Thursday, December 31, 2009

TAHUN 2010 - TAHUN BIODIVERSITI

Tahun 2010 akan bermula esok, iaitu hari Jumaat. Kebetulan pula tahun baru Hijrah juga jatuh pada hari Jumaat, iaitu pada 18 haribulan yang lepas.
Dalam Kalendar Gregorian, ia merupakan tahun ke-2010 bagi Era Biasa (Common Era), atau Anno Domini; tahun ke-10 bagi millennium ke-3 dan abad ke-21; dan yang pertama bagi dekad 2010an.
Sebagaimana yang telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tahun 2010 merupakan Tahun Biodivesiti Antarabangsa. Ia merupakan tahun yang dirancang untuk dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang meraikan dan menghargai sumbangan biodiversiti dan kepentingannya. Diharapkan ia dapat menimbulkan kesedaran akan pentingnya biodiversiti seantero dunia. Usaha dari semua pihak diperlukan untuk membantu memulihara biodiversiti. Melalui aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan di  banyak negara, komuniti global akan bekerjasama bagi menjamin masa depan yang mapan bagi kita semua.
Umat manusia adalah sebahagian daripada kekayaan kepelbagaian alam semulajadi dan memiliki kemampuan untuk melindunginya dan juga memusnahkannya.
Biodiversiti, iaitu kepelbagaian hidupan di permukaan Bumi, adalah mustahak bagi kelangsungan rangkaian dan sistem kehidupan yang menyumbang kepada kesihatan, kekayaan, makanan, bahan bakar serta perkhidmatan yang menjadi tunjang kehidupan kita.




Kegiatan manusia telah menyebabkan kemusnahan yang semakin meningkat terhadap kepelbagaian hidupan di Bumi. Kehilangan itu tidak dapat ditemui kembali, menyebabkan kita berada dalam keadaan kekurangan dan mengakibatkan sistem sokongan hidupan harian kita terganggu.
Antara matlamat utama Tahun Biodiversiti Antarabangsa ialah:

  • Meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan memulihara biodiversiti dan risiko yang sedang mengancam biodiversiti.
  • Meningkatkan pengetahuan tentang kejayaan yang telah dicapai oleh masyarakat dan kerajaan dalam usaha pemuliharaan biodiversiti.
  • Memacu penyelesaian innovatif bagi mengurangkan risiko ancaman ke atas biodiversiti.
  • Menggalakkan individu, organisasi dan kerajaan untuk mengambil langkah-langkah segera bagi menghentikan kehilangan biodiversiti.
"Selamat Menyambut Tahun 2010"


Wednesday, December 30, 2009

KUMPULAN PENGUSAHA PKS KG CENDERAWASIH JUARA SEPANDUK MAAL HIJRAH

Ma'al Hijrah disambut secara sederhana di Daerah Kunak pada Jumaat, 01 Muharram 1431 H bersamaan 18 Disember 2009.
Seawal pulul 7:00 pagi Umat Islam dari segenap lapisan masyarakat telah berkumpul di perkarangan Dewan Sri Kunak. Puluhan sepanduk dipertandingkan namun tiada perarakan dilakukan.
Selepas sepanduk-sepanduk dinilai oleh para juri, Pegawai Daerah mengiringi ADUN Kunak, Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang untuk beramah mesra dengan para peserta. Selepas itu, hadirinpun masuk ke dewan untuk mendengar ceramah dan juga menyaksikan persembahan nasyid.

Pertandingan sepanduk dibahagikan kepada 4 kategori, iaitu Kategori Persatuan dan Kumpulan yang dijuarai oleh Kumpulan Pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kampung Cenderawasih, Kategori Jabatan-Jabatan Kerajaan yang dimenangi oleh Jabatan Pelajaran Daerah Kunak, Kategori Perladangan dan Kilang dimenangi oleh Sime Darby Mostyn manakala johan Kategori Kampung ialah Kampung Sungai Atas.

BAGAIMANA PLANET MARS MENJADI TANDUS

Suatu ketika dahulu, keadaan di Planet Mars hampir-hampir menyerupai keadaan bumi. Ia mempunyai lautan dan benua. Juga terdapat "makhluk" yang menghuninya.
Namun begitu, suatu malapetaka telah berlaku menyebabkan planet yang paling hampir dengan bumi itu menjadi tandus. Malah, bentuknya juga berubah menjadi lebih lonjong dan tidak sekata.
Saksikan bagaimana ia berlaku dalam klip video di bawah ini.



Thursday, December 10, 2009

HIJRAH: SELAMAT TINGGAL TUVALU, SELAMAT BERPISAH MALDIVES

Dewasa ini, erti penghijrahan yang barangkali paling banyak bermain di fikiran ialah bagi penduduk dua buah negara kepulauan terumbu, iaitu Tuvalu dan Maldives.



Tuvalu atau dahulunya dikenali sebagai Kepulauan Ellice, ialah sebuah negara kepulauan di Lautan Pasifik, terletak di antara Hawaii dan Australia dan terdiri daripada 9 kumpulan pulau terumbu.


Dengan bilangan penduduk seramai 12,000 orang, Tuvalu merupakan negara berdaulat ketiga paling sedikit penduduk, selepas Vatican City dan Nauru. Keluasan daratan Tuvalu cuma 26 kilometer persegi menjadikan ia negara keempat paling kecil selepas Vatican City (0.44 km persegi), Monaco (1.95 km persegi) dan Nauru (21 km persegi).


Secara purata daratan Tuvalu berada hanya 2 meter di atas paras laut dengan daratan paling tinggi ialah 4.5 meter. Ini menjadikan Tuvalu negara kedua berada pada paras paling rendah selepas Maldives yang purata ketinggiannya hanya 1.5 meter dengan daratan paling tinggi pada paras 2.3 meter.


Berikutan dengan masalah pemanasan global, penduduk Tuvalu menjadi resah. Peningkatan paras air laut pada masa kini ialah pada kadar antara 2.4 hingga 3.8 millimeter setahun. Kenaikan paras air laut itu sebahagian besarnya berpunca akibat pemanasan global.


Pemanasan global menaikkan paras air laut dengan dua cara, iaitu pengembangan isipadu air dan pencairan blok-blok ais dan “glacier” di kutub. Sebilangan saintis menganggarkan bahawa dengan kadar pemanasan yang berlaku sekarang, paras air laut akan meningkat sehingga 1.3 meter dalam kurun akan datang.


Jika anggaran ahli-ahli sains itu menjadi kenyataan, Maldives hanya tinggal 20 sentimeter manakala Tuvalu hanya 70 sentimeter di atas air. Sebahagian besar daratan kedua-dua negara tersebut akan ditenggelami air dan daratan yang tinggal akan diresapi oleh air laut. Keadaan tanah akan terlalu masin dan tiada tumbuhan yang boleh hidup.


Meski berat hati untuk meninggalkan tanah tumpah darah mereka, namun mereka terpaksa jua berhijrah ke kawasan yang lebih selamat.


Kemanakah 310 ribu penduduk Maldives dan 12 ribu penduduk Tuvalu akan membawa diri demi meneruskan kehidupan? Negara manakah yang sanggup menerima mereka? Atau adakah mereka akan tenggelam ke dasar laut bersama negara mereka?


Persoalan-persoalan sedemikian sedang menghantui fikiran 322,000 umat manusia di kedua negara itu. Yang menyedihkan, bagi dua buah negara ini ialah isu pemanasan global yang menjadi punca masalah, bukanlah datang dari mereka. Sebaliknya masalah itu adalah akibat dari aktiviti negara-negara maju yang banyak mencemarkan udara.


Kebanyakan penduduk Tuvalu sudah bersiap-sedia untuk berhijrah. New Zealand dan Australia merupakan dua negara utama yang menjdi pilihan mereka. Ada pula yang rela tenggelam bersama Tuvalu yang mereka cintai.





Bagi Maldives pula, presidennya, Mohamed Nasheed telah mengatur rancangan membeli kawasan tanah di negara-negara lain menggunakan pendapatan kewangan yang diperoleh dari hasil industri pelancongan. Ke situlah rakyatnya akan dipindahkan jika akhirnya perubahan iklim mengakibatkan tenggelamnya negara mereka.


Keindahan Tuvalu dan Maldives akan hanya tinggal kenangan dalam memori umat manusia.


Selamat tinggal Tuvalu, Selamat jalan Maldives.

