Professor Serba Tahu (PST) ialah nama sebuah karikatur yang menjadi 'maskot rasmi' sebuah majalah humor yang paling laris jualannya suatu ketika dulu, majalah Gila-Gila. PST digambarkan sebagai seorang lelaki berkepala botak, perut agak buncit, memakai cermin mata hitam bulat dengan janggut panjang berjuntai.
Karikatur Professor Serba Tahu yang menjadi ikon & maskot rasmi Majalah Gila-Gila
Sinonim dengan namanya, PST boleh menjawab apa jua soalan yang dikemukakan kepadanya dan jawapannya itu selalu melucukan. Maklumlah, PST adalah professor gila-gila. Yang pentingnya, tak kiralah sejauh mana canggihnya atau canggungnya soalan itu, ada saja jawapan PST yang mencuit hati. Soal logik atau tidak logik bukan persoalan kerana ia memang semata-mata untuk hiburan.
Kaedah PST tentunya tidak boleh digunapakai ketika menjawab soalan-soalan UPSR, PMR, SPM mahupun untuk menjawab soalan-soalan daripada wartawan, lebih-lebih lagi jika soalan itu diajukan kepada seseorang yang bergelar pemimpin.
Seseorang yang jujur akan menjawab soalan yang diajukan kepadanya dengan telus dan menjawab soalan itu berdasarkan apa yang diketahuinya. Jika dia tidak tahu jawapan soalan itu, maka dia akan menjawab, "Saya tidak tahu."
Sebaliknya, jika soalan itu diajukan kepada seseorang yang kurang jujur dan menganggap dirinya serba tahu, sedangkan pada hakikatnya dia juga tidak tahu, maka mulalah dia mereka-reka jawapan. Jika jawapan itu dari PST, kita terima sebagai humor, tetapi jika ia bukan dari PST maka ia adalah suatu 'pembohongan'.
Bagi saya, jawapan Datuk Nilwan kepada para wartawan dalam sesi temubual bersama beberapa wakil media dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Kunak pada Ahad, 26 September lepas, merupakan jawapan yang telus dan jujur, sebagaimana yang selayaknya dilakukan oleh seseorang yang diberikan kepercayaan oleh masyarakatnya untuk meluahkan permasalahan dan keperluan mereka.
Rakyat dan masyarakat yang rasional tidak mengharapkan yang setiap permohonan atau kehendak mereka itu akan dipenuhi oleh pemimpin atau wakil mereka. Lebih dari itu, rakyat dan masyarakat yang rasional tidak akan rela dibohongi oleh wakil yang telah mereka berikan kepercayaan, justeru yang demikian adalah pengkhianatan.
Memberikan surat amaran kepada pemaju yang dipertanggungjawabkan oleh SPNB kerana lambat menyiapkan projek perumahan berkenaan merupakan suatu langkah yang wajar. Adalah terpulang kepada pemaju berkenaan untuk memberikan penjelasan.
Kenyataan Datuk Nilwan: "Ini menjadi permasalahan kepada kita kerana SPNB memberikan projek itu terus kepada syarikat pemaju tanpa memaklumkan kepada Pejabat Daerah..." adalah sesuatu yang logik dan telus.
Ia juga bukan merupakan suatu tindakan menuding jari atau menyalahkan pihak lain. Sebaliknya, ia memberikan gambaran mengenai sikap ketelusan pimpinan. Perkara yang sebenarnya dikemukakan tidak kira samada yang terlibat merupakan agensi kerajaan, swasta mahupun NGO. Jika pihak yang terlibat mempunyai sikap terbuka, maka ia akan menyiasat perkara tersebut untuk selanjutnya dijadikan sebagai panduan untuk memberikan khidmat yang lebih baik kepada klien mereka.
Adapun 'ideal' yang diutarakan oleh AMK PKR Kunak, melalui Sabahkini.net bertarikh 26 September, untuk ADUN Kunak "memanggil SEMUA PIHAK yang terlibat memberikan data dan taklimat" sepatutnya tidak timbul. Dari laporan BERNAMA yang kita petik dari mStar Online di atas, jelas Datuk Nilwan telah berbincang dengan pihak Pejabat Daerah Kunak selaku pihak ketua eksekutif pentadbiran kerajaan di Daerah Kunak mengenai perkara tersebut.
Jika diteliti, kenyataan AMK PKR Kunak itu telah dibuat dengan gopoh, berbentuk suatu provokasi, hasutan dan bersentimen tinggi. Pun begitu dengan ilustrasi yang diguna untuk menghias entri berkenaan dalam laman Sabahkini.net merupakan suatu pembohongan bergambar. Maklumlah, imej-imej yang telah dimanupulasi sedemikian sememangnya kerap dimuat melalui laman tersebut.
No comments:
Post a Comment