Dengan jumlah 9,239 mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diduduki, keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bagi tahun 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh 4 tahun terakhir ini.
Cukup menarik apabila pencapaian pelajar luarbandar dalam matapelajaran sains lebih baik berbanding dengan pencapaian pelajar dari bandar.
Sudah pasti pelajar yang mendapat keputusan cemerlang akan merasa gembira dengan pencapaian tetapi yang lebih gembira ialah ibubapa mereka. Saya yakin dengan kenyataan ini, kerana saya pernah melaluinya sebagai pelajar dan kini mengalaminya sebagai bapa. Sebesar mana debar pelajar menanti pengumuman keputusan peperiksaan, besar lagi degupan jantung ibubapa.
Meskipun kerajaan menyediakan sekolah tanpa kutipan yuran, namun bagi kebanyakan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, pembelajaran anak-anak tetap merupakan bahagian perbelanjaan isirumah paling besar, sekaligus pelaburan paling besar.
Pada hakikatnya, kebanyakan ibubapa tidak menunggu apa-apa balasan material daripada anak-anak yang berjaya dalam pelajaran seterusnya dalam kehidupan. Sebaliknya, melihat anak-anak berjaya dalam hidup sudah cukup sebagai balasan atas segala pengorbanan yang dicurahkan. Justeru, keputusan peperiksaan anak-anak menjadi sebahagian daripada ganjaran kepada penat lelah dan pelaburan itu, tidak kiralah apa jua hasil keputusan peperiksaan itu.
Ibubapa yang pada umumnya mengambil berat akan perkembangan anak-anak memang tahu serba sedikit sejauhmana kebolehan akademik setiap seorang daripada anak-anak mereka. Maka tidak timbullah soal kekecewaan apabila anak-anak tidak mencapai keputusan yang cemerlang. Namun apabila seorang anak itu memperoleh sesuatu keputusan lebih baik daripada yang dijangkakan, maka ia menjadi suatu hadiah yang amat istimewa bagi ibubapa. Sebaliknya, jika keputusan itu tidak sebaik yang diharapkan, maka ibubapa akan menilai semula dimana kekurangan diri dalam membantu anak-anak.
Justeru itu, "peperiksaan besar" adalah amat bermakna bagi ibubapa, tidak kiralah samada ia UPSR, PMR, SPM, STPM atau peperiksaan akhir semester di pusat pengajian tinggi. Oleh yang demikian ura-ura untuk menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR, seperti yang pernah disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 18 Jun 2010, hendaklah jangan diteruskan buat masa ini.
Antara faktor yang menyebabkan timbulnya cadangan untuk memansuhkan UPSR dan PMR ialah kerana ia dikatakan menyebabkan sistem pendidikan negara terlalu berorientasikan peperiksaan (exam-oriented). Ia dikatakan memberi tekanan kepada pelajar sehingga mereka belajar dengan "membabi buta" semata-mata untuk lulus peperiksaan, tanpa memahami kaitan matapelajaran itu dengan kegunaannya di masa akan datang.
Cadangan untuk memansuhkan UPSR dan PMR juga atas alasan peperiksaan itu menyebabkan kurangnya masa bagi pelajar dan perhatian bagi guru untuk bidang kokurikulum dan sukan.
Kita harus sedar bahawa setiap pelajar mempunyai kelebihan serta kekurangan dalam bidang tertentu. Tidak semua pelajar mampu cemerlang dalam bidang akademik, pun tidak juga semua boleh menjadi atlit yang ternama, tidak pula semua mempunyai bakat tersohor dalam aktiviti organisasi.
Jika UPSR dan PMR dimansuhkan, maka pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik terpaksa menunggu 11 tahun untuk memberikan "hadiah" kepada ibubapa mereka. Jarang didapati pelajar yang cemerlang dalam akademik cemerlang pula dalam sukan. Malah, kebanyakan daripada mereka adalah dalam golongan "kaki bangku", maka tanpa UPSR dan PMR pelajar itu berada dalam keadaan "terpinggir", tidak popular di kalangan rakan sebaya dan tidak pula dipandang serius oleh masyarakat. Keadaan itu dikhuatiri akan menimbulkan kesan psikologi yang negatif kepada pelajar-pelajar sedemikian.
Ruang bagi pelajar yang berbakat dalam bidang sukan dan kokurikulum buat masa ini, jika tidak pun berlebihan, sekurang-kurangnya sudah mencukupi. Mereka dapat menonjolkan diri dan kebolehan beberapa kali dalam setahun, iaitu sukan tahunan sekolah, sukan peringkat daerah, peringkat zon, peringkat bahagian, peringkat negeri, peringkat kebangsaan, seterusnya ke peringkat antarabangsa. Begitu pula yang punya bakat dalam bidang kokurikulum, setiap tahun ada hari kokurikulum sekolah, perhimpunan peringkat daerah, zon, bahagian, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Oleh itu, ibubapa kepada pelajar-pelajar yang berbakat dalam sukan dan kokurikulum dapat berbangga beberapa kali dalam setahun dengan pencapaian anak-anak mereka.
Ruang harus pula diberikan secukupnya kepada pelajar-pelajar yang kurang berbakat dalam bidang sukan dan kurikulum untuk menonjolkan diri dalam bidang yang lebih sesuai dengan kebolehan mereka, iaitu akademik, agar ibubapa mereka berpeluang pula merasa berbangga akan anak-anak mereka. Oleh itu, wajarlah UPSR dan PMR sikekalkan dalam sistem pendidikan negara kita.
No comments:
Post a Comment