Tuesday, December 8, 2009

HIJRAH: DARI SYURGA KE AFRIKA KE PENAKLUKAN DUNIA

Kewujudan manusia sejak azali telah diiringi dengan naluri untuk berhijrah yang didorong oleh keadaan-keadaan tertentu. Kebanyakan sebab atau dorongan untuk berhijrah adalah untuk mencari keadaan penghidupan yang lebih baik atau mengelakkan dari keadaan yang sukar atau menyeksakan. 
Hijrah manusia yang pertama ialah penghijrahan Adam dan Hawa dari syurga abadi ke dunia fana, namun ia bukanlah didorong oleh keadaan untuk mencari penghidupan yang lebih baik atau mengelakkan keadaan yang menyeksakan. Sebaliknya, moyang umat manusia itu telah diperintah keluar dari syurga oleh Allah SWT.
Jika dikaitkan dengan kajian-kajian antropologi, moyang manusia memulakan penghidupan di bahagian timur Selatan Afrika antar 120 ribu hingga 150 ribu tahun yang lalu. Perubahan cuaca telah menyebabkan kawasan kediaman mereka semakin gersang. Haiwan buruanpun semakin berkurangan. Masalah kelaparan mula melanda.
Beberapa kumpulan dari kalangan mereka telah cuba mencari jalan keluar ke kawasan baru. Percubaan-percubaan awal adalah melalui perjalanan darat ke bahagian utara benua Afrika, namun selalu menemui kegagalan kerana mereka tidak dapat menakluk keadaan Gurun Sahara yang sentiasa membakar.
Beberapa keluarga menyusur pantai timur benua Afrika. Di sepanjang perjalanan hasil tangkapan dari persisiran pantai, iaitu ikan, kerang dan lain-lain, menjadi sumber makanan.
Sekitar 70 ribu tahun dahulu, mereka tiba di pantai Selat Babul Mandeb.  Dari kejauhan kelihatan daratan Yaman menghijau, sangat berbeza dengan keadaan gersang padang pasir di tempat mereka berdiri.
Pada masa kini, keluasan Selat Babul Mandeb di Laut Merah lebihkurang 20 kilometer, namun pada masa itu ianya lebih sempit dan paras laut dikatakan 70 meter lebih rendah. Di antaranya terdapat pulau-pulau kecil yang boleh digunakan sebagai tempat persinggahan ketika menyeberang, samada berenang, menggunakan rakit atau sesuatu yang boleh terapung.
Untuk seketika mereka menetap di pantai itu dan meneruskan kehidupan dengan hasil tangkapan laut. Namun, kehijauan daratan Yaman seakan memanggil. Tangkapan dari laut semakin berkurangan. Tangisan kanak-kanak yang kelaparan semakin mendesak. Akhirnya, mereka nekad. Untuk kelangsungan generasi umat manusia, mereka mesti merentas laut. Mereka perlu berhijrah ke tanah yang lebih menjamin masa depan.
Persiapan seadanya dilakukan. Segala yang boleh terapung dikumpul. Kayu-kayan, ranting mahupun jerami yang dibawa hanyut dari Yemen ke Pantai Djibouti dipungut lalu diikat menjadi rakit. Kanak-kanak, kaum wanita dan mereka yang lemah dinaikkan ke rakit atau didukung oleh mereka yang lebih gagah. Penghijrahanpun bermula.
Walau ada yang terkorban dalam perjalanan itu, namun sebahagian besar dari rombongan itu berjaya tiba di pantai Yaman. Bilangan mereka dianggarkan dalam lingkugan 250 orang yang terdiri dari beberapa kumpulan atau keluarga.

Keriangan jelas di wajah mereka. Benarlah seperti yang telah merka bayangkan. Dunia baru ini lebih hijau. Di sini air tawar lebih mudah diperolehi begitu juga dengan haiwan buruan.
Bermulalah suatu harapan baru untuk kelangsungan hidup umat manusia. Hijrah untuk menakluk bumi telahpun bermula.



Sunday, December 6, 2009

HIJRAH: CONTOH KEPIMPINAN UNGGUL RAKYAT DIDAHULUKAN

Lebihkurang 10 hari lagi kita akan menyambut ulangtahun ke-1431 penghijrahan Rasul Allah SAW beserta orang-orang yang beriman dari Mekah ke Yathrib.


Kerana dakwahnya yang mengajak manusia ke jalan kebenaran, kedudukan Baginda di Mekah semakin terancam. Begitu pula usaha beliau untuk menempatkan umat Islam di Taif telah mendapat sambutan dingin. 


Nabi Muhammad SAW telah bertemu dengan sekumpulan penduduk dari Yathrib (yang kemudian ditukar nama kepada Medina), yang menyedari bahawa kebijaksanaan baginda boleh membantu mereka menyelesaikan masalah perpecahan yang sedang mereka hadapi. Mereka lalu memeluk Islam dan menyebarkannya di kalangan penduduk Medina. 


Pada tahun 622M, rombongan yang lebih besar  dari Medina telah datang kepada Rasulullah SAW menyatakan sokongan dan mempelawa beliau beserta orang-orang yang beriman untuk berhijrah ke Medina. 


Rasululullah SAW pun mengarahkan pengikut-pengikut baginda untuk segera berhijrah.
Sebagai pemimpin yang dilantik oleh Allah baginda telah menunjukkan sikap kepimpinan yang agung. 


Di saat-saat getir dengan tindakan kaum kafir yang cuba menghalang penghijrahan itu, baginda mengambil keputusan untuk memastikan yang semua umat islam telahpun selamat keluar dari Kota Mekah. Baginda yang ditemani Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq adalah orang yang terakhir berhijrah.


Itulah contoh kepimpinan agung yang benar-benar mendahulukan rakyat. 

Saturday, December 5, 2009

SEMINAR DAKWAH ZON PANTAI TIMUR SABAH 2009

Kunak 05 Disember -- Umpama seorang yang celek di kalangan kumpulan orang-orang buta. Begitulah perumpamaan yang diberikan oleh Presiden HALUAN Malaysia, Profesor Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman kepada Malaysia di kalangan negara-negara Islam. Menurut beliau, Malaysia mampu membangun dan memakmurkan rakyatnya kerana perpaduan di kalangan penduduknya yang masih utuh.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya di Seminar Dakwah Zon Pantai Timur Sabah 2009 bertempat di Masjid Datuk Zainal Gunung di Kunak.
“Seramai 1.3 billion umat Islam di seluruh dunia adalah bilangan yang besar, namun bilangan yang besar ini berada dalam keadaan lemah. Ini adalah kerana umat Islam di kebanyakan negara-negara Islam yang lain dalam keadaan berpecah-belah’, kata Prof Abdullah.
Pandangan beliau turut dikongsi oleh ADUN Kunak, Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang, dalam ucapan perasmiannya.
“Umpama lima jari di tangan kanan, setiap satu jari mudah dilentuk dan dipatah-patahkan”, kata Datuk Nilwan memberi satu lagi perumpamaan. “Namun bila kesemua jejari itu disatukan dan dipadukan ia akan menjadi sesuatu yang mampu merebahkan penceroboh”.
“Oleh itu, adalah amat penting bagi umat Islam di Malaysia sentiasa berusaha mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dan kerjasama agar agar agenda pembangunan negara dapat direalisasikan”, tambah Datuk Nilwan.

Seminar yang disertai oleh lebihkurang 200 orang ini dianjurkan bersama oleh HALUAN Malaysia, ADUN N51 Kunak, USIA Bahagian Kunak, JHEAINS Kunak dan AJK Masjid Raya Kunak dengan dan dibiayai oleh JAKIM Sabah.

Friday, December 4, 2009

GULA

Kunak 04 Disember--Pengusaha dan penjaja kuih-muih tradisioal hari ini menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak menarik balik subsidi gula dalam waktu terdekat. Ini adalah kerana kebanyakan kuih-muih tradisional tempatan menggunakan gula sebagai sebahagian daripada bahan untuk membuatnya.

Pengumuman oleh Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Tan Lian Hoe yang dipetik oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini antara lain menyebut bahawa harga gula akan kekal seperti keadaan semasa dan kerajaan tidak berhasrat untuk menarik subsidi gula dalam tempoh terdekat.

Menurut Datuk Tan, kementeriannya telah mengesan peningkatan permintaan komoditi berkenaan berikutan pengumuman pada Selasa lepas oleh Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Yaakob mengumumkan yang kementeriannya akan mengkaji cadangan beberapa pihak agar subsidi gula ditarik balik sebagai langkah mengurangkan pengambilan gula di kalangan rakyat Malaysia. 


"Pada ketika ini kementerian belum membuat sebarang cadangan kepada Kabinet (mengenai penarikan balik subsidi gula). Jadi kami beri jaminan yang harga gula kekal sepertimana sekarang.

"Jadi kita harap kerjasama semua pihak termasuk peniaga dan pengguna supaya janganlah beli gula secara berlebihan dan jangan ada yang menyorok untuk dapatkan keuntungan sebab pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serius terhadap mereka yang melakukan kegiatan ini," kata Datuk Tan.

PAHIT MANIS TENTANG GULA

Kita memang menggemarinya, malah, sejak zaman kanka-kanak lagi kita memang menyukai gula, terutama gula-gula. Namun begitu semakin banyak yang kita dengar tentang keburukan pengambilan gula yang berlebihan. 


Seperti kebanyakan perkara lain yang kita gemari, sedikit gula dalam pemakanan seharian adalah baik dan jika berlebihan akan memudaratkan. 


Gula dikatakan boleh membuat kita gemuk, menyebabkan daibetes dan menimbulkan ketagihan. Ada juga laporan yang mengatakan bahawa mengelakkan pengambilan gula samasekali (termasuk gula semulajadi seperti yang terdapat dalam buah-buahan), seperti yang diamalkan oleh sesetengah mereka yang dalam “diet” memang membantu mengurangkan berat badan dalam tempoh tertentu, tetapi kerap menyebabkan timbulnya tingkahlaku yang pelik seperti panas baran, suka meracau dan sebagainya. Kadangkala pula boleh menyebabkan buasir. 


Persoalannya ialah berapa banyak gula yang patut kita guna dalam pemakanan seharian?

Seperti yang dipaparkan dalam klip video di bawah ini, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesyorkan tidak melebihi 10 sudu the sehari.




Pilihan yang lebih baik ialah manisan semulajadi seperti buah-buahan dan jus atau air tebu asli.