Wednesday, October 27, 2010

Bencana Berkembar di Indonesia

Sejurus selepas tsunami berlaku di Mentawai
Gunung Merapi di Jawa Tengah pula menjulang debu panas

Indonesia sekali lagi dihimpit bencana alam, kali ini, dua berlaku selang beberapa jam.
Pada Isnin 25 Oktober 2010, pukul 9:42 malam waktu setempat, Perangkaan Geologi Amerika Syarikat (USGS) bagi Program Bencana Gempabumi mengesan gegaran dengan magnitud 7.7 pada kedudukan latitud -3.484, longitud 100.114 yang berlaku pada kedalaman 20.6 km. Lokasi tersebut ialah di perairan Sumatera Barat beberapa km ke tenggara Pulau Mentawai.


Lebihkurang 10 minit kemudian, tsunami setinggi 3 meter melanda Pulau Mentawai. Sekurang-kurangnya 282 orang dilaporkan terbunuh manakala 400 lagi masih hilang. Sementara itu, cerita-cerita ngeri mengenai kejadian itu terus muncul bersama mereka yang terselamat dari segenap pelusuk desa berhampiran.
"Mereka telah kehilangan rumah dan kini memerlukan bantuan dan pertolongan. Kemah-kemah telahpun sampai tetapi tidak mencukupi dan kita perlu lebih banyak lagi," kata Harmensyah, ketua penyelaras bantuan bencana wilayah Sumatera Barat.
"Kita perlu segera mencari mereka yang hilang. Mungkin ada yang telah lari mencari perlindungan di bukit-bukit dan mungkin juga ramai yang telah dihanyutkan ombak," tambah Harmensyah.
Mereka yang terselamat menggambarkan kejadian itu sebagai gulungan ombak besar yang tiba-tiba merempuh mereka. Kepulauan Mentawai adalah destinasi popular di kalangan peminat-peminat luncur ombak.

Oot. 27: Aerial photo shows a village flattened by a tsunami on Pagai island, West Sumatra, Indonesia.


Atas: Pandangan dari udara sebuah perkampungan di Pualu Pagai selepas
dilanda tsunami Isnin lepas
Bawah: Puing Kediaman di Mentawai

Borinte, 32, seorang petani dari Detumonga, sebuah desa di pantai Pulau Pagai menyelamatkan diri dengan berpaut kepada sebatang kayu. Isteri dan tiga orang anaknya telah terkorban.
"Kira-kira 10 minit selepas gempa, kami terdengar suara gemuruh yang amat kuat. Kami meluru keluar dari rumah dan saat itu kelihatan gulungan ombak besar menghala ke arah kami. Dengan sepantas mungkin kami cuba berlari ke kawasan lebih tinggi, namun ombak itu lebih pantas dari kami," kata Borinte kepada wartawan.
Beberapa ratus kilometer dari Mentawai, iaitu di Jawa Tengah, seramai 29 orang turut terbunuh apabila Gunung Merapi meletup menghumban gas, debu panas dan lahar ke ruang udara sehingga ketinggian 1.5 km. Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6:00 petang pada Selasa 26 Oktober 2010.
Terdahulu USGS telah mengesan gegaran di Pulau Jawa dengan magnitud 4.5.
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa di kedua-dua bencana tersebut.


Pada awalnya, gas panas keluar dengan banyak dari
puncak Gunung Merapi
Letupan-letupan berikutnya menjulang
debu panas dan lahar ke udara sehingga ketinggian 1.5 km


Kenderaan dan kediaman musnah ditimbus debu panas Gunung Merapi

Buka Jalur Evakuasi
Petugas dari pasukan Tentera Nasional Indonesia
mencantas pokok bagi membuka laluan untuk mencari
mangsa tertimbus debu Gunung Merapi

No comments: