Wednesday, November 24, 2010

ADUN Kunak Minta Gerai Simpang Empat Diganti R & R

Hari ini, Rabu 24 November 2010 ialah hari ketiga perbahasan oleh wakil-wakil rakyat Sabah ke atas Bajet Negeri Sabah 2011 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri YAB, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman. ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang yang turut membahas telah mengemukakan beberapa cadangan pembangunan. Satu daripadanya ialah permohonan untuk membina sebuah kawasan Rehat dan Rawat (R & R) bagi menggantikan gerai Simpang Empat di Kunak. Berikut adalah petikan ucapan bahas oleh Datuk Nilwan ketika menghuraikan peranan dan kepentingan Gerai Simpang Empat Kunak dalam membantu meningkatkan ekonomi rakyat setempat:

Tuan Speaker,
22.         Saya amat berbesar hati dan berterimakasih kepada kerajaan negeri dan persekutuan atas pembangunan infrastuktur dan kemudahan asas di Daerah Kunak. Sesungguhnya, daerah ini telah mengalami perubahan fisikal yang amat ketara dalam tempoh Rancangan Malaysia ke9.
23.         Jelmaan rasa kesyukuran dan penghargaan oleh penduduk Kunak terhadap pembangunan ini dapat dilihat melalui cara mereka mengolah pembangunan infrastruktur itu sehingga mewujudkan ruang untuk peningkatan pendapatan serta peluang-peluang perniagaan.
Gerai Simpang Empat Kunak menjadi tumpuan pemandu untuk
berhenti rehat seketika dan membeli makanan dan minuman ringan

Pelancong dari luar negara antara pengunjung Gerai Simpang Empat

Pusat Rehat dan Rawat (R & R)

24.         Deretan 40 unit gerai yang dibina sendiri oleh penduduk berhampiran bulatan utama Kunak yang menghubungkan Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Pekan Kunak semakin hari semakin menjadi tumpuan ramai. Ia telah mencetuskan suatu tindakbalas rantaian (chain reaction) yang membantu meningkatkan pendapatan rakyat berbagai lapisan. Ia sekaligus menyokong matlamat utama dan tema Bajet Nasional 2011 iaitu, Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi.
25.         Impak gerai berhampiran bulatan utama daerah Kunak itu sebagai pencetus tindakbalas rantaian ke atas kemakmuran ekonomi rakyat adalah menyeluruh dan seperti berikut:
Pertama dan jelas, ia secara langsung membantu meningkatkan pendapatan keluarga pengusaha gerai.
Kedua, gerai tersebut telah membuka ruang pemasaran untuk produk-produk tempatan, seterusnya merangsang kreativiti dan inovasi untuk penghasilan produk-produk baru serta nilai tambah kepada produk sedia ada. Dua usahawan dari daerah Kunak, hasil dari tindakbalas rantaian ini telah terpilih mewakili Jabatan Pertanian Negeri Sabah dalam Pameran sempena Sambutan Hari Peladang, Nelayan dan Penternak peringkat Negeri Sabah baru-baru ini.
Ketiga, penghasilan produk baru seterusnya mewujudkan permintaan tinggi terhadap bahan mentah keluaran tempatan. Ini membolehkan petani, nelayan dan penternak mendapatkan pasaran hasil dengan harga lebih berpatutan. Pasaran yang baik itu seterusnya memberikan motivasi kepada mereka untuk terus berusaha meningkatkan produktiviti serta menambah kepelbagaian hasil bahan mentah.
26.         Memandangkan kepada sumbangan besar deretan gerai berkenaan kepada pembangunan ekonomi maka tidak wajarlah ia terus dibiarkan dalam keadaan daif seperti sekarang ini sebagai gerai gubuk. Justeru, Pendekatan Baru untuk RMK10 yang memberikan tumpuan khas kepada 2 tahun pertama amat dialu-alukan dimana penyediaan awal serta persiapan yang menyeluruh untuk projek-projek baru dilakukan pada tahun pertama iaitu tahun 2011 manakala pelaksanaan program secara fizikal pada tahun berikutnya.
27.         Selaras dengan pendekatan ini maka saya memohon agar penyediaan serta persiapan menyeluruh dilakukan dalam tahun 2011, untuk mentransformasi gerai gubuk berhampiran bulatan utama daerah Kunak kepada suatu Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) merangkumi premis perniagaan, surau, kawasan riadah, tandas, tempat letak kereta dan sebagainya.


