Thursday, November 29, 2012

142857

Apakah signifikan angka "142857"?

Ia merupakan angka yang berulang hasil sesuatu nombor apabila dibahagi dengan '7', melainkan jika hasil bahagi tersebut merupakan nombor bulat.

1/7 = 0.142857
2/7 = 0.285714
3/7 = 0.428571
4/7 = 0.571429 ('8' menjadi '9' kerana diringkaskan kepada 6 titik perpuluhan)
5/7 = 0.714296 (kepada 6 titik perpuluhan)
6/7 = 0.857143 (kepada 6 titik perpuluhan)
7/7 = 1.000000 (hasilbahagi merupakan nombor bulat)
8/7 = 1.142857
9/7 = 1.285714
10/7= 1.428571

Perhatikan bahawa:

  1. angka paling hadapan titik perpuluhan menaik mengikut nilai angka tersebut dan bukannya mengikut urutan "142857"; 1/7 = 0.142857, 2/7 = 0.285714 ...
  2. untuk memudahkan mengingati urutan ini, pecahkan '142857' berpasangan menjadi 14, 28 dan 57. 2x7 = 14, 14x2 = 28, 28x2 = 56 (hampir-hampir 57) ...
Tanpa menggunakan kalkulator, kertas dan pensil, apakah hasil jawapan 11 bahagi 7, hampir kepada 4 titik perpuluhan?

  • Kita tahu 11/7 = 1 baki 4
  • Jka kita sudah biasa dengan urutan angka ini, maka kita tahu bahawa 4/7 = 0.5714 (kepada 4 titik perpuluhan)
  • Jawapannya mudah sahaja! ... 1.5714 
Cubalah bahagikan nombor-nombor lain dengan 7 menggunakan kaedah ini.

SELAMAT MENCUBA ...


Monday, November 26, 2012

Tanpa Kalkulator

Kadangkala dalam kehidupan seharian kita perlu mengira dengan cepat untuk segera membuat keputusan. Dua hari lepas saya menemani isteri ke pekan untuk membeli barangan keperluan harian keluarga.

Ketika saya menghidupkan enjin kereta untuk berangkat pulang isteri saya baru teringat yang dia hendak membeli minyak masak sebagai persediaan bahan perusahaan kecilnya. Dia bertanya kepada saya berapa botol lagi minyak masak yang boleh dia beli dengan baki duitnya yang tinggal RM103.00. Selalunya dia membeli minyak masak dalam botol 5kg dengan harga RM14.70 sebotol.

Biasanya untuk menyelesaikan persoalan matematik sedemikian kita akan mula melakukan operasi bahagi. Tanpa kalkulator tentu agak sukar namun dengan kecanggihan teknologi dewasa ini, applikasi kalkulator terdapat pada hampir semua telefon bimbit. Walau bagaimanapun kadangkala terdapat juga masalah - bateri lemah atau telefon tertinggal. Demikian yang dihadapi isteri saya pada hari itu. Baru sahaja dia membuka applikasi kalkulator, telefon bimbitnyapun padam kerana bateri yang lemah.



Saya memberitahunya yang dia ada baki 10sen lagi jika dia beli 7 botol minyak masak.

Cara perkiraan saya adalah seperti berikut:
- Bulatkan RM 14.70 kepada RM15.00
- Darab dengan angka genap supaya hasilnya menghampiri RM 103
  > 2 --> RM 30
  > 4 --> RM 60
  > 6 --> RM 90 (paling menghampiri RM103)
  > 8 --> RM 120
  (Cara ini memudahkan perkiraan kerana apabila angka yang berakhir dengan 5 didarab dengan angka genap akan menghasilkan puluh)
- (A) RM 103 - RM 90 = RM 13 (baki duit jika membeli 6 botol dengan harga RM 15.00 sebotol)
- (B) RM 15.00 - RM 14.70 = RM 0.30 (lebihan perkiraan keatas harga sebenar)
- (C) RM 0.30 x 6 = RM 1.80 (jumlah lebihan perkiraan keatas jumlah harga sebenar)
- A + C --> RM 13.00 + RM 1.80 = RM 14.80 (cukup untuk membeli sebotol lagi dan ada baki 10sen).

Selamat mencuba ...

Sunday, November 25, 2012

Kerepek Pisang Sabah

Dipercayai bahawa nama negeri Sabah berasal dari nama sejenis pisang iaitu "pisang saba". Di Malaysia dewasa ini jenis pisang tersebut sudah umum dikenali sebagai pisang Sabah.  Lain-lain nama ialah pisang nepah , pisang kepok dan pisang menurun

Antara banyak pisang, pisang Sabah yang paling sedap dijadikan pisang goreng. Jenis pisang tersebut memang sukar ditemui di Semenanjung Malaysia dan sebagai antara penggemar pisang goreng, sewaktu bekerja di Negeri Sembilan (1991-93) saya telah membawa benih pisang tersebut dari Sabah dan menanamnya di halaman rumah.

Pisang Sabah sebenarnya merupakan hibrid (kacukan) antara dua jenis pisang yang mempunyai biji, iaitu Musa balbisiana dan Musa acuminata. 

Selain daripada dijadikan pisang goreng, pisang saba juga dijadikan kerepek. Di Kunak ramai pengusaha Industri Asas Tani (IAT) yang menghasilkan kerepek pisang, antaranya ialah Produk Desa Enterprise (PDE) yang menghasilkan dua rasa kerepek pisang, iaitu masin dan manis. 

Pengusaha PDE amat teliti ketika memilih pisang untuk dijadikan kerepek. Hanya pisang yang berada pada tahap kematangan tertentu yang akan diterimanya. Menurutnya, kerepek yang diperbuat daripada pisang yang terlalu muda akan menyerap terlalu banyak minyak ketika digoreng dan cepat membosankan untuk dimakan. Sebaliknya jika pisang terlalu matang kerepek yang dihasilkan tidak seberapa garing dan kurang menyelerakan. Kesimpulannya, dari sudut kematangan pisang, beliau akan pilih "yang sedang-sedang saja".

Selain daripada tahap kematangan, pengusaha PDE juga amat mementingkan kesihatan buah pisang yang dipilih. Menurut beliau buah pisang yang sihat biasanya kelihatan gebu dan mempunyai kulit yang "hijau ceria" tanpa banyak bintik-bintik cokelat kehitaman. Pisang dalam gambar di bawah ini telah "lulus pemilihan".

Pisang Sabah
Untuk dijadikan kerepek, kulit pisang dibuang dan isinya dihirir tipis secara memanjang. Hirisan-hirisan itu kemudian dicelup ke dalam ramuan perisa (masin atau manis) sebelum digoreng dengan minyak yang telah dipanasakan menggunakan api yang perlahan. Setelah cukup masak dan garing kerepek pisang itu diangkat, ditoskan dan sedia untuk dihidang. Amat sesuai dimakan sambil menonton siri kegemaran di kaca tv bersama keluarga.



Thursday, November 22, 2012

Malaysia antara 10 Negara Paling Bahagia

"Malaysia adalah antara 10 negara paling bahagia di dunia", demikian jelas Ketua Polis Daerah Kunak DSP Mohamad Razali dalam ucapan alu-aluannya pada Program NKRA PDRM Bersama Pelanggan di Dewan Sri Kunak pagi tadi (Khamis, 22 November 2012). Beliau yang merujuk kepada Index Kebahagiaan negara-negara di dunia dalam "World Happiness Report" (WHR) memberitahu bahawa antara faktor yang menyumbang kepada kebahagiaan ialah keselamatan dan ketenteraman.

"Oleh yang demikian kerjasama tuan-tuan dan puan-puan dengan pihak polis dalam mebenteras jenayah, khususnya di daerah Kunak ini amat diharapkan", kata DSP Mohamad Razali. "Mudah-mudahan dengan yang demikian keadaan hidup kita di negara ini bertambah gembira dan bahagia".

Seruan itu disokong penuh oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan N51 Kunak Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang dalam ucapan beliau selepas itu. Dalam majlis yang dihadiri oleh ketua-ketua kampung, pengerusi-pengerusi JKKK, ketua-ketua jabatan kerajaan, wakil-wakil syarikat swasta, dan orang ramai, beliau turut menyeru para hadirin agar mendoakan kemakmuran dan kebahagiaan kepada saudara-saudara mereka dan mengelak daripada memohon kehancuran kepada sesama umat Islam.


Malaysia mendudki tempat ke-8 dalam Indeks Kebahagiaan negara-negara di dunia mengikut senarai WHR. Negara maju Amerika Syarikat menduduki tempat ke-23, Jepun di tempat ke-34, dan Korea ke-38. Rakyat rejim tidak berperikemanusiaan (Israel) pula sangat tidak bahagia dengan menduduki tempat ke-64. Negara-negara yang baru sahaja mengalami pemberontakan juga berada pada kedudukan yang rendah misalnya Mesir (36) dan Algeria (48) manakala Libya dan Syria tidak tersenarai (melebihi kedudukan ke-100).

Menurut WHR kebahagiaan seseorang dipengaruhi oleh interaksi genetik individu berkenaan dengan dua jenis keadaan, iaitu keadaan luaran dan keadaan peribadi. 

Antara faktor luaran utama yang mempengaruhi tahap kebahagiaan seseorang ialah:
  • pendapatan
  • pekerjaan
  • masyarakat dan pentadbiran (kerajaan)
  • nilai dan agama
manakala ciri-ciri peribadi utama yang mempengaruhi pula ialah:
  • kesihatan mental
  • kesihatan fisikal
  • pengalaman keluarga
  • pendidikan
  • jantina dan umur

Dengan yang demikian kebahagiaan seseorang pada sesuatu masa amat bergantung pada keseluruhan perjalanan hidupnya. Keadaan "luaran" hidupnya pada masa kini adalah penting, tetapi demikian pula ciri-ciri peribadi yang telah terbentuk pada dirinya di sepanjang sejarah kehidupannya.

Wednesday, November 21, 2012

Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Kunak

Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) merupakan antara agensi kerajaan yang sangat rapat hubungannya dengan rakyat. Agensi ini diletakkan di bawah Jabatan Ketua Menteri.

Di DUN Kunak fungsi utama UPKR adalah sebagai penyelaras antara rakyat dengan kerajaan terutama dari segi penyampaian bantuan kerajaan kepada rakyat dan juga projek-projek kecil pembangunan kampung.

Pejabat Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan N51 Kunak

Lokasi Pejabat Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasn N51 Kunak

UPKR Kawasan Kunak diketuai oleh seorang Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) dan dibantu oleh seorang Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) dan beberapa kakitangan termasuk Pembantu Pembangunan Masyarakat (PPM), Penyelia Kemajuan Masyarakat (PKM) dan Pemaju Mukim (PM). Di samping itu seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (PJKKK) dilantik dari setiap kampung bagi mengetuai penyelarasan pembangunan di peringkat kampung masing-masing.

Mesyuarat yang dihadiri oleh semua kakitangan UPKR dan pengerusi JKKK diadakan setiap bulan bagi membincangkan permasalahan dan keperluan rakyat serta rancangan pembangunan di setiap kampung. Dalam mesyuarat itu juga, pengerusi JKKK menyampaikan permohonan-permohonan pembangunan yang diperlukan di kampung masing-masing. Oleh yang demikian sebaik-baiknya penduduk DUN Kunak hendaklah mengemukakan kepada pengerusi JKKK di kampung masing-masing sekiranya ada keperluan bantuan atau pembangunan dari kerajaan yang difikirkan perlu. 

Pemaju mukim akan melawat kampung-kampung yang membuat permohonan bagi menilai tahap desakan keperluan projek serta anggaran kos projek yang dipohon. Keutamaan akan diberikan kepada projek-projek yang diklasifikasikan sebagai keperluan mendesak, iaitu projek-projek yang apabila tidak dilaksanakan akan menjejaskan aktiviti harian penduduk, misalnya pembaikan jalan, jembatan dan titi, dan sebagainya.

