Seorang jurucakap kerajaan Jepun hari ini, Ahad 13 Mac 2011, mengakui "kemungkinan besar" akan berlaku keleburan nuklear (nuclear meltdown) di salah satu daripada beberapa reaktor nuklear yang mengalami kerosakan ketika berlakunya gempabumi pada Jumaat lepas. Menurut Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano, beberapa langkah telah diambil hari ini untuk mencegah keleburan di unit 3 loji Fukushima Daiichi, termasuklah membebaskan udara radioaktif serta memasukkan air penyejuk ke reaktor berkenaan.
Walau bagaimanapun, Edano mengakui kemungkinan besar telah berlaku keleburan separa pada unit tersebut.
"Oleh kerana ia berlaku dalam reaktor, kami tidak dapat memeriksanya secara langsung, namun langkah-langkah ini dilakukan berdasarkan kemungkinan telah berlaku keleburan separa", jelas Edano kepada pemberita Associated Press (AP).
Sebelum ini, kerajaan Jepun menafikan sebarang kemungkinan berlakunya keleburan.
Menurut laporan AP, hari ini, Edano memberitahu bahawa buat seketika, tahap radiasi di sekitar reaktor tersebut berada pada paras melebihi yang dibolehkan, namun telahpun berkurangan.
Prinsip asas reaktor nuklear |
Rajah di atas menunjukkan prinsip asas sebuah reaktor nuklear dimana tindakbalas berantai pemecahan (fission) atau pembahagian nuklear berlaku dalam keadaan terkawal. Tindakbalas itu menghasilkan tenaga nuklear . Nukleus bahan bakar yang merupakan elemen-elemen mudah pecah, misalnya uranium-235 akan dipecahkan lalu membebaskan neutron dan menghasilkan tenaga nuklear. Neutron-neutron yang dibebaskan itu akan melanggar nukleus lain untuk seterusnya membebaskan lebih banyak neutron dan tenaga. Begitulah seterusnya sehingga berlaku tindakbalas berantai yang berterusan.
Untuk mengawal tindakbalas agar tidak menjadi terlalu besar, sebahagian neutron yang dibebaskan diserap menggunakan rod kawalan yang mengandungi elemen-elemen penyerap neutron seperti perak, cadmium dan indium. Rod kawalan, rod bahan bakar dan moderator dikenali sebagai teras (core).
Tindakbalas yang berlaku turut membebaskan tenaga haba. Untuk mengelakkan reaktor daripada menjadi terlalu panas, sistem penyejuk atau pendingin (misalnya air) mengalirkan haba keluar dari reaktor.
Gempabumi pada 11 Mac telah menyebabkan putusnya bekalan elektrik ke loji nuklear Fukushima dan merosakkan sistem janakuasa sokongan loji tersebut. Dengan itu para pengendali tidak dapat mengepam air yang mencukupi ke sistem penyejuk reaktor. Wap dan gas terkumpul padat dalam bangunan loji menyebabkan berlakunya letupan pada 12 Mac.
Dinding penebat (penghalang) radiasi pada reaktor tersebut masih lagi bertahan. Namun bahaya kemungkinan ianya berlaku belum lagi berlalu. Jika reaktor itu menjadi terlalu panas, pada tahap tertentu dinding penebat tersebut boleh lebur, teras akan bocor keluar lalu membebaskan radiasi ke udara. Hembusan angin boleh membawa partikel-partikel radiasi tersebut sehingga 50 km ke sekeliling reaktor yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan jangkapanjang.
Pihak berkuasa Jepun kini mengepam air laut ke dalam teras reaktor berkenaan untuk menyejukkannya. Menurut pakar, tindakan seperti itu tidak terdapat dalam panduan pengendalian reaktor nuklear.
Berita terbaru, sistem penyejukan di sebuah lagi reaktor juga telah gagal berfungsi manakala masalah dikesan di sebuah reaktor lain.
Berikut adalah rangkuman video dari detik-detik berlakunya gempabumi diikuti tsunami dan masalah loji nuklear.
Berikut adalah rangkuman video dari detik-detik berlakunya gempabumi diikuti tsunami dan masalah loji nuklear.
No comments:
Post a Comment