Monday, January 31, 2011

Mesir: Ketidakstabilan Sosial Yang Membawa Kepada Rusuhan

Rusuhan anti kerajaan di Mesir sudah masuk hari ke tujuh namun tidak ada tanda-tanda menunjukkan yang ianya akan reda dalam tempoh terdekat. Tuntutan utama penunjuk perasaan ialah menuntut Presiden Hosni Mubarak untuk meletak jawatan namun presiden yang telah memerintah negara itu selam 30 tahun masih enggan berbuat demikian.


Persoalan yang timbul ialah, kenapakah krisis ini terjadi? Suatu kajian yang dilakukan oleh Pew Research Centre menunjukkan bahawa dalam tahun 2006, 42 peratus rakyat Mesir tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran di negara mereka. Peratusan itu semakin meningkat dan pada tahun lepas angka itu mencecah 69 peratus, iaitu melebihi dua-pertiga daripada jumlah penduduk negara tersebut.

Gerakan memprotes dimulakan oleh kalangan golongan muda, namun lama kelamaan ianya telah disertai pula oleh golongan konservatif agama.

Protesters, Egyptian troops in Tahir Square.
Rakyat Mesir menunaikan solat dihadapan kereta kebal
ketika melakukan protes di Tahrir Square, Kaherah pada Ahad 30 Januari 2011
Kini surirumah, mahasiswa, malah warga emas menyertai mereka pula untuk menentang "satu musuh", iaitu Hosni Mubarak, bekas juruterbang pesawat pejuang, yang mereka dakwa mengekalkan kuasa selama 30 tahun melalui penipuan setiap kali diadakan pilihanraya presiden.

Dia juga didakwa membazirkan berbillion-billion dolar kewangan negara untuk belanja istana yang mewah, juga untuk kemewahan golongan militer, keluarga terdekat serta lingkaran kroninya dalam perniagaan, manakala keperluan rakyat yang paling asas diabaikan. Dengan kata lain, pentadbiran itu tiada prinsip, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

"Rakyat terpisah dan begitu terasing dari golongan pembuat dasar dan pembuat keputusan, sehingga seolah-olah rakyat Mesir menjadi orang asing di negara sendiri," keluh Noor Aiman Noor, seorang penunjuk perasaan.

Penduduk Mesir dianggarkan berjumlah 79 juta orang. Hampir 16 juta daripadanya yang terpaksa bekerja keras untuk pendapatan $2 (RM 6.11) sehari merasa mereka dizalimi oleh pemerintah. Seramai 40 juta pula dikatakan langsung tidak tahu membaca dan menulis, manakala golongan muda yang dinamik dan berusaha keras untuk memperoleh ijazah mendapati tiada tempat untuk mempergunakan ilmu yang dituntut.

Menurut Michael Rubin dari The American Enterprise Institute, ramai penjaja di jalan-jalan di Mesir adalah graduan dan sarjana, mereka tiada harapan untuk mendapat pekerjaan, mereka tidak berpeluang mencapai cita-cita yang mereka impikan, dan merekalah antara yang menyalurkan ketidakpuasan hati mereka di jalan-jalan.

Berikutan dengan rusuhan yang berlaku, kekejaman pihak keselamatan dikatakan semakin terserlah dan tidak terkawal. Mubarak, yang kini berusia 82 tahun seakan diserang hendap dengan tentangan terbuka terhadap kekuasaannya.

"Rakyat berada di sini untuk mengucap tahniah kepada sesama sendiri kerana akhirnya berani berdiri tegak menyatakan pendirian dan menuntut hak," tegas Noor.

Dalam tempoh beberapa hari sahaja, rakyat Mesir telah menkucar-kacirkan sistem pemerintahan negara yang mereka tidak senangi.

Mengkucar-kacirkan sistem pemerintahan adalah satu perkara mudah tetapi untuk membubarkannya dan membentuk sistem yang lebih sempurna tidak akan semudah itu. Esok, hari Ahad ini akan diganti oleh hari Isnin, namun tidak ada petunjuk jelas bagaimana pihak pemerintah mahupun pihak tentera Mesir menangani krisis ini.

Hendaknya rakyat Malaysia tidak terikut-ikut secara membabi-buta. Orang lain merusuh, kitapun mahu merusuh. Orang lain punya banyak sebab untuk merusuh, sedangkan kita hanya disebabkan oleh hasutan. Itu BODOH, namanya.

Rakyat Mesir merusuh kerana keperluan mereka yang paling asas dibelakangkan, takkan kita nak merusuh apabila negara jelas menunaikan prinsip "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"?

Melihat kepada analisis-analisis yang dilakukan oleh beberapa institusi terkemuka dunia, rusuhan di Mesir berlaku kerana pemisahan yang ketara antara rakyat dan pemerintah, antara orang awam dengan golongan militer dan pasukan keselamtan, dan antara yang berpendapatan rendah dengan golongan mewah di kalangan kroni dan keluarga pimpinan tertinggi negara.


Sunday, January 30, 2011

PRK DUN Tenang - BN Menang Majoriti 3707




Keputusan rasmi selepas penjumlahan semua 33 peti undi: PAS 2,992 BN 6,699 Majoriti 3,707.

Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang selepas calonnya, Mohd Azahar Ibrahim menang dengan majoriti undi 3,707 mengatasi calon PAS, Normala Sudirman.

Azahar memperoleh 6,699 undi manakala Normala memperoleh 2,992 undi.

Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Md Asri Amir di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini, sebentar tadi.


Sumber: Berita Harian Online

Tuesday, January 25, 2011

Wajik Kacang

Satu daripada makanan ringan yang sesuai dimakan sambil menonton televisyen atau meneruskan perjalanan di dalam bas atau kereta ialah wajik kacang. Bahan untuk membuat wajik kacang ialah kacang tanah dan gula enau.

Wajik kacang keluaran Produk Desa


Bahan-Bahan
Kacang tanah dan gula enau pada nisbah 4:3
Secawan air bersih.

Cara membuatnya:
1. Goreng kacang tanah dengan minyak masak bermutu tinggi dan toskan. Jangan sampai hangus.

5 ketul gula enau di atas kuali untuk 2 kg kacang tanah
2.  Masukkan ketulan gula enau ke kuali, tambahkan sedikit air dan panaskan sehingga ketulan gula enau cair. 

Gula enau mula cair
3. Tunggu sehingga cairan gula itu agak lekit kemudian masukkan kacang tanah yang telah digoreng dan gaul rata.

4. Tuang ke atas bekas yang diperbuat daripada kayu atau bahan yang tahan panas. Boleh juga dituang di atas lapisan daun pisang kering. Biarkan sejuk dan mengeras kemudian hidangkan.

Pastikan gula enau yang digunakan adalah yang bermutu, iaitu dengan tekstur yang agak berpasir dan warnanya tidak terlalu gelap. Jika mutu gula enau yang digunakan kurang baik, wajik kacang yang terhasil akan melekit seperti plastik yang dipanaskan dan tidak menyelerakan.

Kalau malas atau tidak berjaya membuatnya dengan baik, beli sahaja di Gerai Simpang Empat Kunak. Buat masa iniHarga runcit di gerai tersebut ialah RM 1.50 sekeping dengan diameter lebihkurang 4 hingga 4.5 inci. Untuk harga borong, hubungi terus pengusaha di talian yang tertera di bawah.

Wajik kacang hasil keluaran Produk Desa diperbuat menggunakan gula enau yang memang disediakan khas untuk membuat wajik kacang.

Untuk tempahan hubungi:
Puan Striani Mohd Ali (Pengusaha Produk Desa) : Tel 016-5848727 atau 010-9323372


Sunday, January 23, 2011

Enau Terakhir

Enau atau nama saintifiknya Arenga pinnata adalah sejenis pokok palma yang tumbuh semulajadi di kawasan tropika Asia. Tumbuhan ini dikenal dengan pelbagai nama seperti nauhanaupelulukbilulukkabungjuk, ijuk, kawungtaren,akolakelakereinruindu, mokamoketuwatuwak, dan lain-lain. 

