Monday, November 30, 2009

FENOMENA TAHUN 2012 - APA AKAN BERLAKU DI MALAYSIA?

Menurut para peramal Fenomena Tahun 2012, pada ketika itu akan berlaku suatu perubahan besar seantero dunia, malah ada yang meramalkan akan berlakunya kiamat pada tahun tersebut, tepatnya pada 21 Disember 2012. Ramalan-ramalan ini kebanyakannya bersandarkan kepada Kalendar Purba Kaum Maya di Amerika Tengah. Walau bagaimanpun, kebanyakan cerdik pandai  beranggapan bahawa ramalan tersebut tidak berasas dan merupakan salah-tafsiran ke atas kalendar tersebut.



Bagi Malaysia, yang jelasnya ialah pada tahun itu Pilihanraya Umum ke-13 dijadual akan berlangsung. Apakah perubahan besar akan berlaku seperti yang diketengahkan oleh penyokong ramalan fenomena 2012?


Dua kumpulan parti politik akan bertembung dalam usaha untuk menguasai pentadbiran negara. Barisan Nasional (BN) akan berusaha untuk merebut semula 4 buah negeri yang dikuasai pembangkang (PAS, PKR dan DAP). Sebaliknya, pihak pembangkang akan berusaha menambah kerusi, sekaligus membentuk kerajaan di semua negeri dan juga kerajaan persekutuan. 


Mana-mana antara kedua kemungkinan itu yang terjadi, maka bolehlah dikatakan bahawa suatu perubahan besar berlaku di Malaysia pada tahun 2012. Persoalannya ialah: Apakah kemungkinan satu daripadanya menjadi kenyataan?


Untuk BN merebut kembali Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan serta memperkukuh kedudukan di Perak, imej yang jauh lebih baik dari yang ada sekarang perlu ditonjolkan.


Bagi UMNO sebagai tulang belakang BN, perlu memandang serius catatan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blog beliau dengan tajuk “UMNO” bertarikh 30 November 2009.


UMNO perlu meneliti dengan jujur dan bersungguh-sungguh permohonan-permohonan menjadi ahli yang sudah berbulan-bulan, malah ada yang bertahun-tahun lamanya, masih menunggu keputusan samada diluluskan atau tidak. Begitu juga halnya dengan permohonan-permohonan untuk menubuhkan cawangan baru.


Juga tidak boleh dipandang ringan pandangan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal seperti yang dipetik oleh Umno On-line, yang mengingatkan para pemimpin UMNO supaya mengikis perasaan takut akan kedudukan tergugat dengan kemasukan golongan muda dan profesional dalam parti di peringkat cawangan. Pemimpin Umno perlu mengubah persepsi berkenaan dan memberi keutamaan kepada kepentingan parti dan negara.


Beliau seterusnya mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak menjadikan ancaman kedudukan dalam parti sebagai alasan bagi menyekat golongan muda dan profesional menyertai parti kerana ia akan merugikan UMNO sendiri.

Sunday, November 29, 2009

SAMBUTAN HARI RAYA KORBAN DI KG SKIM COCOS

Majlis Doa Kesyukuran telah diadakan di Kg Skim Cocos pada hari ketiga Hari Raya Aidil Adha.
Majlis ini dihadiri oleh ADUN Kunak, YB Datuk Nilwan Kabang, kakitangan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan Kunak dan penduduk dari Kg Skim Cocos, Kg Airport Batu 10 dan Kampong Giram.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian tradisi suku kaum Cocos yang dipersembahkan oleh murid-murid tahun 6 SK Skim Cocos dan Belia Kg Skim Cocos.


15 EKOR LEMBU UNTUK MAJLIS KORBAN BERKELOMPOK DAERAH KUNAK

Kunak, Nov 28 – Sejumlah 15 ekor lembu dikorbankan dalam upacara korban sempena Hari Raya Aidil Adha di Kunak tahun ini. Majlis Korban Berkelompok itu dianjurkan bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan N51 Kunak, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Pertubuhan Islam Negeri Sabah (USIA) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).


Seramai lebihkurang 300 orang telah hadir untuk bergotong royong melaksanakan upacara ibadah korban itu.
Empat ekor lembu telah diagih-agihkan ke empat daerah mengundi yang terdapat di Kunak sehari sebelum Hari Raya. Sebelas ekor lagi di sembelih di perkarangan rumah ADUN Kunak, YB Datuk Nilwan Kabang pada hari kedua Hari Raya Aidil Adha.


Daging korban kemudian diagih-agihkan kepada hadirin, termasuk kanak-kanak, dan kepada penduduk kampung-kampung di daerah Kunak.



“Kerjasama dan semangat perpaduan oleh masyarakat, jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan-kerajaan (NGO) seperti yang ditunjukkan dalam majlis ini, merupakan bukti terjalinnya persefahaman dan semangat gotong-royong di kawasan ini”, kata ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang dalam ucapannya sebelum mengagih-agihkan daging korban kepada orang ramai.


Tambah beliau, “Semangat perpaduan dan kerjasama seperti ini jika dipupuk dan dipertingkatkan lagi akan memudahkan pembangunan masyarakat menuju kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan.”

Thursday, November 26, 2009

ASTEROID - PUNCA LETUPAN DI TELUK BONE

Letupan besar di Teluk Bone, Sulawesi Selatan Indonesia pada 8 Oktober lepas telah dikenalpasti disebabkan oleh hentaman asteroid yang jatuh ke teluk itu. Asteroid dengan garispusat 10 meter itu menjunam ke bumi dengan kelajuan 20.3 km per saat atau 73,080 km sejam, lalu melepaskan sejumlah tenaga yang amat besar menyebabkan letupan dahsyat.



Gegaran yang berlaku turut dikesan oleh sistem amaran infrasound di pusat pengesan anti pengujian nuklear milik Comprehensive Nuclear Test Ban Treaty Organization (CNTBTO) lebihkurang 10,000 kilometers dari tempat kejadian.


Menurut pemerhati di University of Western Ontario, Elizabeth Silber and Peter Brown, kekuatan letupan itu bersamaan dengan kekuatan 50 kiloton bom TNT (trinitrotoluena), atau dua hingga tiga kali kekuatan bom atom yang digunakan pada Perang Dunia Kedua.


Kejadian ini telah memeranjatkan ahli-ahli astronomi seluruh dunia kerana kehadiraannya berhampiran bumi tidak pernah dikesan sehinggalah ia menjunam ke Teluk Bone.



Wednesday, November 25, 2009

AKAUN BANK TIDAK AKTIF PUNCA KELAMBATAN PENYALURAN BANTUAN JABATAN KEBAJIKAN

Kunak, Nov 25—Penduduk Kunak yang telah disenaraikan untuk menerima bantuan kewangan dari Jabtan Kebajikan dinasihatkan untuk memastikan mereka mempunyai akaun bank yang aktif. Demikian menurut Encik Halid Harun, Pemimpin Kemajuan Rakyat kawasan N51 Kunak ketika mengulas SMS yang dihantar semula (forward) kepada beliau oleh wakil rakyat Kunak, Datuk Nilwan Kabang.
SMS berkenaan bertanyakan sebab masih terdapat penduduk yang telah disenaraikan semenjak bulan Puasa September lepas, untuk menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan belum lagi menerimaya sehingga ke hari ini.




Encik Halid telah meminta penjelasan dari pihak Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah Kunak dan diberitahu bahawa bantuan kewangan dibayar terus oleh pihak ibupejabat melalui akaun bank penerima masing-masing. Masalah kelambatan ini timbul berikutan terdapat dikalangan penerima yang tidak mempunyai akaun bank atau memberikan nombor akaun bank yang tidak lagi aktif.
Sesuatu akaun bank biasanya menjadi tidak aktif setelah tidak berlaku sebarang transaksi pada akaun berkenaan bagi tempoh tertentu yang ditetapkan oleh pihak bank.
Penduduk yang terlibat dinasihatkan untuk berhubung terus dengan pihak bank bagi mengaktifkan semula akaun berkenaan. Seterusnya mereka hendaklah berhubung dengan pihak Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Daerah Kunak untuk mengemaskini maklumat agar bantuan yang berkaitan dapat disalurkan secepat mungkin.

Tuesday, November 24, 2009

MEMBANTU PETANI MENINGKATKAN PENDAPATAN

Kunak, Nov 24--Kerajaan Negeri Sabah sentiasa prihatin dan berusaha meningkatkan pendapatan serta taraf hidup petani dan penduduk luar Bandar. Dari semasa ke semasa, kakitangan dari pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dihantar ke kampong-kampong untuk melihat cara penduduk luar Bandar mencari nafkah dan menilai keadaan-keadaan dimana kerajaan dapat membantu mereka meningkatkan hasil dan pendapatan.






                                 Kakitangan Jabatan Pertanian sedang bertugas di desa

Pagi tadi, kakitangan dari Jabatan Pertanian Sabah, tiga dari Kota Kinabalu dan seorang dari Kunak, telah melakukan lawatan kerja ke Kampung Cenderawasih. Mereka meninjau perusahaan kerepek ubi dan juga perusahaan air tebu asli.






















                                     Tanaman Tebu di Kampung Cenderawasih

  Kerepek Ubi Kunak

Kerepek Ubi Kunak kebanyakan dihasilkan di Kampung Cenderawasih. Sebahagian besar produk berkenaan dipasarkan setempat terutama di Gerai Simpang Empat. Walau bagaimanapun, ada juga yang di ekspot ke lain-lain daerah di Sabah, Labuan dan Semenanjung Malaysia. Jabatan Pertanian Sabah telahpun membina dua buah bengkel memproses kerepek dan lain-lain makanan ringan untuk membantu pengusaha di kampong ini.



Tebu yang ditanam di Kunak kebanyakannya diperah untuk menghasilkan air tebu segar dan umumnya dipasarkan di dua tamu mingguan di daerah ini, iaitu Pasar Rabu dan Pasar Minggu.



                                                               Pasar Rabu Kunak


Dalam lawatan mereka, kakitangan dari Jabatan Pertanian memberitahu pengusaha tebu yang dilawat bahawa mereka akan mencadangkan kepada pihak Jabatan Pertanian untuk menyalurkan bantuan agar pengusaha berkenaan dapat meningkatkan hasil dan seterusnya meningkatkan pendapatan. Antara bantuan yang dicadangkan ialah sebuah mesin pemerah tebu, sebuah peti sejuk beku dan dana bagi membuka kawasan penanaman baru seluas 2 ekar lagi.


“KESEJAHTERAAN DAN KEMAKMURAN YANG BERTERUSAN” 

Sunday, November 22, 2009

LOJI JANAKUASA GUNA ARANG BATU TIDAK JEJAS ALAM SEKITAR

Kunak, Nov 21 -- Loji janakuasa menggunakan arang batu yang akan dibina berdekatan Kampung Sinakut, Felda Sahabat 16 tidak akan menjejaskan kualiti alam sekitar. Demikian menurut Pengarah Projek Lahad Datu Energy, Encik Ahmad Faraid Mohamad Yahya keika memberik taklimat yang diikuti dengan dialog dalam majlis Taklimat Bersama Pemimpin Komuniti di Dewan Sri Kunak, anjuran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kunak.

Beliau berkata bahawa loji yang dicadangkan itu akan menggunakan piawaian tertinggi, setaraf dengan loji-loji janakusasa yang menggunakan arang batu di negara-negara maju. Apabila beroperasi, ia berupaya menghasilkan 300 MW tenaga elektrik dan akan membantu mengatasi masalah kekurangan tenaga elektrik yang kini di hadapi di pantai timur Sabah.


Pada masa kini, hampir 40% tenaga di pantai timur disalurkan dari Sistem Grid Pantai Barat pada kadar 100 MW sehari. Penyaluran tenaga dari Grid Pantai Barat ke Grid Pantai Timur dijangka semakin meruncing sehingga 70% pada tahun 2010. 


Ketidak-seimbangan yang begitu besar akan menyebabkan bekalan tenaga elektrik menjadi tidak menentu. Jika berlaku gangguan pada sambungan Grid Timur-Barat, yang memang berkemungkinan besar akan terjadi memandangkan jaraknya yang menjangkau 270 km, penduduk akan berhadapan dengan risiko bergelap sepenuhnya (total blackout) disebabkan kapasiti penjanaan yang tidak mencukupi pada Grid Pantai Timur.




