Sunday, February 28, 2010

MENAIKI KAPAL KIMANIS KE KUNAK UNTUK MENEROKA

Kunak, Ahad 28 Februari 2010—Penduduk Kampung Lormalong yang sebahagian besar terdiri daripada waris peneroka Rancangan Lormalong menyambut ulangtahun ke-41 ketibaan 71 keluarga peneroka ke kawasan tersebut yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pekan Kunak.
Dalam ucapan peresmiannya,  ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang, memberitahu bahawa sejarah penerokaan tanah rancangan di Lormalong itu bermula dengan usul daripada Datuk Haji Zainal Gunong (Allahyarham) di zaman kerajaan pimpinan USNO. Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada penduduk Kunak untuk memiliki tanah sendiri. Keadaan hidup sebagai peneroka, yang memerlukan tempoh agak lama untuk mendapat pulangan menguntungkan tidak menarik minat penduduk Kunak berbanding dengan kerja yang mereka lakukan pada masa itu sebagai nelayan, pembalak atau sebagai buruh di  ladang-ladang. Sebahagian besar daripada mereka meninggalkan tanah rancangan dan kembali ke pekerjaan asal mereka.
Untuk mengisi kekosongan itu, Datuk Hj Zainal telah meminta Tun Said Keruak (Allahyarham) untuk mendapatkan peneroka dari kawasan pantai barat negeri Sabah. Hasilnya, seramai 71 keluarga dari Kota Kinabalu, Tuaran, Tenom dan Kota Belud telah datang ke Lormalong untuk menjadi peneroka. Mereka datang dengan menaiki kapal laut yang diberi nama “Kimanis”.

RAMALAN GEMPABUMI TERSASAR DARI NEPAL KE CHILE

Beberapa minggu yang lepas pakar-pakar seismologi meramalkan bahawa selepas Haiti,  gempabumi dengan magnitud besar yang berikutnya akan melanda Kathmandu dalam tempoh terdekat. Gempabumi besar berukuran magnitud 8.8 benar-benar terjadi tetapi bukan di Kathmandu. 

Kejadian yang setakat ini telah mengorbankan lebih 120 orang itu, berlaku di Chile pada Sabtu 27 Februari pada 3:34 pagi waktu setempat, ketika kebanyakan penduduk sedang tidur nyenyak. Angka kematian dilaporkan terus meningkat.

Pusat gegaran ialah di luar pantai Maule, lebihkurang 200 batu ke barat daya Santiago dan hanya 70 batu dari Concepcion, bandar kedua terbesar Chile, dengan penduduk melebihi 200,000. Di bandar itu, banyak rumah kediaman dan jembatan telah runtuh, bangunan terbakar, dan kenderaan menjunam ke rekahan besar yang terbentuk berikutan gempabumi itu.


Ramai kalangan penduduk yang cedera bergelimpangan di jalan dan dalam kekalutan itu ada pula yang mengambil kesempatan menceroboh farmasi dan lain-lain premis perniagaan untuk mencuri. 

Sistem komunikasi di pekan itu telah terjejas menyebabkan sukar untuk membuat penaksiran keadaan malapetaka di kawasan tersebut.


Gegaran dahsyat itu telah menghasilkan tsunami setinggi 7.7 kaki terhempas ke pekan Talcahuano.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik melaporkan 10 pekan pesisiran pantai turut dilanda ombak besar. Amaran tsunami juga dikeluarkan di 53 buah negara lain termasuk Australia, New Zealand, Filipina dan pulau-pulau di Lautan Pasifik.

Friday, February 26, 2010

PENGISIAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERLU PENDEKATAN INOVATIF

Pada kebiasaannya di negara kita ini, maulidur Rasul diraikan dengan majlis tahlil dan doa pada malam hari dan perarakan, pertandingan sepanduk serta satu slot ceramah pada siang hari. Demikian pula keadaannya yang berlaku di Daerah kami di Kunak. 
Meskipun bilangan penduduk yang keluar berarak lebih besar berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, namun yang menjadi topik utama perbicaraan orang ramai yang hadir sama seperti tahun-tahun sebelumnya:  "kontinjen mana akan memenangi pertandingan sepanduk." 
Dari seawal pukul 5:40 pagi tadi (Jumaat, 26 Februari) lagi sudah ramai penduduk Kunak berhimpun di padang pekan. Berjalan melawat suatu kontinjen ke kontinjen yang lain, hanya kedengaran gurau senda dan ungkapan-ungkapan umum seperti yang biasa kita dengar di kedai kopi. 
Dari padang pekan, kontinjen berarak ke Dewan Masyarakat dimana ucapan, ceramah dan penyampaian cenderakenangan juga hadiah pemenang pertandingan sepanduk diadakan. Dewan penuh sesak sehingga kerusi tidak mencukupi. Namun, ketika slot ceramah disampaikan, jelas di wajah kebanyakan hadirin akan kurangnya perhatian ke atas isi ceramah berkenaan.
Suatu pendekatan lebih inovatif perlu dilakukan agar sambutan hari kelahiran Rasulullah SAW, manusia paling istimewa pernah menjejaki bumi ini, diisi dengan program-program yang lebih bermakna.
Sebagai contoh, mengambil tema sambutan "Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah", suatu tayangan gambar atau slaid, bahkan pameran boleh diadakan, yang melakar kembali saat-saat umat Islam muncul sebagai umat yang perkasa kerana ukhuwah yang kental. Ia mungkin dapat menarik lebih perhatian, menyentuh sanubari peringkat umur yang lebih meluas dan boleh bertahan lama dalam minda hadirin.
Juga boleh diadakan pertandingan kuiz antara sekolah-sekolah mengenai sejarah hidup dan perjuangan Nabi Muhammad SAW serta tokoh-tokoh Islam terkemuka. Ia secara langsung akan mempergiat minat dan semangat golongan muda, khususnya pelajar, untuk mendalami dan menghayati Sejarah Islam.


Thursday, February 25, 2010

SALAHUDDIN AL-AYYUBI PENGASAS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL



Allah swt. berfirman, “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Al-Ahzab:21)


Apabila nama Salahuddin Al-Ayyubi (1137M - 1193M) disebut, kebanyakan daripada kita tentunya akan membayangkan seorang panglima perang, gagah berani, bijaksana dan beretika tinggi. Beliau disanjung dan disayangi oleh rakan serta disegani oleh lawan. Sememangnya, sejarah telah mencatatkan yang demikian sebagai sifat beliau.

Barangkali yang masih kurang diketahui ialah bahawa Salahuddin Al-Ayyubi juga merupakan orang pertama yang mengusulkan agar peringatan maulid Nabi Muhammad SAW diadakan.
Sejarah perayaan maulidur Rasul bermula pada zaman kekhalifaan Fatimid (keturunan dari Fatimah az-Zahrah, putri Nabi Muhammad SAW). Ketika itu, Salahuddin merupakan panglima perang, dan Masjid Al-Aqsha di Palestin berada dalam genggaman musuh. Umat Islam yang berada di Jerusalem telah dianiaya dan ditindas.
Untuk membebaskan Masjid Al-Aqsha dengan cara yang terhormat, Salahuddin berpendapat bahawa tenteranya dan umat Islam keseluruhannya perlulah meneladani sifat-sifat juang dan kemuliaan peribadi Nabi Muhammad SAW. Untuk itu, sejarah kehidupan Rasulullah hendaklah dihayati. Beliau lalu mengusulkan kepada khalifah agar mengadakan peringatan maulid Nabi Muhammad SAW.
Hasilnya, semangat jihad kaum muslimin berkobar. Tentera muslimin di bawah pimpinan Salahuddin merupakan pasukan yang berdisiplin, bermoral tinggi dan penuh etika.
Pada tahun 1187M, di bawah pimpinan Salahuddin, kaum Muslimin memasuki Jerusalem dan membebaskan Al-Aqsha dari cengkaman musuh-musuh Allah. Tawanan perang dilayan dengan baik dan diberi kebebasan untuk keluar dari Jerusalem tanpa syarat -- sangat berbeza dengan sikap mereka yang telah menyiksa dan menindas orang-orang Islam di Jerusalem ketika mereka memegang tampuk kekuasaan di kota itu.

"SELAMAT MENYAMBUT HARI MAULIDUR RASUL 1431H"

Monday, February 22, 2010

TIDUR TENGAHARI MENINGKATKAN KECERDASAN MINDA


Janganlah mengejek atau merasa jengkel jika anda melihat seorang pelajar terlelap dalam perpustakaan atau rakan sekerja anda terlena seketika di ruang pejabat.
Suatu kajian terbaru dari University of California, Berkeley, menunjukkan bahawa tidur sejenak, lebihkurang satu jam membantu meningkatkan daya berfikir. Kajian itu menunjukkan bahawa tidur dua kali sehari bukan sahaja menyegarkan kembali minda, bahkan boleh membuat anda lebih pintar.
Sebaliknya, semakin lama kita berjaga maka semakin lembablah minda kita. Hasil kajian itu selaras dengan keputusan suatu kajian lain yang menunjukkan bahawa berjaga hingga larut malam – seperti yang biasa dilakukan oleh pelajar ketika menghadapi peperiksaan – mengurangkan 40% keupayaan menelaah, kerana berlakunya ‘penutupan’ bahagian-bahagian tertentu pada otak ketika letih kurang tidur.




Sunday, February 21, 2010

Don't Worry, Be Happy! Emosi Positif Mencegah Penyakit Jantung

Suatu kajian yang diterbitkan pada 17 Februari menunjukkan bahawa mereka yang ceria, bersemangat tinggi dan bersyukur tidak mudah mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang sering bermurung.
Sidang pengarang percaya bahawa kajian itu, yang diterbitkan dalam jernal European Heart Journal, sebuah jernal kardiologi terkemuka di Eropah, merupakan yang pertama menunjukkan hubungan berasingan antara emosi positif dengan penyakit jantung koronari.
Dr Karina Davidson yang mengetuai kajian itu berkata bahawa meskipun ia hanya merupakan kajian secara pemerhatian, ia memberikan petunjuk akan adanya kemungkinan untuk mencegah penyakit jantung secara merangsang emosi positif manusia. Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa terlalu awal untuk memberikan nasihat-nasihat klinikal mengenainya tanpa penyelidikan lebih mendalam.
“Kita amat memerlukan ujian-ujian klinikal yang menyeluruh. Jika ujian-ujian itu selaras dengan keputusan kajian kami, maka hasilnya tentu amat penting untuk menerangkan secara spesifik apa yang boleh dilakukan oleh para penjawat klinik dan juga pesakit, untuk meningkatkan tahap kesihatan,” kata Dr Davidson, yang merupakan seorang Profesor Madya dalam bidang Perubatan dan Psikiatri dan Pengarah Center for Behavioral Cardiovascular Health di Columbia University Medical Center, New York, AS.
Dalam tempoh sepuluh tahun, Dr Davidson dan rakan-rakan telah membuat pemerhatian ke atas 1,739 orang dewasa yang sihat tubuh badan (862 lelaki dan 877 wanita) yang menyertai Kajian Kesihatan Nova Scotia tahun 1995.
Pada permulaan kajian, jururawat-jurawat terlatih menilai risiko penyakit jantung para peserta, melalui pengakuan peserta itu sendiri dan juga secara penilaian klinikal. Ini diikuti dengan penilaian tanda-tanda tekanan, kurang kemesraan, kerisauan, dan tahap ekspresi emosi positif peserta, yang dikenali sebagai “aruhan positif” (positive affect).
Aruhan positif ialah pengalaman emosi kenikmatan seperti keriangan, kegembiraan, bersemangat dan kepuasan.  Perasaan-perasaan sedemikian boleh jadi berupa sementara, tetapi ia biasanya stabil dan seakan-akan suatu tabiat, terutama pada peringkat umur dewasa. Aruhan positif selalunya tidak terikat dengan “aruhan negatif”, maka seseorang yang umumnya ceria dan berpuas hati kadangkala boleh menunjukkan kerisauan, kemarahan atau tekanan.
Dengan mengambilkira perbezaan umur, jantina, faktor-faktor risiko kardiovaskular dan emosi negatif, para penyelidik mendapati bahawa dalam tempoh sepuluh tahun itu, peningkatan aruhan positif telah menurunkan risiko penyakit jantung sebanyak 22% bagi setiap mata pada skala lima-mata yang mengukur tahap ekspresi aruhan positif (bermula dari tiada kepada ekstrim).
Dr Davidson berkata: “Peserta yang tidak memiliki aruhan positif adalah 22% lebih berkemungkinan mengalami serangan jantung ischaemia (kekurangan aliran darah ke jantung yang menyebabkan kesakitan pada daa) berbanding mereka yang memiliki hanya sedikit aruhan positif, yang seterusnya juga 22% lebih berisiko berbanding mereka yang memiliki aruhan positif sederhanan.
“Kami juga dapati bahawa jika seseorang yang biasanya positif, mengalami saat-saat murung pada masa kajian, pada keseluruhannya tidak menjejaskan kedudukan individu tersebut yang berada pada tahap kurang berisiko mendapat penyakit jantung.”
Para penyelidik sekadar mengagak mekanisma yang mungkin bagaimana emosi positif dapat menjadi pencegah penyakit jantung. Termasuk dalam andaian tersebut ialah kadar denyutan jantung, jadual tidur dan kekerapan merokok.
“Terdapat beberapa kemungkinan,” kata Dr Davidson. “Pertama, secara fisiologi, mereka yang memiliki aruhan positif mempunyai masa rehat dan kelegaan yang lebih lama. Oleh yang demikian, mereke mungkin memiliki barorefleks (mekanisma tubuh badan yang mengawal tekanan darah) dan pengaturan parasimfatetik yang lebih hebat. Kedua, mereka mampu pulih dari perkara-perkara yang menekan perasaan lebih cepat dan tidak menghabiskan terlalu banyak masa mengungkit kembali peristiwa-peristiwa sedemikian, yang nampaknya menyebabkan gangguan fisiologi. Ini hanyalah merupakan spekulasi, sebab kami masih pada peringkat awal dalam usaha membongkar rahsia mengapa emosi positif dan keriangan memberi kesan positif ke atas kesihatan.”
Untuk lagu "Don't Worry, Be Happy!" oleh Bobby McFerrin sila klik disini.

