Meskipun usaha kami mencari dan merekodkan koordinat Sphinx Bukit Baturong pada 27 Mei 2010 tidak berjaya namun semakin ramai yang mendakwa pernah melihat patung purba berkenaan tampil memberi maklumat dan deskripsi mengenainya.
Ada segelintir yang percaya bahawa patung itu berpuaka dan hanya dapat dilihat oleh mereka yang bukan sengaja mencarinya.
"Kalau abang masuk ke sana (kawasan Bukit Baturong) dengan tujuan mahu mencarinya, memang tidak akan bertemu", kata seorang daripada mereka dengan nada serius. "Yang abang maksudkan tu sebenarnya bukan patung tetapi penunggu yang menjaga keranda-keranda dalam gua".
Saiz patung pada amnya dianggarkan setinggi 5 kaki pada paras bahunya. Air dikatakan menitis ke atas kepalanya memberi kemungkinan bahawa patung tersebut telah diukir daripada stalagmit yang terbentuk akibat mendapan batukapur yang larut dalam titisan-titisan air itu selama ribuan tahun.
"Bagaimana bentuk mukanya? Adakah seperti wajah manusia moden?" tanyaku kepada Encik 'S' yang pernah melihat patung tersebut dalam tahun 90an.
"Tidak," jawabnya dengan senyum. "Wajahnya seakan-akan wajah patung Lata dan Uzza yang biasa kita lihat dalam drama-drama Mesir di bulan Ramadhan."
"Saiznya?"
"Besar sedikit daripada bapa kambing tapi lebih kecil daripada lembu."
Seorang rakan di facebook pula, juga pernah melihat patung itu, membandingkan saiznya seperti seekor harimau.
Semalam, Encik 'D' menelefon, memberitahu bahawa seorang kenalannya berkata bahawa kali terakhir dia melihat patung itu, kepala patung telahpun dipisahkan dari badannya dan berada di jurang pada kaki bukit.
"Dia bersedia menunjukkan tempat badan patung itu kalau abang mahu kembali mencarinya", jelas 'D'. "Sayapun mahu turut serta".
"Insya Allah", jawabku."Saya memang berhasrat untuk terus mencari warisan sejarah masyarakat kita itu".
Dari beberapa deskripsi maka bentuk dan wajah Sphinx Bukit Baturong dalam imajinasi saya adalah seperti dalam gambar di bawah ini. Komen dari pembaca budiman yang pernah melihat patung tersebut amat dialu-alukan.
No comments:
Post a Comment