Kami meneruskan perjalan menyusur tepi kaki Bukit Baturong. Pada suatu peringkat, kaki bukit sangat berhampiran dengan sebatang sungai yang memberikan kami cuma dua pilihan iaitu samada meredah air sungai itu atau meniti titian batu kapur. Rombongan memilih untuk meniti titian sepanjang lebihkurang 14 kaki itu sambil memaut pada batu-batan di sekeliling. Sementara itu kami terus memerhati ke sekeliling mencari patung sphinx.
Beberapa tompokan najis gajah, Elephas maximus, turut ditemui menunjukkan bahawa spesis haiwan yang diancam kepupusan itu masih aktif di kawasan ini. Selama mana keadaan itu boleh bertahan adalah bergantung kepada usaha-usaha pihak berkuasa untuk melindunginya.
Keadaan flora juga amat mengagumkan. Terdapat sebatang pohon sebesar batang kelapa yang terletak di atas satu blok batu besar. Sekali pandang, seakan-akan batu itulah merupakan akar pohon tersebut. Sebenarnya, akarnya menjalar jauh ke samping untuk mencapai tanah lembut bagi mendapatkan nutrien.
Tidak berapa lama kemudian, hujanpun turun. Kami meneruskan juga perjalanan kerana tidak ada tempat untuk berteduh. Jam di telefon bimbit menunjukkan pukul 2:24 petang - sudah hampir tiga jam kami meninggalkan kenderaan di tepi jalan. Hujan semakin lebat, pacat semakin bermaharajalela, rombongan semakin lelah. Aku dan beberapa rakan yang berada di hadapan cuba mempercepat langkah untuk segera mencari tempat berlindung.
"Konvoi Dua ke Konvoi Satu, sila perlahankan langkah, over", bunyi radio di saku beg galasku. Suara itu datang dari Andi, yang ditugaskan untuk berada di belakang kolum rombongan bagi memastikan tidak ada ahli rombongan yang tercicir.
"Konvoi Satu ke Konvoi Dua, kita harus mencari kawasan untuk berlindung dari hujan, harap dapat bergerak lebih pantas, over", jawabku menggunakan radio amatur itu buat pertama kalinya.
"Konvoi Dua ke Konvoi Satu, peserta di kolum belakang kebanyakan dari kaum Hawa dan tidak mampu bergerak pantas, harap perlahankan langkah, over", pinta Andi.
"Konvoi Dua ke Konvoi Satu, berita faham, roger and out" jawabku, kemudian meminta rakan-rakan bersamaku untuk memperlahankan langkah.
Pukul 3:05 petang kami tiba di bahagian timur selatan Bukit Baturong. Andi tiba bersma rombongan 15 minit kemudian.
"Di kawasan inilah dikatakan patung ada ditemui", kata Encik Lauseng.
Aku melihat ke sekeliling, tiada tanda-tanda patung tersebut. Namun aku tertarik dengan keadaan kaki bukit yang terbentuk megah seperti bumbung sebuah stadium.
"Bagus juuugak ada macam bumbung untuk berteduh", kata Haji Mokmin dengan logat Cocosnya. Dia tetap tersenyum walau letih dan dalam keadaan basah kuyup.
Aku mengumpul daun-daun dan ranting kering yang terdapat di bawah bumbung semulajadi itu, mencapai pemetik api dari beg galas lalu menyalakan api untuk memanaskan badan.
"Kemungkinan besar, ini terbentuk akibat hakisan air sewaktu kawasan di kaki bukit ini ditenggelami oleh limpahan air Sungai Tingkayu dan membentuk tasik", jelasku kepada Haji Mokmin.
Aku tidak tahu apa respon Haji Mokmin terhadap penjelasan itu. Aku sedar yang beliau sedang berkata sesuatu dengan panjang lebar, namun aku tidak memahaminya - fikiranku jauh melayang kembali ke zaman silam, zaman ketika Tasik Tingkayu mula kering dan mendedahkan kawasan ini kepada sekumpulan pemburu zaman batu. Terbayang keadaan mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke kawasan ini lalu mendapatinya sesuai dijadikan tempat berlindung. Inilah 'rumah' mereka untuk beberapa ribu tahun lamanya.
"Dimana agaknya patung sphinx?", tanya seorang ahli rombongan menghentikan lamunanku.
"Entahlah!"
Pada dinding lekuk kaki bukit sudah terdapat banyak tulisan-tulisan grafitti. Ternyata kawasan ini sudah dicemari oleh kegiatan vandalisma. Kehampaan mula menyelubungi perasaan. Mungkinkah sphinx telah menjadi mangsa vandalisma? Sejauh mana lagi tapak pra-sejarah ini akan menjadi mangsa mereka? Khazanah ini seakan telah dilupakan.
Dalam keadaan hampa itu kami meneruskan perjalanan mencari jalan pulang.
"Hello! Hello! ada dengarkah?", bunyi radio di beg galasku.
"Roger, dari Konvoi Satu", jawabku. "Siapa disana? over".
"Dahlan di sini", jawab Dahlan yang menggunakan radio di base camp. "Saya dan 9 orang sudah sampai di jalan tepi sempadan hutan dengan ladang kelapa sawit, over".
"Konvoi Satu ke base camp, jejak kamu tidak dapat di kesan, over".
"Base camp ke Konvoi Satu, menghala arah utara untuk sampai ke sempadan hutan dengan ladang sawit, over".
"Berita faham, over and out".
"Otto, tolong ambil kompas di saku beg galas di belakangku", pintaku pada jurugambar professional yang bersamaku.
"Konvoi Dua ke Konvoi Satu, sila buat tanda untuk kami menjejaki, over", suara Andi di radio.
"Roger, ikuti kesan cantasan pada ranting, over".
"Berita faham, over and out".
Kami tiba di sempadan hutan dengan ladang kelapa sawit milik Sime Darby Plantation pada pukul 4:30 petang. Selepas berehat buat seketika kami bertolak pula ke lokasi kolam air masin.
No comments:
Post a Comment