OPERASI MATEMATIK KAEDAH PASAR - HASILTOLAK
Saya baru sahaja pulang dari menghadiri satu persidangan sebagai pemerhati atas jemputan ketua persatuan berkenaan. Ketika membentangkan laporan kewangan, bendahari yang hendak mengemaskini data memasukkan perbelanjaan untuk mesyuarat bernilai RM 75.50. Baki peruntukan kewangan untuk belanja pelbagai (petty cash) sebelumnya ialah RM 243.00 dan beliau hendak mengira berapa lagi baki wang tersebut selepas menolak perbelanjaan mesyuarat.
Dah nak jadi cerita, kalkulator beliau telah kehabisan kuasa bateri dan bertanya kalau-kalau ada diantara yang hadir membawa kalkulator. Para hadirinpun mencapai telefon bimbit masing-masing untuk membuka asesori calculator.
Tanpa berlengah saya menjawab, “Seratus enampuluh tujuh ringgit limapuluh sen.” Beberapa saat kemudian beberapa orang menyambut, “Ya, ya, betul! Hah, betul!” Dengan peristiwa itu sayapun teringat yang saya belum lagi mengepos bahagian tiga dalam siri ini dan berjanji dalam hati akan berbuat demikian sebaik sahaja balik dari persidangan. Kini saya menunaikannya.
Kaedah yang saya gunakan ketika itu ialah kaedah pasar, operasi tolak kaedah pasar. Saya andaikan bahawa bendahari persatuan ini ialah pelanggan yang hendak membayar harga barangan bernilai RM 75.50. Dia mempunyai wang dalam dompet berjumlah RM 243.00.
Saya andaiakan lagi wang itu terdiri dari dua keping not RM 100, empat keping not RM 10 dan tiga keping not RM 1. Dalam situasi pasar, tentunya dia tidak memberikan kepada penjual kesemua wang RM 243.00 itu, bukan? Dia akan memberikan satu keping not RM 100. Baki dalam dompet bendahari ialah RM 143.00.
RM 243.00 – RM 100.00 = 143.00
Penjual yang menggunakan operasi matematik kaedah pasar akan menggenapkan harga barangan yang bernilai RM 75.50 ke RM 76.00 dengan memberi duit syiling bernilai RM 0.50 kepada pelanggan.
RM 75.50 + RM 0.50 = RM 76.00.
Penjual kemudian memberikan baki wang bernilai RM 24.00 kepada pelanggan.
RM 100.00 – RM 76.00 = RM 24.00
Tambahkan RM 24.00 kepada wang bendahari dalam dompet yang bernilai RM 143.00:
RM 143.00 + RM 24.00 = RM 167.00 dan jangan lupa syiling dalam saku bernilai RM 0.50:
RM 167.00 + RM 0.50 = RM 167.50.
Mungkin kelihatan agak rumit dengan penjelasan yang terperinci di atas. Namun sebenarnya yang berlegar dibenak saya ketika membuat perkiraan dalam persidangan tadi adalah mudah:
243.00 – 75.50 ialah (100-76)+143 dan limapuluh sen = 24 + 143 dan limapuluh sen = RM 167.50
No comments:
Post a Comment