Datuk Nilwan juga memberitahu bahawa R & R yang dicadangkan itu akan turut membantu mengurangkan insiden kemalangan yang kerap berlaku di sepanjang jalan raya yang menghubungkan Kunak dengan Lahad Datu. Beliau menegaskan perkara tersebut ketika membahas perihal kepentingan laluan tersebut yang dijangka mendadak meningkat mulai tahun hadapan. Datuk Nilwan melanjutkan perbahasan seperti berikut:

"Tuan Speaker,
 28.         Kenyataan YAB Ketua Menteri dalam pembentangan Bajet 2011 bahawa kerajaan hari ini telah melakukan yang terbaik dalam sejarah pembangunan infrastruktur di negeri Sabah termasuk peningkatan liputan dan penyenggaraan rangkaian jalanraya, adalah hakikat yang harus diterima.  Buktinya dapat dilihat dengan semakin meningkatnya bilangan kenderaan di jalan raya. Hakikat harus juga diterima bahawa peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya itu turut menyumbang kepada peningkatan kes-kes kemalangan jalan raya.

29.         Satu daripada laluan dimana paling banyak dilaporkan berlaku kemalangan maut akhir-akhir ini ialah jalan raya yang menghubungkan Kunak dengan Lahad Datu. Saya mencadangkan agar laluan ini diberi perhatian khusus kerana bilangan pengguna laluan tersebut dijangka mendadak meningkat dengan kemasukan 15,000 pelajar tempatan dan antarabangsa, yang akan menuntut di Sandakan Education Hub bermula tahun hadapan. Pastinya laluan ini akan menjadi laluan utama pelajar-pelajar tempatan dari Kunak, Tawau dan Semporna juga pelajar-pelajar antarabangsa dari negara jiran Indonesia, khususnya Kalimantan.
 30.         Faktor-faktor khusus bagi laluan tersebut yang mungkin menyebabkan kemalangan jalanraya kerap berlaku hendaklah dikaji dengan teliti dan terperinci diikuti dengan langkah-langkah bagi mengatasinya.
31.         Di dewan yang mulia ini, sukacita saya ingin berkongsi pandangan secara kasar beberapa faktor yang secara holistik mungkin telah menyebabkan kemalangan kerap berlaku di laluan berkenaan berbanding jalan raya lain di negeri ini:
Pertama: Pada jalan raya Kunak-Lahad Datu terdapat banyak kawasan di mana selekoh tajam berada pada bahagian cerun. Saya cadangkan dimana mungkin, agar di kawasan-kawasan sedemikian ketajaman selekoh dikurangkan atau jalan dilebarkan.
Kedua: Jalan raya Kunak-Lahad Datu banyak dilalui oleh lori-lori tangki yang membawa minyak sawit mentah (CPO) dan juga lori-lori yang membawa buah sawit. Ketirisan CPO yang sedikit mungkin tidak disedari tetapi lama kelamaan ia semakin bertambah dan terkumpul menyebabkan permukaan jalan menjadi licin. Demikian juga halnya dengan buah sawit lerai yang jatuh sebiji dari sebuah lori dilihat sebagai tidak menimbulkan sebarang kesan. Namun, dalam jangkamasa sebulan cukup banyak buah sawit lerai yang jatuh ke atas jalan raya dan minyak yang keluar dari buah lerai itu cukup untuk menjadikan permukaan jalan menjadi licin sehingga menyebabkan kenderaan mudah terbabas. Saya cadangkan agar suatu kaedah dicari untuk kerja-kerja berjadual bagi “meneutralisasikan” minyak tersebut disamping langkah-langkah bagi mencegah tumpahan minyak ke atas jalan raya.
Ketiga: Tidak terdapat kawasan R & R bagi para pemandu dari Tawau dan Semporna yang menuju ke Lahad Datu untuk berhenti rehat dan serba sedikit memeriksa keadaan kenderaan. Kita semua tahu melalui iklan-iklan kempen keselamatan jalan raya bahawa pemandu yang letih dan tidak sempat berehat seketika amat cenderung untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya.  
Oleh yang demikian maka amat wajarlah kawasan R & R yang cukup selesa disediakan di Daerah Kunak, yang terletak benar-benar di pertengahan antara Tawau dan Lahad Datu, juga antara Semporna dan Lahad datu. Nyatalah, disamping menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi seperti yang telah saya sebutkan lebih awal tadi, kawasan R & R di Kunak juga amat diperlukan untuk mengurangkan kes-kes kemalangan jalan raya."

2 comments:

kunakpress.blogspot said...

salam,
saya bersetuju sangat dengan cadangan ini agar diperhalusi berdasarkan beberapa faktor.
Kawasan berhampiran gerai itu juga dikenalpasti lokasi mudah berlaku kemalangan jalanraya. Lihat entry terbaru di Kunakpress.blogspot.com

Pak Runa said...

Terimakasih KP,
Ada juga yg telefon memberitahu tentang kemalangan tsb. Saya masih di KK ketika ini,jadi ni sedang tunggu entri dari KP lah ni.