Jika Jika anda membeli-belah di pasar-pasar terbuka, cuba ke bahagian sayuran, buah-buahan, kuih-muih atau bahagian ikan masin. Para penjaja dari bahagian-bahagian ini kebanyakannya dari kalangan mereka yang sudah lanjut usia dan jarang pula yang mempunyai pendidikan formal. Cuba perhatikan cara mereka mengira harga barangan yang hendak dibeli oleh pelanggan. Anda pasti akan kagum bagaimana pantas mereka mengira tanpa menggunakan kalkulator.
Mungkin anda pernah menyaksikan atau mengalami sendiri transaksi yang berlaku di bahagian sayuran di pasar terbuka seperti berikut:
Seorang surirumah membeli 1 kg terung dengan harga RM 1.30 se-kg, kemudian 3 ikat sayur sawi dengan harga RM 1.20 seikat, diikuti 1 kg tomato dengan harga RM 2.40 se-kg dan akhir sekali 2 ikat kacang panjang dengan harga RM 1.50 seikat. Surirumah itu bertanya kepada penjaja, “Berapa harga semuanya, Kak?”
Si penjaja yang dalam lingkungan usia limapuluhan mengambil sebuah beg plastik yang agak besar lalu memasukkan 3 ikat sayur sawi dan 1 kg tomato sambil berkata, “Enam ringgiiit...” Dia memasukkan pula 2 ikat kacang panjang dan menyebut, “Sembilan ringgiiit...” Akhir sekali dimasukkannya 1 kg terung dan memberitahu surirumah pelanggannya itu, “Semuanya sepuluh ringgit tigapuluh sen, Dik.”
Sang surirumahpun membayar harga barangan tanpa meragui benar atau tidaknya perkiraan penjaja sayur itu. Dia sudah biasa membeli sayuran di situ. Di peringkat awal sebelumnya, surirumah itu pernah juga mengira kembali denganmenggunakan pen dan kertas untuk memastikan yang dia tidak ditipu oleh penjaja. Seteleh dua tiga kali membuat pengiraan sendiri, kini dia yakin dengan kejujuran penjaja sayur itu disamping mengagumi kebolehannya mengira tanpa menggunakan kalkulator atau pen dan kertas.
Bagaimanakah Makcik Penjaja Sayur itu membuat pengiraan yang begitu cepat dan jitu?
Cuba kita perhatikan keadaan transaksi dalam contoh yang disebutkan tadi. Mula-mula surirumah membeli 1 kg terung diikuti 3 ikat sawi. Penjaja pula memasukkan 3 ikat sayur sawi dan 1 kg tomato ke dalam beg plastikl sambil mengira, tanpa mengikut urutan barangan yang dibeli oleh surirumah. Ini adalah kerana jumlah harga sayur sawi dan tomato tadi menyempurnakan ringgit:
3 ikat sawi x RM 1.20 = RM 3.60
1 kg tomato x RM 2.40 = RM 2.40 -----> RM 3.60 + RM 2.40 = RM 6.00
2 ikat kacang panjang x RM 1.50 = RM 3.00----> RM 6.00 + RM 3.00 = RM 9.00
RM 9.00 + RM 1.00 = RM 10.00, lalu disebutnya “Semuanya sepuluh ringgit...” dan ditambahnya dengan sebutan sen selebihnya, “...tigapuluh sen, Dik.”
No comments:
Post a Comment