Sunday, May 10, 2009

MENYINGKAP SEJARAH DAERAH KUNAK - BAHAGIAN 1

Kunak - Tapak Kegiatan Manusia Pertama di Borneo


Kunak, sebuah pekan kecil yang terletak di pantai timur Sabah seringkali diketepikan sehingga para pencetak peta negeri Sabah sekalipun jarang yang menunjukkan kedudukan pecan ini. Malang sekali bagi kawasan yang telah dibuktikan oleh ahli-ahli arkeologi ini sebagai daerah tapak kegiatan manusia purba sejak 30,000 tahun sebelum masehi. Dalam suatu tulisan pada buku, South East Asia: From Prehistory to History oleh Glover & Bellwood (2004), telah dinyatakan tentang “sebuah industri peralatan zaman batu wujud di kawan Tingkayu pada Zaman Pleistocene (Zaman Ais Batu)”.


Daerah Kunak meliputi kawasan seluas 1144 batu persegi dan terdiri daripada dua mukim Mukim Madai dam Mukim Pangi. Daerah ini terletak pada kedudukan global  4o 40’ 60 N; 118o 15’ 0 E.Kawasan di bahagian timur Sabah ini telah timbul dari permukaan laut pada zaman Cretaceous (Zaman Batu Kapur - 140 juta hingga 65 juta tahun yang lalu) sedangkan Norneo pada keseluruhannya timbul hanya 15 juta tahun yang lalu. Oleh kerana itulah gumpalan-gumpalan batu kapur yang besar kebanyakkannya terdapat di pantai timur Sabah. Satu daripada bentukan seumpamanya ialah Gua Madai di Daerah Kunak.


Pada zaman Pleistocene lebihkurang 2.5 juta tahun dahulu, Borneo, Jawa, Sumatra, Sulawesi dan Semenanjung Malaysia dan beberapa pulau kecil yang lain adalah bercantum sebagai satu benua yang dikenali sebagai Tanah Sunda (Sundaland). Pada waktu-waktu tertentu di zaman itu, paras laut amat rendah sehingga memungkikan seseorang itu mengembara dari Kunak ke Ireland tanpa merentas lautan. Laluan darat zaman purba ini telah memperkaya flora dan fauna di Borneo. Setelah paras air laut meninggi kembali, Tanah Sunda telah terpisah oleh lautan dan Pulau Borneo berkembang mengikut peredaran masa secara berasingan.

Pada zaman Miocene, 10 hingga 15 juta tahun dahulu, gumpalan besar lahar batu-batan menyongsong dari dasar mendapan laut lalu membentuk Banjaran Crocker. Gunung Kinabalu (4010 m) terbentuk sekitar sejuta tahun yang lalu apabila lahar batu-batan menyejuk dan menjadi keras lantas menongkat ke atas dari lapisan bawah permukaan bumi. Pesisiran pantai Borneo yang ada pada hari ini wujud sekitar 10,000 tahun dahulu tatkala blok-blok ais raksaksa cair dan meyebabkan permukaan laut meningkat.
Sementara itu, di pantai timur Sabah di Daerah Kunak, Gunung Merapi Mostyn meletup sekitar 30,000 tahun dahulu. Aliran laharnya telah menimbus sebahgian dari Sungai Tingkayu lalu membentuk sebuah tasek.  

Masa berlalu, lahar menyejuk. Tebing tasik dan sekitarnya telah menjadi amat subur dan dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok dan tumbuhan tropika. Ini diikuti pula dengan kedatangan haiwan  yang tiba berbondong-bondong untuk meragut pucuk dedaunan nan rimbun dan menghilangkan dahaga dengan air tasek yang bening. Kawasan ini telah menjadi kawasan berburu yang amat baik.
Sekumpulan manusia yang telah beberapa generasi mengembara merentas benua tiba di kawasan ini. Di sekitar mereka melihat deretan gua batu kapur. Dalam keadaan yang begitu letih dan lapar, mereka masuk ke dalam gua dan menjadikannya sebagai tempat tinggal. Tidak berapa lama kemudian, kaum wanita dan kanak-kanak dari kalangan mereka keluar mengutip buah-buahan dan pucuk untuk dijadikan makan tengahhari. 
Dengan tumbuhan rimbun yang menghijau tentunya tidaklah lama bagi mereka untuk kembali dengan kantong-kantong kulit haiwan yang penuh berisi.
Sementara itu, kaum lelaki membina unggun api kemudian mengutip kepingan-kepingan batu lalu diketuk dan diasa. Mereka mula membuat peralatan untuk memburu.
Dari manakah datangnya Orang Tingkayu ini?
Penduduk Kunak Yang Pertama
Teori arkeologi yang diterima umum dewasa ini menyatakan bahawa manusia mula menjejakkan kaki di muka bumi di kawasan Afrika Selatan lebihkurang 100,000 tahun dahulu. Walau bagaimanapun, Gurun Sahara yang begitu luas telah menghalang mereka untuk merebak keluar dari kawasan itu selama 60,000 tahun. 

Berkali-kali telah mereka cuba untuk melintasi hamparan luas tanah gersang itu, namun setiap kali terik mentari membakar mereka dan lapar dahaga mencengkam maka terpaksalah mereka undur kembali. Meskipun begitu, hari berganti tahun berlalu, bilangan mereka semakin ramai menyebabkan sumber asli terutama makanan dari kawasan itu tidak lagi dapat menampung keperluan asas. Mereka tiada lagi pilihan melainkan mencari sumber di lain tempat. 
Meski merasa gentar akan perkara-perkara yang ghaib yang perlu mereka hadapi, namun dengan cengkaman keperluan hidup yang begitu mendesak mereka memberanikan diri dan bertolak mengharungi perit padang pasir Sahara. Tentu ramai yang telah tersungkur dalam perjalanan maung itu.
 Akhirnya, pada tahun 40,000 SM dan setelah terbatas di Afrika Selatan selama 60,000 tahun sekumpulan moyang manusia yang terselamat dari kembara merentas Sahara telah tiba di kawasan  Mediterranean. Di sana mereka berpecah pula. Satu kelompok mengambil keputusan untuk menetap di Mediterranean, satu lagi meneruskan perjalanan ke utara menuju benua Eropah, kelompok lain menuju Asia Tengah terus ke benua Amerika manakala satu lagi kelompok mengambil arah ke selatan merentas kawasan Afghanistan, Mongolia, China, Asia Tenggara dan akhirnya ke Kepulauan Pasifik.
Dari perbandingan masa berlakunya peristiwa perjalanan umat manusia zaman purba ini, iaitu 40,000 tahun dahulu dan penemuan arkeologi yang menunjukkan bahawa kawasan Tingkayu telah didiami manusia 30,000 tahun dahulu, adalah amat wajar untuk mengandaikan bahawa Orang Tingkayu adalah keturunan dari kelompok yang meneruskan perjalanan kearah selatan dari kawasan Mediterranean. 
Di sepanjang perjalanan, bilangan mereka telah berganda, berpecah dan mengambil haluan yang berlainan. Sepuluh ribu tahun kemudian satu kelompok telah melalui penghubung darat Tanah Sunda (yang kini telah ditutupi oleh laut) dan akhirnya tiba di Tingkayu di Daerah Kunak.

Menurut Bellwood (Archaeological Research in the Madai-Baturong Region Sabah, Bulletin of the Indo-Pacific Prehistory Association Vol 5 (1984)), tasik prasejarah Tasik Tingkayu dianggarkan meliputi kawasan sehingga 100 kilometer persegi. Industri peralatan zaman batu Tingkayu didapati mempunyai tahap kemahiran yang tinggi dan unik jika dibandingkan dengan tahap kemahiran yang terdapat di Asia Tenggara pada zaman itu.

