Friday, April 29, 2011

Institut Penyelidikan Rumpailaut di Merotai: Bagaimana Cadangan Stesen Penyelidikan di Kunak?

Semasa melancarkan "Showcase Rumpailaut Negara 2011" di Tawau pada 28 April 2011, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar mengumumkan yang kementeriannya akan membina Institut Penyelidikan Rumpailaut Negara di Merotai bernilai RM15 juta menjelang tahun hadapan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun. Demikian, menurut laporan Utusan Borneo bertarikh 29 April 2011.


Cadangan untuk penyelidikan sedemikian telah dirancang untuk dijalankan di Parlimen Silam, amnya dan DUN Kunak khasnya, sejak tahun 2009 dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Parlimen Silam dan DUN Kunak. Cadangan itu yang diberi nama "Projek Pembangunan Ekonomi Rakyat" atau singkatnya, PROPER telah dilancarkan oleh Ahli Parlimen Silam, YB Haji Salleh Bin Kalbi pada 01 Oktober 2009 di Kunak. (laporan kanjut)

Video Sidang Media sempena pelancaran PROPER

Walau bagaimanapun setahun lebih berlalu, iaitu pada 04 April 2011, barulah ada susulan dimana beberapa pengkaji dalam bidang akuakultur dari UKM datang ke Daerah Kunak untuk melakukan tinjauan. (laporan lanjut). Rombongan yang diketuai oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM itu kemudian memaklumkan kepada ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang, akan kesediaan mereka untuk menjalin kerjasama untuk penubuhan Stesen Penyelidikan Rumpailaut di Kunak yang dianggarkan bernilai RM2 juta. Perkara itu kemudian diumumkan oleh Datuk Nilwan Ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-7 Persatuan Nelayan Kawasan Kunak pada 23 April 2011.


Dengan pengumuman penubuhan Institut Penyelidikan Rumpailaut di Merotai, apakah kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menganggap perlu lagi penubuhan Stesen Penyelidikan Rumpailaut di Kunak?

Melepas lagikah orang Kunak?

Saturday, April 9, 2011

Satu Lagi Ciri Jelas Yang Membezakan Telur Tiruan Dengan Telur Asli

Kemungkinan terdapatnya telur tiruan dijual bercampur dengan telur asli tidak boleh diketepikan. Ini bererti, tidak mustahil di antara 30 butir telur dalam sekotak yang kita beli di pasaran, kemungkinan terdapat beberapa butir telur tiruan. Oleh itu, setiap kali membuka kulit telur untuk digoreng atau dimakan selepas direbus, hendaklah kita pastikan ianya betul-betul telur asli agar kita tidak termakan bahan yang bukan sahaja memudharatkan kesihatan tetapi mungkin juga mengandungi 'gelatin' dari haiwan yang diharamkan.

Satu daripada ciri telur asli yang belum dapat ditiru oleh 'pembuat telur tiruan' ialah lapisan kulit tipis atau membren yang terdapat pada telur asli seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah.

Telur Asli mempunyai lapisan kulit dalam atau membren yang tipis
tetapi tidak pada telur tiruan




Thursday, April 7, 2011

Telur Tiruan Merbahaya :Bagaimana Membezakannya Dengan Yang Asli

Telur tiruan mengandungi bahan yang boleh memudharatkan kesihatan. 
Hari sudah larut malam dengan hujan kadangkala lebat, kadangkala sederhana. Dalam keadaan seperti itu, dengan cuaca dingin dan bunyi titisan air hujan pada bumbung seakan irama keroncong, biasanya mata ini mudah terpejam lena. Namun, berita TV pukul 8:00 malam tadi tentang kemasukan telur tiruan ke Pulau Pinang menyebabkanku terus terjaga. Yang demikian kerana anak-anak saya cukup menggemari "telur mata sapi". Untuk mengelakkan daripada memakan telur tiruan yang boleh memudharatkan kesihatan itu, cara untuk mengenali yang mana palsu dan yang mana asli mesti diketahui.



Menurut berita yang disiarkan melalui TV1 itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur tiruan itu pada harga RM11 di pasar Pulau Tikus di sini semalam. 