Pemaju mukim akan mengemukakan laporan penilaian kepada PKR dan dimana perlu, PKR akan memanggil kakitangan UPKR yang lain bagi membincangkannya. Seterusnya permohonan itu dikemukakan kepada Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri yang akan menyalurkan permohonan tersebut kepada jabatan, agensi dan kementerian yang berkenaan.

Selain daripada fungsi utama itu, UPKR Kunak secara am juga sentiasa bekerjasama dengan Pejabat Daerah Kunak dan lain-lain jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun serta swasta bagi menyelaras aktiviti-aktiviti yang melibatkan penduduk kampung.

Monday, November 19, 2012

Daerah Kunak - Pengenalan

Daerah Kunak mencapai status daerah penuh pada 01 Julai 1981. Sebelumnya, Kunak berstatus daerah kecil yang diketuai oleh seorang Penolong Pegawai Daerah di bawah pentadbiran Daerah Lahad Datu.

Terletak di muara Teluk Lahad Datu (dahulu dikenali sebagai Darvel Bay), Daerah Kunak meliputi kawasan seluas 438 batu persegi atau 1134 kilometer persegi. Daerah-daerah yang berhampiran ialah Lahad Datu di utara, Tawau di selatan dan Semporna di sebelah tenggara.



Pada amnya topografi kawasan Daerah Kunak ialah beralun dan tidak terdapat kawasan paya air tawar yang luas. Puncak paling tinggi ialah Gunung Mostyn (450 m). Banjir hanya berlaku di kawasan berhampiran sungai, itupun ketika hujan lebat yang berpanjangan dan jika kebetulan pada ketika itu air laut sedang pasang. Biasanya banjir itu tidak lama dan segera surut bersama surutnya air laut.

Mengikut bancian tahun 2010 penduduk Daerah Kunak berjumlah 62,851 orang. Suku kaum utama penduduk daerah ini ialah Bajau, Bugis dan Suluk disamping suku-suku kaum yang lain seperti Dusun, Idahan, Murut, Cocos, Cina dan lain-lain. Aktiviti ekonomi utama penduduknya ialah yang berkaitan dengan pertanian dan perikanan

Selain daripada kawasan hutan simpan, sebahagian besar kawasan tanah di Daerah Kunak ditanam dengan kelapa sawit kebanyakannya oleh syarikat-syarikat perladangan. Nelayan Daerah Kunak menjalankan kegiatan menangkap ikan di sekitar Teluk Lahad Datu. Selain daripada kaedah tradisi menggunakan bot, nelayan Kunak juga terkenal dengan alat menangkap ikan yang statik iaitu bagang.














Pejabat Daerah Kunak

Pejabat Daerah merupakan penyelaras utama ke atas semua aktiviti pembangunan di peringkat daerah juga sebagai pejabat perantara di antara rakyat dengan Urusetia Negeri (State Secreteriat) dan Kerajaan Persekutuan.

Pejabat Daerah Kunak terletak berhampiran dengan padang pekan dan berhadapan dengan sebuah sekolah jenis kebangsaan, iaitu SJK Pai Sheng. Seseorang pengunjung ke Pekan Kunak, samada dari Tawau, Lahad Datu, Semporna atau bahagian barat Daerah Kunak akan melalui bulatan yang di tengahnya terdapat 3 replika udang. 

Untuk sampai ke pekan Kunak pengunjung hendaklah mengikuti bahagian jalan yang menghala ke timur dari bulatan tersebut. Di sebelah kiri akan kelihatan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR). Selepas itu terdapat simpang di sebelah kiri, tetapi pengunjung dinasihatkan jangan mengikuti jalan tersebut untuk ke Pejabat Daerah. Jalan itu menuju ke tanah perkuburan, pejabat SESB dan Kampung Bagiang. Selepas jalan itu barulah terdapat lorong masuk menuju ke Pejabat Daerah Kunak. 

Di kawasan itu juga terdapat pejabat beberapa jabatan dan agensi kerajaan anatranya ialah Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat(UPKR), Jabatan Hal Ehwan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS), RELA, Ko-Nelayan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Belia dan Sukan.

Lokasi Pejabat Daerah Kunak



Pegawai Daerah adalah selaku Ketua Jabatan dan Ketua Pentadbir kepada empat bahagian yang terdapat di dalam pentadbiran pejabat ini. Bahagian-bahagian tersebut dikenali sebagai Bahagian Pentadbiran & Kewangan, Bahagian Pembangunan Luar Bandar, Bahagian Mahkamah Anak Negeri, dan Bahagian Tanah. Bahagian-bahagian berkenaan masing-masing ditadbir oleh seorang ketua:
Bahagian Pentadbiran Am & Kewangan - Diketua oleh Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran).
Bahagian Pentadbiran Pembangunan Luar Bandar - Diketuai oleh Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan).
Bahagian Pentadbiran Mahkamah Anak Negeri - Diketuai oleh Ketua Daerah.
Bahagian Pentadbiran Tanah - Diketuai oleh Penyelia Tanah.



Alamat dan Nombor Telefon:
Pejabat Daerah Kunak, Peti Surat No. 1
91207 Kunak, Sabah, Malaysia
 
No. Tel :089-852273 / 089-851478 (Operator)
 089-851273 (Peg. Daerah)
No. Faks :089-851398

Sila klik di sini  untuk maklumat lanjut mengenai Pejabat Daerah Kunak.

Sunday, November 18, 2012

Kampung-Kampung di Daerah Kunak

Di Daerah Kunak terdapat 35 buah kampung (termasuk Pekan Kunak dan tidak termasuk kampung-kampung yang diwujudkan oleh syarikat-syarikat perladangan). Semua kampung-kampung tersebut mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diketuai oleh seorang pengerusi. JKKK bertanggungjawab membantu kerajaan melalui Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) dalam merancang dan melaksanakan pembangunan di kampung masing-masing.

Kebanyakan kampung mempunyai seorang Ketua Kampung yang membantu Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) mentadbirurus adat istiadat di kampung tersebut. Di kampung yang tidak mempunyai Ketua Kampung MHEAINS akan melantik seorang Wakil Ketua Anak Negeri bagi menjalankan tanggungjawab tersebut.

Lakaran pada peta berikut secara am menunjukkan kedudukan kampung-kampung di Daerah Kunak mengikut dua mukim, iaitu Mukim Pangi dan Mukim Madai.

Friday, November 16, 2012

Apabila Singkong dan Keju Bersatu

"Aku suka singkong, kau suka keju", begitulah antara lirik lagu Singkong dan Keju yang dipopulerkan oleh penyanyi dari negara jiran Indonesia. Lagu itu sangat populer pada masa itu dan menjadi siulan naka-anak muda di Indonesia juga di Malaysia. 


Lirik lagu tersebut menggambarkan budaya yang kontras antara seorang jejaka dan seorang gadis. Sang jejaka lebih cenderung kepada budaya setempat dan makanan kegemarannya ialah singkong (ubi kayu) manakala sang gadis terikut-ikut dengan budaya asing dan menjadikan keju (cheese) sebagai makanan kegemarannya. Keadaan budaya yang berbeza itu menyebabkan mereka sukar untuk bersatu seperti kata Arie dalam lagu itu, "Manalah mungkin mengikuti caramu yang penuh hura-hura".

Ternyata Singkong dan Keju boleh bersatu lalu menghasilkan sesuatu yang istimewa. 

Berdasarkan lirik lagu tersebut anak remaja lelaki kepada seorang pengusaha Industri Asas Tani )IAT) di Kunak menjelmakan naluri ingin tahunya lalu bertanya kepada ibunya, "Singkong tu apa Umi?'.

"Bahasa Indonesia yang bermaksud ubi kayu", jawab ibunya.

"Bagaimana rasanya ya kalau makan ubi kayu dengan keju?", tanya si remaja lagi.

"Entahlah", jawab ibunya lagi. "Tapi boleh dicuba kalau mahu tahu". 

Dari perbualan ringkas itulah maka si ibu mencuba resepi "singkong + keju". Hasilnya pada 01 April 2012 muncullah produk baru makanan ringan dari Produk Desa Enterprise iaitu Keropok Ubi Perisa Keju.

Jenama dan lambang pada label Keropok Ubi Perisa Keju
keluaran Produk Desa Enterprise
Rasa Keropok Ubi Perisa keju ini ada sedikit macam rasa "kuih batang buruk". Bezanya tentulah dari segi rasa istimewa ubi kayu dan keju pada keropok ubi perisa keju berbanding rasa kacang hijau dan tepung beras pada kuih batang buruk. Disamping itu, kerana bentuknya yang pipih keropok ubi perisa keju lebih rangup.

Saturday, November 10, 2012

Kisah Dua Buah Kereta


Kereta Pertama - Keluarga berkenaan sudah lama memiliki kereta itu, sejak jalan di kampung mereka belum lagi bertar. Kereta pertamalah katakan. Pemandunya pun sudah beberapa kali bertukar ganti, ada yang memandu buat beberapa tahun sahaja dan ada pula yang sampai berpuluh tahun. Namun semua pemandunya menjaga kereta itu dengan cermat. 

Setiap pemandu berusaha untuk menambahbaik keadaan kereta itu. Peralatan dan aksesori kereta diganti dengan yang lebih baik mengikut pencapaian teknologi terkini dan disesuaikan pula dengan keperluan berdasarkan pengalaman berpuluh tahun di jalanraya. Pendek kata hanya nombor pendaftaran kereta itu yang lama. Keadaan sebenarnya semua serba baru dan terkini. 

Pemandu barunyapun boleh tahan! Dia memahami kehendak keluarga itu serta arif cara memandu agar seisi keluarga selesa dalam perjalanan dan sampai ke destinasi dengan selamat.

Kereta Kedua - Suatu hari ketika keluarga terima panggilan telefon dari seorang ejen penjual kereta. Ejen itu memberitahu bahawa kereta yang keluarga itu miliki sudah terlalu lama, usang dan tidak lagi dapat memberikan khidmat yang memuaskan. Konon pemandunyapun tidak boleh dipercayai. Ejen itu mendakwa bahawa pemandu itu selalu membawa rakan-rakannya bersiar-siar menggunakan kereta berkenaan.

Maka ejen itupun cuba mempengaruhi keluarga berkenaan agar menukar kereta mereka. Dia dan rakan-rakannya menawarkan diri pula untuk menjadi pemandu, sampai berebut-rebut. Ejen itu menawarkan sebuah kereta yang didakwanya sebuah kereta baru. 


Walhasil, keluarga tersebut bersetuju untuk ejen itu datang membawa kereta yang dikatakan itu untuk mereka pandu-uji. Ternyata mereka kenal ejennya kerana pernah menjadi pembantu kepada pemandu kereta keluarga itu suatu ketika dulu. Pemandu yang dulu itu memecatnya atas sebab salahlaku. Betul atau tidak, Wallahualam.

Kereta yang ditawarkan pula hanya nombor pendaftaran dan catnya yang baru. Entah cat apa yang mereka guna, langsung tiada seri. Casisnya, badannya, steeringnya dan komponen-komponen lainnya semua lama. Beberapa komponen dan asesori yang dipasang ternyata komponen dan aksesori dari kereta pertama keluarga tersebut. Mereka telah membuangnya dan menggantikan dengan yang lain sebab tidak serasi dan selalu meragam. Tayarnyapun sudah botak.




"Itu bukan kereta baru tapi cantuman barang buangan", bisik si isteri kepada suaminya. 


"Betul Yang", jawab si suami. "Cenderung untuk kereta ni terbabas dan kemalangan".

"Kalau begitu, kita kekal saja dengan kereta yang kita ada sekarang", si isteri mencadang. "Janganlah kita dedahkan anak-anak kepada bahaya dan keadaan yang tidak menentu. Lagipun selama bersama kereta kita ini, keadaan hidup kita sekeluarga makin hari makin bertambah baik".


Mendengar kata-kata pasangan suami-isteri tersebut, ejen itu naik berang. Maka keluarlah kata-kata kesat dari mulutnya itu menghina mereka dengan pelbagai kata-kata keji. Dalam masa yang sama dia cuba pula memujuk anak-anak keluarga itu agar mendesak dan memberontak agar ibubapa mereka menukar kereta.

Thursday, November 8, 2012

Siapa "Melayu"?

Pos ringkas ini sekadar sebagai sedikit pencerahan tentang istilah bangsa "Melayu" yang kebelakangan ini kerap dimanipulasi atau mengikut istilah semasa "dispin" oleh golongan tertentu untuk tujuan tertentu, terutama menjelang pilihanraya.

Istilah Melayu dipercayai berasal dari perkataan Sanskrit iaitu Malaiur atau Malayadvipa yang bermaksud "tanah bergunung-ganang". Istilah itu digunakan oleh pedagang-pedagang India pada zaman dahulu apabila menceritakan tentang Semenanjung Malaysia. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa ianya berasal dari perkataan Tamil iaitu Malai yang bermaksud "gunung". Istilah tersebut kemudian digunapakai oleh sebuah kerajaan yang wujud di Sumatra pada abad ke-7 hingga abad ke-13 yang menamakan kerajaan mereka sebagai Kerajaan Melayu.

Pada tahun 1826 Jules Dumont d'Urville seorang pelayar berbangsa Perancis mencipta istilah Malaysia, Micronesia dan Melanesia bagi membezakan kelompok-kelompok budaya dan pulau-pulau yang ketika itu pada keseluruhannya dikenali sebagai Polynesia. Beliau menakrifkan Malaysia sebagai "kawasan-kawasan yang umum dikenali sebagai East Indies (ketika itu). Dalam tahun 1850, seorang ahli etnologi (ilmu kajian etnik) berbangsa Inggeris iaitu George Samuel Windsor Earl dalam tulisann beliau di Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia, mencadangkan agar pulau-pulau di Asia Tenggara dinamakan sebagai Melayunesia atau Indunesia.

Kepulauan Melayu (The Malay Archipelago) lukisan John Rapkin
dan diterbitkan oleh The London Printing & Publishing Company (1856)
Pada tahun 1957 apabila negeri-negeri di Semenanjung Malaysia mencapai kemerdekaan ia dinamakan sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Nama negara "Malaysia" digunapakai dalam tahun 1963 ketika Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak membentuk persekutuan baru. Sebelum itu istilah tersebut digunakan sebagai merujuk kepada keseluruhan Kepulauan Melayu. Ahli-ahli politik di Filipina juga pernah bercadang untuk menamakan negara mereka sebagai "Malaysia" tetapi pemimpin-pemimpin negara Malaysi yang ada hari ini telah bertindak lebih awal.


Wednesday, November 7, 2012

Gambaran Minda 2: Wajah Penghuni Terawal Daerah Kunak

Dari gambaran minda saya, beginilah wajah seorang lelaki dari kalangan kumpulan manusia yang mendiami tebing Tasik Tingkayu puluhan ribu tahun dahulu ... WALLAHU ALAM.



Tuesday, November 6, 2012

Gambaran Minda 1: Letupan Gunung Merapi Mostyn +- 30 ribu tahun dahulu

1. Sebelum berlakunya letupan. Di belakang ialah Bukit Madai

2. Permulaan berlakunya letupan lebihkurang 30 ribu tahun yang lalu

3. Langit menjadi kemerahan

4. Lahar mengalir ke semua arah
Ketinggian Gunung Mostyn yang ada sekarang ialah 1476 kaki (450 m). Ia merupakan puncak yang ke-61 tertinggi di Sabah dan ke-906 di Malaysia. Tentunya sebelum berlaku letupan ia jauh lebih tinggi.

Gunung Mostyn dari kacamata Googleearth