Monday, November 29, 2010

Tukar Kawasan Tanah Kerajaan Dengan BAL Plantations Perlu Siasatan

Ketika membahaskan Bajet Negeri Sabah 2011 di Persidangan DUN Sabah pada 19 hingga 25 November, ADUN Kunak Datuk Nilwan Kabang telah meminta pihak Kerajaan Negeri Sabah menyelidik maklumat mengenai terdapatnya perjanjian pertukaran tanah (land swap) antara pihak BAL Plantations dengan pihak kerajaan. 

Menurut Datuk Nilwan maklumat tersebut diperoleh oleh seorang mantan pegawai eksekutif BAL Plantations yang menyaksikan sendiri perjanjian tersebut. Di dalam perjanjian itu seluas seluas 5,000 ekar kawasan tanah kerajaan di Tingkayu diberikan kepada BAL Plantations sebagai tukar ganti bagi 500 ekar kawasan tanaman kelapa sawit yang terletak di kedua belah jalan dari Simpang Empat hingga ke Pekan Kunak.

"Saya dengan ini mencadangkan agar perkara ini diberi perhatian serius dan diselidik oleh pihak kerajaan, khususnya Jabatan Tanah dan Ukur. Itu adalah hak rakyat yang kita semua telah diamanahkan untuk mempertahankannya", jelas Datuk Nilwan.

Respon yang diperoleh melalui ucapan penggulungan perbahasan pada 25 November, oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Musa Haji Aman sebagaimana yang dilaporkan oleh Daily Express adalah seperti berikut:



"Merujuk kepada soalan oleh ADUN Kunak mengenai pertukaran tanah antara Kerajaan Negeri dengan BAL Estate yang melibatkan 5,000 ekar tanah kerajaan ditukar ganti dengan 500 ekar kawasan tanah BAL Estate dari Simpang 4 ke Pekan Kunak, beliau (Ketua Menteri) berkata bahawa Jabatan Tanah dan ukur akan cuba menyiasat perjanjian pertukaran tanah tersebut.

Namun, tidak terdapat data yang boleh menyokong dan membuktikan pertukaran tanah berkenaan, dan dengan yang demikian pihak Jabatan (Tanah & Ukur) bersedia memberikan kerjasama dalam penyiasatan jika ADUN Kunak mempunyai maklumat terperinci mengenainya".

Datuk Nilwan mengemukakan perkara ini di persidangan tersebut memandangkan keadaan Pekan Kunak yang terhimpit dari segi kawasan dan tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk pembinaan infrastruktur asas, perumahan, premis perniagaan, bangunan pentadbiran dan sebagainya.

"Demikian terhimpitnya Pekan Kunak, iaitu pusat pentadbiran daerah ini, sehingga ladang kelapa sawit milik syarikat perladangan besar benar-benar berada di hadapan Pejabat Daerah Kunak itu sendiri", tegas Datuk Nilwan.

Persoalannya ialah: 

1. Benarkah telah berlaku perjanjian tukar tanah sedemikian? Jika benar, adakah perjanjian dibuat secara lisan atau secara bertulis?

2. Jika perjanjian dilakukan secara bertulis, di manakah letaknya dokumen-dokumen berkenaan? Biasanya dalam sesuatu perjanjian bertulis, tiga pihak akan mempunyai salinan dokumen berkenaan, iaitu dua pihak yang membuat perjanjian dan pihak ketiga ialah saksi.

3. Jika perjanjian dilakukan secara lisan, bolehkah kenyataan pihak-pihak yang terlibat digunapakai? Jika boleh, siapa dan di manakah antara pihak-pihak tersebut?

4. Jika tidak ada perjanjian sedemikian, kenapa mantan pegawai BAL berkenaan menyebut mengenainya? Jika diteliti, mantan pegawai berkenaan tidak mendapat apa-apa manfaat peribadi dalam soal ini.

5. Jika tidak ada perjanjian sedemikian, atas dasar apakah kawasan tanah seluas 5000 ekar di Tingkayu itu diluluskan kepada syarikat tersebut, sebuah syarikat milik warga asing? Kawasan 5000 ekar itu sudahpun berpuluh tahun mengeluarkan hasil buah kelapa sawit, malah ada yang sudah ditanam semula.

Nampaknya perkara ini perlu disiasat oleh individu atau organisasi profesional dalam bidang seumpama ini dan kos upahnya tentu cukup besar, sesuai dengan nilai perkara yang disiasat. Siapa pula yang bertanggungjawab menanggung kos tersebut? 

Memetik ucapan ADUN Kunak, "Ini adalah hak rakyat yang kita  semua (wakil rakyat dan kerajaan) telah diamanahkan untuk mempertahankannya".

1 comment:

kunakpress.blogspot said...

post menarik, lanjutan di Kunak Press