukul 1:30 petang barulah saya menjenguk semula kawasan tanaman tersebut dan mendapati lebihkurang 20 ekor monyet sedang berpesta porak dengan tanaman tebu saya. Agaknya, kumpulan itu baru sahaja masuk dan tidak banyaklah tanaman yang dirosakkan.

Melihat kelibat saya, dua tiga ekor pantas berlari sambil berteriak memberi amaran kepada rakan-rakannya. Saya membidik lastik ke arah satu kumpulan monyet dan melepaskan 'tembakan'. Kumpulan itu lari lintang pukang disertai anggota kumpulannya yang lain.

Kesan kerosakan oleh monyet ke atas tanaman tebu
Saya mengagak bahawa kumpulan monyet itu mungkin akan menyerang pada waktu yang sama keesokan harinya, atau lebih awal, agar sempat makan sepuasnya sebelum saya kembali melawat kawasan. Oleh itu, sekitar pukul 12:00 tengahari, senyap-senyap saya ke kawasan dan bersembunyi di sebalik rumpun tebu yang agak rimbun. Lastik yang 'loaded' dengan batu kerikil sebesar biji getah sudah tersedia. Nyamuk-nyamuk cuba mengganggu "serang hendap" itu, namun saya sudah sedia dengan losyen anti-serangga, jadi gangguan nyamuk itu tidak memberi kesan. Tidak lama kemudian terdengan "semboyan" monyet-monyet itu dari kawasan semak di atas bukit. Saya pasti, tidak lama lagi, mereka akan memulakan serangan.


Penantian itu ternyata tidak begitu lama. Dua ekor monyet berwarna kelabu merangkak perlahan-lahan keluar dari kawasan tanaman salak di kejiranan. Seekor daripadanya berdiri atas kaki belakangnya sambil menoleh ke kiri dan ke kanan, tidak ubah seperti keadaan 'apes' dalam filem 'planet of the apes'. Yang seekor lagi bergerak menuju rumpun tebu berhampiran.Ia mematahkan sebatang tebu kemudian menoleh ke kiri dan ke kanan. Ia tidak terus memakan tebu tersebut. Tentunya ia cuba memastikan kewasan itu benar-benar sedang tidak dijaga. Geram betul dibuatnya, namun saya terus menahan diri daripada bertindak, kerana mahu melihat lebih lanjut cara pergerakan mereka. Monyet yang pertama menyertainya, mematahkan sebatang tebu kemudian memerhati sekeliling. Saya terus berdiam diri.

Yakin bahawa tidak ada manusia di kawasn itu, kedua-dua monyet tersebut memulakan "pesta". Sambil makan, mereka berteriak-teriak, dan rombongan monyet yang lebih banyak, dari yang bayi hingga yang tua bangka, datang menyerbu masuk. Sayapun keluar dari persembunyaian dan melepaskan tembakan batu kerikil ke arah monyet yang mula-mula masuk. Kebetulan, bidikan saya itu jitu, terkena peha monyet tersebut. Ia berteriak kuat, melepaskan tebu yang sedang dimakannya, lalu berlari tempang ke kawasan tanaman salak jiran saya. Terperanjat, yang lain turut bertempik dan bertempiaran tak tentu arah. Ada yang terlanggar pokok salak nan penuh duri menyebabkan ia berteriak semakin kuat. Dengan pantas saya mencapai batu kerikil dari poket seluar dan melepaskan tembakan demi tembakan.

Dua hari sudah berlalu sejak peristiwa itu, setakat ini belum ada lagi serangan susulan oleh kumpulan monyet berkenaan. Agaknya, mereka sedang mengatur strategi baru. Namun, mereka barangkali tidak tahu yang saya juga sedang menyediakan metode pertahanan baru dan serangbalas sekiranya mereka masih belum mengalah...

...bersambung (jika monyet itu menyerang lagi)...

Saturday, February 12, 2011

Rakyat Mesir Berpesta: Akhirnya Mubarak Letak Jawatan

Cairo (Jumaat, 11 Feb 2011): Rakyat Mesir berpesta ketika mendapat berita bahawa Hosni Mubarak, yang memerintah negara itu selama hampir 30 tahun, akhirnya mengalah kepada tuntutan rakyat yang selama 18 hari tanpa putus asa meminta Mubarak letak jawatan.


Mubarak merupakan pemimpin negara Arab yang kedua (selepas Tunisia) akur kepada tuntutan rakyat yang mahukan pentadbiran memberikan mereka lebih kebebasan. Perletakan jawatannya itu mencetuskan keriangan dan pesta di jalan-jalan bandar di seluruh negara itu. Namun begitu, apa yang akan terjadi seterusnya belum lagi jelas. Pihak tentera yang mengambil alih kuasa buat sementara waktu, belum memberikan sebarang gambaran akan langkah-langkah seterusnya yang akan diambil.

Rakyat Mesir berpesta selepas mendapat berita
tentang pengunduran Mubarak
Dalam satu kenyataan melalui televisyen pada Jumaat  malam, pihak tentera berjanji yang mereka tidak akan menajdi pengganti "kerajaan yang sah", dan akan mengambil langkah-langkah bagi memenuhi aspirasi rakyat negara tersebut.

Video klip berikut menunjukkan pengumuman yang dibuat oleh Naib Presiden, Omar Suleiman mengenai perletakan jawatan itu, serta suasana riang di Kaherah selepas pengumuman tersebut:

Friday, February 11, 2011

Organisasi Monyet (sambungan) - Serangan Teratur


Serangan Bermula Kecil-Kecilan
Monyet adalah haiwan omnivor, iaitu ia boleh makan tumbuhan dan juga menjadi pemangsa kepada haiwan lain. Purata masa makan seekor monyet ialah lebihkurang 20 minit dan boleh makan sehingga 20 kali. Makanannya pelbagai jenis seperti buah-buahan, batang tumbuhan, ketam, bunga-bungaan, serangga, cendawan, rumpai, malah ada kalanya memakan tanah liat. Tabiat pemakanan yang lahap itu menjadikan monyet menjadi masalah kepada para petani.

Oleh kerana adanya organisasi dalam sesuatu kumpulan monyet maka agak sukar bagi para petani mengawal haiwan tersebut daripada menceroboh kawasan tanaman.

Berdasarkan pengalaman saya dalam menghadapi pencerobohan oleh haiwan ini, serangan awal biasanya dilakukan oleh satu atau dua ekor monyet sahaja. Kemungkinan besar ia sememangnya ditugaskan oleh ketua kumpulan mereka untuk meninjau keadaan. Serangan berikutnya akan disertai oleh lebih ramai monyet tetapi tidak melibatkan anak-anak monyet yang masih kecil. Kemuncak serangan ialah apabila keseluruhan anggota kumpulan, termasuk anak-anak monyet yang masih menyusu. Ketika itu, tanaman yang sekian lama dibaja dan dipelihara oleh sang petani akan ranap, seolah-olah baru sahaja dilanda tsunami.

Jadi, sebagai panduan bagi yang ada memelihara tanaman dan menghadapi masalah serangan monyet, apabila ada tanda-tanda tanaman dirosakkan oleh haiwan tersebut, segeralah mengambil langkah-langkah sewajarnya sebelum tiba kemuncak serangan itu,

Mengikut peraturan organisasi monyet, seperti yang ditunjukkan dalam video di bawah ini, mana-mana ahli sesuatu kumpulan yang menemui makanan, ia dimestikan memanggil rakan-rakan dalam kumpulannya. Mana-mana monyet yang melanggar peraturan itu, akan menerima padah dengan serangan ganas dari ahli-ahli kumpulannya yang lain.


Kebanyakan kumpulan monyet, termasuk beberapa kumpulan yang terdapat di Daerah Kunak, tidak lagi takut dengan kelibat manusia. Bahkan, kehadiran manusia mereka pandang sebagai suatu peluang untuk mendapatkan makanan dengan mudah. 