Saturday, February 20, 2010

MELALUI CUACA PANAS DENGAN SELAMAT






Cuaca di negara kita ketika ini amat panas sehingga boleh menyebabkan rel keretapi mengembang dan membengkok. Kejadian tersebut telah berlaku di kilometer 58.75 di Guar Chempedak, Kedah pada Khamis (18 Feb), menyebabkan 28 gerabak barang tergelincir.
Di Sabah pula kejadian kebakaran hutan dilaporkan berlaku di kawasan Sipitang.
Menurut laporan New Straits Times keadaan cuaca panas di negeri Sabah dijangka berpanjangan sehingga bulan April.
Keadaan cuaca panas yang keterlaluan boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada semua orang.
Tubuh badan manusia mendingin secara semulajadi dengan mengeluarkan peluh. Walau bagaimanapun jika suhu dan kelembapan terlalu tinggi, proses perpeluhan itu tidak mencukupi untuk mengekalkan suhu badan normal. Dalam keadaan itu, kimia darah boleh berubah dan mungkin menjejaskan organ termasuk otak dan buah pinggang. Perubahan suhu udara yang berlaku secara mendadak juga boleh menyebabkan tekanan kerana tubuh badan biasanya memerlukan beberapa hari untuk menyesuaikan diri dengan perubahan suhu.
Dalam keadaan cuaca yang sangat panas ini beberapa gangguan kesihatan boleh berlaku. Untuk panduan mengenai keadaan-keadaan itu, pembaca dipelawa untuk melawat laman healthbeat dan lihat artikel bertajuk "Hot Weather Information".

Thursday, February 11, 2010

HUBUNGKAIT INTERNET DENGAN TEKANAN PERASAAN

Mereka yang menghabiskan terlalu banyak masa melayari internet lebih berkemungkinan menunjukkan gejala tekanan perasaan. Demikian menurut hasil kajian oleh sekumpulan ahli-ahli psikologi dari University of Leeds.
Para penyelidik mendapati bahawa terdapat di kalangan pengguna yang tidak dapat mengawal diri, dimana interaksi sosial sebenar mereka telah diambil alih oleh ruang sembang talian-terus (online chat)  dan laman-laman interaksi melaui internet. Ketagihan melayari internet sedemikan dipecayai boleh menimbulkan kesan yang serius kepada kesihatan mental.
Dr Catriona Morrison, dari University of Leeds, seorang pakar dalam bidang berkenaan berkata, “Internet kini memainkan peranan yang besar dalam kehidupan moden, namun kebaikannya datang bersama keburukan.”
“Ramai yang menggunakan internet untuk tujuan membayar bil, membeli-belah dan mengirim e-mail, namun terdapat golongan pengguna yang mendapati sukar mengawal masa di internet, sehingga keadaan itu mengganggu aktiviti harian mereka.”
Mereka yang ‘ketagihan internet’ biasanya menghabiskan lebih banyak masa melayari laman-laman lucah, permainan talian-terus (online gaming) dan komuniti talian-terus. Insiden mengalami tekanan perasaan dikalangan mereka adalah lebih tinggi berbanding pengguna-pengguna biasa (pengguna internet tetapi bukan dari golongan ketagihan internet).
“Kajian kami menunjukkan bahawa penggunaan internet berlebihan memang ada kaitan dengan gejala perasaan tertekan, tapi kami belum dapat memastikan yang mana datang kemudian – samada mereka yang mengalami tekanan perasaan akan tertarik kepada internet atau internet yang menyebabkan timbulnya perasaan tertekan itu.
“Yang jelas ialah, bagi sebilangan kecil manusia, pengggunaan internet berlebihan mungkin petanda amaran akan kecenderungan mereka mengalami tekanan perasaan.”
Insiden peningkatan kes bunuh diri di kalangan remaja di Bridgend, Welsh pada tahun 2008 telah banyak menimbulkan persoalan tentang kaitan laman-laman hubungan sosial yang mungkin mempengaruhi pemikiran sensitif para remaja sehingga menimbulkan tekanan perasaan. Hasil kajian di Leeds itu menunjukkan bahawa orang muda lebih berkemungkinan menjadi ketagih internet, berbanding mereka yang berusia pertengahan tahun, dan purata umur kumpulan penagih berkenaan ialah 21 tahun.
“Kajian ini memperkuat tanggapan umum bahawa keterlaluan dalam pengggunaan laman-laman web yang memberi perkhidmatan sebagai pengganti fungsi sosial biasa, boleh dikaitkan dengan gangguan psikologi dan ketagihan,” tambah Dr Morrison. “Kini kita perlu mengambilkira kesan kaitan tersebut ke atas implikasi sosial yang lebih meluas dan menentukan dengan lebih jelas akan kesan penggunaan internet berlebihan terhadap kesihatan mental.”
Kajian dilakukan dengan menilai tahap penggunaan internet dan tahap tekanan perasaan pada 1,319 orang berusia antara 16 hingga 51 tahun, dimana 1.2% didapati ‘ketagihan internet’. Meskipun peratusan itu kecil, ia lebih besar daripada insiden tahi judi di UK, iaitu 0.6%. Kajian ini akan diterbitkan dalam jernal Psychopathology pada 10 Februari. 

Saturday, February 6, 2010

MALAYSIA INNOVATIF: CARA INOVATIF SMK KUNAK MEMELIHARA KEBERSIHAN PADANG SEKOLAH

Acara terakhir sukan yang dipertandingkan pada hari kedua Karnival Sukan Sekolah SMK Kunak itu baru berakhir lebihkurang pada pukul 5.30 petang , 05 Februari 2010. Para pelajar berbaris di hadapan astaka padang sekolah untuk mendengar taklimat daripada guru-guru.
Di hadapan pintu pagar padang sekolah, beberapa orang pengawas sekolah yang ditemani oleh dua orang guru telah bersedia dengan beberapa buah tong sampah.
Selesai taklimat, para pelajar bertebaran ke serata padang sekolah. Seorang pelajar menghampiri tempat saya berdiri.
“Maaf, pakcik. Tolong alihkan kaki pakcik kejap,” pinta pelajar itu.
Tanpa banyak berfikir, saya melangkah dua tapak ke kiri.
Agak kehairanan, sayapun bertanya kepada pelajar itu, “Kenapa, Acho?”
Pelajar itu tersenyum simpul. Sambil membongkok untuk mengutip sesuatu, dia menjelaskan, “Tadi, pakcik berdiri atas pas laluan keluar saya.”
“Pas laluan?” tanyaku lagi.
“Yang ni,” kata pelajar itu mengibar-ngibarkan sekeping pembalut gula-gula yang baru dikutipnya.
“Pakcik nampak tu?” sambung sang pelajar menunjuk kearah kumpulan pengawas dan guru-guru yang mengawal pintu pagar.
“Sesiapa yang tidak membawa walau secebis sampah keluar dari padang, tidak akan dibenarkan keluar. Assalamu alaikum, pakcik!”
Pelajar itu terus beredar menuju ke pintu pagar, menyertai  rakan-rakan sekolahnya yang lain. Masing-masing membawa sekurang-kurangnya secebis sampah yang telah dikutip dari padang sekolah
Sejenak saya terpegun melihat gelagat mereka di pintu pagar.
“Bijak!” bisikku dalam hati. “Suatu langkah inovatif untuk memastikan kebersihan padang sekolah terpelihara.”
 Setelah semua pelajar keluar dari padang, sayapun tersentak dari lamunan, menoleh ke kanan dan ke kiri untuk mencari ‘pas laluan keluar’ saya pula. Tidak ada yang dapat saya temui. Sayapun berjalan menuju ke pintu pagar.
“Maaf, pakcik tak ada pas keluar,” kataku kepada pengawas yang mengawal pintu pagar itu. “Sold out!”
Pengawas itu tersenyum lalu menjawab, “Tidak apalah. Pakcik boleh tolong saya bawa tong sampah ini.”

