Tuesday, December 13, 2011

Jangan Perlekeh Orang Berpakaian Selekeh

Palang pintu jalan masuk ke ladang itu terbuka luas.Oleh yang demikian penunggang motorsikal itu terus sahaja masuk. Tiba-tiba dia terdengar suara orang berteriak,
"Hoiiiii!!! Tunggu!!! Mahu ke mana kamu?"

Lelaki yang menunggang motorsikal tua itupun berhenti. Ternyata teriakan itu datang dari dalam pondok pengawal pintu jalan masuk.

"Mari sini", kata pengawal itu dengan nada yang kasar. "Kenapa terus sahaja masuk?"
"Maaf Encik, palang pintu terbuka, jadi saya terus sahaja masuk", jawab penunggang motosikal itu. "Saya tidak perasan ada pengawal pintu dalam pondok ni".

"Kamu butakah!!!?", tengking pengawal itu. "Mahu ke mana?"

"Saya mahu ke pejabat ladang, Encik. Ada urusan sedikit".

"Urusan dengan siapa?"

"Dengan Penolong Pengurus ladang, Encik".

"Ha ha ha ! Siapa kamu, dengan pakaian selekeh macam ni mahu jumpa tuan?", kata pengawal itu mengejek. Ditelitinya pakaian lelaki penunggang motosikal itu yang berseluar jean lusuh, berbaju kemeja T, kasut kain ala Bruce Lee dengan helmet yang sudah pudar warnanya.

"Bukan siapa-siapa, Encik. Tapi, saya ada temujanji dengan Penolong Pengurus dan dia sedang menunggu saya", jawab lelaki itu.

"Cakap besar! Pergilah! Balik nanti, lapor diri sini!"

"Baiklah Encik".

Lelaki itupun meneruskan perjalanannya. Sang pengawal bersiul-siul gembira kerana telah mengenakan lelaki itu.

Lebihkurang setengah jam kemudian sebuah kenderaan pacuan-4-roda berhenti di depan pondok pengawal itu. Sang pengawal bergegas keluar menghampiri kenderaan itu, berdiri tegak lalu memberikan tabik hormat dengan lagak seperti seorang pegawai tentera. Dari kenderaan itu turunlah penolong pengurus ladang, kemudian diikuti oleh lelaki berpakain selekeh tadi.

"Tuan, ini Manjan Penolong Ketua Pengawal Keselamatan kita", kata Penolong Pengurus ladang kepada lelaki berpakaian selekeh itu.

"Apa khabar, Manjan?", sapa lelaki berpakain selekeh itu.

Manjan termangu tidak dapat berkata apa-apa. Dia bingung bercampur heran kenapa Penolong Pengurus memanggil lelaki berpakaian selekeh itu sebagai tuan.

"Kenapa kamu ni, Jan?" tanya Penolong Pengurus. "Inilah Pengurus Besar kita yang baru. Beliau tanya khabar tu".

"Beb...beb...baik tuan", jawab Manjan akhirnya dengan suara tergagap-gagap.

"Agaknya Manjan kurang sihat ni", kata lelaki berpakaian selekeh itu yang ternyata Pengurus Besar yang baru ditugaskan ke ladang itu.

"Mari kita teruskan melihat keadaan ladang pula", kata Pengurus Besar kepada Penolong Pengurus.

"Baik Tuan", jawab Penolong Pengurus sambil membuka pintu kenderaan untuk lelaki berpakaian selekeh itu kemudian dia naik ke bahagian pemandu dan menghidupkan enjin kenderaan.

Manjan masih lagi berdiri tegak dengan tabik hormatnya.

"Jan", kata lelaki berpakaian selekeh itu dengan senyum kepada Manjan. "Tutup palang pintu masuk tu supaya orang tidak terus masuk tanpa melapor diri kepada pengawal".

(Diolah dari kisah benar)

Kisah Sedih Yang Menyakitkan

Pandai sungguh penceramah itu menyampaikan kisah tentang pengorbanan seorang ibu untuk anak-anaknya. Ramai yang meneteskan airmata.

Setelah ceramah itu selesai para hadirin perlahan-lahan berdiri dan meninggalkan kerusi masing-masing. 

Aku menyusul mereka melalui celah-celah barisan susunan kerusi plastik. Sejenak langkahku terhenti melihat seorang lelaki masih duduk tertunduk di kerusinya. Dalam fikiranku barangkali dia terlelap maka akupun menghampirinya untuk mengejutkannya dari tidurnya itu. Tatkala aku berada didepannya terdengar olehku tangisannya yang terisak-isak. Agaknya tersentuh betul hatinya dengan kisah pilu dalam ceramah tadi.

"Sudahlah tu saudara", tegurku cuba memujuk. "Kisah tu memang menyayat hati tapi ceramahpun dah habis, mari kita pulang".

Tangisannya semakin kuat pula dan di antara rintihannya itu dia menjawab, "Aku menangis bukan sebab ceramah tu".

"Habis tu, pasal apa pula?", tanyaku.

"Pasal inilah, adoiiii!", jawabnya sambil menunjuk ke arah di bawah gulungan kain pelikat yang dipakainya.

"Hmmm...apasal? Boleh saya tengok?"

"Dah begini keadaan, tengok jaklah!!!! Adoiiiii"

Akupun tunduk untuk memeriksa apa sebenarnya yang terjadi. Maka terpandanglah aku masalah sebenar yang membuatkan dia menangis terisak-isak.

Kerusi plastik yang didudukinya itu telah retak. Dia duduk bersilang kaki dengan memakai kain pelikat tipis, maka kulit buahnya (dengan maaf) terjulur ke celah-celah retakan kerusi tersebut, lalu tersepit.

"Patutpun saudara", kataku bersimpati namun nak mampus menahan gelak. "Nanti bila aku tekan kerusi ni, kau berdiri arrr?"

"Okey, okey, kau kira ya, adedeyyy!!!"

"Okeyyyyy! Satu...dua...tigaaaaa!"

Diapun berdiri pantas, maka terlepaslah dia dari cengkaman kerusi plastik itu.

Teladan:
(1) Jangan duduk atas kerusi plastik yang telah retak.
(2) Kalau ke majlis ceramah memakai kain pelikat yang tipis, gunalah juga seluar pendek yang tebal didalamnya, khuatir terjulur...