                                                                                               






Kiri          : Datuk Nilwan Kabang 
Bawah   : Encik Ahmad Faraid Mohd Yahya



Mengenai kebimbangan terhadap bahan sisa dari operasi loji menggunakan arang batu, Encik Ahmad memberitahu bahawa loji-loji sedemikian yang sudah lama beroperasi di  Kapar, Manjung dan Tanjung Bin di Semenanjung Malaysia sehingga ke hari ini tidak menunjukkan kesan negatif. Sebaliknya,  kawanan burung yang berarak dari Utara ke Selatan pada musim sejuk di hemisfera utara, menjadikan padang pengurusan sisa habuk arang batu di Kapar sebagai tempat persinggahan, menunjukkan terdapatnya banyak sumber makanan di tempat itu. 


Selain daripada itu, didapati pokok-pokok bakau tumbuh dengan lebih subur berdekatan Manjung, yang kebetulan pula terdapat ladang pembiak-bakaan udang di kawasan berhampiran.


Pengsampelan berkala ke atas kualiti udara dan tahap pencemaran yang dianalisa oleh pihak Jabatan Alam Sekitar menunjukkan yang kadarnya berada di bawah paras yang ditetapkan oleh badan-badan antarabangsa, seperti Bank Dunia.


"Loji janakuasa yang bersih dan diselia rapi boleh wujud dan mesra dengan alam semulajadi", jelas Encik Ahmad.


SESB juga memastikan yang Kajian Terperinci Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek tersebut akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan bertanggungjawab dan akan sentiasa mematuhi dan mengambil langkah-langkah mengurangkan impak ke atas alam sekitar.


Di majlis yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah bagi kawasan Kunak, Datuk Nilwan Kabang berkata bahawa projek berkenaan menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk memberikan pembangunan kepada rakyat.


“Dengan adanya bekalan elektrik, aktiviti sosio-ekonomi serta pembelajaran anak-anak alan terus meningkat", jelas Datuk Nilwan. "Begitu juga kualiti kehidupan mereka."



                                                                         Ahli-Ahli Panel dalam Sesu Dialog

Thursday, November 19, 2009

REPLIKA UDANG - TIDAK SESUAI BAGI DAERAH KUNAK?


Replica udang di bulatan jalan Kunak-Semporna sedang dalam pembinaan

Semalam, sebaik keluar dari bilik ketibaan di lapangan terbang Tawau dari Kota Kinabalu, saya telah bertemu dengan seorang rakan lama yang sedang menanti tuntuk menaiki kapal terbang menuju Kuala Lumpur. Selepas memberi salam dan berjabat tangan, beliau bertanya, "Kenapa Udang?"

Kehairanan, saya bertanya balik, “Kenapa dengan udang?”

Sambil tersenyum, rakan saya itu, yang berasal dari Tawau menjelaskan, "Saya tertanya-tanya, kenapa orang Kunak meletakkan tiga replika udang besar di bulatan jalan Pelan Kunak? Saya ingat, di Kunak ni tentulah banyak udang. Jadi, sayapun pergilah ke pasar ikan di Pengkalan, konon mahu juga beli lima-enam kilo udang besar yang murah-murah!"

Kawan saya itu mula ketawa sinis.

"Kau tahu?", katanya sambil terbahak-bahak, dan dengan suara yang meninggi berkata, "seekor udangpun 'ndak ada, kawan!"

Kawan saya itu terus mengusik, dan agak menyentuh juga perasaan saya, "Kawan, oleh kerana kamu tiada udang di pasar, agaknya replika udang tu melambangkan peribahasa, Otak Udang atau Udang di Sebalik Batu, ye?"

Malu juga saya dibuatnya namun hanya dapat tersenyum sipu. Apa nak kata? Ada kebenaran pada kata-katanya itu. Tangkapan udang nelayan Kunak, tidak seberapa, malah tidak mencukupi untuk keperluan orang Kunak sendiri.

Dengan fikiran terganggu oleh kata-kata kawan saya yang agak pedas itu, saya menelefon Pemimpin Kemajuan Rakyat pagi tadi, bertanyakan kalau-kalau beliau boleh menjelaskan mengenainya. Beliau memberitahu bahawa baik beliau sendiri, mahupun Wakil Rakyat Kunak, Datuk Nilwan Kabang, tidak pernah dimaklumkan atau dirujuk dalam keputusan untuk membina replika tersebut.

