Dua lokasi utama yang menjadi kawasan kediaman dan kegiatan masyarakat Kunak di awal tahun 1960an ialah Mostyn dan Pengkalan. Mostyn sebagai pusat utama penghasilan produk untuk ekspot manakala Pengkalan berperanan sebagai "point of entry". Pengangkutan melalui laut adalah satu-satunya sistem pengangkutan yang menghubungkan daerah ini dengan dunia luar.
Pengkalan pada masa itu hanya terdiri daripada deretan rumah kongsi untuk pekerja dan setor bagi menyimpan produk untuk ekspot, yang dibina oleh syarikat-syarikat kayu balak dan perladangan. Lihat semuakunak.blogspot untuk cerita lanjut mengenai kawasan ini.
Di Mostyn telah wujud sebuah kawasan kompleks kegiatan masyarakat yang cukup lengkap untuk memenuhi keperluan corak kehidupan masyarakt masa itu. Kompleks itu atau "komplak", mengikut istilah yang biasa digunakan oleh penduduk setempat dan sezaman, lengkap dengan kawasan perumahan, surau, kedai runcit, panggung wayang, panggung dendang, sekolah, dua deret gerai warung, padang bolasepak, lapangan badminton, lapangan bola keranjang, klinik dan wad, serta tidak ketinggalan - kelab tombola.
Pada awalnya kesemua kawasan yang meliputi rangkaian kemudahan itu semata-mata dikenali sebagai Mostyn, tanpa istilah kampung, ladang dan sebagainya. Setelah bilangan pekerja di Mostyn meningkat maka rumah-rumah baru dibina di lokasi lain tidak jauh dari kompleks. Maka timbullah istilah 'Komplak Lama' yang merujuk kepada kompleks awal dan 'Komplak Baru' yang merujuk kepada kawasan perumahan baru itu.
Pada pertengahan tahun 1960an satu lagi kawasan perumahan baru dibangunkan, menyebabkan istilah Komplak Lama dan Komplak Baru tidak lagi relevan, sebab Komplak Baru bukan lagi baru. Dari situlah bermulanya penggunaan istilah kampung di Mostyn.
Komplak Lama diberi nama Kampung Lama, Komplak Baru menjadi Kampung Juita dan kawasan perumahan ketiga dipanggil Kampung Merpati, sempena nama burung yang banyak dipelihara oleh penghuni awal perumahan tersebut.
Di bawah ini ialah dua imej, pertama imej dari Google Earth yang menunjukkan kedudukan bangunan utama di Mostyn pada awal tahun 1960an dan yang kedua imej asal, iaitu keadaan pada masa kini.
Gambar 1: Kedudukan bangunan utama di Mostyn awal tahun 1960an |
Gambar 2: Imej asal dari Google Earth menunjukkan keadaan semasa |
Berikut adalah keterangan, berdasarkan memori saya (yang pada masa itu belum pun layak memasuki alam persekolahan), mengenai tempat-tempat yang ditunjukkan dalam Gambar 1, dari kiri atas:
- Kebun Loh Yap : Kawasan tanah yang diusahakan oleh sepasang suami-isteri dari etnik Cina. Tanaman utama ialah sayur-sayuran. (Insya Allah, cerita lanjut pada bahagian lain siri ini)
- Tanah Perkuburan Kristian: Masih wujud sehingga hari ini.
- Tanah Perkuburan Islam: Masih wujud sehingga hari ini.
- Bukit Batu: Dahulu cukup tinggi. Dipuncaknya terpacak sebatang kayu bilian besar dengan garispusat lebihkurang 3 kaki dan tinggi 30 kaki. Kawan-kawan sepermainan ada yang menganggap kayu bilian itu sebagai tempat Jepun menghukum gantung musuh mereka. Pada pandangan saya, ia merupakan pos pemandangan dimana petugas keselamatan samada Jepun atau British akan memanjat dan memantau keadaan sekeliling. Keadaan di Pengkalan dan sekitarnya dapat dilihat dari puncak bukit walau tanpa memanjat tiang kayu bilian itu.
- Kolam : Merupakan tempat bertakungnya air dari perparitan kompleks sebelum terus ke anak sungai di kakibukit Bukit Batu. Tanpa mengetahui asal-usul kolam itu, di situlah kami belajar berenang pada zaman kanak-kanak.
- Perumahan Pekerja: Diperbuat daripada kayu dengan bumbung kayu bilian diraut tipis. Setiap unit didiami oleh dua keluarga. Untuk setiap empat unit rumah disediakan pusat bilik air yang mempunyai beberapa tandas jenis lubang langsung, bilik mandi dan ruang membasuh pakaian.
- Rumah Ah Hong: Rumah yang didiami oleh keluarga Ah Hong, etnik Cina. Keluarga ini mempunyai ternakan babi dalam kandang. Hasil ternakan diekspot ke luar daerah. Bersebelahan rumah Ah Hong ialah rumah Huang Seng, seorang lelaki Cina yang kami (golongan kanak-kanak masa itu) anggap sebagai eccentric. Bersempena nama lelaki itu, kolam takungan air di belakang rumahnya kami beri nama "Sungai Huang Seng".
- GPS Mostyn: GPS = Government Primary School. Pada mulanya, murid-murid sekolah ini menumpang di bangunan Panggung Dendang. Dua buah bangunan berlantai konkrit kemudian didirikan dan bermulalah sejarah Sekolah Kebangsaan Mostyn.
- Warung: Disediakan untuk keluarga pekerja ladang menjalankan perniagaan dua kali dalam sebulan.
- Panggung Wayang Lama: Bangunan Pawagam Mostyn sebelum berpindah ke bangunan berhadapan GPS Mostyn.
- Panggung Dendang: Hiburan tari-menari diadakan di tempat ini dua kali sebulan.
- Surau: Disediakan untuk pekerja beragama Islam.
- Rumah Imam: Kediaman imam.
- Pokok Asam: Pokok asam yang cukup besar dan jarang tidak mempunyai buah.
- Gelanggang Badminton: Gelanggang terbuka untuk permainan badminton.
- Tombola: Tempat perjudian tombola. Pada waktu itu belum ada "ekor". Orang yang keciciran duit syiling di tempat ini tidak akan tunduk untuk mengutipnya. Jadi kepada peminat syiling antik, bolehlah cuba nasib di kawasan tersebut.
- Pokok Getah: Satu-satunya pokok getah di Mostyn. Biji getah menjadi alat permainan laga-biji (biji getahlah) oleh kanak-kanak.
- Kedai Tinggi: Masih wujud hingga ke harini.
5 comments:
teringin mahu dengar cerita selanjutnya pasal Loh Yap.
masa dulu zaman kanak-kanak, orang tua selalu sebut nama 'Loyak'si apek itu, mungkin itu dimaksudkan sebagai Loh Yap oleh Kunakians.
KP, Loh Yap itulah yg dipanggil orang tua kita dulu sebagai si Loyak. Apa cerita yang KP dengar pasal apek tu? Kalau cerita pasal dia gantung diri, di pondok kebunnya, memang benar. Selama beberapa bulan selepas kejadian itu,...ishh! seram pulak.
Insya Allah cerita lanjut pada entri akan datang.
Terimakasih atas minat KP.
Terminat dengan cerita si Loyak mengimbas kenangan zaman budak - budak di Kg Merpati. Loyak apek tua rajin si penjual limau manis dengan bakul raganya depan belakang memudahkan anak - anak nakal (termasuk saya juga) mencuri limau jualannya. Loyak ini tinggal bersama isterinya di kebunnya bersebelahan kubur berhadapan Sg. Wangseng (kolam). Kebunnya banyak buah limau...
terkenang pula kegemaran dulu-dulu yang suka mandi di (kolam)Sg. Wang Seng. Di sebelah kolam itu terdapat pokok terap yang manis buahnya. Musim buah akan menjadi musim paling seronok, ingatkah lagi di hutan sebelah bukit batu tu banyak pokok 'mata kuching'? Mide adalah jagoan panjat pokok terap...he..he
Tp sapa plak yg buka pertama ladang mostyn
Post a Comment