Thursday, May 17, 2012

Batas Pemisah Antara Muslim dan Kafir

Sikap mudah mengkafirkan sesama muslim banyak berjangkit di kalangan umat. Paling menonjol ialah kecenderungan untuk mengkafirkan negarawan muslim karena tidak menerapkan hukum Islam sepenuhnya.

Gejala "takfir" acapkali muncul apabila berlaku persaingan bagi meraih sokongan kaum muslimin dalam perebutan kuasa pemerintahan. Kadangkala keadaan menjadi keterlaluan sehinggakan tertanam suatu paradigma yang salah, bahwa siapa saja yang tidak berani turut mengkafirkan pemerintah atau seseorang tokoh muslim yang mereka telah "takfir" itu, maka orang itu dikatakan sebagai bersubahat atau pencacai, atau lebih teruk daripada itu, turut dikafirkan.

Bahkan fitnah ini turut dijadikan (oleh Jamaah Takfir dari berbagai macam jenisnya) sebagai media untuk memberontak terhadap pemerintah kaum muslimin dan sebagai landasan untuk mengadakan rusuhan dan kekacauan di negara-negara kaum muslimin.

Keadaan sedemikian tidak mendatangkan kebaikan melainkan kepada musuh-musuh Allah yang sememangnya tidak pernah jemu mencari cara untuk memecahbelahkan umat Islam agar mudah mereka takluki. 
 WALLAHUL MUSTA'AN.

Betapa ngerinya fitnah ini, padahal Rasulullah SAW telah memperingatkan dengan sabdanya yang marfumnya:

“Jika seorang lelaki berkata kepada kawannya: Wahai orang kafir, maka sungguh perkataan itu mengenai salah satu dari keduanya. Bila yang disebut kafir itu memang kafir maka jatuhlah hukuman kafir itu kepadanya, namun bila tidak, hukuman kafir itu kembali kepada yang mengatakannya.” (HR. Ahmad dari shahabat Abdullah bin ‘Umar , dishahihkan oleh Asy-Syaikh Ahmad Syakir dalam tahqiqnya terhadap Musnad Al-Imam Ahmad no. 2035, 5077, 5259, 5824).

Catitan sejarah menunjukkan bahawa fitnah kecenderungan mengkafirkan seorang muslim ini bermula dengan munculnya kelompok Khawarij. Mereka telah berani mengkafirkan Khalifah ‘Utsman bin ‘Affan RA dan orang-orang yang bersamanya, mengkafirkan orang-orang yang memerangi ‘Ali bin Abi Thalib dalam perang Jamal dan Shiffin, kemudian mengkafirkan semua yang terlibat dalam peristiwa Tahkim (termasuk di dalamnya ‘Ali bin Abi Thalib), dan akhirnya mengkafirkan siapa saja yang tidak sealiran faham dengan mereka.

Dengan hikmah Allah Taala dan kasih sayangNya kepada kita, Dia menjadikan batas pemisah di antara kufur dan Islam sebagai satu garis yang jelas dan tidak ada perselisihan di atasnya supaya kita tidak terjerumus di dalam konflik kafir-mengkafir yang melelahkan. 

Batas pemisah itu ialah "Dua Kalimah Syahadah"... 


sesiapa yang mengucapkannya maka adalah dia dikatakan sebagai seorang Muslim.

Friday, May 11, 2012

Ragam Manusia : Pemikiran Egosentrik

Seseorang dikatakan berfikiran egosentrik apabila dia terlalu banyak memusatkan fikiran dan perhatian terhadap dirinya, sehinggakan hampir-hampir cara itu seakan-akan suatu yang semulajadi baginya. Apapun permulaan keadaan atau perbincangan yang disertainya, selalu pada akhirnya dia akan kaitkan atau pusatkan pada dirinya.


Orang-rang dengan karakter bermasalah seperti itu selalu memikirkan akan perkara-perkara yang diinginkannya, kerana keinginannya itulah yang paling penting baginya. Sangat sukar bagi mereka untuk menimbang kemungkinan adanya keinginan dan keperluan orang lain, sebab bagi mereka kehendak dan keperluan orang lain tidaklah penting. Mereka terlalu memerlukan perhatian sehingga beranggapan bahawa orang lain sepatutnya peka dan memberi perhatian kepada kehendak dan minatnya.


