Sunday, July 8, 2012

Menyelamatkan "Mangsa Tsunami" di Pangi, Kunak

Jabatan Metereologi menghantar pesanan SMS memberi amaran akan "ancaman tsunami" yang bakal melanda perairan Kunak. Ombak yang dijangka setinggi 3 meter itu sedang menuju pantas ke pantai Kampung Pangi. Siren kecemasan di Ibupejabat Polis Daerah Kunak dibunyikan memanjang. 

Dalam keadaan demikian penduduk lima buah kampung terlibat yang sudah cukup terlatih bagaimana hendak menyelamatkan diri dan keluarga apabila berlaku bencana kelihatan tenang. Dengan penuh hemah mereka segera berlari-lari anak membawa keluarga ke kawasan tanah tinggi yang terdapat berhampiran dengan simpang jalan ke SK Pangi. Semua harta benda ditinggalkan. Yang mereka bawa bersama sekadar dokumen-dokumen penting yang sememangnya sudah sedia mereka masing-masing simpan di dalam sebuah beg bersama peralatan kecemasan yang lain, termasuk ubat-ubatan.

Lebihkurang 45 minit kemudian ombak tsunamipun melanda Pantai Pangi. Ombak itu ternyata lebih besar dari yang dijangkakan iaitu setinggi 5 meter. Kedatangannya membawa bersama puing-puing bot dan bagang dari laut yang dilaluinya. Kederasannya cukup kuat sehingga memusnahkan semua bangunan di tepi pantai tersebut.

Tidak lama kemudian pasukan penyelamatpun tiba bersama peralatan mereka yang cukup lengkap. Ia didahului oleh Polis Diraja Malaysia dan diikuti oleh Jabatan Pertahanan Awam, Bomba & Penyelamat, RELA, Hospital, Jabatan Kesihatan dan lain-lain. Turut bersama pasukan tersebut ialah ADUN Kunak Yang Berhormat Datuk Nilwan Bin Kabang.

YB Datuk Nilwan (baju putih) menyaksikan cara pasukan keselamatan
memberi bantuan kepada "mangsa tsunami"
Demikianlah permulaan "drama" Latih Amal Tsunami Kunak yang berlangsung di perkarangan SK Pangi bermula jam 8.00 pagi seingga jam 2.00 petang. Pada hari sebelumnya penduduk lima buah kampung berhampiran Pantai Pangi Kunak telah mengikuti Program Kesedaran Bencana Peringkat Komuniti Daerah Kunak. Kampung-kampung yang terlibat ialah Pangi Hujung, Pangi Tengah, Hampilan, Kasnuri dan Telaga Tujuh.

Ambulan Hospital Kunak membawa balik seorang "ibu mengandung:
setalah melairkan anak kembarnya ketika "bencana tsunami" melanda
Ambulan JPAM dan Hospital Kunak tidak henti-henti berulang-alik
membawa "mangsa tsunami" ke kemah rawatan

Program dua hari ini dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Metereologi Malaysia dengan kerjasama ADUN Kunak, JPAM, Pejabat Daerah Kunak, UPKR Kunak, PDRM, Hospital Kunak, Bomba, Jabatan Kesihatan, RELA, SK Pangi dan penduduk sekitar Pangi. Perasmian penutupan disempurnakan oleh ADUN Kunak.

Pada penghujung program YB Datuk Nilwan menyampaikan bantuan
makanan kepada 50 orang penduduk kampung dari kalangan golongan kurang mampu

Pantai Pangi ketika itu kelihatan tenang
Kawasan tanah tinggi di simpang jalan masuk ke SK Pangi.
Laluan kemudahan mendaki ke puncak bukit ini wajar dibina
untuk memudahkan penduduk menyelamatkan diri sekiranya
berlaku bencana tsunami


Saturday, July 7, 2012

MEMBINA BANGUNAN PADA MASA TERLUANG

Ia bermula dengan adanya tawaran pinjaman modal dari Pertubuhan Peladang untuk membina premis pemerosesan makanan. Pinjaman tanpa faedah (bunga) itu bernilai RM45,000 ditawarkan kepada isteri saya selaku seorang pengusaha Industri Asas Tani, juga ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kunak, yang sudah 8 tahun menjalankan usaha di sebuah premis yang amat sempit. 

Menganggap bahawa sudah tiba masa untuk meningkatkan pengeluaran maka kami menerima tawaran itu. Setelah meneliti spesifikasi bangunan yang mematuhi piawaian Amalan Pengilangan Yang Baik atau Good Manufacturing Practice (GMP), ternyata kewangan tersebut hanya cukup untuk membeli bahan binaan dan tidak ada peruntukan untuk mengupah jurubina atau tukang yang profesional. Oleh yang demikian maka saya mengambil keputusan untuk membina bangunan itu sendiri. 

