Wednesday, March 2, 2011

Kawasan Perkadaran Majlis Daerah Kunak Diperluas

Kawasan perkadaran Majlis Daerah Kunak (MDKNK) akan diperluas sehingga meliputi keseluruhan kawasan Daerah Kunak. Perkara ini diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Hj Hajiji Hj Mohd Noor ketika memberi respon kepada taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Kunak, Encik Susilo Sumartosempena lawatan menteri berkenaan ke daerah ini pada Selasa, 01 Mac 2011.

Dalam taklimat itu Encik Susilo memberitahu bahawa perkadaran MDKNK buat masa kini cuma meliputi kawasan lebihkurang 104 km persegi (40 batu persegi) berbanding keluasan keseluruhan Daerah Kunak seluas lebihkurang 1600 km persegi. Malah kawasan pesat membangun di sekitar bulatan Simpang Empat belum termasuk ke dalam perkadaran MDKNK. Disamping memberi kesan kepada pendapatan MDKNK, keadaan itu juga menimbulkan masalah keatas usaha membangun dan memberikan perkhidmatan yang baik kepada penduduk di kawasan tersebut, khususnya perkhidmatan penyelenggaraan 4L (lalang - rerumput di kawasan orang ramai, lampu - pencahayaan kawasan awam, longkang - keperluan dan pembersihan perparitan, dan lalat - pembersihan sampah sarap).

Pegawai Daerah juga memberitahu bahawa struktur pengzonan bagi Pekan Kunak sudah terkebelakang dan tidak lagi relevan dengan keadaan semasa. Menurut beliau, pihaknya sedang dalam proses untuk meminta kepada Pengarah Perancangan Bandar agar penzonan tersebut disemak semula. 

Beliau menambah, "Saya menyentuh perkara (pengzonan) ini kerana ia juga merupakan kekangan bagi MDKNK untuk membangun Pekan Kunak dan buat masa ini, pihak kami tidak dapat menampung permintaan yang begitu tinggi untuk premis perniagaan juga pejabat.

"Daerah ini juga amat kekurangan kemudahan hotel untuk penginapan pelawat dan pengunjung. Terdapat kawasan lapang tertentu yang sesuai untuk pembinaan bangunan kedai atau lain-lain kemudahan, tetapi masih lagi berada di bawah kategori zon "kegunaan awam" dan pihak MDKNK tidak dibenarkan membina bangunan (yang 'kekal') di kawasan tersebut. Oleh sebab itulah, kita masih lagi mempunyai bangunan-bangunan kedai papan (yang bersifat sementara).

"MDKNK juga menghadapi masalah kekurangan kakitangan sehingga pada waktu-waktu tertentu, seseorang pekerja terpaksa melakukan lebih daripada skop tugas sebenarnya", kata Pegawai Daerah.

Mengenai usaha pengindahan kawasan, Encik Susilo memberitahu bahawa sudah lima tahun daerah ini tidak mendapat peruntukan untuk pengindahan lanskap, walaupun permohonan diajukan setiap tahun.

Ketika memberi respon Datuk Hj Hajiji mengakui bahawa berdasarkan taklimat itu, sememangnya banyak yang kementeriannya perlu lakukan untuk membantu masalah yang dihadapi di Daerah Kunak ini.

"Patutlah Datuk Nilwan (ADUN Kunak) selalu dia jumpa (bertemu) saya dia bising-bising (mengemukakan masalah kawasan)", kata Datuk Hj Hajiji mengakui adanya asas yang kuat mengenai beberapa aduan yang pernah dikemukakan oleh ADUN Kunak itu, samada di Persidangan DUN mahupun terus kepada beliau.

Datuk Hj Hajiji seterusnya mengarahkan Setiausaha Tetap dan Pengarah di kementerian beliau, yang turut hadir dalam majlis taklimat tersebut, agar mengambil perhatian dan tindakan segera untuk membantu mengatasi masalah berkenaan.

Beliau berkata bahawa itulah sebenarnya tujuan lawatan itu diadakan, iaitu untuk mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh pihak berkuasa tempatan dan menilai dimana kementerian dapat membantu menyelesaikan permasalahan tersebut. "Dengan menyelesaikan masalah-masalah seperti ini, maka perkhidmatan yang lebih baik boleh dinikmati oleh rakyat", ujar beliau.

"Janganlah hendaknya selesai lawatan, kamu berdiam diri, kamu mesti membantu menyelesaikan masalah yang dikemukakan.

"Tidak guna kita bercakap banyak, tetapi kita perlu bertindak segera, membantu semampu yang mungkin", tegas beliau kepada para pegawai dan kakitangan kementeriannya yang turut serta dalam rombongan lawatan tersebut.

Turut hadir: Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj Said, ADUN N 49 Tungku merangkap Persiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS); Encik Halid Harun, Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan Kunak, mewakili ADUN Kunak, YB Datuk Nilwan Kabang; dan Ahli-Ahli Majlis MDKNK.

No comments: