Monday, March 11, 2013

PRU-13: Calon Pilihan Parti vs Calon Pilihan Rakyat

Berikutan pengisytiharan pembebasan Kg Tanduo dari cengkaman militan Sulu maka ramai yang menjangka pengisytiharan pembubaran dewan rakyat akan segera menyusul diikuti pengumuman tarikh pilihanraya umum ke-13.


Dalam pada itu wakil-wakil rakyat sediada tentunya menanti penuh debaran samada mereka akan dicalonkan semula oleh parti masing-masing atau sebaliknya, digantikan dengan calon lain. Turut dag-dig-dug ialah jantung para pelobi, lebih-lebih lagi yang telah awal-awal mencanangkan diri sebagai "confirm" dialah akan jadi calon parti itu dan parti ini. 

Semasa 12 PRU yang lepas, parti-parti yang ada di negara ini umumnya meletakkan calon di setiap kawasan pilihanraya dari kalangan ahli-ahli parti sahaja, terutama yang ada jawatan tertentu dalam parti. Dalam menghadapi PRU-13 parti yang mengekalkan prinsip sedemikian kemungkinan besar akan kehilangan populariti.

Trend pengundi masa kini nampaknya semakin cenderung untuk menjurus kepada sikap memilih calon yang mereka yakini benar-benar mampu membawa kemajuan kepada kawasannya dan teguh dalam memperjuangkan hak masyarakat yang diwakilinya. Oleh sebab itu tidak hairanlah jika terdapat individu tertentu yang merupakan pendukung kuat sesuatu parti mengagumi seorang pemimpin dari parti lawan dan sedia memberikan undi kepada pemimpin itu jika dicalonkan di kawasannya. Lebih daripada itu, ada pula pemimpin sesuatu parti yang mengaku bahawa dia akan menolak pencalonan oleh partinya jika calon parti lawan di kawasannya adalah individu tertentu, yang menurut pandangannya mempunyai ciri kepimpinan yang lebih baik.

Sikap pengundi ini juga membawa kepada penolakan terhadap 'politik perkauman'. Terdapat kawasan tertentu dimana calon yang pengundi paling inginkan merupakan individu dari kalangan minoriti masyarakat di kawasan tersebut. Namun begitu segelintir pengendali (admin) sesawang pendukung parti politik tertentu masih lagi berusaha mengapi-apikan sentimen perkauman - suatu langkah yang lambat laun akan 'membakar diri sendiri' serta parti yang diwakilinya.

Pucuk pimpinan parti-parti yang bertanding dalam PRU-13 akan datang sememangnya mempunyai tugas yang berat namun amat mustahak dalam usaha membolehkan partinya menang. Kesilapan dalam menentukan calon akan membawa padah kepada parti itu.

Di kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) terdapat beberapa ahli Yang Berhormat yang menyedari hakikat ini dan awal-awal lagi menyatakan kesediaan untuk "tidak dipilih" semula sebagai calon pada PRU-13. Contohnya ialah ADUN Jertih yang juga mantan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yang  menjelaskan beliau sedia tidak dipilih semula sebagai calon pilihanraya umum ke 13 tetapi ini tidaklah bermaksud beliau ' tidak mahu'.

"Ia membawa maksud yang berbeza sama sekali. Sebenarnya saya tidak mahu menyulitkan Datuk Seri Najib membuat pilihan calon apabila saya kata saya sedia tidak dipilih semula," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih itu berkata beliau menyerahkan sepenuhnya penentuan dibuat Perdana Menteri. " Bila membuat pendirian itu, kalau kita tidak terpilih semula...ia tidak ada masalah."

Pendirian DS Idris ini bermaksud jika Perdana Menteri memutuskan beliau bertanding maka beliau akan menerimanya. Jadi terpulanglah kepada pucuk pimpinan BN untuk menilai samada DS Idris atau ada orang lain yang merupakan calon pilihan majoriti pengundi Jertih.

Secara terbuka, pendirian DS Idris itu turut dikongsi oleh ramai pemimpin BN, namun samada pendirian itu benar-benar ikhlas atau sebaliknya, hanya dapat kita pastikan selepas parti itu mengumumkan senarai calon mereka.

Justru, jika pemimpin parti mahukan seruan "Sokong Siapa Juga Calon Yang Ditentukan oleh Pucuk Pimpinan" disambut baik, maka pucuk pimpinan perlu benar-benar teliti agar calon itu merupakan pilihan majoriti pengundi kawasan berkenaan.

Bagi penulis, kriteria utama bagi pemilihan calon di pihak Pakatan Rakyat (PR) belum lagi jelas. Mungkinkah  mereka akan terus mengekalkan formula "satu-lawan-satu" dalam usaha merealisasikan agenda utama mereka iaitu "menumbangkan BN"? Dalam hal ini, Kalakau Untol seorang anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR memandang calon bebas serta calon-calon parti yang tidak bernaung di bawah PR sebagai 'agen pemecah undi' bagi pihak BN.

Sunday, March 10, 2013

Berubahnya Kehidupan di Pantai Timur Sabah


Awal pagi hari minggu, selepas mengunci kereta di tempat letak kereta berhampiran "Medan Selera", aku berjalan kaki menuju Pasar Minggu Kunak. Di tepi mini market berhampiran kelihatan sekumpulan 6 orang lelaki dan seorang wanita, lengkap dengan peralatan. Penampilan dan logat percakapan mereka jelas berbeza daripada penampilan dan percakapan kebanyakan rakyat negeri Sabah.

"Assalamu alaikum", aku menyapa.
"Wa alaikum salam", sahut seorang daripada lelaki itu, kemudian diikuti oleh yang lain. Walau mereka tersenyum, tetapi seakan enggan bertentangan mata denganku. Mereka mengalihkan pandangan. Ada yang menoleh ke sana ke mari, ada yang mendongak ke langit dan ada pula yang menggosok-gosokkan tangan ke lengan yang sebelah. 


Reaksi itu menimbulkan tandatanya di benakku lalu aku bertanya, "Ndak pi pasar minggu ka?"

Lelaki yang mula membalas salamku tadi ketawa kecil, tak ubah seperti seorang murid yang disapa oleh gurunya, menjawab, "He he. Ndak bos, kami tunggu kereta mau pi kerja."

Aku melirik ke arah bakul-bakul peralatan mereka, gergaji, alat pemotong jubin dan lain-lain alat pertukangan.

"Oh, kerja di bangunankah?", tanyaku merujuk kepada dua projek pembinaan rumah di Kunak, iaitu  di Kampung Kadazan dan satu lagi berhampiran Kampung Cenderawasih.
"Tidak bos, ada bos suruh kami repair dia punya rumah sama bikin tandasnya", jawab lelaki itu. "Patut sudah siap itu rumah, tapi kami sudah lima hari ndak kerja, maka itulah lambat," katanya lagi menjelaskan.

"Kenapa lima hari ndak kerja, cutikah?"

"Kau taulah bosku, keadaan sekarang ni. Kami takut-takut mau keluar," jelas lelaki itu.

"Saya faham," jawabku. "Okeyla, saya pi pasar dulu, assalamu alaikum."

"Wa alaikum salam," jawab mereka.

Begitulah antara suasana di Kunak semenjak berlakunya pencerobohan di pantai timur negeri ini. Rakyat Filipina terutama keturunan Suluk yang datang di negeri ini untuk mencari rezeki halal turut terjejas. Disamping itu mereka merasakan yang masyarakat umumnya mencurigai mereka.

Keadaan di pasar minggu juga tidak seperti sebelumnya. Biasanya hari minggu ke-2 setiap bulan seperti sekarang ini, iaitu minggu selepas pekerja-pekerja syarikat swasta menerima gaji dari majikan masing-masing, keadaan Pasar Minggu Kunak akan sesak. Kali ini, seakan lebih ramai penjual daripada pembeli.

Sekembali dari pasar minggu, aku singgah minum nescafe-o di warung seorang rakan di medan selera. Sempat juga aku tanyakan keadaan perniagaannya. Katanya, semenjak berlakunya insiden di Tanduo, pendapatannya merosot antara 30 hingga 40 peratus.

Terdengar pula berita memilukan tentang sepasang peneroka yang kehilangan bayi lelaki mereka ketika dalam pengungsian (meninggalkan kampung halaman atas sebab-sebab keselamatan). Bayi itu diberitakan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Kunak untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami cirit-birit.

Pagi tadi juga, seorang remaja telah terbunuh di Kg Sungai Bilis. Kejadian berlaku apabila pasukan keselamatan menahan 5 orang untuk disoal. Pada ketika itu mereka melihat gerakan di semak-samun yang berhampiran. Sebagai tindakbalas atas kemungkinan yang mereka sedang diserang oleh penceroboh bersenjata, pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah semak-samun itu.

Remaja lelaki yang berusia antara 12 ke 15 tahun itu kemudian ditemui mati di belakang semak tersebut manakala seorang lelaki berusia 30an cedera di kaki. Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku jika semua mematuhi arahan agar tidak berada di kawasan dimana "operasi pembersihan" sedang berlangsung.

Sementara itu pada kira-kira pukul 10 pagi, sekumpulan wartawan yang menaiki dua buah kenderaan menuju ke Tanjung Labian telah terserempak dengan seorang lelaki bersenjata dan memakai pakaian serba gelap berdiri di tepi jalan. Apabila melihat kenderaan-kenderaan itu menghampiri lelaki tersebut lari dan menghilang di antara semak-samun.

Dengan memakai jaket kalis peluru dan helmet seorang jurugambar The Star
merakam dari kejauhan peristiwa yang berlaku di Lahad Datu





Thursday, March 7, 2013

Filipina Kaji Kemungkinan Ektradisi Kiram Untuk Dibicarakan di Malaysia

Kerajaan Filipina sedang mengkaji kemungkinan melaksanakan ekstradisi ke atas Sultan Jamalul Kiram ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan jenayah. Kenyataan oleh Setiausaha Kehakiman negara itu, Leila De Lima dipetik oleh portal Inquirer.net di Manila pada Khamis 7 Mac 2013 pukul 1.37 petang.

Walau bagaimanpun De Lima berkata keutamaan ialah bagi Sultan (Kiram) untuk kemungkinan menghadapi pertuduhan di Filipina atas kesalahan melanggar undang-undang negara tersebut. 

Kenyataan itu hanya beberapa jam selepas jurucakap kesultanan Sulu, Abraham Idjirani membacakan permintaan gencatan senjata oleh Sultan Sulu pada 12.30 petang. Menurut Idjirani, "Sultan meminta gencatan senjata bermula pukul 12.30 petang bagi menyahut seruan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) bagi menyelamatkan nyawa."

The Philippine Star memetik Idjirani sebagai berkata, "Sultan telah menghubungi adiknya agar berada dalam keadaan mengelak dan bertahan."

Sementara itu, menurut Berita Harian, mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, gencatan senjata hanya boleh dilakukan jika kumpulan penceroboh berhenti mengganas di Sabah. 

Menurut Tun M, Kiram sendiri tidak dapat mengawal pasukan penceroboh yang sudah berikrar akan berjuang habis-habisan.


Pada Rabu 6 Mac 2013 jurucakap UN mengeluarkan kenyataan bahawa Setiausaha Agung badan dunia itu, Ban Ki Moon "sedang mengikuti dengan teliti perkembangan yang berlaku di Sabah. Beliau menggesa agar keganasan itu dihentikan dan menggalakkan pihak-pihak yang terlibat untuk berdialog bagi mencari jalan penyelesaian secara aman."

The Star Online, 7 March 2013

Terkini: Malaysia tolak gencatan senjata.

Wednesday, March 6, 2013

Pengikut Sultan Sulu Tiada Cadangan Hantar Pasukan Bantuan Ke Sabah

Tidak akan ada bantuan pasukan ke Sabah (untuk pengikut Sultan Sulu) dari Pulau Simunul di Tawi-Tawi. Menurut laporan portal ANC.ABS-CBN News pada Selasa 5 Mac 2013, keluarga mereka di Tawi-Tawi juga sudah bersedia menerima kenyataan bahawa mereka yang terkepung di Lahad Datu tidak akan pulang ke pangkuan mereka.



Wartawan ANC.ABS-CBN News, Jeff Canoy, yang berada di Pulau Simunul melaporkan bahawa terdapat beberapa orang lelaki di pulau itu yang bermaksud untuk turut menyertai pencerobohan ke Sabah tetapi telah ketinggalan bot. Ditanya samada mereka akan menyertai rakan mereka di Lahad Datu, kumpulan lelaki berkenaan menjawab bahawa mereka tidak bercadang untuk berbuat demikian, melainkan ada arahan (dari ketua mereka).

Seorang pengikut Sultan Sulu, "Capt. Akhmad Ibnohasim" memberitahu dia telah dijanjikan oleh Kesultanan Sulu bahawa kehidupannya di Sabah akan lebih baik dan akan diangkat sebagai pegawai tentera yang sewajarnya.

Pada Isnin 4 Mac 2013, pihak kerajaan Filipina juga telah melawat wilayah tersebut dalam usaha menghalang lebih ramai pengikut Sultan Sulu menyeberang ke Sabah.



Tuesday, March 5, 2013

Polis Filipina Pintas Cubaan Hantar Bantuan ke Lahad Datu

Sekumpulan 67 orang pengikut Sultan Jamalul Kiram III yang cuba berlayar ke Lahad Datu telah dipintas oleh polis Filipina pada 05 Mac 2013. Demikian menurut kenyataan seorang pegawai yang dipetik oleh Agensi Berita Filipina (PNA).

Pengarah Police Tawi-Tawi Sr. Supt. Joselito Salido memberitahu kumpulan tersebut dipintas di Bongao, di daerah Tawi-Tawi..

Salido berkata pihaknya berjaya memujuk kumpulan tersebut agar berpatah balik dan "mereka mematuhi nasihat kami."

Katanya kumpulan itu datang daripada wilayah Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi.

Pihak berkuasa Filipina telah memperketat kawalan di selatan sempadan negara itu bagi menghalang lebih ramai lagi pengikut Sultan Sulu berlayar ke Sabah untuk membantu rakan-rakan mereka yang terkepung di Lahad Datu.