Sunday, October 24, 2010

Kunak Yang Harmoni Bhg 2: Delegasi Laksamana Cheng Ho

Masyarakat Idahan
Buat masa ini, barangkali tempat yang paling terkenal di Daerah Kunak ialah Gua Madai dan sarang burung walitnya. Namun begitu, dalam banyak artikel, Gua Madai lebih kerap dikaitkan dengan Lahad Datu berbanding Kunak walaupun ia terletak di Daerah Kunak.





Ahli Parlimen Silam bergambar bersama beberapa orang remaja Idahan
(Gambar dari: 1Silam.blogspot)
Sebutan Gua Madai dan sarang burung walitnya tidak akan lengkap tanpa menceritakan serba-sedikit tentang etnik Bumiputera Idahan. Ini adalah kerana merekalah yang dipercayai telah meneroka khazanah sarang burung di gua tersebut sejak kurun ke-15 lagi.
Orang Idahan ialah kumpulan Bumiputera yang secara menyeluruh mengaku sebagai keturunan dari lagenda moyang mereka bernama, Besai yang berasal dari Sungai Kinabatangan.
Walaupun bilangan orang Idahan di Kunak tidaklah begitu banyak namun perbincangan mengenai masyarakat ini adalah wajar diberi ruang yang luas, bukan sahaja kerana mereka merupakan peneroka dan pewaris sarang burung di Gua Madai tetapi juga dikaitkan dengan kpenyebaran agama Islam ke Negeri Sabah khususnya, di pantai timur sekitar tahun 1408.
Menurut cerita turun-temurun orang Idahan, moyang mereka telah berurusniaga dengan sekumpulan pedagang China yang berpengaruh yang datang ke Pantai Timur Sabah. Dipercayai kumpulan tersebut adalah delegasi rombongan Laksamana Cheng Ho, seorang laksamana dari negeri Cina beragama Islam dan sangat berpengaruh. Menurut sejarah, pelayaran sulung Cheng Ho ke kawasan Sulu ialah dalam tahun 1405.
SCN C201
Laksaman Cheng Ho dan Pasukan Bahteranya
(Gambar dari:
 Cheng Ho)
Sarang burung pada ketika itu tidaklah begitu berharga sehingga moyang orang Idahan menunjukkannya kepada pedagang-pedagang Cina. Sebelumnya, orang-orang Cina memang telah tahu mengenai produk tersebut yang mereka temui di tempat lain. Mereka bertanya kepada orang-orang Idahan samada barangan tersebut boleh didapati lebih banyak lagi dan berjanji akan selalu datang menukar barangan tersebut dengan barangan dari Negeri Cina.
Menyedari betapa berminatnya pedagang-pedagang Cina terhadap sarang burung, moyang orang Idahan mengambil keputusan untuk berhati-hati jangan sampai lokasi sarang burung diketahui oleh pedagang-pedagang Cina itu.
Suasana komuniti di perkampungan Madai tahun 1960
(Lanjut: semuakunak.blogspot) 
Persetujuanpun dicapai antara kedua pihak. Orang Idahan berjanji akan terus membekalkan sarang burung kepada pedagang-pedagang Cina itu dengan syarat mereka hanya boleh menunggu barangan tersebut di pantai.
Bagi saya secara individu, kesahihan cerita tentang hubungan dagang dengan pedagang-pedagang Cina itu cukup kukuh. Saya pernah melihat dengan mata kepala sendiri serpihan-serpihan tembikar Cina yang  sepintas lalu mempunyai ciri-ciri tembikar Dinasti Ming bertaburan begitu banyak di kawasan Ladang Sebrang, di Silabukan. Lokasi kawasan itu tidak jauh dari pantai.
Ketika itu saya bekerja sebagai penolong pengurus di ladang tersebut. Ada pekerja yang memberitahu bahawa lembing dan meriam selain dari berbagai relik lain juga telah ditemui di kawasan tersebut dan telah diambil oleh pihak muzium Negeri Sabah. Ada juga dari kalangan pekerja itu yang mendakwa, bahawa kadangkala sewaktu air surut jauh, kelihatan tidak jauh dari tepi pantai struktur kayu yang seakan-akan tiang layar kapal.

Majoriti orang Idahan kini menetap di Daerah Lahad Datu. Walau bagaimanapun masih terdapat beberapa keluarga yang menetap di Daerah Kunak terutama di kampung-kampung berhampiran Gua Madai. Ada juga di antara mereka yang membina rumah berhampiran gua sebagai tempat tinggal sementara semasa musim mengutip sarang burung.
Kebanyakan penduduk Kunak dari etnik Idahan telahpun berkampung bersama masyarakat lain dan sukar dibezakan dari Bumiputera lain, apatah lagi telah berlaku banyak perkahwinan campuran. 

2 comments:

putri aidatul adriana said...

Good info..keep it up

Kunakian said...

thanks putri.
Are you in FB?