Di peringkat ekstrim, ada kumpulan monyet yang menyerang manusia. Pada Oktober tahun lepas, seorang bayi telah meninggal dunia akibat diserang monyet. Bayi berusia empat hari itu sedang tidur di ruang tamu rumahnya di Negeri Sembilan ketika seekor monyet menceroboh ke rumah tersebut dan melarikan bayi berkenaan. Ibu bayi tersebut hanya meninggalkannya seketika untuk ke bilik air sedang atuknya ke dapur untuk mengambil secawan air untuk diminum.

Mujur bagi para petani, monyet merupakan haiwan diurnal, iaitu ia aktif di siang hari dan berehat atau tidur pada sebelah malam. Oleh itu, kawalan terhadap tanaman yang berisiko diserang kumpulan monyet hanya perlu dilakukan di siang hari...

Organisasi Monyet

Sebelum melangkah lebih lanjut ia memerhati keadaan sekeliling. Cahaya matahari yang menyinar menembusi dedaun terkadang membuatkan matanya silau. Berkali-kali ia merenggang dan mengendurkan dahi untuk menyesuaikan mata dengan kekuatan cahaya yang sekejap terang sekejap redup. Hidung dan cupingnya turut bergoyang, menari mengikut rentak dahinya.

Kali terakhir ia menjalankan tugas untuk meninjau, hampir-hampir ia menemui maut. Ia telah terserempak dengan pemilik kebun itu yang membawa lastik besar dan diiringi oleh dua ekor anjing. Masih terasa kesakitan pada punggungnya yang terkena batu kerikil sebesar biji rambutan hasil bidikan lastik petani itu. 

Terasa ngeri ketika ia mengenangkan bagaimana ia terjatuh dari pokok kelapa, dua ekor anjing besar dengan lidah terjulur dan liur meleleh menerpa untuk membahamnya. Mujur ia sempat memanjat kembali pokok kelapa itu. Disitulah dia berlindung dan bertahan sehari suntuk sementara dua ekor anjing terus menyalak dan mengelilingi pangkal pokok. Menjelang detik 12 malam barulah serigala peliharaan itu beredar.

Dia memang sudah mahu letak jawatan sebagai peninjau tetapi ketua mereka berkeras tidak mahu menerima perletakan jawatan itu. Sengeri-ngeri panahan lastik sang petani, ngeri lagi renungan mata ketua monyet, lebih-lebih lagi apabila pandangan tajam itu disertai dengan pameran gigi taring yang tajam walau kuning kerana malas memberus gigi.


Monyet atau kera berekor panjang (Macaca fascicularis) sememangnya merupakan haiwan yang hidup berkelompok, dengan keahlian lebihkurang tiga puluh ekor setiap satu kelompok. Apabila sudah cukup matang untuk mengawan, monyet jantan biasanya akan meninggalkan kumpulannya lalu menyertai kumpulan monyet-monyet bujang, atau kumpulan sosial yang baru. Oleh kerana monyet jantan meninggalkan kumpulan pada usia muda maka ia lebih terdedah kepada pemangsa, penyakit dan kecederaan, berbanding monyet betina.

Apabila monyet jantan menemui kumpulan sosial monyet lain, ia akan mencabar salah satu monyet jantan yang mempunyai kedudukan tinggi dalam kumpulan itu. Cabaran itu akan diikuti dengan pertarungan sengit yang biasanya berakhir dengan kecederaan, malah kematian. Jika ia berjaya menewaskan penyandang maka ia akan mengambilalih kedudukannya dalam organisasi monyet itu beserta sekumpulan monyet betina yang dikuasai oleh sang penyandang. Monyet-monyet jantan yang lain hanya memerhatikan. Yang menang akan diterima sebagai ahli. Yang kalah, jika tidak mati, akan meninggalkan kumpulan untuk mencari kumpulan lain untuk dicabar pula.

Apabila sudah diterima dalam kumpulan, monyet itu tidak lagi akan dicabar oleh monyet-monyet lain dalam kumpulan itu. Namun ia harus sedar sejauh mana kedudukannya dalam kumpulan dan harus akur kepada aturan hierarki dalam kumpulan itu, yang ditentukan oleh faktor usia, saiz dan kecekapan dalam pertempuran. Jantan yang paling besar dan paling kuat akan menjadi ketua kumpulan, dan memiliki monyet betina paling ramai...

Wednesday, February 9, 2011

Suatu Ketika Dahulu: Ular Ada Kaki

Gambar Hiasan
Fossil berusia 95 tahun yang ditemui di Lubnan menunjukkan seekor ular yang mempunyai kaki. Spesis spesimen ular tersebut diberi nama Eupodophis descounsi. Selain daripada spesimen tersebut terdapat hanya dua fossil ular yang mempunyai kaki pernah ditemui setakat ini.

Fossil snake (Alexandra Houssaye)
Fossil berusia 95 juta tahun yang ditemui di Lubnan
Bukti-bukti setakat ini menunjukkan bahawa ular mula wujud di bumi sejak 150 juta tahun dahulu.

Terdapat dua teori bagaimana reptilia tak berkaki itu berevolusi. Satu daripadanya ialah yang menyatakan bahawa ular berasal dari reptilia yang mempunyai kaki. Apabila reptilia tersebut mula membuat dan mendiami lubang dalam tanah, maka ia mengadaptasikan diri dengan keadaan itu. Lama kelamaan saiz kakinya semakin kecil dan pada generasi-generasi berikutnya kaki tidak lagi terbentuk.

Teori kedua ialah bahawa ular berasal dari reptilia yang hidup dalam air dan evolusi kehilangan kaki berlaku dalam air. Oleh kerana ular bertelur di darat, lama kelamaan generasinya mendapati lebih sesuai menetap di daratan.

Allah jua yang lebih mengetahui.


Sunday, February 6, 2011

Pimpinan Tertinggi NDP Letak Jawatan Tetapi Mubarak Terus Bertahan

Beberapa orang pemimpin tertinggi Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) Mesir, termasuk Gamal Mubarak, letak jawatan pada Sabtu 5 Februari 2011 namun Presiden Mubarak tetap mempertahankan jawatannya. Langkah itu dilihat sebagai usaha untuk menenangkan penunjuk perasaan, tanpa menunaikan permintaan utama mereka - perletakan jawatan Mubarak.

Para penunjuk perasaan di jalan-jalan bandar di Mesir mendakwa langkah tersebut semata-mata seperti "pemberian gula-gula", dan bersumpah untuk meneruskan perjuangan mereka sehingga Mubarak berundur. Mereka berpendapat bahawa rejim pimpinan Mubarak sedang bersandiwara dalam usaha untuk meletihkan penunjuk perasaan. Rejim itu dilihat sebagai melakonkan reformasi demokrasi yang cetek, sementara mengekalkan monopoli kuasa yang sudah berakar umbi.

Sesiapa sahaja boleh menjadi presiden yang lebih baik daripada Mubarak
Apabila ditanya, kenapa tidak menunggu sehingga September untuk Mubarak berundur diri, seorang penunjuk perasaan menjawab, "Sebab kami tidak lagi percaya kepadanya".

Ditanya mengenai kebimbangan pihak tertentu akan berlakunya huru-hara di mesir andai berlaku "kekosongan kuasa" (power vacuum) jika Mubarak letak jawatan, siapa yang akan menggantikannya, seorang wanita dari kalangan penunjuk perasaan menjawab selamba, "Sesiapa sahaja lebih baik daripada dia".

Atas: Safwat el-Sharif, Bawah: Gamal Mubarak bersama isterinya, Khadiga
Enam pimpinan utama NDP yang berundur termasuklah dari kalangan ahli politik Mesir yang paling berkuasa - dan paling tidak disukai oleh orang Mesir. Antaranya ialah setiausaha agung NDP, Safwat el-Sharif, dan anak presiden, Gamal Mubarak.

