Tuesday, November 2, 2010

Kunak Yang Harmoni Bhg 3: Masyarakat Kadazan

Masyarakat Kadazan
Ada beberapa pendapat mengenai asal-usul istilah 'Kadazan'. Ada yang mendakwa bahawa ianya istilah baru yang diasaskan oleh orang-orang politik dari kaum tersebut dan ada pula yang mendakwa bahawa ianya telah wujud lama sebelum kedatangan orang-orang Eropah ke negeri ini. 
Kerana tidak tahu akan adanya perkataan tersendiri yang digunakan oleh orang Kadazan untuk kaum mereka, orang-orang British yang mula-mula menjejak kaki ke negeri ini telah mengklasifikasikan mereka sebagai 'Dyak' bersama dengan lain-lain penduduk kawasan pedalaman Borneo.
Apapun, pada pendapat saya, setiap suku kaum sememangya telah ada nama untuk kaum itu sendiri dan wajarlah bagi orang lain untuk menggunakan istilah tersebut.
Bilangan penduduk Kunak dari keturunan Kadazan dianggarkan dalam lingkungan 600 orang (sensus 1999 ialah 445 orang). Mereka datang dari pelbagai pelusuk daerah Negeri Sabah dan kebanyakan menetap di Kampung Kadazan, sebuah perkampungan yang terletak di dalam kawasan perladangan milik Sime Darby Plantations.
Menurut pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Valentine Sebastian, Kampung Kadazan meliputi kawasan seluas 4.5 ekar yang terletak di dalam kawasan Ladang Mostyn. Kawasan tersebut telah diperuntukkan oleh British Abaca Limited (BAL) Plantations kepada keluarga pekerja ladang berkenaan dari keturunan masyarakat Kadazan pada tahun 1958. Pada waktu yang sama pihak BAL Plantations turut memperuntukkan kawasan perkampungan di Batu 2 (kini Kampung Selamat) kepada pekerja keturunan Cocos manakala lain-lain etnik diberikan kawasan di Kampung Sri Bahagia.
Poskad diterbitkan antara tahun 1906-1920 menunjukkan
wanita-wanita 'Dyak' di Borneo Utara
Lanjut lihat : NorthBorneoStamps
Pada peringkat awal, selain dari bekerja di ladang milik syarikat-syarikat perladangan, masyarakat Kadazan juga mengusahakan tanaman sayur secara kecil-kecilan. Hasil tanaman dijual kepada penduduk setempat dan juga untuk kegunaan sendiri.
Unduk Ngadau Kampung Kadazan Pesta Kaamatan 2009
Pada awal tahun 1970an mereka maju setapak lagi dengan mengusahakan tanaman koko. Walaupun kawasan tanaman tidak begitu luas, namun ia mendedahkan selok-belok perladangan komersil kepada mereka. Kini, ramai dari kalangan keluarga masyarakat Kadazan Daerah Kunak mempunyai ladang kelapa sawit berpuluh-puluh ekar dan keadaan ekonomi mereka semakin mantap.

No comments: