Thursday, November 11, 2010

Kunak Yang Harmoni Bhg 4: Asal Usul Nama Pengkalan, Mostyn dan Kunak

Sehingga tahun 1980an, jarang ditemui nama Kunak pada peta negeri Sabah. Sebaliknya, terpapar nama Mostyn pada lokasi Daerah Kunak pada peta.
Peta Awal North Borneo dilukis oleh W.M. Crocker
dan diajukan kepada Royal Geographical Society di London pada tahun 1881
Kawasan Teluk Lahad Datu (Darvel Bay) termasuk Daerah Kunak ditinjau untuk pemetaan oleh Arthur Mostyn Field (1855-1950) pada tahun 1891. Beliau adalah komander kapal HMS Egeria yang ditugaskan untuk melakukan pemetaan bagi British North Borneo antara tahun 1890 hingga 1894. Oleh kerana pada masa itu, kawasan Daerah Kunak belum lagi mempunyai nama, maka ia diberi nama sempena nama komander kapal tersebut.

Melihat kepada nama penuh komander HMS Egeria itu, didapati Mostyn adalah nama tengah atau nama keluarga dari sebelah ibu. Timbul tandatanya, kenapa kawasan tidak diberi nama Field, sempena nama keluarga sebelah bapa seperti lazimnya yang digunakan oleh orang-orang British?
H.M.S. Egeria

Pada pendapat saya, ini adalah disebabkan 'field' mempunyai banyak pengertian. Ia boleh bermaksud kebun, padang, bidang, dan sebagainya. Jadi, agak janggal bagi orang British pada masa itu bila hendak menyebut kawasan itu menggunakan nama 'Field'.

Bayangkan jika kawasan itu diberi nama Field dan orang British hendak memberitahu mengenai sumber hutan yang banyak di kawasan berkenaan, "Di Field terdapat banyak pokok kayu balak yang bermutu tinggi" mereka akan berkata, "There are many valuable timbers in Field". Yang mendengar akan bertanya, "Which field? (Kebun yang mana?)".

Maka yang demikian, Field membuat keputusan untuk menamakan kawasan di daerah ini sempena nama keluarga dari sebelah ibunya, iaitu Mostyn.


Aktiviti pembalakan di kawasan Mostyn telahpun rancak pada tahun 1950an. Kayu balak di hantar ke dermaga di Teluk Darvel seterusnya dipunggah oleh kapal besar untuk ekspot ke serata dunia. Masyarakat setempat menamakan tempat kapal menyandar sebagai pengkalan. Berikutan dengan istilah itu yang digunakan dalam komunikasi seharian yang merujuk kepada sebuah tempat di tepi pantai di daerah ini, maka terpatrilah nama Pengkalan untuk kawasan tersebut. 

Perkhidmatan perkapalan di daerah ini disediakan oleh Straits Steamship Company (SSC), sebuah syarikat perkapalan yang didaftarkan di Singapura pada 20 Januari 1890.


Poster


Sebelum Perang Dunia Kedua kapal-kapal milik SSC kecil sahaja iaitu pada berat sekitar 2,000 tan. Pada tahun 1960, SSC telah membeli dua buah kapal dengan berat sekitar 5,000 tan. Satu daripada kapal tersebut ialah Baud 3, yang dibeli dari syarikat perkapalan milik Belanda, Koninklijke Paketvaart Maatschappij (KPM). Kapal tersebut dibina oleh Wilton Fijenoord pada tahun 1949 dan setelah membelinya, SSC menukar nama kapal itu kepada Kunak.


Kapal Kunak
Kewujudan sebuah lagi pengkalan, iaitu di kawasan pesisir pantai Mukim Madai memerlukan istilah khusus bagi membezakan dua pengkalan tersebut. Kehadiran Kapal Kunak yang begitu besar di perairan daerah ini untuk mengangkut pelabagi hasil, terutama kayu balak, telah menjadi buah mulut penduduk setempat. Maka dalam perbualan seharian, untuk membezakan dua pengkalan yang terdapat di daerah ini, kawasan tempat Kapal Kunak berlabuh disebut Pengkalan Kunak dan yang satu lagi sebagai Pengkalan Madai.

Apabila kemerdekaan dicapai pada 16 September 1963, Pengkalan Kunak diletakkan di bawah urustadbir Daerah Lahad Datu. 

Pada Januari 1965 sebuah pejabat daerah kecil diwujudkan dan diberi nama Pejabat Daerah Kecil Kunak sempena nama Pengkalan Kunak. Penolong Pegawai Daerah yang pertama bertugas di Pejabat Daerah Kecil Kunak ialah Encik Thomas Koroh.

Pada 1 Julai 1981 Daerah Kecil Kunak dinaiktaraf menjadi sebuah daerah penuh dengan nama Daerah Kunak. Pegawai Daerah Kunak yang pertama ialah Encik Salleh Bin Ajak.

6 comments:

Kunakian said...

Catitan Arthur Mostyn Field hasil tinjauan pemetaan menggunakan HMS Egaria telah banyak membantu Malaysia dalm perbicaraan tuntutan Pulau Sipadan dan Ligitan.

darkis said...

Menarik... terima kasih infonya bro

Kunakian said...

You're welcome, darkis.
You juga, harap dapat sentiasa update "semuakunak", saya baca setiap entri terbaru.

Sapiah abdullah ong said...

Memang dipeta selalu nama Mostyn keluar tetapi secara lisan dan pengetahuan umum Kunak dulu dikenali sbg PANGKALAN , manakala MOSTYN umum semua kenal sbg ladang , syarikat milik penjajah British...... this is another view , not written but known by the older generation of Kunak ..

Sapiah abdullah ong said...

Nama MOSTYN saya pernah jumpa diLondon .... Mostyn Street , agak sempit,crowded dan ramai Asian membeli belah sekitar itu

Sapiah abdullah ong said...

Saya juga pernah jumpa peta lama yg meletakkan nama Pangkalan pd lokasi daerah Kunak