Friday, August 21, 2009

JUMAT FC RANGKUL PIALA ADUN KUNAK SUKAN KOMUNITI DAERAH KUNAK

Pasukan Jumat FC muncul sebagai juara pertandingan bolasepak Piala YB Nilwan yang menewaskan pasukan Kelab Bolasepak SESB dalam tendangan penalti selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan hingga masa permainan tamat. Pasukan itu itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 1000, trofi dan piala pusingan.

Acara ini diadakan pada petang 16 Ogos 2009 di Padang Pekan Kunak sempena penutupan Sukan Komuniti Daerah Kunak yang bermula sejak 12 Julai 2009. Seramai 25 buah pasukan telah mengambil bahagian dalam acara bolasepak. Lain-lain perlawanan akhir yang berlangsung pada petang itu ialah bola teampar, sepak takraw dan bola jaring.

Majlis penutupan disempurnakan oleh YB ADUN Kunak, Yang Berhormat Encik Nilwan Kabang.

YB Nilwan, Encik Halid Harun dan Encik Jumat bersalaman
dengan para pemain bolasepak sebaik tiba di padang

Sepak mula oleh YB ADUN Kunak

Perlawanan Akhir Bola Tampar

Aksi perlawanan akhir Bola Jaring







MAJLIS PERMUAFAKATAN PENDIDIKAN DAERAH KUNAK

Seawal pukul 8.15 pagi pada 20 Ogos 2009, bilik mesyuarat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)Kunak sudah mula dipenuhi oleh para jemputan ke mesyuarat penubuhan Majlis Permuafakatan Pendidikan Daerah Kunak (MPPDK). Akhirnya, mesyuarat yang sudah berkali-kali ditunda ini akhirnya berjalan dengan lancar dan tertubuhlah MPPDK yang dipengerusikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah dan dianggotai oleh kakikitangan PPD Kunak, pengetua-pengetua dan guru-guru besar sekolah, pengerusi-pengerusi PIBG dan ketua-ketua jabatan kerajaan. Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan N51 dilantik sebagai Penaung bersama Pengarah Pelajaran Negeri Sabah manakala Pegawai Daerah Kunak berperanan sebagai penasihat.

Dalam ucapannya, Pegawai Pelajaran Daerah Kunak, Encik Zamri Pehakan memberitahu bahawa antara tujuan penubuhan PPPDK ialah untuk menggembeling tenaga serta buah fikiran masyarakat setempat dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan di Daerah Kunak. Mengenai keadaan binaan beberapa bangunan sekolah yang kurang berkualiti, Encik Zamri menyeru agar pihak kontraktor yang terlibat mempunyai rasa tanggungjawab yang lebih tinggi. Menurut beliau, pada hakikatnya sekolah bukanlah milik Jabatan Pelajaran tetapi merupakan milik masyarakat setempat kerana anak-anak masyarakat setempatlah yang mendapat manfaat pendidikan dari sekolah.

Dalam majlis yang sama Pegawai Daerah Kunak, Encik Susilo Sumarto memberitahu bahawa sebuah lagi sekolah menengah ini akan dibina di daerah ini dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-10 dan dicadangkan berhampiran dengan kawasan Kampung Cenderawasih. Langkah ini adalah untuk menampung keperluan tempat di sekolah menengah oleh pelajar-pelajar tempatan yang semakin tidak mencukupi. Setakat ini terdapat tiga buah sekolah menengah di Daerah Kunak iaitu, SMK Kunak, SMK Kunak Jaya dan SMK Madai.

Menyentuh tentang rancangan-rancangan penambahan infra dan infrastruktur untuk perkhidmatan pendidikan yang dikatakan menghadapi masalah kekurangan tapak Encik Susilo berkata, “Memang benar lebihkurang 70 peratus geran kawasan tanah di Daerah Kunak dipegang oleh syarikat-syarikat perladangan dan individu tertentu, namun ia tidak bermakna yang kita tidak ada tempat untuk membina infra dan infrastruktur apabila diperlukan”. Menurut beliau, terdapat prosedur tertentu yang boleh digunapakai untuk mendapatkan kawasan-kawasan yang difikirkan paling sesuai untuk kepentingan awam.

