Akan Berlaku Lagikah Krisis Makanan Global Bagi Tahun 2011?
Tiga hari lepas, ketika ke pasaraya mini bersama keluarga untuk membeli barangan makanan dan keperluan harian, beberapa perkara menarik perhatian saya. Pertama ialah melonjaknya kenaikan harga susu pekat manis kegemaran keluarga saya. Kenaikan pada kadar 23% dalam tempoh satu bulan, saya kira agak mendadak. Keadaan itu menyebabkan saya terlepas cakap, "Hai! susupun melonjak-lonjak naik?".
"Susu apa tu yang melonjak-lonjak naik, dek?", sapa seorang wanita di belakang saya, yang juga sedang membeli-belah untuk keperluan harian. Saya menoleh ke arah suara yang memang saya kenali pemiliknya itu. Wanita itu tersenyum, menyerlahkan garis-garis kerut di sudut matanya. Tersipu-sipu juga saya dibuatnya.
"Oh, Kak Ati," jawabku. "Ini bah, kak...harga susu pekat manis. Baru dua minggu lepas, harganya RM2.40, sekarang sudah naik pi RM2.95. 'Ndakkah melonjak-lonjak naiknya tu?"
Kakak itu ketawa terkikih-kikih sambil menampar belakang saya.
"Ish! Kalau bercakap tu biar jelas!", kata Kak Ati. "Kakak ingat, susu apa yang kau cakap tadi...melonjak-lonjak!" Diapun menolak 'shopping cart'nya, dan sesampai didepan kaunter dia masih lagi ketawa sambil mengulang-ulang, "Susu...hehehe... melonjak-lonjak...".
Perkara kedua yang menarik perhatian saya ialah bekalan minyak masak di kedai-kedai runcit, pasaraya dan juga pasaraya mini. Pada kebiasaannya pelbagai jenama dan pek boleh didapati di kebanyakan premis runcit. Namun, pada hari itu sehingga pagi tadi, walaupun harganya masih seperti biasa, minyak masak dalam pek 5kg, sukar didapati di kedai-kedai dan pasaraya di Daerah Kunak ini.
Minyak masak pek 3kg memang ada dan harganya juga tidak berubah seperti bulan sebelumnya. Namun, jika dibandingkan harga per kg antara pek 5kg dengan pek 3kg, terdapat perbezaan harga sebanyak 12%. Dengan ketiadaan pek 5kg, kami terpaksa membeli pek 3kg, yang pada hakikatnya bererti kos belanja dapur untuk minyak masak meningkat sebanyak 12%!
Saya menyedari bahawa dunia kini sedang berhadapan dengan kemungkinan satu lagi keadaan krisis makanan apabila terdengar Berita TV1 pukul 8.00 malam tadi. Ia menyiarkan petikan ucapan YAB Timbalan Perdana Menteri, antara lain mengenai usaha kerajaan untuk mencari jalan bagaimana membantu rakyat meningkatkan pendapatan, agar kesan kenaikan harga barangan, terutama barangan makanan tidak begitu membebankan.
Indeks Harga Makanan FAO telah meningkat lapan bulan berturut-turut, dengan purata 236 mata pada Februari 2011, meningkat 2.2% dari Januari, dan yang paling tinggi pernah direkodkan sejak penubuhan indeks ini dalam tahun 1990. Perhatikan indeks ini berada pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding kemuncak indeks Krisis Harga Makanan 2008 |
Oleh kerana seakan terdapat kaitan antara keadaan yang saya alami ketika hendak membeli susu pekat manis dan isu dalam berita TV1 itu, maka sayapun cuba mendapatkan maklumat lanjut.
Saya dapati, pada 03 Mac 2011, Pusat Media Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) melaporkan bahawa sehingga Februari tahun ini, harga makanan global telah meningkat lapan bulan berturut-turut.
Menurut FAO, pengeluaran bijirin sedunia telah berkurangan dalam tahun 2010, dan dengan keperluan yang meningkat, simpanan bijirin dunia akan menurun dengan ketara bagi tahun 2011. Harga bijirin di peringkat antarabangsa telahpun mendadak meningkat dengan harga ekspot bijirin utama telah meningkat sebanyak 70% sejak Februari tahun lepas.
Beberapa faktor yang dikatakan akan menyebabkan krisis makanan sedunia bagi thaun 2011 ini ialah:
- Kenaikan harga petroleum yang tiba-tiba, berikutan krisis pergolakan di Timur Tengah. Faktor ini menyebabkan kos pengeluaran makanan meningkat.
- Perubahan cuaca menyebabkan berkurangnya produktiviti kawasan pengeluaran makanan.
- Berkurangnya kawasan (tanah) untuk penghasilan makanan kerana ditukar kegunaannya untuk tujuan lain.
- Penggunaan bahan makanan, terutama bijirin, untuk bahan tenaga atau biofuel.
- Penggunaan bijirin untuk makanan ternakan.
- Kadar peningkatan penghasilan bahan makanan tidak sepantas kadar pertambahan penduduk dunia.
No comments:
Post a Comment