Saturday, September 22, 2012

Shoutul Mundzir Johan Nasyid Moden Festival kesenian Islam Peringkat Bahagian Tawau 1433H/2012M

Kunak 21 September 2012 - Kumpulan Shoutul Mundzir yang mewakili Daerah Lahad Datu telah muncul sebagai johan dalam kategori nasyid moden dalam Festival Kesenian Islam Peringkat Bahagian Tawau bagi tahun 1433H/2012M. Naib johan disandang oleh Kumpulan Fawwaz dari Tawau manakala tempat ke-3 diraih oleh Kumpulan Nur Hikmah dari Semporna. Festival yang diadakan di Dewan Sri Kunak, Kunak itu menyaksikan 3 kumpulan bertanding dalam kategori tersebut dan juga tiga kumpulan dalam kategori nasyid tradisi.

Johan dalam kategori nasyid tradisi ialah Kumpulan Qaisarah yang mewakili Daerah Tawau, naib johan ialah Kumpulan Shoutul Umairah dari Daerah Kecil Tungku manakala tempat ke-3 disandang oleh Kumpulan As-Syabah dari Daerah Semporna.
Shoutul Mundzir Johan Nasyid Moden
Qaisarah Johan Nasyid Tradisi
Dalam ucapan perasmiannya Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah N51 Kunak, Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang menyeru para hadirin, khususnya generasi muda Islam untuk mendalami ilmu agama,  memperteguh aqidah dan memperkasa daya-saing agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. 
YB Datuk Nilwan menyampaikan Ucapan Perasmian
Dalam kata-kala aluan yang dimuatkan dalam Buku Aturcara program tersebut YB Datuk Nilwan menjelaskan, "Merujuk kepada pengisian program ini iaitu Marhaban, Kompang dan Nasyid maka dapatlah kita simpulkan bahawa cabang seni yang dimaksudkan yang dimaksudkan dalam festival ini ialah yang berkaitan dengan muzik atau irama.

"Program seperti ini memang wajar diadakan kerana  persepsi mengenai muzik Islam di kalangan masyarakat kita lazimnya tidaklah begitu positif. Hal yang demikian terjadi kerana muzik sering dikaitkan dengan hiburan, manakala hiburan pula acapkali dikaitkan dengan kelalaian dan tingkahlaku berfoya-foya. 

Persepsi sedemikian sebenarnya tidaklah tepat bahkan berdasarkan prasangka semata-mata tanpa mengetahui terlebih dahulu pengertian yang mendasari seni muzik itu sendiri.

"Muzik sebenarnya bersifat neutral. Ia bergantung kepada manusia yang mencipta, mencorak, mengalun dan menggabungkannya serta bagaimana ia dapat dimanfaatkan oleh manusia. Memang jelas apabila muzik itu boleh menyusahkan hati, mengacaukan fikiran dan keharmonian serta membangkitkan nafsu maka sudah tentu ia adalah batil. Namun jika muzik itu boleh menaikkan semangat juang, mengingatkan manusia kepada Tuhan dan mendekatkan diri kepada Allah maka tentulah ia adalah hak." 

Datuk Nilwan berharap semoga program tersebut dapat membantu merangsang penghasilan seni muzik serta irama yang bermanfaat  yang mampu membawa umat manusia kearah mematuhi segala perintah Allah serta menjauhi segala laranganNya.

Dalam program ini juga JHEAINS telah booth pameran mengenai aktiviti dan perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan tersebut termasuk bimbingan cara memohon pengsijilan halal untuk pengusaha industri makanan.
Wargakerja JHEAINS menerangkan prosedur memohon
Pensijilan Halal kepada pengunjung booth pameran JHEAINS
YB Datuk Nilwan mengisi tabung derma Rohingya

Paluan Kompang yang menggabungkan 5 buah kumpulan kompang
dari 5 daerah (Kunak, Tawau, Lahad Datu, Semporna & Tungku)
Keputusan Pertandingan Marhaban dan Berzanji
Johan : Shoutul Khalij (Lahad Datu)
Naib Johan : Al-Falah (Tawau)
Ketiga : Belia Masjid Kg Bangau-Bangau (Semporna)