Tuesday, February 2, 2010

KEMEROSOTAN DAYA INGATAN -- RISIKO MENGALAMI STROK

Orang yang mengalami kemerosotan daya ingatan atau keupayaan berfikir kemungkinan menghadapi risiko serangan strok yang lebih tinggi, termasuklah mereka yang pernah didiagnosa sebagai mengalami dementia(1). Demikian menurut kajian yang dilaporkan dalam Neurology, jernal perubatan American Academy of Neurology, cetakan 2 Februari 2010.
"Strok merupakan penyebab utama kelumpuhan dan kematian di kalangan mereka yang lanjut usia,” kata Bernice Wiberg, MD, seorang penyelidik di Uppsala University di Sweden.
“Oleh yang demikian pengesanan awal orang-orang yang berisiko tinggi dalam hal serangan strok adalah penting agar langkah-langkah pencegahan dapat dilakukan.”
Dalam kajian itu, seramai 930 lelaki di Sweden, yang berusia dalam lingkungan 70 tahun dan tidak pernah mengalami strok telah mengambil bahagian dalam tiga ujian mental. Ujian pertama, Trail Making Test A, melibatkan penilaian keupayaan pemusatan perhatian dan penglihatan. Yang kedua, Trail Making Test B, melibatkan penilaian keupayaan melaksanakan dan mengubahsuai sesuatu perancangan. Yang ketiga, Mini Pemeriksaan Keadaan Mental, seperti yang biasa digunakan oleh para doktor untuk menilai kemerosotan kognitif.
Dalam tempoh 13 tahun, 166 lelaki telah mengalami strok atau TIA(2). Penyebab utama strok ialah infarksi otak, (brain infarction, iaitu kematian sebahagian sel-sel otak akibat kekurangan aliran darah ke bahagian otak tersebut).
Kajian itu mendapati bahawa, 25 % dari kalangan mereka yang berada pada paras pencapaian paling bawah, dalam ujian penilaian keupayaan melaksana dan mengubahsuai sesuatu perancangan (Trail Making Test B) adalah tiga kali lebih berkemungkinan mengalami strok atau infarksi otak berbanding 25 % dari kalangan kumpulan itu yang berada pada paras pencapaian tertinggi. Dua ujian yang lain tidak memberikan apa-apa petunjuk mengenai kemungkinan berlakunya strok atau infarksi otak.
"Hasil kajian kami telah menyokong pendapat bahawa kemerosotan keupayaan kognitif pada seseorang adalah petanda risiko baginya untuk mengalami strok,” kata Wiberg. “Ujian Trial Making Test B adalah mudah dan tidak memerlukan kos yang tinggi, dengan kajian lanjut, ia boleh digunakan untuk mengenalpasti orang-orang yang memerlukan langkah-langkah pencegahan strok.”

(1)             Dementia ialah kemerosotan secara beransur-ansur pada fungsi kognitif (keupayaan memahami) akibat kecederaan atau penyakit pada otak, selain dari yang biasa berlaku akibat usia yang semakin meningkat.
Kesan yang biasa ialah gangguan ingatan, daya tumpu, percakapan dan keupayaan menyelesaikan sesuatu peremasalahan. Di peringkat yang lebih parah ia boleh mengakibatkan pesakit kebingungan, sehingga tidak mengingat hari, bulan, tempat, malah sehingga tidak ingat siapa dirinya yang sebenar.