ADUN Kunak Yang Berhormat Encik Nilwan Kabang yang dijadualkan turut hadir dalam mesyuarat ini tidak dapat hadir kerana sedang menjalani rawatan kesihatan di Kota Kinabalu. Salam maaf Yang Berhormat disampaikan melalui Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Puan Hajjah Maimunah Datuk Hj Zainal yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut.

KUNAK MULA MENDAPAT PERHATIAN

Beberapa bulan yang lalu saya berada di tempat kejadian ketika berlaku kemalangan maut dimana sebuah lori tangki merempuh dua orang anak beranak. Saya telah mendail nombor kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan. Saya memberitahu bahawa satu kemalangan dahsyat berlaku di bulatan utama Pekan Kunak, Sabah.

Operator yang melayan panggilan saya bertanya, “Di Daerah mana di Sabah?”

“Daerah Kunak’, jawabku ringkas.

“Berapa jauh dari Kota Kota Kinabalu?”, tanya operator.

Dengan soalan itu, sayapun menyedari bahawa belum ramai yang mengenali daerah saya yang kaya bukan sahaja dengan hasil buminya bahkan juga sebagai tapak warisan tertua penempatan manusia di Asia Tenggara. Setelah memberitahu opertaor bahawa Daerah Kunak terletak di Bahagian Tawau, barulah panggilan saya disambungkan ke pusat kawalan di Tawau.

Begitulah keadaan Daerah Kunak yang jarang mendapat perhatian positif melainkan oleh pengusaha-pengusaha syarikat perladangan yang datang untuk merebut sebanyak mungkin tanah subur daerah ini.

Dengan usaha gigih masyarakat setempat dibawah pimpinan ADUN Kunak, Yang Berhormat Nilwan Kabang, untuk membangun dan memperkenalkan daerah ini kepada penduduk Malaysia khasnya dan dunia amnya, kini Kunak mula mendapat perhatian. Langkah Bernama, Berita Harian, The New Sabah Times, Utusan Borneo dan Daily Express yang mengetengahkan berita usaha-usaha untuk membangun daerah ini amat dihargai. Artikel oleh wartawan BH Encik Hassan Omar, “Nilwan Bawa Pembangunan Kunak”, yang dimuatkan dalam lipatan tengah (centrefold) Berita Harian 18 Ogos 2009 telah melakar sejarah bagi daerah ini sebagai “Centrefold Pertama Daerah Kunak” yang dimuatkan dalam salah satu akbar terkemuka di negara ini.


Wednesday, August 19, 2009

PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT

Penduduk Kunak diingatkan agar mengambil peluang untuk menimba ilmu selagi hayat masih ada. Gesaan ini dibuat oleh ADUN N51 Kunak, Yang Berhormat Encik Nilwan Kabang dalam ucapannya di Majlis Penutupan Kursus Literasi Komputer Desa di Kampung Kunak Jaya Kunak pada 17 Ogos 2009. Kursus anjuran KEMAS itu telah disertai oleh 20 orang peserta dari 12 buah kampung di Daerah Kunak dan telah berlangsung selama 12 hari bermula dari 5 hingga 16 Ogos 2009.

“Tidak akan berjaya usaha kerajaan untuk mendahulukan rakyat, jika rakyat sendiri tidak mahu bergerak ke hadapan”, kata Nilwan kepada para hadirin di Dewan Mini Kg Kunak Jaya. Beliau seterusnya menambah, “Kita berterimakasih kepada pihak KEMAS kerana sudi membawa para pegawainya berkampung di Kunak ini selama 12 hari semata-mata untuk memberikan bimbingan kepada kita agar kita dapat memanfaatkan teknologi komputer seiring dengan masyarakat di bandar. Tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah berjaya mengikuti kursus ini dengan sepenuhnya. Kepada yang belum berkesempatan, rebutlah peluang-peluang yang akan datang kerana berbagai program ilmu telah dianjurkan, sedang dijalankan dan akan dirancang pada masa-masa akan datang”.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Perhubungan KEMAS bagi kawasan Parlimen 188 Silam Encik Lajarasa, Pemimpin Kemajuan Rakyat N51 Kunak Encik Halid Harun, Pegawai Kemajuan Masyarakat Puan Hajjah Maimunah Datuk Zainal dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Friday, August 14, 2009

HARI KEMUNCAK KOKURIKULUM SMK KUNAK KALI KE-10

Pasukan Kadet Bomba (senior) muncul sebagai Johan pertandingan kawad kaki sempena hari kemuncak kokurikulum SMK Kunak yang diadakan di Padang sekolah itu pagi tadi, 13 Ogos 2009. Pasukan bimbingan Cikgu Mohd Ezrie Abd Majid dan Cikgu Mustari Mohd Said ini juga merupakan johan kawad kaki dan formasi peringkat Kebangsaan tahun 2009. Komandan pasukan pula, Mohd Wafi Asyraf Hussin merupakan komandan pasukan unit beruniform sekolah menengah Malaysia terbaik tahun 2008.

Gambar: Pengetua SMK Kunak Encik Mohamad Tan Bacho (kanan) dan Penolong Pegawai Daerah Encik Simudah Hj Sulaiman (berbaju batik) mengiringi YB Nilwan(tengah) menerima tabik hormat perbarisan

Dalam ucapan perasmian penutup Hari Justify FullKemuncak Kokurikulum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan N51 Kunak, Yang Berhormat Encik Nilwan Bin Kabang menyeru ahli-ahli persatuan unit beruniform sekolah itu agar mengambil contoh kesungguhan dan komitmen Pasukan Kadet Bomba SMK Kunak yang berjaya mengharumkan bukan sahaja nama sekolah, tetapi juga Daerah Kunak dan Negeri Sabah.


Pasukan Kadet Bomba SMK Kunak

“Janganlah menyertai sesuatu pasukan unit beruniform semata-mata kerana setiap pelajar dimestikan menjadi ahli salahsatu pasukan beruniform yang ada di sekolah”, ujar YB Nilwan menasihati para pelajar. “Sebaliknya, anggaplah bahawa dengan menjadi ahli sesuatu pasukan itu, peluang telah terbuka untuk mengasah bakat, memperkukuh semangat kerjasama, disiplin serta merupakan peluang untuk mengharumkan nama sekolah, Daerah Kunak serta Negeri Sabah seperti yang telah dilakukan oleh Pasukan Kadet Bomba SMK Kunak”.

Pasukan Pancaragam SMK Kunak

“Dengan mengambil bahagian yang aktif dalam sesuatu pasukan unit beruniform sekolah, masa terluang para pelajar dapat digunakan dengan lebih bermakna dan mampu mengelakkan para pelajar dari terlibat dari kegiatan-kegiatan jenayah juvana yang boleh merosakkan masa depan pelajar itu sendiri”, tambah YB Nilwan. “Jika para pemimpin diseru untuk memegang prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, maka saya menyeru para pelajar untuk memegang prinsip, Pelajaran Didahulukan, Disiplin Diutamakan.”

Terdahulu YB Nilwan menerima tabik hormat lintas perbarisan pasukan-pasukan unit beruniform SMK Kunak yang terdiri dari St John Ambulans Malaysia, Pengakap Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah, Kor Kadet Polis, Kadet Bomba, Kadet Remaja Sekolah, Pandu Puteri dan Puteri Islam.

Wednesday, August 12, 2009

PROGRAM K-ENTREPRENEURSHIP

Pada 7 hingga 9 Ogos 2009 satu kursus K-Entrepreneurship telah berlangsung di Hotel Kingston, Tawau. Kursus yang disertai oleh 45 orang peserta dari Daerah Kunak ini adalah anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan N51 Kunak, Yang Berhormat Nilwan Bin Kabang dengan kerjasama Global Perfection Sdn Bhd, Muar Johor.

