Pemberontakan di Libya sudah masuk ke minggu keempat. Semangat kental dan ketabahan rakyat Libya yang berjuang untuk menggulingkan Gadhafi terus berhadapan dengan pelbagai kekejaman rejim dari polisi "tembak sampai mati" hingga kepada penggunaan senjata berat ke atas orang awam yang tidak bersenjata.
Hari ini sudah masuk hari ketiga campurtangan oleh Pasukan Gabungan yang dianggotai 9 buah negara iaitu, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Kanada, Itali, Sepanyol, Belgium, Belanda dan Qatar. Bermula dengan pelancaran Tomahawk dari Laut Mediterranean pada Sabtu diikuti serangan menggunakan pesawat udara dan pengguguran bom menggunakan pesawat B2.
Bangunan di laman kemah Ghadafi musnah terkena bedilan. Benarkah tiada kemalangan jiwa di kalangan orang awam? |
Serangan tiga hari yang diberi nama Operation Odyssey Dawn (OOD) itu dilaporkan telah berjaya melumpuhkan sistem pertahanan udara Libya, malah telah memusnahkan bangunan di laman kemah Gadhafi, iaitu sebuah bangunan tiga tingkat yang menjadi simbol pertahanan pemimpin Libya itu.
Alasan utama Pasukan Gabungan untuk campurtangan dalam pergolakan itu ialah "untuk melindungi orang awam" daripada serangan oleh pasukan yang setia kepada Gadhafi.
Media barat sememangnya melaporkan bahawa dalam serangan tiga hari itu tiada kemalangan jiwa dari kalangan orang awam berlaku. Benarkah?
Sedangkan peluru dari senjata dalam tangan manusia (senapang, pistol dan sebagainya) adalah "tidak bermata" dan boleh tersasar kepada orang awam, apatah lagi roket yang dilancarkan dari kawasan ratusan kilometer jauhnya dan bom yang digugurkan dari ribuan kaki di angkasa. Dengan yang demikian alasan dan matlamat untuk melindungi orang awam menjadi sebaliknya, iaitu mencederakan dan melindungi orang awam.
Jika benar, matlamat utama Pasukan Gabungan adalah untuk melindungi orang awam di Libya, maka tindakan membuat serangan pantas dan besar-besaran seperti yang berlaku dalam tempoh tiga hari lepas adalah gopoh. Ruang masa yang diberikan kepada orang awam untuk mengungsi jauh daripada kawasan-kawasan yang menjadi sasaran serangan tidak mencukupi.
Kenyataan dapat kita lihat bahawa negara-negara yang terlibat dalam OOD telahpun memastikan rakyat mereka yang berada di Libya, ketika tercetusnya pergolakan pada 17 Mac 2011, telahpun dibawa keluar dari negara itu dan berada dalam keadaan selamat. Namun, tawaran evakuasi yang serupa tidak diberikan kepada orang awam dari kalangan rakyat Libya atau pekerja dari kalangan rakyat negara-negara Afrika.
Kenyataan bahawa kuasa-kuasa luar enggan melakukan tindakan tegas selagi masih ada rakyat mereka di bumi Libya menunjukkan bahawa mereka memang sedia maklum bahawa dengan mengambil tindakan tegas ke atas rejim akan mengakibatkan korban dari kalangan orang awam, samada akibat langsung daripada serangan yang dilakukan ataupun secara tidak langsung melalui tindakan balas dari pihak rejim ke atas orang awam yang dianggap ada kaitan dengan pihak yang campurtangan.
Andai keikhlasan ada dalam mencanang bahawa keutamaan adalah untuk melindungi orang awam dari kalangan rakyat Libya, tentunya mereka telah ditawarkan jalan keluar dari negara itu. Sebaliknya, apabila kesemua warganegara dari negara-negara Barat sudah berada jauh dari kawasan bahaya, tindakan kekerasan segera diambil tanpa didahului dengan sebarang usaha untuk melindungi atau mengeluarkan orang awam yang masih tertinggal di Tripoli dan sekitarnya.
Sejarah jelas membuktikan bahawa campurtangan pihak luar dalam penggulingan dan penukaran sesuatu rejim adalah berdasarkan pelbagai motif, meskipun alasan yang dikemukakan adalah atas dasar kemanusiaan. Selalunya campurtangan sedemikian memberi keuntungan kepada pihak-pihak yang mengambil bahagian dalam campurtangan itu, samada keuntungan dalam bentuk kepentingan strategik mahupun kepentingan ekonomi, dan sebaliknya, mengakibatkan porak peranda kepada penduduk tempatan.
Sesuatu yang menjadi tandatanya ialah perbezaan pendekatan yang diambil oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan pihak Barat bagi pergolakan di Libya berbanding pergolakan di Tunisia dan Mesir.
Resolusi 1970 yang diluluskan UNSC pada 26 Februari 2011, yang antara lain akan membawa rejim Gadhafi ke muka pengadilan di Mahkamah Jenayah Antrabangsa (ICC), menambah buruk keadaan. Tindakan itu membuat Gadhafi berfikir bahawa diri dan keluarganya sudah tidak ada jalan selamat untuk keluar dari pergolakan itu, lalu nekad untuk berjuang dengan apa jua cara untuk mempertahankan diri dan keluarganya.
Sepatutnya keutamaan diberikan untuk perundingan strategi bagi memberi laluan yang selamat untuk pengunduran Gadhafi dan keluarganya, sebagaimana laluan telah diberikan kepada Ben Ali dan Hosni Mubarak. Kaedah ini terbukti berjaya menamatkan pergolakan di Tunisia dan Mesir dengan lebih cepat dan mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah.
Kenapa laluan selamat diberikan kepada Ben Ali dan Mubarak tetapi tidak kepada Muammar Gadhafi? Apa motif sebenar serangan "tentera gabungan" ke atas Libya?
Resolusi 1973 yang diluluskan UNSC pada 17 Mac 2011 menuntut agar gencatan senjata segera diwujudkan di Libya dan mengentikan serangan ke atas orang awam, namun resolusi itu tidak menegaskan yang kedua belah pihak mesti mematuhi gencatan senjata itu. Pihak pemberontak terus melakukan serangan dan pasukan yang setia kepada Gadhafi membalas serangan. Gadhafi dipersalahkan, tetapi pemberontak tidak.
Kenapa bila pemberontak bersenjata bergerak ke barat Libya untuk menawan Tripoli tidak didakwa melanggar penguatkuasaan gencatan senjata? Kenapa bila pasukan yang setia kepada Gadhafi bertindak menghalang kemaraan pemberontak itu dipersalahkan sebagai melanggar gencatan senjata?
Adakah Resolusi 1973 memang sengaja dibuat untuk mewujudkan alasan agar kuasa asing campurtangan di bumi Libya?
Apa motif sebenar serangan "tentera gabungan" ke atas
Libya?
Dalam video berikut Michel Chossudovsky, pengarah Pusat Penyelidikan Globalisasi (CRG), memberitahu bahawa negara-negara Barat sebenarnya hanya memikirkan tentang minyak dan lain-lain sumber yang terdapat di Libya, bukan untuk melindungi rakyat negara itu. Oleh sebab itulah, mereka lebih beria-ia untuk campurtangan di Libya berbanding di negara-negara Arab bergolak yang lain.
No comments:
Post a Comment