 Peralatan yang ditemui di kawasan itu kebanyakannya diperbuat dari batukaca yang diambil dari kawasan setempat dan ada juga dari batukaca berwarna perang yang diambil dari sungai. Beberapa bilah mata lembing batu dan lain-lain perlatan telah ditemui bersama dengan serpihan-serpihan pembuatan. Mata lembing yang ditemui mempunyai bilah yang amat tajam menunjukkan yang ia bukan sahaja diguna untuk menusuk tetapi juga sebagai pisau.

 Tapak “kilang” peralatan batu Tingkayu dianggarkan seluas 800 meter persegi.
Kenapakah Orang Tingkayu menghasilkan begitu banyak peralatan zaman batu? Satu kemungkinan ialah perlatan itu telah diperniagakan, iaitu ditukar dengan benda-benda lain. Jika hal ini yang berlaku, timbul pula persoalan lain. Dengan siapakah mereka berniaga? Apa pula barangan yang mereka ambil sebagai tukaran untuk peralatan batu yang mereka hasilkan. Malang sekali, keadaan tanah hutan yang berasid di kawasan ini telah tidak memungkinkan adanya tinggalan-tinggalan atau rangka tulang yang dapat memberikan petunjuk bagi jawapan kepada persoalan-persoalan itu.


Yang jelas ialah Orang Tingkayu adalah kumpulan pemburu. Mereka tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan haiwan buruan. Sekumpulam pemburu akan duduk senyap menanti ketibaan haiwan-haiwan buruan yang datang untuk minum di tepi tasik. 
Di suatu senja yang hening sekawan  seladang (Bos gaurus) muncul dari celah rimbunan hutan. Kawanan yang kecil ini hanya terdiri dari tiga ekor seladang betina dan seekor anak seladang mudah saja menjadi mangsa. Kumpulan pemburu yang sedari tadi telah menunggu terus menyerbu dan melontar lembing kearah seekor seladang betina dari kawanan itu. Dalam keadaan kelam-kabut, kawanan seladang itu bertempiaran dan meluru kearah semak untuk menyelamatkan diri. Pemburu mengejar dengan menjejaki kesan darah dari seladang yang cedera. Dengan tusukan lembing yang begitu banyak dan kehilangan banyak darah, seladang itu akhirnya rebah tidak jauh dari tebing tasik. 
Dengan penuh keriangan pemburu mengangkut hasil buruan mereka pulang ke gua. Pada malam itu mereka berpesta.

1 comment:

Lamporre said...

Aku dah pernah sampai ke Tapak Pra-Sejarah Tingkayu ni dlm tahun 1994. Kami masuk dari sebelah Sungang dan berjalan kaki merentas hutan belantara. Cabaran yang paling hebat apabila kena merentasi sebuah sungai mungkin Sg Tingkayu yang mempunyai arus deras. Untuk menyeberang sungai seluas lebih kurang 15meter itu kita terpaksa meniti pokok tumbang sebesar peha.

Cabaran kedua ialah hutan tebal yang dipenuhi pacat dan binatang liar. Apapun kami berjaya sampai selepas lebih kurang 4 jam berjalan kaki dan bermalam di sana.
Kami bermalam berhampiran sebuah gua yang dipintunya ada terdapat sebuah patung batu berbentuk Singa + manusia yang berdiri menghadap sungai di depan gua. Menariknya patung itu apabila kita menggosok matanya degan sedikit air maka akan terhasil air berwarna hitam menghasilkan gambaran seolah-olah patung itu menangis. Kesan hitam itu akan berlaku setiap kali kita menggosoknya.
Ada juga orang yang datang untuk mengambil sarang burung. Namun matlamat saya dan kenkawan hanya sekadar untuk melihat sendiri tapak bersejarah itu, kebetulan pula masa tu jadi guru sejarah yang ada kaitan langsung dgn tapak tersebut.