Saturday, November 13, 2010

Kunak Yang Harmoni Bhg 5: Panggung Wayang Mostyn

Di awal tahun 1960an nama Daerah Kunak belum lagi wujud. Yang ada ialah Mostyn dan Pengkalan.

Ketika itu, kepentingan Mostyn telahpun diiktiraf di Parlimen United Kingdom. Dalam persidangan Parlimen UK pada 6 November 1961, ahli parlimen Plymouth Devonport, Joan Vickers membahas bahawa Perbadanan Pembangunan Kolonial (CDC) telah melaksanakan kerja-kerja yang amat terpuji di kedua-dua jajahan (Sarawak dan Borneo Utara), Borneo Abaca Limited (BAL).,dan Mostyn Estates (Koko), Perbadanan Pembangunan Borneo (BDC), serta sebuah skim pembangunan perumahan.

Selaras dengan itu, Mostyn telah menjadi pusat kegiatan sosial dan hiburan masyarakat setempat.

Satu daripada hiburan utama pada waktu itu ialah menonton filem atau lebih dikenali masa itu sebagai 'wayang'. Panggung wayang (pawagam) yang pertama di daerah ini terletak di Mostyn berhampiran kawasan perumahan ladang itu yang pertama. Ia kemudain dipindahkan ke sebuah bangunan berhadapan dengan kedudukan Sekolah Kebangsaan Mostyn sekarang ini.

Dikatakan pada asalnya bangunan tersebut adalah bangsal tentera Jepun. Ketika peperangan memuncak ia diubahsuai menjadi hospital untuk merawat mangsa-mangsa yang cedera akibat peperangan itu. Selepas Jepun menyerah kalah, ia diambil alih oleh British dan diubahsuai pula menjadi panggung wayang.

Sebahagian daripada bangunan itu terdiri daripada konkrit dan sebahagian lagi dari kayu. Bumbung bangunan diperbuat daripada kepingan-kepingan kayu bilian yang diraut tipis lalu disusun rapi sebagai bumbung.

Saiz lantai bangunan lebihkurang 60 kaki panjang dan 30 kaki lebar. Bahagian kedua-dua hujung bangunan menggunakan tiang setinggi kira-kira 3 kaki, manakala bahagian tengah tidak mempunyai tiang.

Pintu utama terletak di bahagian hujung sebelah kiri (selatan) bangunan. Di situ terdapat tangga konkrit menghala ke platfom. Di sebelah kiri sebelum sampai ke pintu ialah but tiket. Di hadapan tangga terpacak dua batang kayu bilian bulat sebesar pokok kelapa, tiap satu dengan ketinggian lebihkurang 10 kaki. Satu lagi pintu masuk ialah di bahagian hujung sebelah kanan (utara) bangunan.


Lakaran Memori Panggung Wayang Mostyn (Klik gambar untuk lebih jelas)
Di belakang panggung wayang terdapat bangunan kecil tidak berdinding, kelihatan seperti kuil Shinto Jepun. Terdapat bukaan pada lantai bangunan itu dengan anak tangga menuju ke terowong bawah tanah.

Satu daripada kayu bilian bulat di hadapan Pawagam Mostyn
Kayu ini masih wujud sehingga ke hari ini

Harga tiket untuk menonton wayang ialah 40 sen untuk kelas pertama dan 20 sen untuk kelas dua. Pada tahun 1970an harga tiket telah naik masing-masing kepada satu ringgit untuk kelas pertama dan 50 sen untuk kelas dua. Untuk kanak-kanak, masuk adalah percuma.
Syiling 10-sen tahun 1961dengan imej Queen Elizabeth II
Dua keping sudah cukup untuk tiket ke Pawagam Mostyn
Perbezaan antara kelas pertama dan kelas dua ialah dari segi tempat duduk dan kedudukan  dalam pawagam. Kelas pertama terletak di bahagian belakang dan menggunakan kerusi berasingan yang diperbuat daripada kayu dengan sedikit kusyen di bahagian tengah kerusi. Kelas dua terletak di bahagian hadapan menggunakan kerusi panjang tanpa sebarang kusyen. 
Masih sah digunakan beli tiket kelas pertama di awal tahun 1970an
Skrin terletak di hujung kanan bangunan di atas pentas. Penonton di kelas dua terpaksa mendongak ketika menonton dan menghadapi risiko sakit tengkuk. Sebab itulah harga tiketpun lebih murah. Di kiri dan kanan skrin disediakan tempat duduk untuk kanak-kanak.

Tayangan filem di Pawagam Mostyn dua kali setiap bulan iaitu pada pertengahan bulan dan selepas hari pekerja ladang menerima gaji. Pembayaran gaji kepada pekerja biasanya dilakukan pada hari Sabtu pertama bulan berikutnya. Yang demikian membolehkan pekerja berhibur dan menonton filem pada waktu malam, kemudian cuti rehat hari Ahad keesokan harinya.
Clint Eastwood dalam filem The Good The Bad and The Ugly
Kebanyakan filem yang ditayangkan di Pawagam Mostyn adalah filem dalam Bahasa Inggeris. Antara yang menjadi kenangan saya ialah "The Good, The Bad and The Ugly" lakonan Clint Eastwood, "The Ten Commandments" (Charlton Heston) serta beberapa siri filem James Bond lakunan Sean Connery. 


Sekali-sekala filem Melayu ada juga ditayangkan. Pada waktu itulah ramai masyarakat Kunak, selain yang bekerja di Ladang Mostyn, mengunjungi Pawagam Mostyn. Perkenalan dan interaksi antara penduduk dan keturunan etnikpun terjalin.

Ketika munculnya siaran televisyen ke daerah ini dalam tahun 1972, pihak pengurusan Ladang Mostyn telah membeli sebuah peti TV yang besar (mungkin 40 inci) untuk tontonan orang ramai. Peti TV itu diletak di bangunan Dewan Ladang Mostyn. Sejak itu, populariti Pawagam Mostyn telah terjejas. 

Bangunan itu kemudian digunakan sebagai tempat penjagaan kanak-kanak bagi surirumah yang bekerja di Ladang Mostyn. Pusat penjagaan kanak-kanak itu kemudian dipindahkan ke bangunan lain dan Pawagam Mostynpun dirobohkan. Di tempatnya telah ditanam dengan pokok kayu jati. Yang tinggal hingga ke hari ini ialah dua tiang kayu bilian bulat serta puing-puing konkrit di sekitar kawasan asalnya.

Joki (jockey) filem terakhir Pawagam Mostyn ialah Haji Mokmin Barry, yang pada masa kini adalah ketua kampung bagi Kampung Cenderawasih, Kunak. Sebelum beliau ialah Encik Lambasing dan Encik Maksom.

4 comments:

darkis said...

Salam Tuan...
Sungguh teruja saya membaca artikel ini...terbaik!

KUNAK PRESS said...

story yg menarik,
terkenang saya di masa zaman kanak-kanak pergi tengok wayang di pawagam mostyn.

lagi menarik klu ada org lama yg bercerita mengenai sejarah lampau dan sudi bersama ke lokasi untuk mengabadi memori kenangan silam.

KUNAK PRESS said...

lagi menariknya diselit dengan fakta dan gambar lama yg terus menerawang dalam minda mengenang memori lama.

Duit syiling itu jika zaman kami sekolah boleh beli nasi bungkus dan segelas air.
tapi sekarang ni, kanak-kanak sekolah tidak mahu ke school jika dibekal hanya 20 sen .

Jelas, perubahan masa silam dan sekarang sudah jauh berbeza, cuma apabila kita menelaah kembali SEJARAH lalu banyak pengajaran yg boleh dijadikan ikhtibar.

Kunakian said...

tak tau, sapa yg ada simpan gambar pawagam tu KP. Masa tu, jarang yang punya kamera. Yang adapun, manalah minat ambil gambar bangunan.
Seingat saya, kedai gambar di Kunak waktu itu baru satu, iaitu Kedai Gambar Man Dat...taukenya jarang pakai baju, melainkan baju original corak "batik" putih dan cokelat pucat a.k.a. p_n_u...hehehe.