Friday, May 28, 2010

BUKIT BATURONG - KHAZANAH NEGERI YANG DILUPAKAN

Lebihkurang 30 ribu tahun dahulu, lahar dari letupan Gunung Mostyn telah membentuk tembok pada Sungai Tingkayu. Akibatnya, tasik seluas 100 km persegi telah terbentuk di kawasan Lembah Tingkayu-Baturong. Bukit batukapur Baturong yang terletak pada koordinat U 04 41.479, T 118 01.021 menjadi sebuah pulau batukapur di tengah-tengah tasik itu.


Sekumpulan manusia telah datang, menetap dan hidup makmur di tebing Tasik Tingkayu itu.
Dua belas ribu tahun kemudian, tembok lahar itu telah pecah. Tasik menjadi kering dan penduduk di sekitar tasik kehilangan punca tangkapan ikan air tawar.
Seperti biasa apabila 'keadaan ekonomi' merundum, manusia akan bertebaran mencari punca rezeki yang lebih baik. Penduduk di tebing tasik telah berpecah ke segenap arah. Akhirnya, sekumpulan dari mereka sampai ke Bukit Baturong.
Lapan belas ribu tahun kemudian, pada 27 Mei 2010, satu rombongan seramai 60 orang diketuai oleh Datuk Nilwan Kabang, ADUN Kunak, telah meredah hutan ke Bukit Baturong. Turut serta dalam rombongan ialah Ketua Polis Daerah dan beberapa orang anggotanya, wartawan dari Daily Express, BERNAMA dan RTM.


Dengan menggunakan 11 buah kenderaan pacuan 4 roda, kami bertolak dari pekarangan rumah Datuk Nilwan pada pukul 8:40 pagi dan tiba di suatu lokasi dalam kawasan Sime Darby Plantation (lihat peta di atas) pada pukul 9:30 pagi. Dari sana kami berjalan kaki ke selatan meredah hutan. Setengah jam kemudian, kamipun tiba di pintu Gua Baturong.



Di hadapan pintu gua kedengaran suara-suara dari ahli rombongan mengucapkan takbir, memuji kebesaran Ilahi. Terbayang di benak keadaan manusia zaman dahulu kala yang pernah melalui daerah ini dengan tubuh berbalut kulit haiwan, bersenjatakan lembing mata batu, membawa pulang haiwan buruan bagi mengisi perut anak-isteri yang kelaparan. Aku menurunkan beg galas dari bahu, mengeluarkan lampu suluh dan kamera video lalu melangkah masuk ke dalam gua. Beberapa meter ke dalam gua, aku menoleh ke belakang dan merekam pergerakan rakan-rakan yang turut masuk ke dalam gua. Tidak semua membawa lampu suluh.




Keadaan di dalam amat gelap. Cahaya lampu suluh LED yang terletak pada topi di kepalaku amat sukar menembusi kegelapan itu. Aku hanya dapat menganggarkan saiz purata gua sebagai 20 kaki lebar dengan ketinggian antara 10 hingga 15 kaki.
Pada mulanya, aku agak kehairanan melihat bentuk stalagtit dan stalagmit dalam gua itu. Hujung stalagtit dan stalagmit dalam Gua Baturong adalah tumpul, tidak meruncing seperti yang terdapat di dalam kebanyakan gua batukapur. Kemudian, aku faham. Itulah bukti yang gua ini dahulunya telah ditenggelami air ketika wujudnya Tasik Tingkayu. Air telah menghakis hujung stalagtit dan stalagmit sehingga menjadi bulat atau leper.



Kicauan burung-burung walit kedengaran seperti bunyi mesin taip usang. Tuah menyebelahiku. Pada ssuatu stalagtit, sepasang burung walit bersarang rendah, cuma lebihkurang 6 kaki dari lantai gua. Aku menghampirinya dan merekamkannya menggunakan handycam bercahayakan lampu suluh yang aku bawa.


Beberapa meter ke Selatan aku bertemu pula seekor kelelawar gua yang juga bergayut rendah.



Lebihkurang selepas 15 minit berjalan di dalam, gua bercabang dua. Kami memilih cabang sebelah kanan. Sepuluh minit kemudian, lantai gua menurun dan keadaannya amat licin. Dari kejauhan, cahaya matahari menyelinap masuk. Lantai gua kemudian cerun menaik, juga sangat licin. Akhirnya, kamipun sampai ke bahagian selatan Bukit Baturong.


"Dimana letaknya patung sphinx yang pernah ditemui oleh pencari sarang burung walit?", tanya Datuk Nilwan kepada Encik Lauseng, seorang pekerja Ladang Baturong, yang bertindak sebagai penunjuk jalan.
"Khabarnya, di hujung Bukit Besar ke sebelah timur", jawab Encik Lauseng.
"Berapa kilometer dari sini", tanya Datuk Nilwan lagi.
"Kurang pasti, tuan", kata Encik Lauseng yang belum mengetahui bahawa sedari tadi dia telah berbual dan berborak dengan Yang Berhormat. 
Itulah Datuk Nilwan, yang apabila berada dalam suatu kumpulan, sedangkan dia adalah pemimpin kumpulan itu, maka dia tidak kelihatan sebagai pemimpin mereka. Dan apabila, dia berada dalam suatu kumpulan yang tidak ada pemimpin, maka dia kelihatan sebagai pemimpin mereka. 
"Tapi, ooooh jauuuh lagi!", sambung Encik Lauseng dengan logat kampunnya.
Setelah berunding, kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan mencari patung itu.

....BERSAMBUNG dalam BUKIT BATURONG-KHAZANAH NEGERI YANG DILUPAKAN BHG 2.
INSYA ALLAH.

Update: Sambungan di sini: Bhg 2 dan Sphinx Baturong

No comments: