Monday, March 7, 2011

Melegakan Sakit Kepala


Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa semua orang dewasa pernah mengalami sakit kepala. Sembilan puluh peratus sakit kepala yang dialami ialah kerana tekanan. Kesakitan terasa pada keseluruhan bahagian kepala, tetapi tidaklah begitu menyiksakan. Namun begitu, ramai juga yang cukup menderita kerana serangan sakit kepala yang berulang dari semasa ke semasa.


Dianggarkan seramai 28juta orang menderita sakit kepala 'migraine' yang amat menyiksakan. Migraine merupakan penyakit yang agak kompleks dan menimbulkan kesakitan yang amat sangat dan melesukan. Oleh itu orang-orang yang rapat dengan pesakit, misalnya suami-isteri, anak-anak, ibubapa, adik beradik dan sebagainya perlulah memahami dan bersimpati dengan pesakit apabila serangan migraine itu sedang dialaminya. Isteri saya adalah antara yang mengalami nasib ini. Untuk memahami keadaan yang dialaminya, seterusnya, dimana yang boleh, membantu beliau melalui detik-detik menyakitkan itu, maka saya berusaha mencari maklumat mengenai gejala penyakit tersebut. Saya kongsikan hasil 'pencarian' itu dalam entri ini semoga ia dapat membantu pembaca yang mengalami, atau mempunyai orang-orang 'dekat' yang mengalami masalah migraine. 

Kesakitan akibat migraine biasanya terasa pada sebelah bahagian kepala sahaja dan selalunya disertai dengan perasaan loya. Pesakit juga amat sensitif terhadap cahaya dan kebisingan. 

Banyak perkara yang boleh menyebabkan serangan migraine termasuklah perubahan hormon dalam tubuh badan, pemakanan, jadual tidur, kekurangan air (dehidrasi), tekanan, perubahan cuaca, perubahan kedudukan ketinggian (altitud), dan sebagainya.

Ubat-ubatan yang boleh dibeli tanpa preskripsi ahli farmasi, atau singkatnya OTC (over-the-counter), mungkin boleh membantu melegakan, namun harus berhati-hati jangan sampai terlebih dos, sebab ia boleh mengakibatkan 'kesan serangan berulang', dan kesakitan yang dirasai apabila serangan itu datang lagi biasanya lebih dahsyat.

Berikut beberapa kaedah yang boleh dilakukan untuk mengelak serangan sakit kepala dan juga cara untuk melegakannya dengan cepat:

Elakkan MSG
MSG (monosodium glutamate) adalah bahan yang biasa kita gunakan untuk menambah kelazatan sesuatu makanan. Di negara kita ada beberapa jenama tertentu, namun saya tidak akan menyebut contoh-contoh jenama tersebut kerana yang demikian boleh menimbulkan kemarahan syarikat pengeluarnya. Namun begitu, senarai bahan untuk penghasilan sesuatu produk makanan biasanya tertulis pada paket atau bungkusan produk makanan berkenaan.

MSG boleh menyebabkan sakit kepala kerana ia boleh mengembangkan pembuluh darah dan merangsang saraf otak. Terdapat juga produk makanan tersedia dalam paket yang mengandungi MSG, tetapi dengan nama yang lain. Jadi jika anda ada masalah kesan sampingan dengan pengambilan MSG, bacalah label produk makanan tersebut dengan teliti, kerana istilah-istilah seperti, hydrolyzed protein, glutamate, dan caseinate adalah juga MSG.

Cokelat, tak kiralah dalam bentuk minuman atau makanan, mengandung sejenis sebatian amine, iaitu phenylethilamine, yang boleh menyebabkan pengembangan saluran darah kemudian mengecutkannya pula, lalu mengakibatkan sakit kepala. Amine yang paling memberi kesan ialah tyramine, iaitu sejenis asid amino yang biasa didapati dalam keju, pekasam ikan haring dan hati.

Sebatian nitrat yang biasa terdapat dalam makanan berupa daging yang telah diproses, misalnya 'hot-dog' dan 'salami', juga boleh menyebabkan pengembangan pembuluh darah dan merangsang sakit kepala.

Minyak Ikan
Kajian di University of Cincinnati menunjukkan bahawa pengambilan kapsul minyak ikan boleh mengurangkan kekerapan berlakunya sakit kepala dan meringankan kesakitan yang dialami. Kajian itu menambah kuat bukti kebaikan asid lemak omega-3 yang terdapat dalam ikan. Kalau tidak suka dengan kapsul minyak ikan, kesan kebaikan itu boleh juga diperoleh dengan memakan 50gram ikan berlemak setiap hari.

Rendaman Kaki Dalam Air Hangat
Sediakan air hangat dalam bekas yang cukup luas  untuk rendaman kedua belah kaki, tambahkan beberapa sudu serbuk biji sawi (mustard powder) dan rendamkan kaki pesakit dalam air hangat tersebut. Air hangat itu membantu mengagihkan semula dari kawasan ia terkumpul - kepala yang berdenyut-denyut - dan membolehkan alirannya lebih sekata dalam pembuluh darah di seluruh badan. Pada masa yang sama, minyak biji sawit akan merangsang kulit menyebabkan pesakit mengalihkan perhatian dari kesakitan di kepalanya.

Halia
Potong dengan halus sedikit halia segar dan masukkan dalam minuman kegemaran anda dan minumlah. Kalau suka, boleh juga langsung mengunyah halia tersebut. Herba ini membantu meratakan (sekata) aliran darah dalam tubuh badan dengan cara mengawal rembesan thromboxane A2

Rahang dan Gigi
Apabila kita mengalami tekanan atau cemas, tanpa disedari kita mengepal (clench) rahang atau gigi, menyebabkan otot yang menghubungkan rahang dengan bahagian tepi kepala berhampiran mata menjadi tegang lalu mencetuskan sakit kepala. Letakkan sebatang pensel atau sesuatu sepertinya, tapi jangan gigit. Cara ini membolehkan anda mengendurkan kepalan rahang.

Posisi Kepala
Elakkan daripada terlalu lama menundukkan kepala, kerana ia mengakibatkan ketegangan otot pada tengkuk dan bahagian atas belakang.

Kafein
Pengambilan kafein yang berlebihan setiap hari, misalnya tiga cawan kopi ke atas atau soda yang banyak, boleh menyebabkan atau menambah terok gejala sakit kepala. Namun begitu, menghentikan pengambilan kafein secara tiba-tiba juga menyebabkan sakit kepala. Tetapi bagi yang bukan "pengguna tetap" kafein, secawan minuman yang mengandungi kafein boleh membantu melegakan sakit kepala, melalui tindakannya menyempitkan pembuluh darah disekeliling bahagian tepi kepala berhampiran mata.

Magnesium
Unsur magnesium aktif membantu mengurangkan ketegangan dan kekejangan otot. Oleh kerana tindakan magnesium merupakan sebagai pencegah dan bukan merawat, kaedah ini lebih sesuai digunakan untuk keadaan yang boleh dijangka atau diramal, misalnya bagi wanita yang mengalami sakit kepala apabila haid, kerana dengan demikian pengambilan unsur magnesium sebagai makanan tambahan boleh dilakukan lebih awal. Bagi yang ada masalah buah pinggang perlu mendapatkan nasihat pakar sebelum mengambil magnesium sebagai makanan tambahan.

No comments: