Wednesday, October 20, 2010

PRK Ke-13 P.185 Batu Sapi - PBS vs PKR

Pilihanraya Kecil (PRK) P.185 Batu Sapi pada 4 November ini merupakan medan pelbagai ujian dua pihak - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).


Telah diketahui komponen mana yang telah diberi mandat mewakili keduanya - Parti Bersatu Sabah (PBS) di pihak BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di pihak PR.
PBS diasaskan di peringkat negeri pada tahun 1985 dan sehingga kegiatan politiknya hanya tertumpu di Negeri Sabah. PKR pula diasaskan pada tahun 1999, beribupejabat di Petaling Jaya dan telah mengembangkan sayap ke seluruh negara.
PBS adalah parti pelbagai kaum yang diterajui oleh Bumiputera Sabah. PKR juga membuka keahlian kepada semua kaum tetapi majlis pimpinan pusatnya dikuasai oleh Melayu. 
Dalam PRU ke-12 PBS memenangi 3 kerusi parlimen berbanding 25 yang dimenangi PKR. PBS kehilangan 1 kerusi iaitu P185 Batu Sapi berikutan kematian penyandangnya Datuk Ir.Chong Ket Wah pada 9 Oktober. Kerusi parlimen PKR juga berkurangan kepada 24 setelah parti itu gagal mempertahankan kerusi P94 Hulu Selangor dalam pilihanraya kecil (PRK) pada 25 April 2010.
PRK Batu Sapi bakal menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009, digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama dan suku tahun kedua 2010 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober 2010 yang bakal menyaksikan 25,582 pengundi berdaftar layak mengundi di PRK Batu Sapi itu pada 4 November akan datang. Dari jumlah pengundi tersebut, 15,099 (59.02%) adalah Bumiputera Islam, 689 (2.69%) Bumiputera Bukan-Islam, 9737 (38.06%) Cina dan 57 (0.22%) lain-lain kaum. Jika disimpulkan Bumiputera terdiri dari 15,788 (61.72%) dan Bukan-Bumiputera terdiri dari 9,794 (38.28%).
Melihat kepada statistik pengundi tersebut secara sepintas lalu, wajarlah bagi BN meletakkan calon dari kalangan Bumiputera Islam, khususnya dari UMNO. Ternyata bukan UMNO yang diberi mandat mewakili BN tetapi PBS. Pun begitu, melalui PBS BN masih boleh meletakkan calon Bumiputera Islam kerana PBS mempunyai ahli majlis tertinggi dari kalangan Bumiputera Islam. Jika itu tidak berlaku bermakna BN tidak akan mengguna isu agama untuk meraih undi.
BN-PBS boleh juga meletakkan calon dari kalangan Bumiputera Bukan-Islam berdasarkan nisbah pengundi Bumiputera yang hampir dua kali ganda berbanding pengundi Bukan-Bumiputera. Jika itu tidak berlaku bermakna BN tidak akan mengguna isu kaum untuk memperoleh kemenangan mudah. Akan terjawab kelak bila calon BN diumumkan di Sandakan Ahad ini.
Dengan meletakkan calon Bukan-Bumiputera, BN bakal mempertaruhkan pencapaian dasar-dasar pentadbirannya khususnya gagasan 1Malaysia.
Bagaimana pula dengan PR? 
Adakah PKR diberi laluan untuk mewakilinya dengan harapan parti itu akan meletakkan calon dari kalangan Bumiputera? 
Bolehkah PKR mengharapkan perpecahan undi Bumiputera di Batu Sapi sebagaimana pecahnya undi Melayu di Selangor? 
Bolehkah PR mengharapkan palingtadah penyokong PBS dari kalangan pengundi Bukan-Bumiputera di Batu Sapi sebagaimana berpalingtadahnya pengundi BN dari kalangan Bukan-Melayu di Perak?
Mungkinkah Parti Maju Sabah (SAPP) menarik hasrat untuk bertanding bagi membolehkan PR meraih sebanyak mungkin undi Bukan-Bumiputera?
Kita nantikan jawapannya pada penamaan calon 26 haribulan ini.




No comments: