Tuesday, August 17, 2010

Panduan Memilih Air Tebu Asli

Pada kebiasaannya di Bulan Ramadhan ramai yang memilih air tebu asli sebagai minuman untuk berbuka puasa. Dipercayai air tebu dapat memberikan tenaga segera berbanding minuman manis yang lain. Ini adalah kerana air tebu merupakan manisan semulajadi sama seperti manisan pada buah-buahan.

Gambar 1: Perahan air tebu dari bahagian pucuk (A) lebih gelap berbanding bahagian pangkal (B)

Oleh kerana sambutan yang menggalakkan maka semakin ramai pula peniaga Bazaar Ramadhan yang melibatkan diri dalam perusahaan air tebu asli. Kebanyakan daripada mereka membawa mesin pemerah ke bazaar untuk menarik perhatian pelanggan, walaupun sebenarnya, kebersihannya agak terjejas berbanding dengan air tebu yang diperah di tempat tertutup di bengkel perusahaan. Maklum, di kawasan terbuka berbagai benda asing boleh mencemar kebersihan dan kualiti air tebu.
Berikut beberapa tip yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk memilih air tebu asli.
  • Jika hendak membeli dari peniaga yang membawa mesin dan memerah tebu di pasar, adalah penting untuk kita pastikan bahawa tempat menyimpan tebu yang hendak diperah itu bersih. 
  • Batang tebu yang telah dipotong mudah menyerap cecair dari tempat penyimpanannya. Sebagai contoh, jika tebu ditegakkan di atas lantai yang basah, maka ia akan menyerap air dari lantai tersebut bersama apa jua yang larut dalam air berkenaan.
  • Bagi tebu yang telah dikupas dan diletakkan dalam bekas yang tidak kalis air (umpanya dalam kampit gula), maka air tebu akan membasahkan kampit tersebut, meresap keluar lalu melarutkan debu dan kotoran. Larutan debu dan kotoran itu pula meresap ke kampit dan seterusnya ke dalam batang tebu. Apabila batang tebu berkenaan diperah, maka larutan debu dan kotoran lain turut bersama dalam air tebu.
Warna air tebu asli bergantung kepada beberapa faktor seperti berikut:
  1. Seperti yang ditunjukkan dalam gambar 1 di atas, pada amnya perahan dari pangkal batang tebu adalah lebih cerah berbanding dengan perahan dari pucuknya.
  2. Perahan dari batang tebu yang dikupas bersih lebih cerah berbanding dengan perahan dari batang tebu yang masih terdapat kulit luar (gambar 2).
  3. Jenis tebu yang berlainan juga menghasilkan air tebu yang berbeza warna (gambar 3).
  4. Pada amnya, air tebu yang cerah lebih manis berbanding yang gelap.

Gambar 2: Perahan dari batang tebu yang dikupas bersih lebih cerah



Gambar 3: Jenis tebu yang berlainan menghasilkan warna air tebu yang berbeza

SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT BERBUKA PUASA DENGAN SEJAHTERA.