Sunday, October 16, 2011

Kampung Sri Bahagia Kunak

Kampung Sri Bahagia Kunak dulu dikenali sebagai Kampung Ko-operatif. Nama awal tersebut kerana kampung ini diwujudkan oleh peneroka-peneroka koperasi pekebun kecil.


Aktiviti utama penduduk kampung ialah perladangan kelapa sawit. Meskipun demikian anak-anak peneroka asal telah ramai yang bekerja dengan kerajaan juga dengan syarikat-syarikat swasta. Tidak kurang pula yang telah meninggalkan kampung halaman mereka dan mengusahakan perniagaan sendiri.


Keunikan Kg Sri Bahagia ialah ia dikelilingi oleh ladang kelapa sawit milik sebuah syarikat perladangan, iaitu Ladang Mostyn. Oleh yang demikian untuk sampai ke kampung ini, pengunjung kenalah melalui pintu masuk ke ladang tersebut. 

Di kampung ini terdapat suatu kawasan yang cukup menarik, iaitu air terjun tiga tingkat. Kawasan ini sudahpun menjadi kawasan tempat berkelah dan mandi-manda penduduk kampung juga penduduk dari perumahan Ladang Mostyn.


Jarak perjalanan melalui jalan gravel dari Kg Sri Bahagia ke air terjun tersebut ialah 2 kilometer. Semasa lawatan kami petang tadi, kenderaan pacuan empat roda kami tidak dapat sampai ke lokasi. Kami terpaksa meninggalkan kenderaan tersebut di suatu kawasan dan berjalan kaki sejauh kira-kira 400 meter sebelum sampai ke lokasi.



Kolam paling bawah ini cetek dan sesuai untuk
golongan kanak-kanak
Kolam tengah - tak cukup dalam



Kolam atas. Kedalaman melebihi 6 kaki


Di kawasan itu terdapat 3 buah kolam semulajadi. Kolam paling atas adalah yang paling dalam dan boleh menenggelamkan orang dewasa. Kolam tengah sederhana dalamnya dan kolam yang paling bawah adalah yang paling cetek.



Kalau hendak berkunjung ke kawasan air terjun ini lapor diri dulu kepada Pengerusi JKKK atau mana-mana AJK JKKK Kg Sri Bahagia. Bukan apa...jangan sampai anda dicurigai sebagai pencuri buah kelapa sawit. Lagipun, takut ada apa-apa terjadi senanglah dorang bagi bantuan yang sewajarnya.

Di bawah ini ialah plan bagaimana hendak ke kampung tersebut dan juga ke kawasan air terjun yang sempat saya lakarkan. Terowong Kartz Gunung Merapi Mostynpun tidak jauh dari Kg Sri Bahagia.