Keputusan Pertandingan Kompang
Johan : Gema Sabdi (Semporna)
Naib Johan : Shoutun Najah (Tungku)
Ketiga : Nur Falah (Tawau)

Sunday, September 16, 2012

Sambutan Malam Kemerdekaan Daerah Kunak 2012 - Jelmaan Perpaduan & Keharmonian Masyarakat Setempat

Sabtu malam 15 September 2012 menyaksikan padang pekan Kunak dibanjiri oleh kira-kira 10 ribu orang yang kebanyakannya adalah penduduk setempat. Mereka keluar beramai-ramai untuk menyertai Sambutan Malam Kemerdekaan Hari Malaysia Peringkat Daerah Kunak bagi tahun 2012.

Sebahagian dari penonton yg membanjiri Padang Pekan Kunak
pada Malam 15 September 2012
Yang menarik dan amat menggembirakan dengan sambutan pada malam tersebut ialah ketiadaan insiden-insiden negatif seperti orang mabuk dengan minuman keras, perkelahian, caci-mencaci dan sebagainya. Keadaan pentas juga tidak pernah dicemari dengan penonton menyerbu artis, sekadar  terdengar teriakan-teriakan peminat yang memanggil-manggil nama artis memuji mereka seperti "Adam! Kau memang mannang bah!".

Ketika Yang Berhormat ADUN Kunak melangkah ke pentas untuk menyampaikan ucapan perasmian, kedengaran teriakan dari kalangan penonton, "Datuk Nilwan! You are the best!". Datuk Nilwan menoleh dan melambai mesra kearah datangnya suara tersebut.


Perpaduan dan kerjasama di kalangan semua lapisan masyarakat Daerah Kunak begitu ketara dengan masing-masing melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab bagi menjayakan sambutan pada malam tersebut. Semua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan masing-masing dipertanggungjawabkan untuk memastikan kelancaran persiapan dan perjalanan bahagian-bahagian sambutan. Begitu juga dengan syarikat-syarikat swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan-persatuan suku kaum etnik yangg terdapat di Daerah Kunak. Semuanya bekerjasama dengan penuh harmoni dan dengan rasa persaudaraan yang begitu kental.

Jabatan Pelajaran telah diberi kepercayaan untuk bertindak sebagai Pengerusi Pengelola, Pejabat Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan mengatur persembahan, Pejabat Perhubungan ADUN dan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Kunak diberi amanah untuk membawa artis tempatan, NGOs menyumbangkan tenaga & persembahan, syarikat-syarikat swasta menyumbangkan dana manakala persatuan-persatuan suku kaum etnik menyumbangkan tarian kebudayaan masing-masing.

Sebaik sahaja YB ADUN Kunak tiba tepat pada jam 8.00 malam tarian 1Malaysia dipersembahkan oleh penari-penari yang memakai pakaian tradisi suku kaum Kadazan/Dusun. Setelah itu semua hadirin berdiri menyanyikan Lagu Kebangsaan dan Sabah Maju Jaya diikuti dengan Pelancaran Grafiti 1Malaysia yang dihasilkan oleh murid-murid pra-sekolah dari 14 buah sekolah kebangsaan yang terdapat di Daerah Kunak.

Tarian 1Malaysia 
Acara diteruskan sehingga jam 12.00 tengah malam dengan persembahan oleh artis tempatan terdiri daripada Adam (AF2), Den Bisa dan Dyana diselang-seli dengan persembahan tarian suku kaum etnik dan cabutan tiket bertuah
.
Persembahan oleh Adam AF2 & kumpulannnya
Tarian Ongkona Sidenreng oleh Persatuan Bugis
Tarian Igal-Igal oleh Persatuan Bajau
Tarian Singa oleh Persatuan Tionghua
Alhamdulillah, cuaca juga seakan "memberi kerjasama" yang baik. Hanya sekali-sekala hujan rintik-rintik yang turun beberapa saat menyejukkan suasana tanpa membasahi penonton dan tanpa menjejaskan persembahan.

Sambutan diakhiri tepat jam 12.00 tengah malam dengan nyanyian beramai-ramai 1Malaysia.