Apabila seseorang yang berfikiran egosentrik berkehendak akan sesuatu, dia tidak peduli samada cara atau kehendaknya itu betul, baik dan sah di sisi undang-undang atau sebaliknya. Dia juga tidak peduli samada dalam usaha memenuhi keinginannya itu akan mendatangkan keburukan kepada orang lain - dia tidak peduli semua itu, yang penting baginya ialah memenui keinginannya. Oleh kerana terlalu lama memepertahankan sikap mementingkan diri serta memenuhi kehendaknya maka tertanam suatu pola pemikiran pada dirinya yang memateri sikap tidak peduli kepada hak, keperluan, keinginan dan harapan orang lain.

Sikap tidak peduli itu selanjutnya menanamkan sifat mengabaikan tanggungjawab sosial yang menyeluruh, malah langsung tidak mahu menerima sebarang tanggungjawab sedemikian.

Oleh kerana terlalu mementingkan diri sendiri, karakter egosentrik tidak akan pernah berpuas hati dengan apa yang orang lain telah lakukan untuknya, dan pada masa yang sama beranggapan bahawa dirinya sudah terlalu banyak berbuat sesuatu untuk orang lain. 

Karakter egosentrik banyak menuntut orang lain berbuat sesuatu, namun dia sedikitpun tidak punya kesedaran bahawa dia juga perlu menyumbang sesuatu kepada orang lain atau masyarakat. Pola pemikiran, sikap, dan sifat-sifat yang terbit daripadanya menyebabkan karakter egosentrik menjalani hidup dengan memusatkan perhatian pada dirinya.

Sunday, May 6, 2012

Keutamaan Menuntut Ilmu

Yang berikut adalah dipetik dari terjemahan kitab "Ihya Ulumiddin" karya Imam Al Ghazali. Ada dua sebab utama saya menulis petikan-petikan tersebut dalam blog ini:

(1) Sejak zaman persekolahan saya dapati adalah lebih mudah menelaah sesuatu ilmu itu apabila saya menulisnya semula. Bila sesuai, melukis rajah (misalnya untuk pelajaran anatomi), peta (misalnya untuk pelajaran geografi atau sejarah) dan sebagainya, boleh memudahkan pemahaman terhadap logika ilmu itu.

(2) Ada sahabat yang mahukan agar apa yg saya pelajari dari kitab tersebut dikongsikan. 

Gambar Hiasan: Pelajar-pelajar SMK Kunak Jaya meneruskan
pembelajaran di kantin sekolah sewaktu bangunan sekolah mereka
retak dan dianggap tidak selamat pada Julai 2009
Dalam Bab Kelebihan Ilmu, Al Ghazali RA merujuk kepada ayat-ayat suci Al Quran dan hadits yang menerangkan peri pentingnya menuntut ilmu bagi umat Islam. Hadits-hadits yang dipetik banyak menggambarkan terdapatnya kelebihan pada mukmin yang berilmu (ulama) berbanding 'abid, iaitu ahli ibadah, misalnya:

Nabi SAW bersabda marfumya, "Kelebihan orang berilmu dari orang 'abid (orang yang banyak ibadahnya) seperti kelebihanku dari orang yang paling rendah dari sahabatku" - Dirawikan At-Tirmidzi dari Abi Amamah dan katanya; hadist hasan shohih.

Disebutkan juga dalam bab ini tentang adanya kelebihan ulama ke atas syuhada, misalnya:

Berkata Al-Hasan RA, "Ditimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada', maka beratlah timbangan tinta para ulama itu dari (berbanding) darah para syuhada".

Berkata Ibnu Mas'ud RA, "Haruslah engkau berilmu sebelum ilmu itu diangkat. Diangkat ilmu adalah dengan kematian perwai-perawinya. Demi Tuhan yang jiwaku didalam kekuasaanNya, sesungguhnya orang-orang yang syahid di dalam lebih suka dibangkitkan oleh Allah nanti sebagai ulama, kerana melihat kemuliaan ulama itu. Sesungguhnya tak ada seorangpun yang dilahirkan berilmu, kerana ilmu itu adalah dengan belajar".

Dalam Bab Keutamaan Belajar, Al Ghazali RA juga merujuk kepada beberapa ayat-ayat suci Al Qur'an tanpa menghuraikannya lebih lanjut kerana sudah cukup jelas maksudnya, antaranya At-Taubah, ayat 122 dan An-Nahl, ayat 43.

Dinyatakan dalam bab ini akan berolehnya pahala bagi mukmin yang terlibat dalam majlis-majlis ilmu:

Bersabda Nabi SAW marfumnya, "Ilmu itu adalh gudang-gudang. Anak kuncinya ialah pertanyaan. Dari itu bertanyalah. Sesungguhnya diberi pahala pada bertanya itu empat orang, (iaitu) penanya, yang berilmu (yang ditanya), pendengar dan yang suka kepada mereka yang tiga tadi". - Dirawikan Abu Na'im dari Ali, hadits marfu'.

Berkata Imam Asy-Syafi'i RA, "Menuntut ilmu adalah lebih utama daripada berbuat ibadah sunnah".

Berkata Ibnu Abdil Hakam RA, "Adalah aku belajar ilmu pada Imam Malik, lalu masuk waktu Dzohor. Maka aku kumpulkan semua kitab untuk mengerjakan shalat. Maka berkata Imam Malik, 'Hai, tidaklah yang engkau bangun hendak mengerjakannya itu, lebih utama daripada apa yang ada engkau di dalamnya, apabila niat itu benar".

Tuesday, May 1, 2012

BERSIH 3.0 SENJATA MAKAN TUAN?

Pada mulanya para pendukung BERSIH 3.0 begitu bangga dan merasa besar diri apabila ramai yang keluar untuk menyertai perhimpunan tersebut pada Sabtu 28 April 2012. Namun apa yang berlaku dalam perhimpunan tersebut ternyata seakan bagai kata perumpamaan, "senjata makan tuan".

Ramai yang tertarik untuk menyertai perhimpunan tersebut semata-mata kerana yakin akan matlamat yang dilaung-laungkan, terutama mengenai isu ke arah "sistem pilihanraya yang lebih telus dan adil". Mereka juga tidak ragu-ragu untuk menyertai perhimpunan kerana penganjur mencanangkan bahawa ia akan di adakan secara aman, dengan slogan "Duduk Bantah".

Kekecewaan mula timbul di kalangan peserta apabila mereka sudah berada di tapak perhimpunan. Melihat kepada tingkahlaku liar dan kekasaran yang berlaku, mereka mula sedar bahawa matlamat sebenar perhimpunan bukanlah seperti yang tersurat, tetapi lebih kepada yang tersirat iaitu, "Usaha meraih simpati dan sokongan kepada parti pembangkang dan menimbulkan kebencian kepada kerajaan".



Matlamat untuk memburuk-burukkan imej pasukan keselamatan yang bertugas mengawal keselamatan orang ramai daripada diceroboh ternyata gagal. Provokasi yang dicetuskan dengan cara merobohkan benteng penghalang ternyata ditangani dengan bijak dan berhemah oleh pasukan keselamatan. Harapan penganjur untuk menyediakan insiden keganasan polis terhadap peserta perhimpunan sebagai bahan untuk direkam oleh para jurgambar, tidak menjadi. Sebaliknya, mereka terkapai mencari alasan untuk menafikan penglibatan mereka sebagai pencetus keganasan.

"Senjata makan tuan" apabila rekaman-rekaman video yang mereka harapkan berpihak kepada mereka ternyata muncul satu persatu menunjukkan belang mereka yang sebenar.

Video berikut menunjukkan bagaimana arahan itu disalurkan kepada orang yang mula-mula merempuh penghalang tersebut: 


"Senjata makan tuan" apabila kekecewaan seorang peserta perhimpunan juga dinyatakan secara terus dihadapan pengamal media kepada pemimpin tertinggi PKR dalam satu sidang media. Untuk menghalang peserta berkenaan dari terus mendedahkan taktik kotor yang berlaku dalam perhimpunan itu, beliau disuruh berhenti bercakap dan memberi laluan kepada pihak media.


"Senjata makan tuan" apabila harapan penganjur untuk mendapatkan simpati dari para pengamal media sebaliknya membuatkan mereka muak dengan sikap angkuh dan biadap sesetengah pemimpin perhimpunan. 


"Senjata makan tuan" apabila sikap angkuh dan kecenderungan sesetengah pendukung Bersih 3.0 pada laman-laman sesawang sosial menggunakan kata-kata kesat dalam pos dan komen-komen mereka juga telah menimbulkan kemarahan ramai pengguna lain. Akibatnya, pengguna-pengguna yang sebelum ini setakat memerhati akhirnya teruja juga untuk menyatakan pandangan mereka. Yang demikian telah meyebabkan kemerosotan penguasaan parti pembangkang ke atas laman-laman sesawang sosial terkemuka.