Antara objektif progam ini ialah:

  1. Membantu peserta mengembangkan perniagaan yang telah mereka ceburi,
  2. Memberikan pendedahan kepada peserta akan peluang-peluang perniagaan yang strategik yang boleh mereka ceburi,
  3. Membantu peserta mengenali prosedur dan tatacara untuk memulakan perniagaan baru,
  4. Membantu peserta membna strategi dan menimba pemngetahuan untuk menjadi usahawan yang berjaya,
  5. Membina jaringan perniagaan di kalangan peserta.

Tiga kertaskerja utama yang dibentang kan ialah Motivasi Keusahawanan, Kesedaran Keusahawanan dan Kaedah Mengenalpasti dan Menentukan Peluang Perniagaan. Penceraramah ialah Profesor Madya Dr. Mohd Hassan Mohd Osman, Tuan Haji Shamsuddin Romani, Tuan Haji Mohd Razali Jamil dan Encik Mohd Maidin Ibrahim.

Seorang daripada peserta kursus ini ialah isteri saya. Dari maklumbalas beliau dan pemerhatian saya terhadap perubahan sikapnya, saya anggap kursus ini telah berjaya. Beberapa perkara yang sebelum ini ingin saya bincang dengan isteri saya selalunya mendapat sambutan acuh-tak-acuh dari beliau. Selepas mengikuti program ini, beliau pula yang rajin memulakan perbincangan. Sehari selepas kembali dari kursus beliau bertanya kepada saya untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai perbezaan antara keperluan dan keinginan. Sabjek ini memang amat penting bagi seorang suri yang juga merupakan “bendahari” rumahtangga. Tentunya, saya sambut tawaran perbincangannya itu dengan senang hati.

Jika hanya 10 peratus daripada peserta program ini mendapat manfaat seperti yang diperolehi oleh isteri saya maka segala perbelanjaan yang telah dilabur oleh YB ADUN Kunak untuk pelaksanaannya tidaklah sia-sia, apatah lagi jika kesemua mereka mendapat manfaat seperti itu.

Saya kira ini merupakan satu daripada langkah YB dalam usahanya untuk merealisasikan inti ucapannya ketika menyokong pembinaan rumah rakyat termiskin (PPRT) yang antara lain berbunyi:

“Sekarang kerajaan memberikan mereka rumah, setahun atau dua tahun kemudian mereka akan meminta peruntukan untuk membaiki rumah pula. Mereka akan terus menjadi masyarakat subsidi melainkan jika sekarang ini kita membantu mereka untuk belajar berdikari dan meningkatkan taraf ekonomi masing-masing”.

Saturday, August 8, 2009

1 MALAYSIA DI PUNCAK TAPAK PPMS


Logo 1 Malaysia setinggi kira-kira 30 kaki megah berdiri di puncak Bukit Kampong Kunak 3 menyambut ketibaan lebihkurang 1000 orang yang datang menyertai gotong royong membersihkan kawasan cadangan tapak Projek Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) di Kampung Kunak Tiga pada pagi Sabtu 01 Ogos 2009.

Dalam ucapan perasmian pelancaran gotong royong tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan N51 Kunak, Yang Berhormat Encik Nilwan Bin Kabang berkata, “Gotong royong yang diadakan pada hari ini bukan sahaja bertujuan untuk membersihakan kawasan cadangan PPMS di Kunak 3 ini tetapi lebih dari itu, ia sebagai usaha untuk mengembalikan semangat kerjasama yang erat seperti yang diamalkan oleh nenek moyang kita suatu masa dahulu”.

Semua 32 buah kampung yang terdapat di Daerah Kunak telah menghantar wakil yang diketuai oleh ketua kampung dan pengerusi JKKK masing-masing untuk mengambil bahagian dalam gotong royong tersebut. Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kunak Encik Susilo Sumarto, Penolong Pegawai Daerah Encik Husin Hj Ibrahim, Pemimpin Kemajuan Rakyat Encik Halid Harun serta ketua-ketua jabatan kerajaan yang terdapat di Daerah Kunak.