Bangsa Belanda mengenalnya sebagai arenpalm atau zuikerpalm dan bangsa Jerman menyebutnya zuckerpalme. Dalam bahasa Inggris disebut sugar palm atau Gomuti palm.

Suatu ketika dahulu terdapat lebihkurang 40 pokok tumbuhan ini di belakang rumah kami yang ditanam oleh arwah bapa. Benihnya dibawa oleh seorang pekerja ladang yang berasal dari Sulawesi Selatan. Kini hanya tinggal sepohon yang tumbuh di hadapan rumah berhampiran bengkel industri asas tani.

Pokok Enau ini adalah satu-satunya yang tinggal

Pokok enau biasanya mula mengeluarkan buah apabila berusia 12 hingga 15 tahun, namun enau di hadapan rumah kami ini berbuah dalam usia 10 tahun. Pohonnya rendah sahaja berbanding 20 meter pada kebiasaannya.

Seperkara yang unik bagi pokok enau berbanding pokok palma besar yang lain seperti kelapa, kelapa sawit dan pinang, ialah setelah mula mengeluarkan tandan buah pertumbuhan pokok enau terhenti. Ia tidak lagi meninggi dan tidak juga mengeluarkan pelepah baru.

Enau adalah tumbuhan biseksual iaitu pokok yang sama mengeluarkan tandan jantan dan juga tandan betina. Tandan yang mula dihasilkan ialah tandan betina. Buah pada tandan betina di bahagian bawah matang terlebih dahulu. Oleh kerana pertumbuhan pokok enau terhad maka bilangan tandan betina yang dikeluarkan oleh sesuatu pokok enau juga terhad, biasanya kurang daripada 10 tandan.

Selepas semua tandan betina terbentuk tandan jantan mula dihasilkan di bahagian bawah batang pokok. Kematangan tandan jantan bermula dari tandan yang terletak di bahagian atas.

Tandan jantan disadap untuk memperoleh nira enau. Nira segar berwarna kekuningan, seperti air teh yang kurang kaw. Rasanya amat manis dan dipercayai mempunyai banyak khasiat sebagai minuman untuk kesihatan. Namun, jika tidak segera disejukbekukan atau dididihkan nira enau boleh berfermentasi menghasilkan cecair beralkohol (arak) kemudian bertukar pula menjadi cuka.

Saya telah menyadap tandan jantan enau yang terdapat dihadapan rumah kami. Sebahagian nira yang terhasil disejukbekukan sebagai simpanan untuk minuman ekzotik dan sebahagian lagi dimasak menjadi gula enau. Di Kunak ia dikenali sebagi gula merah kerana warnanya yang cokelat kemerahan. Gula enau yang boleh dibeli di Pasar Minggu Kunak kebanyakannya diimpot dari Indonesia.


Nira yang telah mendidih dan hampir menjadi gula

Setelah beberapa lama dididihkan, nira mengental menjadi cairan gula. Cairan
itu dituang ke dalam acuan dan dibiarkan menyejuk mengikut suhu sekitaran.

Apabila suhu gula mencapai suhu sekitaran (lebihkurang 28 darjah Celsius)
ia akan mengeras dan boleh dikeluarkan dari acuan.
Inilah bongkah gula enau yang terhasil dari proses di atas.





Friday, January 14, 2011

400 Unit Rumah PPR di Kunak Dijangka Siap 9 Bulan Lagi

Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kunak yang sedang dalam pembinaan dijangka siap dalam tempoh sembilan bulan lagi. Demikan kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Bin Haji Ukin kepada pemberita ketika melawat tapak pembinaan tersebut berhampiran Kg Kadazan Kunak, pagi tadi Jumaat 14 Januari 2011.



Kelewatan penyiapan projek berkenaan adalah disebabkan beberapa faktor termasuk keadaan tapak yang diliputi dengan batuan yang besar, kesukaran mendapatkan bahan binaan, faktor logistik kawasan serta beberapa faktor lain.

Ikuti penjelasan terperinci dari pihak pemaju serta YB Timbalan Menteri mengenai isu tersebut menerusi video klip berikut:

Sunday, January 2, 2011

"Tenggelam Oleh Arus Pembangunan"

Rumah beberapa buah keluarga di Kampung Getah Atas kini seolah-olah didirikan di atas sebuah kolam besar. Sewaktu menyertai lawatan pada 29 Disember 2010 ke kawasan tersebut paras air mencecah sehingga ke punggung. Lawatan diketuai oleh ADUN Kunak Datuk Nilwan Kabang dan disertai oleh Encik Mark dari Jabatan Kerjaraya (JKR) Kunak dan Encik James dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kawasan Kunak serta beberapa orang kakitangan dari kedua-dua jabatan tersebut.



Selepas hujan lebat pula, lantai beberapa buah rumah turut ditenggelami air. Lebih membimbangkan ialah air yang bertakung itu boleh menjadi pusat pembiakan naymuk aedes.

Dari tinjaun yang dilakukan didapati kawasan tersebut berada pada paras kedudukan yang rendah. Keadaan menjadi semakin lebih buruk apabila pemilik tanah berhampiran menimbus kawasan masing-masing untuk pembinaan bangunan perumahan atau premis perniagaan. Yang demikian menyebabkan kawasan berkenaan berada dalam keadaan seperti kawah atau kuali. Tidak terdapat sebarang laluan air untuk keluar dari kawasan tersebut.



Kedudukan kawasan ini seolah-olah seperti sebuah kuali besar

Seorang penduduk dari kawasan yang terlibat memberitahu bahawa sewaktu hujan turun, air yang deras melimpah dari kawasan Perumahan Taman Kunakaya menyeberang jalan dan terus ke halaman rumahnya lalu bertakung disana. 

Parit dari kawasan perumahan Taman Kunakaya ada dibina
sehingga ke tepi jalan tetapi tidak ada laluan keluar ke saliran air utama (sungai)
Membiak nyamuk?



Encik Mark sependapat dengan Datuk Nilwan bahawa parit perlu dibina di sepanjang tepi jalan dari kawasan berhampiran Pasaraya Siong Ho untuk mengalirkan air ke sungai, iaitu Sungai Atas. Datuk Nilwan meminta Encik Mark bagi pihak JKR untuk membuat permohonan peruntukan bagi tujuan tersebut. Mereka juga sependapat bahawa tindakan itu hanya mampu mengurangkan volum air yang melimpah tetapi tidak dapat mengelakkan daripada kawasan berlekuk itu dari digenangi air.

Saya mencadangkan, setelah parit untuk menyalurkan air ke sungai dibina, air bertakung itu dipam keluar ke parit berkenaan tetapi menurut Encik James tindakan sedemikian tidak dapat mengatasi masalah tersebut. 

Mungkinkah cara ini boleh membantu?

Pada pandangan saya masalah air yang bertakung itu tidak seberapa berbanding keadaan sebuah ladang kelapa sawit di Perak tempat saya bertugas dalam tahun 1990an. Kawasan ladang berhampiran pantai dan permukaannya berada di bawah paras permukaan air laut. Pam air diletakkan di beberapa lokasi yang digunakan untuk mengepam air keluar mengikut jadual. Kelapa sawit tumbuh dengan subur dan syarikat mampu memperoleh keuntungan besar.

Untuk kawasan yang dimaksudkan, masalah air bertakung hanya timbul waktu musim tengkujuh dan musim itu bukannya sepanjang tahun. Berbanding dengan ladang yang disebutkan di atas, volum air itu juga tidaklah begitu besar. Sesuatu harus dilakukan untuk membantu mereka yang terjejas.

Menurut Encik Mark, masaalah sedemikian timbul kerana pihak pemaju perumahan dan juga orang perseorangan tidak merujuk kepada pihak JKR apabila bercadang untuk memajukan sesuatu kawasan dan melakukan kerja-kerja penimbusan kawasan tanpa mengambil kira faktor masalah saliran air. 

Datuk Nilwan berharap agar pada masa akan datang, pihak yang bercadang untuk memajukan sesuatu kawasan agar berhubung dengan pihak JKR untuk mendapatkan nasihat mengenai keadaan infrastruktur terutama dari segi kesan terhadap saliran air dan alam sekitar.