Secara peribadi, saya lebih suka jika replika-replika berikut diletakkan di bulatan-bulatan jalan Daerah Kunak:

  1. Replika menunjukkan kegiatan pemburu-pemburu zaman purba yang berlaku di kawasan Tingkayu Daerah Kunak yang berlaku sekitar 30,000 sebelum masehi;
  2. Kegiatan penuaian buah kelapa sawit melambangkan kegiatan pertanian utama Daerah Kunak.
  3. Buah Salak yang melambangkan Daerah Kunak sebagai pengeluar buah salak pertama di negeri Sabah.
Apapun, penduduk Kunak bukanlah Otak Udang dan tidak pula bersikap Udang Di sebalik Batu. Marah saya!

Tuesday, November 17, 2009

WAKIL RAKYAT KUNAK MINTA DIBINA PREMIS PERNIAGAAN LUAR BANDAR

Kota Kinabalu, 17 November 2009. Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan N51 Kunak, Yang Berhormat Datuk Nilwan Bin Kabang hari ini meminta Kerajaan Negeri Sabah untuk membina premis perniagaan dengan mengambil model Pasar Sentral Tawau atau Pekan Rabu Alor Star bagi menggantikan Gerai Simpang Empat Kunak.


Permohonan itu dikemukakan oleh wakil rakyat Kunak itu dalam ucapan bahas beliau ke atas Bajet Negeri Sabah 2010 yang dibentangkan oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Jumaat, 13 November 2009.

Menurut Datuk Nilwan, kemunculan satu lagi produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), hasil inovasi penduduk tempatan, iaitu kerepek ubi bersaiz besar yang kini mula dikenali sebagai Kerepek Ubi Kunak, sinonim dengan nama Daerah Kunak, merancakkan lagi aktiviti perniagaan di Gerai Simpang Empat Kunak.

"Bermula dengan tiga gerai gubuk yang didirikan oleh pengusaha kecil tempatan lebih dua dekad lalu dari kepingan-kepingan papan buangan dan kepingan zing-zing terpakai untuk bumbung, kini sudah menjadi deretan melebihi 20 gerai", ucap Datuk Nilwan.

"Meskipun demikian keadaannya, itulah satu-satunya premis perniagaan di Daerah Kunak yang paling banyak menerima pelanggan dari kalangan pelancong dalam dan laur negeri.

"Untuk itu, saya dengan ini memohon agar perbelanjaan wang negeri bagi pembangunan tahun 2010 dapat diambil sedikit dan diperuntukkan bagi membina sebuah pusat pemasaran produk PKS dan produk pertanian tempatan di lokasi Gerai Simpang Empat, dengan mengambil konsep binaan Pasar Sentral Tawau atau Pekan Rabu Alor Star", kata Datuk Nilwan lagi.

Wakil Rakyat Kunak itu juga menyahut seruan Ketua Menteri dalam ucapan Bajet 2010 untuk terus berusaha menghasilkan produk-produk pelancongan yang baru dan berdaya saing dengan menawarkan apa yang disebutnya sebagai, "Pakej Pelancongan Kunak sebagi Produk Inovatif dan Destinasi Pelancongan Terbaru Negeri Sabah".

Menurut Datuk Nilwan, Kunak merupakan khazanah pelancongan terpendam negeri ini yang amat tinggi nilainya, hanya sa-nya, para pemaju industri ini terlalu sibuk dengan produk-produk sediaada sehingga kewujudan "lombong emas industri pelancongan ini" tidak disedari.

Pakej Pelancongan Kunak menggabungkan elemen-elemen penting yang menjadi daya tarikan pelancong, iaitu nilai sejarah, eko-pelancongan, agro-pelancongan dan pelancongan marin.

Saturday, November 7, 2009

TARIK BALIK CADANGAN DALAM NAP ADALAH LEBIH BERANI

Jika anda berada berhampiran rakan anda yang memiliki kenderaan lama, seperti petani, pengusaha IKS dan kerani AR dalam cerita pos sebelum ini, tentu anda dapat mendengar helaan nafas lega selepas anda memberitahu bahawa kerajaan telah menarik balik cadangan mewajibkan pemeriksaan tahunan oleh Puspakom ke atas kenderaan persendirian berusia 15 tahun ke atas.

Namun sudah memang menjadi lumrah, apa jua yang berlaku, ada saja kritikan kedengaran.

Pihak kerajaan sudahpun membuat keputusan yang memuaskan dan melegakan hati pihak yang terbabit, tetapi masih ada juga pihak yang menganggap keputusan itu sebagai menunjukkan bahawa kerajaan telah membuat cadangan tanpa analisa mendalam dan macam-macam lagi, setakat hendak membebel.

