Saturday, May 30, 2009

MENYINGKAP SEJARAH DAERAH KUNAK - BAHAGIAN 3



Menyambung kembali kisah ini yang berlaku kira-kira 16,000 tahun sebelum Masehi ketika Tasik Tingkayu mula mengering. Orang Purba Tingkayu meninggalkannya dan bertaburan ke seluruh pelusuk Asia Tenggara. 

Ketika itu paras air laut jauh lebih rendah iaitu antara 300 hingga 400 kaki ke bawah berbanding paras air laut hari ini. Kumpulan yang berhijrah ke arah selatan melalui kawasan balikpapan akan sampai ke suatu pesisiran pantai dimana dataran tinggi Mamuju di Sulawesi dapat dilihat dari kejauhan. 






Laut yang memisahkan mereka dari daratan yang dari kejauhan itu tampak sungguh subur lagi menghijau cuma beberapa kilometer sahaja. Dengan naluri kembara dan sifat ingin tahu yang sedia ada pada makhluk Allah ini, ada yang mengambil keputusan untuk menyeberang laut menuju ke Sulawesi. Dari peristiwa ini, tidak hairanlah jika orang Sulawesi kemudian muncul sebagai antara pelayar terkemuka.


Menyeberang laut menuju Mamuju di Sulawesi
Kembali ke Gua Baturong di Kunak, puak yang tinggal meneruskan kehidupan sama seperti keadaan ketika di Tingkayu. Namun begitu, mereka tidak menetap lama di sana. Sekitar 10,000 tahun SM penempatan di Baturong juga ditinggalkan. Pada waktu itu merupakan penghujung zaman ais
Blok-blok ais raksaksa yang meliputi sebahagian besar benua Eropah dan Asia mula cair menjadi air lalu mengalir ke laut. Paras air laut meningkat dan memisahkan Borneo dari tanah besar Asia, Palawan, Sumatera dan Pulau Jawa. Pantai Borneo yang ada pada masa kini terbentuk pada waktu itu. Persekitaran pesisir menyusup menghampiri kawasan Madai-Baturong. 

Sumber laut kini boleh dicapai dari Madai melalui perjalanan yang tidak begitu jauh, bak kata kiasan orang dahulukala, hanya sepenanak nasi berbanding dengan kedudukan Baturong yang mengambil masa perjalanan sehari atau dua. Mungkin inilah sebab utamanya mengapa Baturong ditinggalkan. Mereka berpindah ke Madai untuk lebih hampir dengan sumber makanan baru dari hasil laut. 
Dua buah gua besar di Madai iaitu,  Agop Atas dan Agop Sarapad telah mereka jadikan sebagai tempat tinggal. Kajian arkeologi menunjukkan bahawa kedua-dua gua tersebut telah dihuni ramai pada zaman awal Holocene iaitu antara 10,000 tahun hingga 5,000 tahun SM. 

Friday, May 29, 2009

MENGENALI DAN MENANGANI INFLUENZA A(H1N1)

Sehingga pukul 2.00 petang pada 29 Mei 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan 55 negara telah melaporkan sejumlah 15,510 kes Influenza A (H1N1) dengan 99 kes kematian. Antara negara yang melaporkan kes tertinggi ialah Amerika Syarikat 7927 kes dengan 11 kematian, Mexico 4910 kes dengan 85 kematian dan Kanada 1,118 kes dengan 2 kematian. Malaysia melaporkan 2 kes.

Kami memuatkan dalam pos ini maklumat-maklumat yang kami kumpul dari beberapa sumber, mudah-mudahan bermanfaat bagi para pembaca “kunakians” yang budiman .

Apakah H1N1?

H1N1 ialah sejenis virus influenza yang menyebabkan penyakit kepada manusia. Ia mula dikesan di Amerika Syarikat pada April 2009.  Dipercayai, virus ini berjangkit dari seseorang kepada orang lain dengan cara yang sama seperti influenza bermusim.

Apabila seseorang yang dijangkiti virus H1N1 batuk atau bersin, ia mengeluarkan tempias liur atau hingus yang menandungi virus yang kemudian melekat ke tangannya, jatuh pada sesuatu permukaan atau tersebar di udara. Orang lain yang menyedut udara itu, atau tersentuh tangan atau permukaan yang terdapat virus itu akan terdedah kepada jangkitan.

Tanda-tanda awal jangkitan influenza A(H1N1) ialah pesakit mengalami demam, batuk, sakit kepala, sakit otot dan sendi, gatal tekak, berhingus, dan kadangkala muntah atau cirit-birit.

Penyebaran influenza A(H1N1) dikatakan sebagai pandemik iaitu ia merebak ke  seluruh dunia. Ini disebabkan kerana puncanya merupakan jenis virus yang baru dimana umat manusia belum memiliki kelalian atau dayatahan atau keimunan (immunity) terhadapnya. Penyakit berjangkit yang epidemik pula ialah yang sudah biasa berlaku dan boleh dikawal menggunakan vaksin.

Pencegahan dan Tindakan Perlu Jika Timbul Tanda-Tanda Penyakit

Pada masa kini belum ditemui vaksin yang boleh digunakan untuk melindungi manusia daripada serangan virus H1N1. Virus ini menyerang sistem pernafasan dan pencegahan boleh dilakukan dengan melaksanakan beberapa amalan harian seperti berikut:

·         Tutup mulut dan hidung dengan tisu kertas ketika batuk atau bersin. Buang tisu tersebut ke dalam tong sampah yang bertutup.

·         Kerap membasuh tangan dengan air dan sabun terutama selepas batuk atau bersin.

·        Elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut anda terutama jika anda syak yang tangan anda itu kurang bersih. Kuman mudah masuk ke tubuh badan dengan cara demikian.

·         Cuba elakkan daripada bersentuhan dengan orang yang sakit.

Apa harus dilakukan oleh seseorang yang mengalami tanda-tanda serangan H1N1?

Jika anda tinggal di kawasan dimana ada orang telah dikenalpasti dijangkiti penyakit ini dan anda mengalami tanda-tanda seperti yang disebutkan di atas, jangan keluar dari rumah melainkan untuk tujuan mendapatkan rawatan dan elakkan bersentuhan dengan orang lain. Jika tanda-tanda penyakit itu semakin ketara dapatkan rawatan dengan segera. Doktor anda akan menentukan samada anda perlu atau tidak melalui ujian flu atau rawatan.

Jika anda sakit dan mengalami tanda-tanda amaran berikut, dapatkan rawatan kecemasan.

Bagi kanak-kanak, tanda-tanda amaran yang memerlukan rawatan segera termasuk:

·         Sesak nafas

·         Kulit berwarna kebiru-biruan atau kelabu

·         Tidak mahu minum

·         Banyak atau kerap muntah

·         Tidak mahu bangun atau tidak mahu bermain

·         Mudah merajuk sehingga tidak mahu dipegang

·        Tanda-tanda seperti selsema reda tapi kemudian kembali demam dan batuk yang lebih teruk.

Bagi orang dewasa, tanda-tanda tanda-tanda amaran yang memerlukan rawatan segera termasuk:

·         Semput atau sesak nafas

·         Sakit pada dada atau kejang pada perut

·         Tiba-tiba pening

·         Kebingungan

·         Banyak atau kerap muntah

·        Tanda-tanda seperti selsema reda tapi kemudian kembali demam dan batuk yang lebih teruk.

Sunday, May 24, 2009

PRODUK DAERAH KUNAK - KEREPEK UBI BESAR

Jika anda seorang pelancong atau pengembara yang balik melalui jalan darat dari pulau pelancongan yang terkenal di Sabah iaitu Pulau Sipadan di Semporna ke Kota Kinabalu, anda akan melalui pekan Kunak, sebuah pekan kecil yang terletak di kawasan pantai paling ke dalam Teluk Lahad Datu (Darvel Bay). Sejurus selepas melalui bulatan jalan utama Kunak, anda akan dapat melihat sederet gerai papan di sebelah kiri bahu jalan. Barangan yang di jual di gerai ini kebanyakannya merupakan makanan ringan hasil tempatan serta minuman dalam botol atau tin, termasuklah tentunya Coca Cola dan Pepsi. Jika anda merupakan penumpang bas ekspres (seperti Dyana, Sairah, Pelangi, Ali Topan dsb.) anda mempunyai peluang untuk singgah di kawasan gerai ini kerana para pemandu dan kelendan bas-bas berkenaan merupakan pelanggan tetap gerai-gerai tersebut.

Antara barangan jualan di gerai ini yang paling laris di kalangan pelancung dan pengembara ialah Kerepek Ubi, yang bahan utamanya ialah ubi kayu (Manihot esculenta). Ia sering juga disebut sebagai Kerepek Besar atau Kerepek Lebar berdasarkan saiznya yang besar, iaitu berukuran 10 inci lebar dan 15 inci panjang berbanding kerepek biasa yang berukuran lebihkurang satu inci persegi. Sebungkus kerepek ubi yang mengandungi 3 keping kerepek lebar biasanya dijual pada harga RM 2.00 di gerai ini.

Pengguna yang menjaga kesihatan lebih mengutamakan Kerepek Ubi buatan Kunak kerana produk ini tidak mengandungi bahan pengawet. Bahan-bahan yang digunakan adalah ringkas iaitu ubi parut segar, tepung kanji, gula pasir dan minyak masak (untuk menggoreng).

Penghasilan: Carta aliran di bawah ini menunjukkan langkah-langkah pembuatan Kerepek Ubi Kunak.

Monday, May 18, 2009

MENYINGKAP SEJARAH DAERAH KUNAK - BHG II



Untuk beberapa ribu tahun lamanya Orang Purba Tingkayu hidup makmur di sekitar Tasik Tingkayu. Mudah bagi mereka untuk mendapatkan keperluan harian termasuklah bekalan air, ikan dan lain-lain tangkapan dari tasik, haiwan buruan, ulam serta buah-buahan dari tanah subur yang berhampiran. Namun begitu, di alam fana ini tiada yang kekal kerana Yang Baqa jua SATU-SATUNYA Yang Abadi. Demikan pula, keramahan Tasik Tingkayu sirna jua akhirnya. 
Di bahagian barat-laut, batulahar Gunung Merapi Mostyn yang telah menembok Sungai Tingkayu terus terhakis menyebabkan paras air semakin turun. Setelah berabad lama air tasik semakin berkurang dan semakin keruh. Ia tidak lagi memenuhi keperluan Orang Purba Tingkayu. Hasil tangkapan dari tasik turut terjejas manakala haiwan tidak lagi banyak yang datang ke tepi tasik untuk minum kerana tebing sudah meninggi. 
Satu demi satu perkara yang telah menyumbang kepada kemakmuran Orang Purba hanyut bersama aliran air yang semakin deras keluar dari tasik. Akhirnya pada sekitar 16,000 SM tasik itu telah kering dan penduduknya terpaksa meninggalkannya untuk mencari kawasan yang lebih baik.

Tidak diketahui pasti kemana mereka telah pergi. Di sebelah barat daya lebihkurang 8 kilometer dari tapak Orang Purba Tingkayu, terdapat deretan gua batu kapur yang kini dikenali sebagi Gua Baturong. Menurut Bellwood, "ketika tasik dipenuhi air, deretan Baturong tegak sebagai sebuah pulau batukapur dan gua yang terdapat di kaki bukit di cerunan pada bahagian selatan telah tenggelam." Setelah tasik menjadi kering, gua telah terdedah dan boleh didiami. 
Sekumpulan dari kalangan Orang Purba Tingkayu, kemungkinan besar yang terakhir meninggalkan Tingkayu, agaknya telah berpindak ke kawasan ini dimana peralatan batu telah ditemui. Peralatan tersebut dianggarkan berusia antara 17,000 hingga 12,000 tahun iaitu sesuai dengan masa Tasik Tingkayu menjadi kering lalu ditinggalkan oleh penduduknya.
Beberapa Kelompok Orang Purba Tingkayu telah berpindah lebih awal sebelum tasik menjadi kering sepenuhnya. Mereka boleh jadi telah mengembara melalui perhubungan darat yang masih wujud ketika itu ke lain-lain bahagian Asia Tenggara serta kawasan Pasifik. Kemungkinan besar ada yang menuju ke Tabon, suatu tempat di Pulau Palawan, Filipina. 
Gugusan Gua Tabon adalah di bahagian pantai barat Palawan. Ia merupakan tanah tinggi batukapur yang dapat dilihat dari jauh dari semu arah. Di situ terdapat tidak kurang 200 gua. Ahli-ahli kajipurba telah menemui peralatan batu purba yang seiras dengan peralatan batu yang ditemui di Tingkayu, hanya usia peralatan di Tabon cuma antara 20,000 hingga 17,000 tahun berbanding peralatan Tingkayu yang berusia 30,000 tahun. Mungkinkah usia peralatan batu Tabon yang sezaman dengan masa Orang Purba Tingkayu meninggalkan Tingkayu hanya kebetulan. Wallahu A'lam.
Klik disini untuk klip video Sketsa Pembentukan Tasik Tingkayu.

Wednesday, May 13, 2009

PERKAMPUNGAN BARU DI DAERAH KUNAK

Kunak, 12 Mei 2009. Sebuah kampong baru akan diwujudkan di Daerah Kunak berhampiran dengan Kampong Kunak Tiga. Perkara ini dinyatakan oleh Yang Berhormat Encik Nilwan Kabang dalam satu majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampong Kunak Tiga pagi tadi. Penubuhan kampong baru itu merupakan sebahagian dari langkah-langkah dalam usaha menjadikan Daerah Kunak sebagai daerah setinggan sifar. Ia juga bertujuan untuk menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa dan tersusun. Adalah sukar bagi kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk terutama infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asas sekiranya rumah-rumah di kampong itu tidak tersusun.

                Menurut Nilwan, pihaknya sedang dalam proses menyediakan permohonan kepada kerajaan bagi mendapatkan kelulusan dan peruntukan untuk membangun kawasan berkenaan menjadi sebuah perkampungan yang tersusun serta lengkap dengan kemudahan asas. Selepas sesi dialog bersama penduduk kampong, Nilwan dan beberapa orang pegawai kerajaan serta penduduk kampong Kunak Tiga melawat kawasan yang dicadangkan.

                Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dianjurkan bersama oleh Jabatan Penerangan Daerah Kunak dan Unit Pemimpin Kemajuan Masyarakat N51 Kunak. Pembukaan majlis telah diserikan dengan tarian tradisional oleh penari-penari dari Kampung Kunak Tiga. Klik di sini untuk menyaksikan persembahan tarian berkenaan.

Sunday, May 10, 2009

MENYINGKAP SEJARAH DAERAH KUNAK - BAHAGIAN 1

Kunak - Tapak Kegiatan Manusia Pertama di Borneo


Kunak, sebuah pekan kecil yang terletak di pantai timur Sabah seringkali diketepikan sehingga para pencetak peta negeri Sabah sekalipun jarang yang menunjukkan kedudukan pecan ini. Malang sekali bagi kawasan yang telah dibuktikan oleh ahli-ahli arkeologi ini sebagai daerah tapak kegiatan manusia purba sejak 30,000 tahun sebelum masehi. Dalam suatu tulisan pada buku, South East Asia: From Prehistory to History oleh Glover & Bellwood (2004), telah dinyatakan tentang “sebuah industri peralatan zaman batu wujud di kawan Tingkayu pada Zaman Pleistocene (Zaman Ais Batu)”.


Daerah Kunak meliputi kawasan seluas 1144 batu persegi dan terdiri daripada dua mukim Mukim Madai dam Mukim Pangi. Daerah ini terletak pada kedudukan global  4o 40’ 60 N; 118o 15’ 0 E.Kawasan di bahagian timur Sabah ini telah timbul dari permukaan laut pada zaman Cretaceous (Zaman Batu Kapur - 140 juta hingga 65 juta tahun yang lalu) sedangkan Norneo pada keseluruhannya timbul hanya 15 juta tahun yang lalu. Oleh kerana itulah gumpalan-gumpalan batu kapur yang besar kebanyakkannya terdapat di pantai timur Sabah. Satu daripada bentukan seumpamanya ialah Gua Madai di Daerah Kunak.


Pada zaman Pleistocene lebihkurang 2.5 juta tahun dahulu, Borneo, Jawa, Sumatra, Sulawesi dan Semenanjung Malaysia dan beberapa pulau kecil yang lain adalah bercantum sebagai satu benua yang dikenali sebagai Tanah Sunda (Sundaland). Pada waktu-waktu tertentu di zaman itu, paras laut amat rendah sehingga memungkikan seseorang itu mengembara dari Kunak ke Ireland tanpa merentas lautan. Laluan darat zaman purba ini telah memperkaya flora dan fauna di Borneo. Setelah paras air laut meninggi kembali, Tanah Sunda telah terpisah oleh lautan dan Pulau Borneo berkembang mengikut peredaran masa secara berasingan.

Pada zaman Miocene, 10 hingga 15 juta tahun dahulu, gumpalan besar lahar batu-batan menyongsong dari dasar mendapan laut lalu membentuk Banjaran Crocker. Gunung Kinabalu (4010 m) terbentuk sekitar sejuta tahun yang lalu apabila lahar batu-batan menyejuk dan menjadi keras lantas menongkat ke atas dari lapisan bawah permukaan bumi. Pesisiran pantai Borneo yang ada pada hari ini wujud sekitar 10,000 tahun dahulu tatkala blok-blok ais raksaksa cair dan meyebabkan permukaan laut meningkat.
Sementara itu, di pantai timur Sabah di Daerah Kunak, Gunung Merapi Mostyn meletup sekitar 30,000 tahun dahulu. Aliran laharnya telah menimbus sebahgian dari Sungai Tingkayu lalu membentuk sebuah tasek.  

Masa berlalu, lahar menyejuk. Tebing tasik dan sekitarnya telah menjadi amat subur dan dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok dan tumbuhan tropika. Ini diikuti pula dengan kedatangan haiwan  yang tiba berbondong-bondong untuk meragut pucuk dedaunan nan rimbun dan menghilangkan dahaga dengan air tasek yang bening. Kawasan ini telah menjadi kawasan berburu yang amat baik.
Sekumpulan manusia yang telah beberapa generasi mengembara merentas benua tiba di kawasan ini. Di sekitar mereka melihat deretan gua batu kapur. Dalam keadaan yang begitu letih dan lapar, mereka masuk ke dalam gua dan menjadikannya sebagai tempat tinggal. Tidak berapa lama kemudian, kaum wanita dan kanak-kanak dari kalangan mereka keluar mengutip buah-buahan dan pucuk untuk dijadikan makan tengahhari. 
Dengan tumbuhan rimbun yang menghijau tentunya tidaklah lama bagi mereka untuk kembali dengan kantong-kantong kulit haiwan yang penuh berisi.
Sementara itu, kaum lelaki membina unggun api kemudian mengutip kepingan-kepingan batu lalu diketuk dan diasa. Mereka mula membuat peralatan untuk memburu.
Dari manakah datangnya Orang Tingkayu ini?
Penduduk Kunak Yang Pertama
Teori arkeologi yang diterima umum dewasa ini menyatakan bahawa manusia mula menjejakkan kaki di muka bumi di kawasan Afrika Selatan lebihkurang 100,000 tahun dahulu. Walau bagaimanapun, Gurun Sahara yang begitu luas telah menghalang mereka untuk merebak keluar dari kawasan itu selama 60,000 tahun. 

Berkali-kali telah mereka cuba untuk melintasi hamparan luas tanah gersang itu, namun setiap kali terik mentari membakar mereka dan lapar dahaga mencengkam maka terpaksalah mereka undur kembali. Meskipun begitu, hari berganti tahun berlalu, bilangan mereka semakin ramai menyebabkan sumber asli terutama makanan dari kawasan itu tidak lagi dapat menampung keperluan asas. Mereka tiada lagi pilihan melainkan mencari sumber di lain tempat. 
Meski merasa gentar akan perkara-perkara yang ghaib yang perlu mereka hadapi, namun dengan cengkaman keperluan hidup yang begitu mendesak mereka memberanikan diri dan bertolak mengharungi perit padang pasir Sahara. Tentu ramai yang telah tersungkur dalam perjalanan maung itu.
 Akhirnya, pada tahun 40,000 SM dan setelah terbatas di Afrika Selatan selama 60,000 tahun sekumpulan moyang manusia yang terselamat dari kembara merentas Sahara telah tiba di kawasan  Mediterranean. Di sana mereka berpecah pula. Satu kelompok mengambil keputusan untuk menetap di Mediterranean, satu lagi meneruskan perjalanan ke utara menuju benua Eropah, kelompok lain menuju Asia Tengah terus ke benua Amerika manakala satu lagi kelompok mengambil arah ke selatan merentas kawasan Afghanistan, Mongolia, China, Asia Tenggara dan akhirnya ke Kepulauan Pasifik.
Dari perbandingan masa berlakunya peristiwa perjalanan umat manusia zaman purba ini, iaitu 40,000 tahun dahulu dan penemuan arkeologi yang menunjukkan bahawa kawasan Tingkayu telah didiami manusia 30,000 tahun dahulu, adalah amat wajar untuk mengandaikan bahawa Orang Tingkayu adalah keturunan dari kelompok yang meneruskan perjalanan kearah selatan dari kawasan Mediterranean. 
Di sepanjang perjalanan, bilangan mereka telah berganda, berpecah dan mengambil haluan yang berlainan. Sepuluh ribu tahun kemudian satu kelompok telah melalui penghubung darat Tanah Sunda (yang kini telah ditutupi oleh laut) dan akhirnya tiba di Tingkayu di Daerah Kunak.

Menurut Bellwood (Archaeological Research in the Madai-Baturong Region Sabah, Bulletin of the Indo-Pacific Prehistory Association Vol 5 (1984)), tasik prasejarah Tasik Tingkayu dianggarkan meliputi kawasan sehingga 100 kilometer persegi. Industri peralatan zaman batu Tingkayu didapati mempunyai tahap kemahiran yang tinggi dan unik jika dibandingkan dengan tahap kemahiran yang terdapat di Asia Tenggara pada zaman itu.

 Peralatan yang ditemui di kawasan itu kebanyakannya diperbuat dari batukaca yang diambil dari kawasan setempat dan ada juga dari batukaca berwarna perang yang diambil dari sungai. Beberapa bilah mata lembing batu dan lain-lain perlatan telah ditemui bersama dengan serpihan-serpihan pembuatan. Mata lembing yang ditemui mempunyai bilah yang amat tajam menunjukkan yang ia bukan sahaja diguna untuk menusuk tetapi juga sebagai pisau.

 Tapak “kilang” peralatan batu Tingkayu dianggarkan seluas 800 meter persegi.
Kenapakah Orang Tingkayu menghasilkan begitu banyak peralatan zaman batu? Satu kemungkinan ialah perlatan itu telah diperniagakan, iaitu ditukar dengan benda-benda lain. Jika hal ini yang berlaku, timbul pula persoalan lain. Dengan siapakah mereka berniaga? Apa pula barangan yang mereka ambil sebagai tukaran untuk peralatan batu yang mereka hasilkan. Malang sekali, keadaan tanah hutan yang berasid di kawasan ini telah tidak memungkinkan adanya tinggalan-tinggalan atau rangka tulang yang dapat memberikan petunjuk bagi jawapan kepada persoalan-persoalan itu.


Yang jelas ialah Orang Tingkayu adalah kumpulan pemburu. Mereka tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan haiwan buruan. Sekumpulam pemburu akan duduk senyap menanti ketibaan haiwan-haiwan buruan yang datang untuk minum di tepi tasik. 
Di suatu senja yang hening sekawan  seladang (Bos gaurus) muncul dari celah rimbunan hutan. Kawanan yang kecil ini hanya terdiri dari tiga ekor seladang betina dan seekor anak seladang mudah saja menjadi mangsa. Kumpulan pemburu yang sedari tadi telah menunggu terus menyerbu dan melontar lembing kearah seekor seladang betina dari kawanan itu. Dalam keadaan kelam-kabut, kawanan seladang itu bertempiaran dan meluru kearah semak untuk menyelamatkan diri. Pemburu mengejar dengan menjejaki kesan darah dari seladang yang cedera. Dengan tusukan lembing yang begitu banyak dan kehilangan banyak darah, seladang itu akhirnya rebah tidak jauh dari tebing tasik. 
Dengan penuh keriangan pemburu mengangkut hasil buruan mereka pulang ke gua. Pada malam itu mereka berpesta.