Saturday, February 5, 2011

Para Pegawai Mesir Berusaha Menggeser Mubarak Keluar


Pada Jumaat 4 Februari 2011, tatkala ratusan ribu penunjuk perasaan kembali membanjiri Dataran Tahrir, pentadbiran Obama dan beberapa anggota elit dari kalangan tentera Mesir dan orang awam, merangka plan untuk menggeser Hosni Mubarak keluar dari kekuasaannya. Presiden berusia 82 tahun itu semakin terasing.
Sementara tunjuk perasaan berterusan seorang anggota tentera tertidur
dalam kereta kebalnya di Dataran Tahrir
Naib presiden Mesir yang baru dilantik, Omar Suleiman, dan lain-lain pimpinan tertinggi angkatan tentera membincangkan langkah-langkah bagi menghadkan kuasa membuat-keputusan oleh Mubarak dan kemungkinan untuk mengeluarkannya dari istana presiden di Kaherah - meskipun tanpa melucutkan jawatan presiden darinya dengan serta merta. Sebuah kerajaan peralihan (sementara) yang akan diketuai oleh naib presiden selanjutnya akan berunding dengan para pemimpin pihak pembangkang bagi memindah Perlembagaan Mesir dan memulakan proses perubahan dmokrasi.
Sumber rasmi pentadbiran berkata antara cadangan yang telah dibincangkan ialah mengesyorkan kepada Mubarak untuk berpindah ke rumahnya di Sharm el Sheik, sebuah rezot tepi pantai, atau mengambil cuti sakit untuk pemeriksaan susulan kesihatannya di Jerman. Langkah-langkah sedemikian membolehkan beliau keluar secara terhormat dan berkesan untuk mengeluarkannya dari arus perdana politik, seterusnya memenuhi sebahagian daripada tuntutan utama penunjuk perasaan. 
Sementara itu, Omar Suleiman dan para pegawai tertinggi angkatan tentera digalakkan untuk mengadakan perbincangan terperinci dengan kumpulan-kumpulan penentang, permusyawarahan yang akhirnya akan merangkumi bagaimana cara membuka sistem politik, menetapkan had jangkamasa untuk jawatan presiden dan menggariskan beberapa prinsip utama demokrasi untuk digunapakai menjelang pilihanraya pada bulan September.
"Semuanya itu tidak dapat dilakukan jika Mubarak masih berada di tengah-tengah proses yang dicadangkan," jelas seorang pegawai kanan pentadbiran. "Namun itu, tidak bermakna presiden mesti meletak jawatan sekarang juga."
Walau bagaimanapun, para pemimpin pembangkang berkeras tidak akan mengadakan rundingan dengan Omar Suleiman selagi Mubarak masih lagi memegang jawatan presiden.   Mereka sudahpun membuat perancangan mengenai kesan pengunduran Mubarak, jika berlaku, iaitu memastikan pegawai-pegawai kanan Mesir tidak akan cuba untuk menggagalkan gerakan menuju demokrasi berpelembagaan.
Dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper, Presiden Obama memberitahu bahawa dia percaya yang presiden Mesir itu sudah "bebas dari cengkaman psikologi" untuk terus berkuasa dengan mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding lagi. Obama enggan memberi sebarang cadangan samada Mubarak perlu letak jawatan sesegera mungkin atau sebaliknya, namun beliau menggariskan beberapa langkah yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan Mesir bagi memastikan "peralihan yang teratur", yang bagi kebanyakan orang, tiada jalan lain melainkan tanpa campurtangan Mubarak, jika tidak letak jawatan.
Dalam satu temuramah dengan ABC News pada Khamis, Mubarak memberitahu yang beliau sukacita untuk meletak jawatan, tetapi mendakwa jika dia berbuat demikian, "Mesir akan menjadi huru-hara."
Para pemimpin pembangkan di negara itu sudah memberi amaran akan ada risiko untuk mendapat presiden seumur hidup yang didukung tentera, jika pihak tentera yang sedang berunding untuk peralihan dari Mubarak menyekat perubahan yang lebih meluas.
Namun begitu, beberapa kumpulan cendikiawan terkemuka dan penganalisa politik mendesak perlaksanaan rancangan bagi meluluskan peralihan kuasa awal kepada Omar Suleiman, yang bagi mereka, nampaknya sedang mentadbir bagi pihak Mubarak.
"Hakikatnya, naib presiden sedang mengurus keadaan dan kami mahu ia dilakukan secara sah," kata Wahid Abdel Neguid, timbalan pengarah Pusat Kajian Politik dan Strategi Al Ahram yang juga seorang daripada yang terlibat dalam mengatur plan peralihan kuasa itu. "Melihat kepada keadaan yang berlaku sekarang dan dengan tekanan-tekanan yang begitu hebat yang beliau alami, presiden tidak dapat berbuat apa-apa, tidak di sini dan tidak juga di luar negara."
Kumpulan-kumpulan yang mengemukakan cadangan itu termasuklah Nabil Fahmy, bekas duta Mesir ke Amerika Syarikat; Naguib Sawiris, seorang usahawan paling terkemuka di Mesir; Ahmed Kamal Aboul Magd, seorang peguam dan ulama terkemuka; dan Ahmed Zewail, seorang ahli kimia yang pernah memenangi Nobel Proze. Satu kumpulan telah membuat pertemuan pada hari Jumaat di pejabat Amr Moussa, Setiausaha Agung Liga Arab yang juga mungkin merupakan tokoh politik paling terkemuka di Mesir.
Amr Moussa
Menurut Abdel Moneim Qattou, seorang jeneral bersara angkatan tentera, Omar Suleiman, seorang bekas pegawai tentera, nampaknya berkongsi kuasa dengan dua orang sekutu rapatnya, iaitu Mohamed Tantawi, menteri pertahanan, dan Ahmed Shafiq, perdana menteri, seorang jeneral bersara." 
"Namun ketiga-tiga mereka itu tersepit antara kesetiaan kepada Mubarak dan kesetiaan kepada angkatan bersenjata," jelas Qattou. "Mereka enggan menyingkirkan Mubarak dan tidak mahu atau tidak mampu menggunakan kuasa ketenteraan terhadap para penunjuk perasaan - suatu tindakan yang boleh mencemarkan nama serta meruntuhkan moral angkatan bersenjata.'
"Ketiga-tiga mereka berjiwa ketenteraan," kata Qattou. "Mereka saling mengenali, rapat antara satu sama lain, dan bersama mereka berusaha untuk mencari jalan keluas dari krisis ini. Mereka mahu melakukannya tanpa sebarang pertumpahan darah dan tanpa menjatuhkan martabat Mesir atau Mubarak, dalam masa yang sama memenuhi tuntutan massa.
Pada Jumaat ketiga-tiga mereka seakan menilai semula pandangan mereka. Buat pertama kalinya Shafiq mengumumkan yang pihak kerajaan tidak akan berusaha mengosongkan Dataran Tahrir, membolehkan penunjuk perasaan berada di dataran itu tanpa had masa tertentu. 
Sementera itu, Tantawi sendiri telah melawat dataran itu pada sebelah pagi, untuk memeriksa pasukan yang ditempatkan di sekitar Muzium Mesir. Ia merupakan kemunculan julung kalinya oleh seorang pegawai tertinggi negara itu, dan para penunjuk perasaan serta kalangan pakar ketenteraan menganggapnya sebagai tanda amaran kepada penyokong Mubarak yang berpakaian preman untuk tidak lagi melakukan serangan di dataran tersebut.
Sorakan gembira kedengaran dari kumpulan penunjuk perasaan dengan kemunculan Tantawi, dan mereka saling berpegangan tangan untuk membentuk sekatan melingkari kawasan yang dilalui Tantawi. Mereka berbuat demikian untuk memastikan tiada penyokong Mubarak yang cuba mencetuskan keganasan.
Dalam sidang media Obama dua kali mengulang bahawa bagaimana peralihan itu berlku "bukanlah keputusan yang boleh dibuat oleh Amerika Syarikat mahupun mana-mana negara selain Mesir." Namun beliau menggariskan beberapa siri prinsip yang nampaknya bertujuan untuk mendesak Mubarak, dan mengurangkan pilihannya.
Pegawai-pegawai pentadbiran terus bimbang bahawa jika Mubarak disingkirkan terlalu awal akan menyebabkan masalah perlembagaan diikuti kekosongan politik. Perlembagaan sedia ada memperuntukan Speaker Parlimen mengambil alaih kuasa, sekurang-kurangnya pada nama, jika Mubarak letak jawatan.
Pemimpin-pemimpin pembangkan berpendapat bahawa Perlembagaan sedia ada terlalu memihak kepada parti pemerintah. Perlembagaan itu patut dimansuhkan segera dan Parlimen, yang dikuasai oleh parti pimpinan Mubarak, harus dibubarkan.
Diperingkat awal suatu perundingan yang dijangkakan akan menjadi beberapa pusingan rundingan, diplomat Mohamed ElBaradei, memberitahu sidang media bahawa para peguam pembangkang sedang menyediakan suatu Perlembagaan Sementara. Menurut beliau, pihak pembangkang meminta Mubarak menyerahkan kuasa kepada sebuah majlis dengan dua hingga lima anggota yang akan mentadbir negara sehingga pilihanraya diadakan dalam tempoh satu tahun.
"Hanya satu ahli dari pihak angkatan bersenjata," kata Elbaradei. "Buat masa ini, tanggungjawab utama angkatan bersenjata ialah untuk memastikan tempoh peralihan itu berjalan dengan lancar."
"Kami tidak ada niat untuk membalas dendam," tegas Elbaradei. "Mubarak harus berundur penuh hormat dan menyelamatkan negaranya."
Mohamed el-Beltagui, seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin, memberitahu organisasi itu tidak kan mengemukakan calon dalam mana-mana pilihanraya untuk menggantikan Mubarak sebagai presiden.
Tambah beliau, ahli-ahlinya mahu membuktikan ketidakbenaran alasan yang diberikan oleh Mubarak kepada pihak Barat yang pemerinatahan kuku-besinya itu adalah penting untuk membendung gerakan pelampau Islam. "Keputusan ini bukan bermakna yang kami mengalah, tetapi ia adalah suatu cara untuk menghapuskan taktik menakut-nakutkan yang selama ini digunakan oleh Mubarak untuk mengelirukan masyarakat setempat dan antarabangsa agar dia boleh terus berkuasa," jelas el-Beltagui.
Mohamed el-Beltagui yang mewakili Ikhwanul Muslimin dalam jawatankuasa pembangkang untuk perundingan membentuk kerajaan peralihan, berkata kumpulannya mahukan "pemerintahan awam", bukan berasaskan agama. "Kami mahukan demokrasi yang sebenarnya, dengan kebebasan asas dan keadilan sosial yang sebenarnya."
Seperti kebanyakan yang berada di Dataran Tahrir, el-Beltagui tidak bimbang akan kemungkinan pihak angkatan bersenjata untuk menyokong diktator baru menggantikan Mubarak. Menurutnya, kesungguhan para penunjuk perasaan akan menggagalkan usaha sedemikian.
Keadaan di Dataran Tahrir bertukar dari suasana kebencian kepada kegembiraan. Para penunjuk perasaan meninggalkan sekatan-sekatan yang mereka bina. Mereka berzikir, berdoa dan menyanyikan lagu kebangsaan di tengah-tengah dataran dimana peserta-peserta yang baru datang membawa masuk bungkusan-bungkusan roti dan minuman.
Sorakan kegembiraan penuh semangat kedengaran beberapa kali menyambut ketibaan Amr Moussa, bekas menteri luar yang lantang dan berkarisma dalam tahun 1990an, yang dipindahkan oleh Mubarak kepada kedudukan kurang berpengaruh sebagai Setiausaha Liga Arab.
Mohamed Rafah Tantawy, jurucakap Al Azhar, berkata beliau meletak jawatan untuk menyertai revolusi tersebut.
"Kedudukan saya berada pada kedudukan menyokong revolusi ini," kata beliau. "Saya adalah sebahagian darinya sehingga titisan darah terakhir."