Yang lebih wajar, dalam menarik nafas lega, kita hendaklah bersyukur dan memandang keputusan kerajaan dalam hal ini secara positif.

Ketika usia remaja saya pernah membaca petikan kata-kata seorang pujangga melalui tulisan Professor Dr Hamka, “Mengakui kesilapan adalah berani, tetapi berundur dari kesilapan adalah lebih berani”.

Barangkali kata-kata itu sudah cukup untuk menggambarkan hakikat keputusan kerajaan dalam hal ini. Tidak perlulah lagi terus dihentam dengan kritikan, kerana ianya hanya menunjukkan belang sipengkritik yang bersikap "apa-jua-anda-lakukan-semuanya-salah-belaka".

Thursday, November 5, 2009

DI SEBALIK SEBUAH KERETA TUA

Sesuatu yang barangkali patut dibanggakan ialah realiti bahawa sebahagian besar keluarga di negara ini mempunyai kenderaan masing-masing, kendatipun hanya sebuah kereta tua. Setidak-tidaknya kehadiran harta antik itu dapat juga memudahkan urusan seharian mereka.

Bagi para petani dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), hasil tanaman dan produk dapat juga mereka hantar ke pasar tani atau "tamu" dalam keadaan segar. Pengguna mendapat harga belian yang lebih murah manakala pendapatan petani dan pengusaha lebih lumayan, sebab urusan jual-beli antara petani atau pengusaha dengan pengguna berlangsung tanpa melalui pihak ketiga.

Bagi seorang kerani am rendah pula, sejak memiliki van berusia 18 tahun itu, beban kewangan keluarganya dapat diringankan. Dengan van seusia anak sulungnya itulah isterinya menghantar kuih-muih untuk dibekalkan ke beberapa buah restoran di pekan berhampiran. Hasil usahanya itu dapatlah digunakan untuk membantu membiayai persekolahan anak-anak mereka.

Begitupun segelintir keluarga yang belum mempunyai kenderaan, samada motosikal atau kereta, sedang menghitung-hitung tabungan untuk membeli sebuah kenderaan terpakai yang mampu dicapai oleh tahap kewangan yang ada. Kelak, mudahlah bagi mereka ke pekan untuk membeli bahan keperluan. Impian mereka, dapatlah mereka membawa lebihan hasil tanaman sayuran dan tangkapan ikan dari sungai untuk dijual di pasar atau di pekan.

Suasana damai dan impian dalam kehidupan masyarakat sederhana ini agak terganggu juga dengan adanya cadangan untuk mewajibkan kenderaan penumpang berusia lebih 15 tahun membuat pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai syarat memperbaharui cukai jalan.

Jika cadangan itu dilaksanakan dan dijadikan satu lagi dasar oleh kerajaan, kedamaian dalam kehidupan masyarakat ini akan beransur suram. Impian untuk menikmati pembangunan negara dengan langkah sederap jika tidak seiring, bersama golongan lebih mewah tidak akan menjadi kenyataan.

Bagi keluarga yang memiliki hanya sebuah kenderaan, dan kenderaan itu pula merupakan faktor penting dalam menjana ekonomi mereka, tentulah menjadi masalah besar apabila cukai jalan bagi kenderaan tua yang sudah puluhan tahun memberikan khidmat memuaskan itu, dan tidak pernah terlibat dengan kemalangan, tidak dapat diperbaharui hanya kerana sedikit masalah teknikal yang tidak memenuhi piawaian Puspakom.

Bagi keluarga yang berpendapatan sekadar di atas paras miskin tegar, kos tambahan menghantar kenderaan itu untuk pemeriksaan boleh menjerumuskan kembali mereka ke tahap kemiskinan itu, terutama bila piawaian tidak dipenuhi dengan sekali pemeriksaan.

Lebih parah lagi jika kenderaan itu tidak juga lulus setelah beberapa kali menjalani pemeriksaan, atas apa jua alasan. Mahu tidak mahu, terpaksalah kenderaan itu dibiarkan terbengkalai sehingga menjadi besi buruk.

Tiada lagi petani dan pengusaha IKS menghantar hasil tanaman dan produk segar mereka ke pasar. Pagi dingin tidak lagi menyaksikan surirumah bergegas dari sebuah restoran ke restoran lain membekalkan kuih-muih tradisional untuk sekadar membantu meningkatkan pendapatan keluarga.

Bilangan keluarga dalam negara yang mempunyai kenderaan persendirian semakin berkurangan. Hendak membeli kenderaan baru, tidak pula termampu.

Sungguh muram suasana seperti yang digambarkan itu, dan sungguh malang jika berlaku bagi sebuah negara yang sedang berusaha mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Mujur dan memang wajar kesediaan kerajaan untuk meneliti semula peraturan baru Dasar Automotif Nasional (NAP) itu, seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Alasan utama yang dikemukakan bagi mewajibkan kereta berusia lebih 15 tahun menjalani pemeriksaan tahunan Puspakom bahawa kereta berkenaan kurang selamat dan menjadi penyebab kemalangan tidak seiring dengan kempen keselamatan jalanraya yang selalu kita dengar, iaitu, sebahagian besar kemalangan jalanraya berlaku akibat memandu terlalu laju dan sikap pengguna jalanraya yang cuai.

Tidak pernah pula terdengar berita berlakunya kemalangan jalanraya akibat memandu sebuah kenderaan lama.

Monday, November 2, 2009

HALATUJU NEGARA vs KEHENDAK RAKYAT – Edisi Khas: Aliran Persekolahan

Ketika sedang dalam proses meneruskan kisah Bush dalam siri ini, terdengar pula berita tentang adanya cadangan mengubah sistem sekolah yang sedia ada kepada sistem sekolah satu aliran. Jika itu berlaku, pastinya ia menjurus kepada suatu perubahan besar bagi negara dengan membawa pelbagai kemungkinan yang sukar diduga.

Oleh kerana perkara ini berada dalam nic pembentukan sahsiah dan minda generasi akan datang, kesannya bagi negara akan kekal lama dan amat sukar untuk dipusing balik jika didapati kemudian bahawa kita telah membuat kesilapan.

Beberapa pihak berpendapat bahawa sistem persekolahan pelbagai aliran yang ada sekarang menghambat proses perpaduan dan menyukarkan pemahaman konsep 1Malaysia.

Sistem persekolahan satu aliran dalam konteks rakyat Malaysia yang berbilang kaum belum tentu lebih baik atau boleh mempercepat proses perpaduan. Yang pasti sistem itu akan melembabkan proses pengajaran dan pembelajaran di kalangan murid yang menggunakan bahasa di rumah berbeza dengan bahasa di sekolah.

Penggunaan pelbagai bahasa bukanlah penghambat perpaduan.

Dalam perjuangan mencapai kemerdekaan, komponen-komponen Parti Perikatan telah menggunakan bahasa berlainan untuk meyakinkan komuniti masing-masing akan pentingnya perpaduan kaum ke arah pencapaian kemerdekaan.

Rakyat cepat menerima konsep perpaduan kerana mesej disampaikan kepada mereka melalui bahasa yang mereka faham sepenuhnya. Maka bersatulah keturuna Melayu di bawah panji-panji UMNO, keturunan Cina di bawah panji-panji MCA, keturunan India di bawah panji-panji MIC, lalu berpadu di bawah lambang perahu layar.

Kesukaran mencapai perpaduan bukan disebabkan penggunaan pelbagai bahasa, tetapi kerana timbulnya kecurigaan antara satu sama lain yang diapi-apikan oleh golongan yang suka menangguk di air keruh.

Pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, seperti yang dipetik oleh New Straits Times, mengenai perkara ini, adalah (terjemahan) seperti berikut:

Kita bermula dengan suatu keadaan dimana kita berikan setiap komuniti rakyat Malaysia hak memilih jenis pendidikan yang mereka inginkan. Dari segi dasar, anjakan paradigma yang amat besar diperlukan jika kita mahu mengubahnya sekarang. Kita hanya akan mengubah dasar berlandaskan kehendak rakyat.”

Kenyataan perdana menteri itu menunjukkan frasa “Rakyat Didahulukan” bukanlah suatu retorik semata-mata. Bila dasar hanya diubah berlandaskan kehendak rakyat, benarlah rakyat didahulukan.

Dasar akan menentukan halatuju negara dan apabila dasar itu dilandaskan kepada kehendak rakyat, maka seiringlah HALATUJU NEGARA dengan KEHENDAK RAKYAT.