(2)             TIA (Transient ischemic attack) ialah suatu keadaan saraf yang menunjukkan gejala dan tanda-tanda strok tetapi hanya berlaku buat seketika. Ia juga dikenali sebagai strok kecil (mini stroke) dan berlaku berikutan kekurangan aliran darah dan oksigen (ischemia) ke otak. Ia biasanya disebabkan oleh pengecilan pada arteri karotid (saluran darah utama pada bahagian leher yang membekalkan darah ke otak).
TIA lazimnya berlaku dalam jangkamasa 2 hingga 30 minit dimana pesakit mengalami masalah penglihatan, pening, lesu atau sukar mengeluarkan kata-kata.
Jika tidak dirawat, pesakit menghadapi risiko lebih tinggi untuk serangan strok utama. Pesakit TIA menhadapi risiko 25 % lebih tinggi berbanding orang lain untuk mendapat serangan strok atau lain-lain komplikasi yang serius dalam tempoh 90 hari dari serangan TIA.


Monday, February 1, 2010

BERLARI BERKAKI AYAM

Saintis mendapati bahawa mereka yang berlari berkaki ayam atau menggunakan alas kaki minima, boleh mengelakkan impak yang menyakitkan dan berpotensi untuk menyebabkan kecederaan pada anggota kaki. Impak sedemikian yang berkekuatan dua atau tiga kali berat badan pelari dialami berulangkali oleh pelari yang memakai kasut.

Menurut Daniel E Lieberman, sorang professor bidang biologi evolusi manusia, ketika berlari, kaki pelari berkaki ayam menyentuh permukaan menggunakan bahagian tengah atau hadapan kaki. Dengan itu, impak pertembungan dengan permukaan tempat berlari amat kecil, berbanding pelari berkasut yang menyentuh permukaan menggunakan bahagian tumit (langkah tumit).

Dengan memakai kasut ketika berlari, pelari cenderung untuk mendarat atau menyentuh permukaaan tempat berlari dengan tumitnya dan akan mengalami hentakan pertembungan yang kuat sebanyak 1000 kali bagi setiap larian satu batu. 

Jika cara larian itu dilakukan dengan berkaki ayam, ia sangat menyakitkan. Oleh itu, pelari berkaki ayam dengan sendirinya akan berusaha untuk mengelakkan kesakitan itu dengan mendarat atau menyentuh permukaan menggunakan bahagian tengah atau hujung kaki yang mewujudkan henjutan spring.

Cara sedemikian dapat menyerap sebahagian besar tenaga impak antara kaki dengan permukaan berbanding jika kaki berhenti tiba-tiba ketika pertembungan dengan permukaan berlaku.

"Berlari berkaki ayam memang seronok," kata Lieberman. "Tetapi ia menggunakan otot-otot yang berbeda (dengan larian berkasut)."

"Kebanyakan kita sudah biasa berlari menggunakan kasut dan berlari dengan langkah tumit. 

"Oleh yang demikian, jika kita hendak beralih kepada berlari berkaki ayam, kita hendaklah melakukannya secara beransur-ansur."




















YAYASAN SABAH HULUR BANTUAN KEWANGAN KEPADA PELAJAR DAERAH KUNAK

Kunak, 31 Januari 2010 - Seramai 35 orang murid sekolah rendah di sekitar pekan Kunak telah menerima bantuan kewangan masing-masing bernilai RM 70.00 seorang daripada Yayasan Sabah. Turut menerima bantuan ialah 28 orang pelajar sekolah menengah yang masing-masing mendapat manfaat bernilai RM 100.00 setiap seorang.
Penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat Kawasan Kunak, Puan Hajjah Maimunah Datuk Hj Zainal yang mewakili ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang.
Terdahulu, dua sesi ceramah telah diadakan yang bertemakan "Keluarga Mithali".
Ceramah bertajuk Anak Soleh Keluarga Bahagia telah disampaikan oleh Encik Mohammad Ahad Abd Laja manakala ceramah Peranan dan Tanggungjawab Ibubapa terhadap Anak-Anak telah disampaikan oleh Encik Jamaluddin Hj Lattang.