Presiden CAP, SM Mohamed Idris, berkata siasatan mendapati kulit telur palsu itu diperbuat daripada lilin parafin, serbuk gypsum dan kalsium karbonat manakala kuning telur dan putih telur menggunakan bahan daripada natrium alginat, alum, geletin, asid benzoik, kalsium klorida, air serta bahan pewarna makanan. 

"Komponen bahan kimia ini boleh menjejaskan kesihatan pengguna seperti mengganggu metabolisme, otak, sel saraf serta menjejaskan fungsi hati," katanya.

Cara-Cara Mengenali Telur Tiruan
  1. Kulit telur tiruan kelihatan lebih berkilat berbanding kulit telur asli, meskipun perbezaannya tidaklah begitu ketara.
  2. Cuba raba atau geserkan telur pada kulit anda. Kulit telur tiruan terasa lebih kasar berbanding telur asli.
  3. Telur tiruan berbunyi apabila digoncang (seperti bunyi air dalam botol kecil yang digoncang) kerana kandungan airnya terpisah dari bahan yang mengentalkannya.
  4. Isi telur asli berbau hanyir sedangkan isi telur tiruan tidak berbau atau berbau bahan kimia.
  5. Ketuk telur itu perlahan-lahan. Telur asli menghasilkan bunyi yang lebih nyaring berbanding telur tiruan.
  6. Apabila dibuka kulitnya, bahagian kuning dan putih pada telur tiruan bercampur dengan cepat kerana kedua-duanya diperbuat dari bahan yang sama.
  7. Apabila digoreng, bahagian kuning telur palsu merebak walau tidak disentuh.


Sebahagian dari proses membuat telur tiruan:
Menuang adunan bahan kimia ke acuan untuk membuat kuning telur palsu




Tuesday, April 5, 2011

Diary YB - Episod Banjir Kilat

Peristiwa yang digambarkan oleh ND Lala dalam lagunya Diari YB memang ada kebenarannya, sekurang-kurangnya ia berlaku kepada YB yang benar-benar berjiwa rakyat. Dihimpit masa untuk memenuhi jemputan, temujanji disamping tugas resmi. Keletihan minda dan fizikal untuk mendengar keluhan dan mencari jalan penyelesaian masaalah rakyat.

Berikut adalah secebis rutin harian yang biasa dilalui oleh ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang.


Pada Sabtu 2 April 2011, kira-kira pukul 7:20 malam hujan lebat telah turun mencurah-curah disertai dengan angin kencang. Hujan berterusan dan lebihkurang dua jam kemudian, saya mendapat panggilan telefon memberitahu bahawa YB Datuk Nilwan Kabang beserta beberapa orang pegawai dan kakitangan kerajaan telah turun ke kawasan yang dilanda banjir kilat di sekitar Kampung Getah dan Kampung Sungai Langgas.

Pada pandangan saya, Datuk Nilwan yang belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan jantung awal tahun ini, telah mendedahkan kesihatannya kepada risiko yang tinggi, kerana bimbang akan keselamatan penduduk di kawasan yang terjejas banjir tersebut. Beliau telah turun untuk memastikan langkah-langkah sewajarnya diambil untuk menghulurkan bantuan kecemasan kepada penduduk bila diperlukan. 

Gambar-gambar berikut yang di-email-kan  oleh Encik Halid Harun, Pemimpin Kemajuan Rakyat Kunak kepada saya, menunjukkan keadaan pada malam itu.

Keadaan sejuk pada bahagian kaki boleh menyempitkan
pembuluh darah menyebabkan agihan aliran darah tidak
sekata dan tertumpu ke bahagian tubuh yang lebih hangat



Pada awal pagi keesokan harinya pula YB perlu berangkat ke Kota Kinabalu untuk memenuhi temujanji dengan seorang pengarah pada pagi Isnin, 4 April dan kembali lagi ke Kunak pada sebelah petang untuk bertemu rombongan penyelidik yang bercadang menubuhkan stesen penyelidikan di daerah ini. Di sebelah malam, selain daripada menerima kunjungan penduduk yang datang meminta surat sokongan dan sebagainya, YB melayan tetamu dari UKM Bangi dengan jamuan makan malam.

Rumah Datuk Nilwan di Kunak sememangnya tidak berpagar, dan mudah bagi sesiapa sahaja untuk berkunjung. Awal pagi keesokan harinya, seperti dalam lagu ND Lala, sudah ramai tetamu menunggu. Selepas itu, dalam pukul 10:30 pagi, YB bermesyuarat pula dengan pengerusi-pengerusi JKKK sehingga pukul 3:20 petang. Oleh kerana terlambat makan tengahari, keadaan fizikal YB yang belum pulih sepenuhnya kelihatan amat lemah, maka barulah YB meminta izin orang-orang di sekelilingnya untuk berehat.

Kepada yang ada cita-cita untuk menjadi ADUN Kunak, itulah segelintir "tip of the iceberg" yang perlu tuan/puan sanggup lalui bila bergelar YB untuk kawasan N51 Kunak.

Monday, April 4, 2011

Air Terjun Sri Bahagia Kunak

Tidak ramai penduduk Kunak yang mengetahui kewujudan air terjun tiga tingkat ini. Ia terletak di kawasan Kampung Sri Bahagia. Saya hanya mendapat tahu tentang tempat ini setelah Pengerusi JKKK kampung tersebut, Encik Abdul Rahman Pase, menunjukkan gambar di bawah ini. 





Oleh kerana saya belum melihatnya sendiri maka saya tidak dapat memberikan gambaran terperinci mengenainya. Insya Allah setelah membuat lawatan dalam waktu terdekat ini, saya akan menceritakan mengenai Air terjun Sri Bahagia itu dengan lebih lanjut.

UKM Minat Tubuhkan Stesyen Penyelidikan Di Kunak

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berminat untuk menubuhkan stesyen penyelidikan di Pangi Kunak, khususnya yang berkaitan dengan teknologi akuakultur. Perkara ini dinyatakan oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Professor Dr Sahrim Hj Ahmad selepas beliau dan enam orang penyelidik dari universiti tersebut melakukan lawatan tinjauan ke perairan Daerah Kunak pada pagi Isnin 04 April 2011.

Lawatan rombongan tersebut diiringi oleh Pegawai Daerah Kunak, Encik Susilo Sumarto, yang juga mewakili ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang. Turut mengiringi rombongan ialah Pegawai Perikanan Daerah, Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan Kunak dan beberapa orang kakitangan beliau serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Lawatan bermula dari jeti Kampung Pangi Tengah ke Pulau Burung, dan dari pulau terumbu tersebut  berpatah balik ke Pantai Sapang Air sebelum kembali ke jeti Kampung Pangi Tengah.
Pulau Burung
Pokok "Bonzai Semulajadi" di Pulau Burung 
Rombongan Lawatan
Gamat dari Daerah Kunak kini diekspot ke Langkawi
Menurut Prof Dr Sahrim, stesyen penyelidikan yang dicadangkan adalah bertujuan untuk membantu pengusaha bidang akuakultur di perairan Kunak khususnya, dan Teluk Lahad Datu amnya, untuk meningkatkan mutu dan kuantiti hasil pengeluaran, mempelbagaikan produk hiliran, seterusnya meningkatkan pendapatan. Pihaknya akan mengemukakan cadangan tersebut kepada pihak Kerajaan Negeri Sabah untuk dipertimbangkan.

Ketika ditanya mengenai kegiatan ekonomi berasaskan akuakultur di Daerah Kunak, Pegawai Daerah menjelaskan bahawa terdapat banyak perusahaan pemeliharaan rumpai laut di sepanjang pesisiran pantai Daerah Kunak, termasuk yang diusahakan oleh peserta Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Atas Air di Pangi. Sebuah kilang memproses rumpailaut juga telah dibina, namun bekalan rumpailaut dari daerah ini tidak mencukupi permintaan kilang tersebut dan terpaksa mengambil bekalan tambahan dari kawasan di luar Daerah Kunak. Tambah beliau, Kunak juga kini membekalkan gamat kepada pengusaha gamat di Langkawi.