Pada mulanya saya mengupah seorang pembantu yang menurutnya cukup berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan. Malangnya mutu kerjanya tidak sampai kepada 50% tahap yang saya harapkan, maka terpaksalah saya berhentikan selepas 8 hari bekerja. Kini saya meneruskan kerja-kerja pembinaan itu secara solo dan hanya pada waktu tidak sibuk dengan tugas-tugas lain. Kekurangan pengalaman dalam kerja-kerja pembinaan membuatkan saya terpaksa banyak membuat rujukan pada buku dan juga laman sesawang untuk mendapatkan kaedah-kaedah pembinaan.

Selepas 20 hari melaksanakan kerja-kerja pembinaan apabila ada masa terluang, beginilah (seperti dalam gambar di bawah) yang mampu saya hasilkan. 


Hari-hari mendatang ini banyak program yang perlu dihadiri dan nampaknya, tahap gerakan kemajuan binaan ini akan lebih perlahan. Pagi tadi, 7 Julai 2012, bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Pangi mengikuti "Program Kesedaran Bencana Peringkat Komuniti dan Latih Amal Tsunami Kunak". Begitu juga esok sehingga jam 2.00 petang, manakala lusa pada 9 Julai 2012 diperlukan pula untuk menemani rombongan para Guru Besar dan Pengetua Sekolah serta YDP PIBG Kunak untuk melawat beberapa kawasan berpotensi untuk tarikan pelancong di Daerah Kunak.

Program Kesedaran Bencana
Peringkat Komuniti, Kunak, Sabah
Pada 13 hingga 15 Julai insya Allah akan bersama rombongan PRBM ke Labuan dan selepas itu pada 16 hingga 18 Julai ke Dewan Undangan Negeri Sabah untuk mengikuti Mesyuarat DUN.

Saya cuma berharap dapat menaikkan bumbung sebelum tiba bulan Ramadhan. Jika itu tercapai maka kerja-kerja seterusnya dapatlah saya lakukan di malam hari selepas tarawih di bulan puasa. Kerja-kerja tersebut takkan mampu saya lakukan di siang hari pada bulan Ramadhan. Semoga dapat saya siapkan menjelang Hari Raya Aidilfitri.


Monday, July 2, 2012

TITI KG KUNAK JAYA SIAP DIBAIKPULIH

Apabila amanah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya maka manfaatnya amat besar dan ramai yang akan merasa senang hati. Begitulah keadaan pelaksanaan membaikpulih titi di Kg Kunak Jaya, Kunak.

ADUN Kunak Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang telah memperuntukkan sejumlah RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kunak Jaya untuk membaikpulih titi kampung tersebut. Wang tersebut adalah sebahagian daripada dana "Peruntukan ADUN" (diberikan kepada setiap ADUN setiap tahun) untuk projek-projek kecil.

Kayu yang digunakan untuk membaiki titi Kg Kunak Jaya
cukup berkualiti dari jenis kapur & sarangan batu
Setelah projek siap maka Pengerusi JKKK Kg Kunak Jaya telah memaklumkan kepada YB Datuk Nilwan yang kemudian turun ke kampung tersebut pada 01 Julai 2012 untuk melihat sendiri hasil projek berkenaan. Ternyata beliau amat berpuashati. Kayu yang digunakan cukup berkualiti iaitu jenis "kapur" dan "sarangan batu". Malah bukan sahaja titi lama dibaikpulih, bahkan terdapat lebihkurang 100 kaki titi baru yang dibina menggunakan dana berkenaan.

Ketika tiba dihujung titi lebihkurang serombongan penduduk kampung telah sedia menunggu untuk mengucapkan terimakasih kepada Datuk Nilwan yang tidak menduga samasekali akan kehadiran begitu ramai penduduk kampung. Maka sesi dailogpun diadakan untuk berbincang bagaimana memajukan kampung tersebut untuk meningkatkan taraf kehidupan penduduk. 

... dan saya menjadi "bidan terjun" bertindak sebagai fasilitator...

Titi baru turut dibina menggunakan dana tersebut
bagi menggantikan titi lama (kanan)
Sesi dailog ADUN Kunak dengan penduduk Kg Kunak Jaya

Sebahagian dari penduduk Kg Kunak Jaya yang turut bersama
dalam sesi dailog bersama YB ADUN Kunak